fbpx
More

    Ulasan HONOR Magic5 Pro – Rekaan telefon bergaya dengan fungsi yang lengkap

    Pada April lalu, HONOR Malaysia telah memperkenalkan telefon pintar andalan (flagship) terbaru untuk 2023 iaitu HONOR Magic5 Pro. Ia menampilkan segala rekaan dan spesifikasi yang setaraf dengan telefon andalan Android yang lain, malah menampilkan susunan kamera yang berlainan sedikit daripada Magic4 Pro pada tahun lepas.

    Jadi adakah dengan nafas baharu dalam rekaan HONOR Magic5 Pro kali ini akan membuatkannya lebih menarik berbanding telefon Android andalan yang lain dan paling sesuai untuk kegunaan anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Mirip beberapa “flagship” lain

    Jika dilihat dari belakang, HONOR Magic5 Pro mengingatkan saya kepada beberapa telefon pintar Android yang lain seperti HUAWEI Mate50 Pro dan OnePlus 11. Bentuk bulat dalam susunan kamera bukanlah lagi sesuatu yang unik dalam industri telefon kerana banyak telefon sudah mula menggunakan bentuk bulatan ini. Malah, siri telefon kelas pertengahan HONOR X pun menggunakan bonggol kamera bulat seperti ini.

    Rekaan belakang HONOR Magic5 Pro dalam warna hijau Meadow Green
    Bonggol kamera yang tidak terlalu timbul

    Ia masih memberikan penampilan yang kemas, terutamanya dengan kilauan pada bonggol kameranya. Warna yang dipinjamkan kepada saya ialah warna hijau Meadow Green dan saya amat menggemari sifatnya yang tidak menonjol. Permukaan belakang telefon ini mempunyai sudahan matte, jadi ini bermakna kesan cap jari anda tidak akan tertinggal langsung. Walau bagaimanapun, sudahan matte ini mungkin tidak memberikan imej yang eksklusif seperti sesetengah telefon flagship lain yang jauh lebih berkilauan.

    Di sekelilingnya, ia mempunyai rangka aluminium yang berkilauan, menyerlahkan lagi penampilan premium pada telefon ini. Anda perlu tahu bahawa bahagian sisi kanan dan kiri mempunyai lengkungan yang agak ketara. Sepanjang saya menggunakan telefon ini, lengkungan ini selesa digenggam dan tidak pernah menjejaskan pengalaman saya seperti tersilap baca sentuhan dan sebagainya. Saya sendiri lebih gemar menggunakan skrin yang rata sepenuhnya, namun jika anda suka skrin yang melengkung di sisi, Magic5 Pro menawarkan skrin yang sesuai untuk anda.

    Bahagian sisi kanan menempatkan butang kuasa dan butang kawalan audio, manakala di sisi kiri pula tidak mempunyai sebarang butang. Bahagian sisi bawah menempatkan dulang dwi-kad SIM, port USB-C dan pembesar suara, manakala di sisi atas mempunyai satu lagi pembesar suara dan pemancar. Telefon ini juga mempunyai rating kalis air IP68.

    Secara keseluruhan, saya boleh sifatkan rekaan HONOR Magic5 Pro sebagai sangat kemas dan elegan, namun tidak terlalu melampau dengan kilauan yang berlebihan. Ini adalah telefon yang anda perlu pertimbangkan jika anda inginkan telefon andalan Android yang tidak terlalu menarik perhatian.

    Spesifikasi – Segalanya lengkap!

    Sebagai sebuah telefon pintar andalan, ia mempunyai segala spesifikasi yang diperlukan untuk berada dalam kategori tersebut. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk HONOR Magic5 Pro:

    • Skrin OLED LTPO 6.81 inci, kadar 120Hz, kecerahan puncak 1800 nits, resolusi 1312×2848, sokongan HDR10+, DCI-P3
    • Cipset Snapdragon 8 Gen 2
    • RAM LPDDR5X 12GB
    • Storan UFS 4.0 512GB
    • Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 50MP + kamera telefoto periskop 50MP, zum digital sehingga 100x
    • Kamera swafoto 12MP + sensor kedalaman 3D
    • Bateri 5,100mAh
    • 66W HONOR SuperCharge (berwayar), 50W (wayarles)
    • Pembesar suara stereo DTS:X Ultra
    • MagicOS 7.1 berdasarkan Android 13
    • Sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.2

    Bermula dengan skrin, Magic5 Pro menawarkan skrin OLED yang sangat cantik, dengan kadar segar semula setingga 120Hz untuk penggunaan yang lancar dan sokongan untuk video HDR10+. Resolusinya agak tinggi (1312×2848) untuk saiz berukuran 6.81 inci, memberikan ketumpatan piksel yang agak padat iaitu 460ppi. Jadi sebarang tontonan video atau game memang boleh dilakukan dengan cemerlang.

