fbpx
More

    Ulasan HONOR Magic6 Pro – Salah satu telefon dengan kamera terbaik di dunia!

    HONOR pada dahulunya pernah menjadi jenama yang banyak mengeluarkan telefon pintar segmen bajet. Namun, jenama itu telah melangkah setapak kehadapan dengan pelancaran HONOR Magic5 Pro pada tahun 2023 untuk bersaing dengan jenama besar seperti Apple dan Samsung dalam kelas premium.

    Kini, HONOR Magic6 Pro hadir untuk menggantikan pendahulunya dengan spesifikasi terkini, kamera yang unggul dan prestasi yang mantap! Ketika pelancaran Magic6 Pro, ia merupakan telefon pintar pertama di dunia yang menampilkan kamera periskop 180MP. Dengan harga RM4,499, adakah telefon pintar ini akan memberikan faktor “wow”? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Pakej yang anda dapat jika membeli HONOR Magic6 Pro

    Rekaan – Reka bentuk kamera serlahkan ciri premium

    Gabungan kemasan berus, krom dan susunan kamera tonjolkan ciri premium

    Magic6 Pro dibina berasaskan reka bentuk Magic5 Pro dengan menambah beberapa sentuhan tersendiri. Bonggolan kamera besar di bahagian belakang dengan tiga modul yang disusun dalam bentuk segi tiga masih dikekalkan tetapi ia kini ditambah dengan kemasan logam pada kelilingn dan bahagian dalamnya mempunyai corak berus apabila terkena pantulan cahaya.

    Bagi edisi ungu yang kami terima untuk membuat ulasan, ia mempunyai panel belakang plastik dengan tekstur berus untuk menambahkan lagi cengkaman dan dapat meminumkan cap jari. Walaupun panel belakang menggunakan kemasan plastik, ia tetap kelihatan menarik dan banyak menerima pujian apabila saya menggunakannya di luar.

    Logo HONOR dalam warna keemasan

    Satu-satunya yang kurang menarik pada pandangan saya adalah skrin yang melengkung. Jika HONOR mampu mengubah perkara ini pada Magic7 Pro, saya pasti lebih ramai orang berminat untuk membelinya kerana skrin melengkung sangat sensitif kepada sentuhan tapak tangan jika ingin kembali atau menyentuh pada bahagian yang jauh.

    Sekali lagi, ini hanyalah pendapat saya dan mungkin ada orang yang memang suka ciri estetika pada skrin melengkung. Selain itu, pengimbas cap jari optikal terletak pada bawah paparan berfungsi dengan baik daripada segi kelajuan dan ketepatan. HONOR boleh menambah baik kedudukan pengimbas cap jari untuk peranti akan datang kerana ia terletak pada bahagian yang agak bawah yang menjadikan ibu jari saya terpaksa untuk diregang bagi membuka telefon.

    HONOR perlu meletakkan pengimbas cap jari ke atas sedikit
    Kamera swafoto dan pengimbas muka 3D berbentuk pil

    Ia bukanlah masalah besar kerana anda juga boleh menggunakan ciri keselamatan pengimbas wajah 3D untuk membuka telefon. Proses mengimbas wajah yang terdapat pada Magic6 Pro adalah sangat laju dan menariknya, ia boleh digunakan walaupun dalam suasana yang gelap. Saya harus memberikan pujian untuk ciri ini kerana memudahkan saya membuka telefon.

    Butiran lain mengenai reka bentuk telefon ini ialah butang kuasa dan butang kelantangan berada di sisi kanan manakala bahagian sisi kiri tiada apa-apa. Bahagian bawah mempunyai pembesar suara, mikrofon, port USB-C dan slot kad SIM. Bahagian atas pula mempunyai pembesar suara dan mikrofon. Untuk pengetahuan anda, pengalaman bunyi untuk peranti ini sangat menyeluruh dan jelas kerana mempunya dua pembesar yang terletak di atas dan bawah.

    Bahagian atas
    Bahagian bawah
    Bahagian sisi kiri
    Bahagian sisi kanan

    Spesifikasi teknologi – Bekas raja DXOMARK!

