Semalam, kami sudah menulis kompilasi telefon pintar yang telah dilancarkan pada bulan Jun yang lepas dan pada hari ini, kami akan senaraikan pula beberapa telefon pintar yang menarik yang akan dilancarkan pada bulan Julai ini termasuklah dua telefon pintar flagship gaming yang dinanti ramai.
HONOR X10 Max
Telefon pintar ini dilengkapi dengan saiz skrin yang sangat besar iaitu 7.09 inci FullHD+ dan menyokong HDR 10 dan gamut warna DCI-P3. HONOR X10 Max dilengkapi dengan dua pembesar suara (dual speaker) yang dapat menghasilkan bunyi yang sedap dan seimbang. HONOR X10 Max juga menyokong 5G dan mempunyai bateri sebesar 5000 mAh serta pengecasan pantas 22.5W. HONOR X10 Max dilihat sebagai telefon pintar yang sangat sesuai digunakan untuk menonton video. Telefon pintar ini dijangka dijual dengan harga serendah ~RM1145.
realme X50 Pro 5G
realme X50 Pro 5G bakal dilancarkan di Malaysia pada Isnin, 6 Julai ini. Telefon pintar ini dijangka akan mempunyai skrin Super AMOLED 6.44 inci dengan kadar segar semula 90Hz serta 180Hz kadar pensampelan sentuhan (touch sampling rate). Ia juga akan dilengkapi dengan cipset flagship Android, Snapdragon 865 dan menyokong memori UFS 3.0. Ia juga akan menggunakan empat kamera pada bahagian belakang dengan kamera utama 64MP dan dua kamera hadapan dengan kamera utama 32MP. Untuk bateri pula, ia akan dilengkapi dengan saiz bateri 4200mAh dengan pengecasan pantas SuperDart 65W. Harga telefon pintar ini dijangka sekitar ~RM2799.
OnePlus Nord
Baru-baru ini, OnePlus telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar terbaru mereka yang diberi nama OnePlus Nord dan ianya akan ditawarkan dengan harga yang berpatutan. CEO syarikat OnePlus, Liu Zuho menyatakan bahawa telefon pintar ini akan dijual dengan harga kurang dari US$500 (~RM2140). Sumber menyatakan bahawa OnePlus Nord akan diperkenalkan secara rasmi pada 10 Julai.
ASUS ROG Phone 3
Berdasarkan sumber dari luar negara, ASUS telah menghantar surat jemputan untuk menghadiri acara pelancaran peranti mereka pada 22 Julai ini. Surat jemputan tersebut menyatakan perkara mengenai Qualcomm dan Snapdragon. ASUS ROG Phone 3 dijangka akan dilancarkan pada acara tersebut termasuklah cipset terbaru dari Snapdragon. Beberapa produk yang berkaitan dengan gaming juga akan dilancarkan dalam acara ini, namun butiran lebih lanjut masih belum diperoleh. ASUS ROG Phone 3 dijangka akan dijual pada harga sekitar ~RM4,000.
Lenovo Legion Gaming Phone
Lenova mengumumkan bahawa Lenovo Legion Gaming Phone akan dilancarkan pada bulan Julai ini. Sumber menyatakan telefon pintar ini akan menyokong pengecasan pantas sehingga 90W dan dapat mengecas baterinya bersaiz 4000mAh dengan hanya 15 minit sahaja. Ia juga dijangka akan menggunakan cipset Snapdragon 865, skrin OLED dengan kadar segar semula yang tinggi dan kadar pensampelan sentuhan (touch sampling rate) sehingga 270Hz. Lenova Legion Gaming Phone juga akan hadir dengan kamera utama 64MP serta dua pembesar suara (dual speaker). Harga telefon pintar ini masih lagi kekal sebagai sebuah misteri.
HONOR 30 Youth Edition
Tambahan dari HONOR X10 Max, HONOR juga memperkenalkan HONOR 30 Youth Edition, salah satu telefon pintar dalam siri HONOR 30. Telefon pintar ini juga menyokong 5G seperti HONOR X10 max. Kamera HONOR 30 Youth Edition menyokong fungsi AI fast snapshot yang membolehkan untuk menangkap gambar ketika berlari atau melompat. HONOR 30 Youth Edition juga mempunyai skrin bersaiz 6.5 inci dengan kadar segar semula 90Hz serta kadar pensampelan sentuhan (touch sampling rate) 180Hz. Harga telefon pintar ini adalah sekitar ~RM1,024.
HUAWEI nova 7 5G
HUAWEI telah melancarkan HUAWEI nova 7 SE pada bulan lepas dan kini, HUAWEI akan melancarkan satu lagi telefon pintar dalam siri nova 7 iaitu HUAWEI nova 7 5G. HUAWEI nova 7 5G boleh di pra tempah di laman web HUAWEI Malaysia bermula 7 Julai dan ianya akan dilancarkan secara rasmi pada 10 Julai ini. Ia dijual dengan tanda harga serendah RM1,999 dan jika anda pra tempah telefon ini anda akan dapat hadiah bernilai RM1,571. HUAWEI nova 7 5G mempunyai spesifikasi yang menarik seperti kamera utama 64MP, skrin OLED 6.57 inci dan pengecasan pantas 40W.
Senarai ini hanya menyenaraikan pelancaran telefon pintar yang diketahui setakat ini memandangkan akan ada pelancaran telefon pintar lain masih tidak diketahui tarikh atau kemunculannya pada bulan Julai ini.
Bagaimana dengan senarai telefon pintar yang bakal tiba pada bulan Julai ini? Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita telefon pintar terkini.