    Skrinnya menghailkan warna yang cantik dan terang, namun lubang berbentuk pil untuk kamera swafoto itu agak besar dan mengganggu pengalaman tontonan

    Sempadan bezelnya sangat nipis di keempat-empat sisi, meningkatkan lagi pengalaman tontonan anda. Namun, lubang berbentuk pil yang agak besar dalam menempatkan dua kamera swafoto itu agak mengganggu. Perlu diketahui bahawa HONOR tidak menyatakan secara spesifik apakah kaca yang digunakan untuk skrin Magic5 Pro. 

    Ini bukanlah isu yang besar, namun telefon andalan jenama lain sudah pun menggunakan Corning Gorilla Glass Victus untuk ketahanan tertinggi. Memandangkan Magic5 Pro tidak dibuat dengan kaca tersebut, anda mungkin akan hadapi risiko skrin calar atau retak yang lebih tinggi.

    Untuk audio pula, kualiti yang dihasilkan daripada pembesar suara stereo adalah jelas dan setaraf dengan telefon andalan Android lain, namun masih ketinggalan jika dibandingkan dengan telefon gaming seperti ROG Phone 7.

    Antara mukanya pula ialah MagicOS 7.1 berdasarkan Android 13. Sekali pandang, ia tidak rumit dan mudah digunakan walaupun jika anda datang daripada skin Android jenama lain. Sungguh pun begitu masih terdapat beberapa perbezaan yang aneh, contohnya jika anda leretkan ibu jari ke bawah daripada Home Screen, anda bukannya akan mengakses panel notifikasi; sebaliknya skrin akan memaparkan sebuah enjin carian. Apabila ingin mengambil tangkapan skrin pula, anda perlu mengetuk skrin seperti mengetuk pintu.

    Home Screen untuk Magic5 Pro, ia tidak mempunyai App Drawer seperti telefon Android jenama lain

    Saya rasa ini bukanlah aneh jika anda sudah biasa dengan MagicOS, namun pengguna Android yang lain mungkin perlu meluangkan sedikit masa untuk membiasakan diri. Satu perkara positif untuk MagicOS 7.1 dalam Magic5 Pro adalah jumlah perisian remeh (bloatware) yang rendah, dan ini harus dipuji.

    Satu kekurangan tentang sistem operasi Magic5 Pro adalah HONOR hanya akan menawarkan kemas kini utama (software updates) selama tiga tahun, bermaksud ia akan menerima kemas kini utama sehingga Android 16. Telefon andalan jenama lain sudah pun mendapat komitmen untuk kemas kini utama Android selama empat tahun, jadi ini sesuatu yang agak ketinggalan untuk Magic5 Pro. Untuk kemas kini keselamatan (security updates) pula, Magic5 Pro akan menerimanya selama lima tahun.

    Prestasi – Pantas dengan kamera yang boleh zum sejauh 100x

    Seperti kebanyakan telefon andalan Android pada waktu ini, HONOR Magic5 Pro dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2. Sememangnya, ini membuatkan Magic5 Pro boleh memainkan segala jenis aplikasi berat dan game yang terdapat pada waktu ini. Berikut adalah penanda aras yang telah dilakukan dalam Geekbench dan 3DMark:

    Seperti yang ditunjukkan dalam ujian 3DMark Wildlife Extreme Stress Test, telefon ini boleh mengekalkan prestasi yang agak tinggi sepanjang ujian 20 minit itu, sambil mengekalkan paras suhu terkawal di bawah 44°C.

    Cukup bercakap tentang ujian penanda aras, bagaimana pula pengalaman saya sendiri apabila bermain game dengan Magic5 Pro? Saya memainkan Genshin Impact pada telefon ini pada tetapan grafik tertinggi dan saya boleh menikmati kadar bingkai 60fps yang sekata sepanjang saya bermainnya. Di samping itu, suhu telefon pula sekadar suam sahaja dan tidak pernah menjadi terlalu panas.

    Anda juga boleh mengakses Game Manager untuk akses cepat kepada fungsi penting sewaktu gaming

    Prestasi bateri juga sangat cemerlang, di mana kapasiti 5,100mAh ini boleh bertahan selama sehari dengan yakin. Sepanjang saya menggunakannya, untuk tempoh sehari dengan penggunaan biasa, pada penghujung hari masih terdapat baki 30% ke 40%. Oleh yang demikian, jika anda gunakan dengan membuka banyak aplikasi berat sekalipun, bateri ini masih boleh bertahan untuk sehari.

    Sewaktu mengecas pula, telefon ini menyokong kadar pengecasan pantas 66W yang sangat pantas. Pengecasan penuh daripada 0% mengambil masa sekitar sejam sahaja. Lebih baik lagi, pengecas 66W ini turut disertakan dalam kotak, tidak seperti sesetengah jenama lain. Di samping itu, ia turut menyokong pengecasan wayarles pantas 50W, namun saya tidak mempunyai pengecas wayarles untuk mengujinya.