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk HONOR Magic6 Pro:

    • Skrin OLED LTPO 6.8 inci, resolusi 2800×1280, kadar segar semula 120Hz, DCI-P3 100%, HDR10+, kecerahan puncak 5,000 nits
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3
    • GPU Adreno 750
    • RAM 12GB
    • Storan dalaman 512GB
    • Kamera utama 50MP Super Dynamic Falcon H9000 + kamera telefoto periskop 180MP, zum digital sehingga 100x + kamera ultra-lebar 50MP
    • Kamera swafoto 50MP
    • Bateri 5,600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W, pengecasan wayarles 66W
    • Pembesar suara stereo DTS:X Ultra
    • Sistem operasi Android 14 dengan MagicOS 8.0
    • Port USB-C 3.1
    • Menyokong Bluetooth 5.3, Wi-Fi 7
    • Menyokong dwi-kad SIM 5G NR, 4G TDD-LTE
    • Harga: RM4,499

    Peranti ini dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM 12GB dan storan 512GB. Baterinya berkapasiti 5,600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W dan wayarles 66W walaupun palam pengecasnya menyokong sehingga 100W. Telefon ini juga boleh menjadi bank kuasa kerana ia boleh membalikkan pengecasan peranti lain melalui kaedah berwayar dan nirwayar.

    Apa yang saya boleh katakan, kuasa bateri dan penjimatan kuasa pada pemprosesnya sangat mengagumkan kerana saya boleh menggunakan telefon ini seharian tanpa perlu risau untuk mengecas. Pada awalnya saya agak skeptikal kerana ia merupakan peranti baharu dan tidak banyak aplikasi yang berjalan pada latar belakang. Namun, jangkaan saya merosot kerana baterinya tahan walaupun saya bermain game dalam tempoh yang lama!

    Palam pengecas 100W yang disertakan

    Ulasan lanjut mengenai kuasa bateri dan pemprosesnya saya akan ceritakan pada bahagian prestasi. Untuk fotografi, Magic6 Pro menampilkan kamera utama 50MP Super Dynamic Falcon H9000, telefoto periskop 180MP, zum digital sehingga 100x dan kamera ultra-lebar 50MP. Bahagian hadapan pula terletaknya kamera swafoto 50MP bersama pengimbas 3D untuk buka kunci muka yang lebih selamat.

    Magic6 Pro menggunakan paparan melengkung LTPO OLED 6.8 inci, kadar penyegaran 120Hz, kecerahan puncak mencapai 5,000 nits untuk kandungan HDR dan bezel yang nipis. Ia dilindungi oleh NanoCrystal Shield yang memberikan tahap ketahanan yang tinggi dan penarafan rintangan habuk serta air IP68. HONOR mengatakan ia mempunyai sepuluh kali ganda rintangan jatuh seperti yang diperakui oleh Keupayaan Rintangan Jatuh Kaca Lima Bintang SGS.

    Skrin terang, jelas dan tajam!

    Magic6 Pro menyokong semua jenis standard HDR termasuk HDR10+ dan Dolby Vision serta sokongan Widevine L1. Saya cuba menggunakan ciri Dolby Vision untuk Netflix dan HDR pada YouTube. Kedua-dua aplikasi juga mempunyai kesan HDR apabila dimainkan semula dalam mod PiP (gambar-dalam-gambar).

    Paparan yang dihasilkan sangat jelas, terang dan tajam walaupun berada bawah matahari. Saya jarang untuk terkesima dengan apa yang selalu dihidangkan oleh pengeluar telefon pintar, namun kali ini ia benar-benar memikat mata saya. Anda boleh lihat sampel gambar yang diambil ketika melakukan ujian video. Ia memberikan pengalaman yang mengasyikkan tidak kira apa jenis kandungan yang anda tonton.

    Contoh skrin ketika berada bawah matahari

    HONOR juga menyertakan beberapa ciri AI termasuk Magic Portal yang membolehkan saya menyeret kandungan seperti gambar kebahagian tepi skrin dan berkongsi gambar tersebut dalam aplikasi lain seperti WhatsApp, Instagram, Facebook dan aplikasi pemesejan lain. Selain itu, ia turut hadir dengan Smart Folder yang membolehkan saya mengembangkan aplikasi terpilih dan ia akan membuat dua butang pintasan secara automatik untuk tindakan popular bagi aplikasi itu.

