fbpx
More

    Segalanya yang anda perlu tahu tentang bank digital di Malaysia!

    Konsep “bank digital” kini merupakan sesuatu yang semakin mendapat tempat dalam kesedaran rakyat Malaysia, terutamanya dengan pengenalan dua operator bank dgital yang sudah pun memulakan perkhidmatannya untuk orang awam iaitu GXBank dan AEON Bank.

    Dan tidak lama lagi, Boost Bank pula akan dilancar pada 6 Jun 2024 sebagai bank digital ketiga di Malaysia. Jelasnya, bank digital adalah satu industri yang semakin mendapat tempat di Malaysia, namun mungkin masih ramai di luar sana yang tidak mengenali konsep bank digital ini.

    Jadi dalam artikel ini, kami akan memberi panduan ringkas tentang bank digital supaya anda tahu serba-sedikit mengenainya:

    Apa itu bank digital?

    Bank digital adalah bank berlesen yang menyediakan kebanyakan perkhidmatan perbankan seperti bank konvensional, namun bank digital menyediakannya secara digital sepenuhnya. Berbeza dengan bank konvensional yang selalunya mempunyai cawangan fizikal serta mesin-mesin ATM, bank digital tidak mempunyai sebarang kemudahan fizikal dan sebaliknya semua tugas perbankan boleh dilakukan dalam telefon pintar atau komputer anda.

    GXBank menawarkan pelbagai fungsi perbankan, semuanya melalui telefon pintar anda
    Beberapa manfaat yang ditawarkan oleh AEON Bank

    Pada waktu ini, semua bank konvensional juga menawarkan aplikasi untuk perbankan digital (contohnya CIMB Clicks, MAE App, RHB Banking dan lain-lain) di mana anda boleh semak sendiri jumlah wang dalam akaun, pindahkan wang, lengkapkan transaksi dan banyak lagi. Sungguh pun begitu, untuk tugas perbankan tertentu seperti pembaharuan kad debit/kredit dan permohonan peminjaman wang, anda masih perlu hadirkan diri ke cawangan fizikal bank tersebut.

    Berbeza dengan bank digital, di mana segalanya boleh dilakukan melalui internet. Anda tidak perlu lagi bergegas dan mencari masa untuk hadir ke mana-mana cawangan kerana semuanya boleh dilakukan dalam peranti anda sahaja. Anda juga boleh kawal pelbagai tetapan dalam aplikasi seperti had transaksi, had pengeluaran wang dan kebenaran untuk transaksi dalam talian.

    Apakah faedah bank digital?

    Kelebihan bank digital yang paling utama adalah daripada segi kemudahan, kerana segala tugas perbankan hanya memerlukan anda untuk daftar masuk ke dalam aplikasi bank digital dan ia boleh dilengkapkan dalam masa beberapa minit sahaja, tidak kira pada waktu siang atau malam. Tidak perlu lagi runsing untuk membuat temu janji dalam waktu operasi pejabat seperti bank konvensional.

    Pendaftaran akaun bank digital juga boleh dilakukan dengan sangat cepat. Pendaftaran bank konvensional memerlukan anda untuk menghadirkan diri di kaunter dan tunggu dengan sangat lama, manakala pendaftaran bank digital pula hanya memerlukan anda untuk muat turun aplikasi, lengkapkan butiran peribadi, kemudian segalanya boleh siap dalam masa kurang daripada 10 minit.

    Dengan bank konvensional, anda terikat dengan waktu operasi di setiap cawangan fizikal

    Selain itu, bank digital juga menawarkan kadar dan yuran yang lebih rendah dan agak kompetitif berbanding bank konvensional. Salah satu sebabnya adalah kerana bank digital tidak perlu memikirkan tentang penyediaan fasiliti fizikal seperti cawangan dan mesin ATM.

    Kemudahan yang ditawarkan oleh bank digital juga bermaksud rakyat Malaysia yang berada di kawasan luar bandar dan berada jauh daripada cawangan bank fizikal, kini masih boleh mendapatkan akses kepada pelbagai fungsi perbankan melalui bank digital. Memandangkan majoriti kawasan dalam Malaysia, termasuk kawasan pedalaman, sudah pun menerima liputan internet, bank digital mungkin adalah pilihan yang lebih sesuai untuk para penduduk di situ.

    Adakah pemilik akaun bank digital akan menerima kad debit atau kredit?

