Jemputan media untuk pelancaran siri telefon pintar seterusnya oleh Samsung, Samsung Galaxy S25, sudah pun tertiris di mana ia memaparkan tarikh pelancarannya pada hari Rabu, 22 Januari 2025. Memandangkan Samsung kerap melancarkan telefon pintar andalannya (flagship) pada waktu awal tahun, ini adalah sesuatu yang boleh dipercayai.
Selain itu, siri Galaxy S25 dijangka akan ditawarkan dalam empat varian utama iaitu Galaxy S25, Galaxy S25+, Galaxy S25 Ultra dan satu varian baharu iaitu Galaxy S25 Slim. Samsung tidak pernah menawarkan varian Slim dalam siri Galaxy S sebelum ini, jadi ini bakal menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Menurut pengkhabar berita teknologi Ice Universe, Galaxy S25 Slim mempunyai ketebalan sekitar 6mm hingga 7mm. Sebagai rujukan, Samsung Galaxy S24 yang dilancar pada awal tahun ini mempunyai ketebalan 7.6mm, jadi Galaxy S25 Slim bakal mempunyai badan yang lebih nipis berbanding telefon-telefon Galaxy S sebelum ini.

Untuk menghasilkan rekaan yang lebih nipis, Samsung dikhabarkan terpaksa menurunkan prestasi fotografi Galaxy S25 Slim berbanding varian Galaxy S25 yang lain, dan mungkin hanya mempunyai satu kamera sahaja.
Samsung masih belum mengesahkan sebarang maklumat mengenai siri Galaxy S25, jadi kita perlu nantikan maklumat rasmi daripada mereka. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