    Contohnya, apabila saya mengembangkan ikon Peta Google, ia memberikan pilihan pintasan “Rumah” dan “Kerja” selepas menetapkan destinasi tersebut dalam aplikasi. Untuk WhatsApp, saya mendapat butang kamera dan kenalan paling kerap. Ia adalah perkara kecil tetapi sebenarnya cukup berguna dan saya mengharapkan jenama lain akan melaksanakan ciri seperti ini.

    Selain itu, ciri lain yang menarik adalah Air scroll yang membolehkan saya mengawal pergerakan skrin hanya menggunakan isyarat tangan dari jarak 20-40cm. Untuk fotografi, Magic6 Pro menampilkan kamera utama 50MP Super Dynamic Falcon H9000, telefoto periskop 180MP, zum digital sehingga 100x dan kamera ultra-lebar 50MP. Bahagian hadapan pula terletaknya kamera swafoto 50MP bersama pengimbas 3D untuk buka kunci muka yang lebih selamat.

    Magic Capsule yang berfungsi seperti Dynamic Island pada iPhone

    Prestasi – Sangat memuaskan!

    Berikut merupakan keputusan penanda aras yang diuji menggunakan aplikasi Geekbench 6 dan 3DMark:

    HONOR melengkapkan Magic6 Pro sebagai peranti utamanya yang dilengkapi dengan Snapdragon 8 Gen 3 bersama RAM 12GB. Apabila sesebuah telefon pintar dilengkapi dengan cipset terbaharu dan tercanggih di dalam pasaran, anda pastinya mengharapkan peningkatan prestasi yang besar. Skor Magic6 Pro sebenarnya mengatasi beberapa peranti setara yang menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 3 dengan prestasi yang agak stabil dan skor yang cemerlang.

    Adreno 750 memberikan prestasi permainan yang kukuh, menyokong semua API grafik moden termasuk pengesanan sinar dan ia mungkin GPU telefon pintar terpantas buat masa ini. Beralih kepada sesi gaming, saya telah menggunakan Magic6 Pro untuk memainkan game PUBG MOBILE dan Mobile Legends: Bang Bang. Selepas bermain kedua-dua permainan dalam tetapan tertinggi, saya mendapati ia tidak begitu panas.

    Mobile Legends: Bang Bang
    Tetapan grafik Ultra
    PUBG MOBILE
    Tetapan grafik Ultra
    Game Manager

    Prestasinya juga lancar dibantu oleh ciri Game Manager yang terletak pada bahagian kiri atas apabila permainan dibuka. Dengan prestasi gaming yang mantap ditambah pula dengan bateri yang tahan lama, ia menjadikan peranti ini dalam diam mampu untuk menyelesaikan tugas seharian dan juga gaming. Baterinya berkapasiti 5,600 mAh menggunakan teknologi silikon-karbon untuk menyimpan jumlah tenaga yang lebih padat dalam jumlah yang lebih kecil dalam sel.

    Untuk sekali pengecasan, Magic6 Pro boleh bertahan sehingga sehari setengah dengan penggunaan yang santai manakala sehari penuh jika saya bermain game. Saya harus memberikan pujian kepada HONOR kerana menghasilkan telefon andalan yang berprestasi tinggi tetapi dalam masa yang sama cekap kuasa. Pengecasan penuh mengambil masa hampir satu jam. Berikut adalah masa sebelum dan selepas mengecas penuh:

    Kita beralih kepada prestasi kamera Magic6 Pro di mana persediaan kamera kali ini adalah serupa tahun lepas tetapi dengan peningkatan yang ketara untuk lensa telefoto. Dalam kebanyakan situasi, Magic6 Pro merakam foto yang sangat tajam dan terang tetapi mod HDRnya boleh menjadi luar biasa apabila terdapat terlalu banyak cahaya matahari. Ini adalah salah satu masalah yang wujud dalam siri Magic.