    Pengecasan daripada 2% ke 99% mengambil masa 57 minit (8:38 ke 9:35)

    Beralih kepada kamera, Magic5 Pro menawarkan susunan lensa yang agak menarik iaitu kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto periskop 50MP. Bukannya selalu semua kamera dalam sebuah telefon mempunyai jumlah megapiksel yang sama, lebih-lebih lagi untuk kamera 50MP. Kamera telefofo periskop 50MP itu juga membenarkan kamera ini untuk zum digital sehingga 100x.

    Di hadapan pula, ia mempunyai dua kamera swafoto iaitu kamera 12MP dan sensor kedalaman 3D untuk menghasilkan efek potret yang lebih kemas.

    Saya amat berpuas hati dengan kualiti gambar yang dihasilkan daripada kamera Magic5 Pro dalam mod auto. Di bawah cahaya yang terang, ia boleh menghasilkan gambar yang cantik dengan warna yang natural, manakala dalam suasana malap pun ia masih boleh menghasilkan gambar yang jelas tanpa banyak noise.

    UI kamera Magic5 Pro

    Satu ciri yang diketengahkan oleh HONOR ialah AI Motion Sensing Capture, di mana dalam situasi bergerak pantas seperti sukan, Magic5 Pro boleh memilih gambar yang terbaik secara automatik dalam masa 1.5 saat selepas menekan butang shutter. Selepas mengujinya, saya merasakan ciri ini tidak berfungsi dengan bagus dan lebih baik anda gunakan sahaja burst mode dan pilih sendiri gambar kegemaran anda daripada senarai gambar yang diambil.

    Satu lagi ciri unik pada kamera telefon ini ialah zum digital 100x, namun secara jujurnya kualiti gambar jatuh dengan cepat selepas zum digital 50x, jadi saya berpendapat anda tidak perlu gunakan zum sejauh 100x. Telefon lain seperti Samsung Galaxy S23 Ultra boleh melakukannya dengan lebih baik.

    Untuk video, ia boleh merakam dalam resolusi sehingga 4K pada kadar 60fps. Jika anda jenis pengguna yang suka menyunting warna dalam video, anda boleh merekod dalam LOG Mode untuk dapatkan fail video yang lebih mudah untuk disunting dalam komputer.

    Kesimpulan – Telefon HONOR terbaik setakat ini

    HONOR Magic5 Pro merupakan sebuah telefon pintar andalan yang sangat menarik, malah saya yakin mengatakan ini adalah telefon pintar HONOR yang terbaik setakat ini. Ia mempunyai rekaan berprofil rendah namun masih mengekalkan sifat premium, dan fungsinya memang lengkap untuk sebuah telefon andalan pada tahun 2023.

    Cuma apabila ia dibandingkan dengan telefon andalan jenama lain, Magic5 Pro mungkin mempunyai kesukaran dalam menyerlahkan dirinya. Sebagai contoh, walaupun Samsung Galaxy S23 Ultra (RM5,699) dijual pada harga lebih mahal, ia mempunyai kamera zum 100x yang lebih jelas dan turut didatangkan dengan stilus dalaman. Xiaomi 13 Pro (RM4,599) pula walaupun skrinnya lebih kecil daripada Magic5 Pro, ia mempunyai teknologi kamera Leica dengan sensor 1 inci untuk menghasilkan gambar yang setaraf dengan kamera DSLR.

    Mungkin dengan harga RM4,299, Magic5 Pro boleh dikira sebagai telefon andalan yang lebih mampu milik daripada jenama lain dan saya berpendapat ini adalah antara tarikan utama untuk telefon ini sekarang.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Google Maps dan Carian bantu pemilik EV mencari lokasi pengecasan

    Dengan peningkatan pemilikan kenderaan elektrik (EV), terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk stesen cas yang mudah diakses. Bagi mengatasi ini, Google Maps...

    Siri iQOO Z9 disahkan SIRIM, mungkin dilancar di Malaysia tidak lama lagi

    iQOO sedang bersiap sedia untuk melancarkan siri iQOO Z9 di China tidak lama lagi dengan jangkaan model standard akan menampilkan spesifikasi berbeza...

    Acer Swift Go 14 (2024) dilancar di Malaysia: Komputer riba dengan fungsi AI, skrin...

    Pada hari ini, Acer Malaysia melancarkan komputer riba multimedia Acer Swift Go 14 terbaru yang menampilkan rekaan nipis (14.9mm) dan ringan (1.32kg),...

    NASA sahkan objek yang menembusi bumbung di AS adalah serpihan roket

    Pada 8 Mac 2024, satu serpihan roket angkasa lepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terhempas dan menembusi bumbung sebuah rumah di Naples,...

    Panduan beli-belah gajet dan peranti murah sempena Hari Raya 2024!

    Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu daripada perayaan terbesar di Malaysia, jadi pelbagai syarikat teknologi dan elektronik akan mengambil kesempatan ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X