    Memandangkan bank digital tidak menawarkan mesin-mesin ATM, deposit tunai atau cek, pemilik akaun bank digital tidak seharusnya diberikan kad debit atau kredit fizikal.

    AEON Bank menawarkan kad debit maya atau fizikal

    Sungguh pun begitu, sesetengah bank digital membenarkan pemilik akaun untuk dapatkan kad debit mereka sendiri jika mereka berminat dengannya, seperti GXBank dan AEON Bank. Kad tersebut boleh digunakan untuk mengeluarkan wang di mesin ATM atau membuat pembayaran di kaunter.

    Adakah bank digital ini selamat?

    Seperti bank-bank konvensional, semua bank digital yang beroperasi dalam Malaysia perlu menerima lesen perbankan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) di mana setiap bank digital perlu memenuhi kriteria keselamatan yang ketat. Kriteria ini termasuklah kewibawaan dan integriti, kecukupan sumber kewangan, kebolehlaksanaan pelan perniagaan dan teknologi serta keupayaan untuk menangani jurang rangkuman kewangan.

    Pada 2022, BNM melaporkan bahawa daripada 29 pihak yang memohon lesen perbankan digital, hanya lima pemohon yang menepati kriteria dan berjaya mendapatkan lesen tersebut. Setakat waktu artikel ini ditulis, jumlah tersebut masih tidak berubah.

    Kriteria yang ditetapkan oleh BNM untuk lesen bank digital

    Selain itu, setiap pemilik akaun bank digital akan menerima perlindungan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000. Ini bermaksud wang yang disimpan dalam akaun bank digital anda akan selamat dan dijamin oleh PIDM, walaupun jika sebuah bank digital itu berhenti beroperasi. Perlindungan PIDM ini adalah sama seperti yang diterima oleh pemilik akaun bank konvensional.

    Setiap bank digital juga akan memastikan tahap keselamatan siber yang tinggi dalam aplikasinya pada setiap masa. Aplikasinya mempunyai beberapa fungsi keselamatan khas seperti Penyahihan Dua Faktor (Two Factor Authentication, 2FA), pengesahan biometrik dan penyulitan (encryption) AES.

    Sudah tentu, dalam urusan perbankan digital, pasti akan ada risiko keselamatan siber seperti penggodam atau scammer, namun risiko godaman ini adalah kecil. Anda sendiri masih perlu berwaspada, amalkan gaya hidup siber yang selamat dan elakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

    Apakah kekurangan bank digital?

    Jika anda bergantung sepenuhnya dengan bank digital, anda mungkin tidak dapat melaksanakan tugasan bank anda jika ia sedang diselenggara. Selalunya, penyelenggaraan bank digital akan dilakukan pada waktu tengah malam supaya ia tidak mengganggu pelanggan pada waktu siang, namun kadang-kala penyelenggaraan tersebut mungkin boleh berlaku secara tiba-tiba sewaktu anda perlu melakukan tugas perbankan. Jika kes ini berlaku, anda perlu tunggu sehingga penyelenggaraan tersebut siap.

    Sewaktu anda ingin melakukan tugas perbankan yang agak rumit seperti terlupa kata laluan, anda perlu bergantung kepada chatbot atau hubungi pegawai perkhidmatan pelanggan melalui telefon atau teks. Ini agak berbeza dengan bank konvensional di mana anda boleh bersemuka dengan pegawai bank dalam cawangan fizikal dan dapatkan nasihat yang lebih jelas dan paling sesuai dengan status kewangan anda.

    Anda perlu bergantung kepada perkhidmatan pelanggan secara dalam talian jika anda mempunyai sebarang masalah

    Di samping itu, mereka yang masih tidak biasa dengan gajet-gajet terkini, terutamanya warga emas, mungkin memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan perbankan digital.

    Apakah bank digital yang ditawarkan di Malaysia?

    Sewaktu artikel ditulis, dua bank digital sudah boleh dimuat turun dan digunakan oleh rakyat Malaysia iaitu GXBank (diuruskan oleh syarikat teknologi popular Grab) dan AEON Bank (diuruskan oleh AEON Financial Service).