    Masalah ini mengakibatkan banyak gambar yang diambil di luar dengan cahaya matahari yang terang kelihatan sangat berlebihan tetapi anda boleh meminimumkan ini dengan mematikan HDR automatik. Walaupun untuk gambar yang diambil dalam bilik yang bercahaya malap, kedua-dua kamera utama dan zum tetap menghasilkan butiran yang jelas. Berikut adalah sampel gambar yang diambil menggunakan Magic6 Pro:

    Contoh gambar daripada kamera swafoto
    Mod Makro
    Mod Makro
    Mod potret
    Mod automatik
    Mod automatik
    Mod automatik
    Mod automatik
    Mod malam
    Mod malam
    Mod malam
    Zum x5
    Zum x1
    Zum x2.5
    Zum x5
    Zum x10
    Zum x50
    Zum x100

    Ini adalah contoh video yang dirakam menggunakan HONOR Magic6 Pro dan anda boleh lihat kesan apabila menggunakan mod Movie:

    Kesimpulan – Antara terkuat dalam kelasnya

    Magic6 Pro ialah telefon andalan yang solid dan berprestasi tinggi yang membawa peningkatan kepada pengguna akhir. HONOR meningkatkan kualiti operasi sistemnya dengan MagicOS 8.0 bersama ciri-ciri yang berguna walaupun sebahagiannya agak gimik. Saya mengesyorkan telefon ini jika anda mencari telefon dengan skrin OLED melengkung 6.8 inci yang terang, tajam dan baik untuk mata.

    Selain itu, bateri karbon silikon 5,600mAh menawarkan sekitar satu setengah hari pengecasan yang sangat menenangkan pengguna kerana tidak perlu memikirkan tentang pengecasan. Hanya terdapat dua kekurangan pada peranti ini iaitu paparan melengkung dan pemprosesan imej yang agak melampau.

    Pada harga RM4,499, Magic6 Pro pastinya bukan peranti yang murah tetapi seperti yang saya katakan pada mulanya, ia adalah antara peranti yang terbaik dalam kelasnya dan selari dengan julat harga andalan hari ini. Anda juga boleh membandingkan HONOR Magic6 Pro dengan beberapa peranti lain untuk mendapatkan hasil yang terbaik, berbaloi dengan bajet anda.

    Antara peranti yang memberikan saingan hebat kepada HONOR Magic6 Pro ialah OnePlus 12, Xiaomi 14 dan Google Pixel 8 Pro. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    iQOO 13 dijangka dilancar November ini dengan dwi-cipset dan peningkatan sistem kamera

    iQOO memperkenalkan iQOO 12 dan 12 Pro di China pada bulan November lalu dengan model standard dilancarkan ke pasaran global pada bulan...

    MCMC mohon TikTok dan Telegram turunkan kandungan yang tidak sahih mengenai kes Zayn Rayyan

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan dakwaan maklumat siasatan yang dibocorkan berkaitan kes...

    vivo V40 5G dilancar: SD 7 Gen 3, kamera 50MP dan pengecasan 80W bermula...

    Telefon terbaru vivo V40 5G dilancar, menyokong kelajuan pengecasan 80W tetapi pengecas tidak disertakan dalam kotak dan perlu dibeli secara berasingan. Pada...

    Whatsapp sedang bangunkan ciri pindahkan sejarah sembang melalui Kod QR

    Kemas kini beta WhatsApp terbaru untuk Android 2.23.9.19 memperkenalkan ciri pemindahan sembang baharu yang membolehkan pengguna memindahkan sejarah sembang mereka daripada peranti...

    Carl Pei dedahkan Nothing OS 3.0: Penyesuaian skrin kunci dan animasi interaktif

    Nothing OS 3.0, kemas kini UI utama Nothing yang seterusnya akan dilancarkan bersama dengan Nothing Phone 2a Community Edition. Carl Pei telah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Segalanya yang anda perlu tahu tentang bank digital di Malaysia!

    Konsep "bank digital" kini merupakan sesuatu yang semakin mendapat tempat dalam kesedaran rakyat Malaysia, terutamanya dengan pengenalan dua operator bank dgital yang...
    X