    Kedua-dua bank ini menawarkan kebanyakan fungsi bank digital yang sama, namun dengan keunikan tersendiri. Sebagai contoh, AEON Bank adalah bank digital pertama di Malaysia yang mengamalkan perbankan Islamik dan patuh Syariah. Ia juga menawarkan penyepaduan dengan semua pusat beli-belah AEON di seluruh negara di mana setiap pemilik akaun AEON Bank yang membeli-belah di situ akan menerima AEON Points untuk ganjaran menarik atau ditukarkan kepada wang yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank.

    AEON Bank adalah bank digital Islamik pertama di Malaysia

    Selain itu, GXBank pula menawarkan kadar faedah 3% per annum pada setiap hari dan pulangan tunai (cashback) 1% tanpa had. Sewaktu berada di luar negara pula, anda boleh gunakan kad debit GXBank untuk membuat pembayaran tanpa sebarang caj tambahan, serta mengeluarkan duit daripada ATM.

    Dalam masa terdekat, Boost Bank pula akan dilancar pada 6 Jun 2024 sebagai bank digital ketiga di Malaysia. Ia bakal menjadi bank digital pertama yang dihasilkan dengan kerjasama bank konvensional (RHB Bank) dan dimiliki oleh syarikat tempatan (GXBank dimiliki oleh Grab yang berpengkalan di Singapura, manakala AEON Bank berkait dengan AEON Group yang berpengkalan di Jepun).

    Dua lagi penerima lesen perbankan digital BNM yang masih belum memulakan operasinya adalah konsortium antara GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd, serta konsortium antara Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

    Bagaimanakah sambutan bank digital di luar negara?

    Jika kita lihat pada negara-negara Asia lain yang sudah menggunakan konsep bank digital, terdapat negara yang berjaya mendapat sambutan tinggi. Sebagai contoh di Korea Selatan, Kakao Bank dilancar pada 2017 dan adalah antara bank digital pertama di negara tersebut. Ia mendapat ratusan ribu pendaftaran dalam masa 24 jam selepas pelancarannya dan dalam masa dua tahun, Kakao Bank adalah sebuah syarikat perbankan yang berjaya merekodkan keuntungan.

    Sungguh pun begitu di Hong Kong pula, sejak bank digital diperkenalkan pada empat tahun lalu, semua bank digital dalam wilayah tersebut tidak mencatatkan keuntungan. Begitu juga di Singapura yang sudah pun mempunyai lima bank digital, namun perlu diingati bahawa bank digital hanya mula bertapak di Singapura sejak tahun lepas.

    Oleh yang demikian, masih awal untuk kita membuat andaian tentang sambutan perbankan digital di Malaysia. Jika anda berminat untuk menjadi pelopor dalam industri perbankan digital, anda boleh muat turun mana-mana bank digital yang menarik minat anda sekarang.

    Beritahu kami di Facebook jika artikel ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    iQOO 13 dijangka dilancar November ini dengan dwi-cipset dan peningkatan sistem kamera

    iQOO memperkenalkan iQOO 12 dan 12 Pro di China pada bulan November lalu dengan model standard dilancarkan ke pasaran global pada bulan...

    MCMC mohon TikTok dan Telegram turunkan kandungan yang tidak sahih mengenai kes Zayn Rayyan

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan dakwaan maklumat siasatan yang dibocorkan berkaitan kes...

    vivo V40 5G dilancar: SD 7 Gen 3, kamera 50MP dan pengecasan 80W bermula...

    Telefon terbaru vivo V40 5G dilancar, menyokong kelajuan pengecasan 80W tetapi pengecas tidak disertakan dalam kotak dan perlu dibeli secara berasingan. Pada...

    Whatsapp sedang bangunkan ciri pindahkan sejarah sembang melalui Kod QR

    Kemas kini beta WhatsApp terbaru untuk Android 2.23.9.19 memperkenalkan ciri pemindahan sembang baharu yang membolehkan pengguna memindahkan sejarah sembang mereka daripada peranti...

    Carl Pei dedahkan Nothing OS 3.0: Penyesuaian skrin kunci dan animasi interaktif

    Nothing OS 3.0, kemas kini UI utama Nothing yang seterusnya akan dilancarkan bersama dengan Nothing Phone 2a Community Edition. Carl Pei telah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Segalanya yang anda perlu tahu tentang bank digital di Malaysia!

    Konsep "bank digital" kini merupakan sesuatu yang semakin mendapat tempat dalam kesedaran rakyat Malaysia, terutamanya dengan pengenalan dua operator bank dgital yang...
    X