More

    Siri iPhone 13 dilancar: Cip A15 Bionic, Super Retina XDR, storan sehingga 1TB bermula RM3,399

    Pada hari ini, Apple telah melancarkan siri telefon pintar terbaharu iaitu iPhone 13 yang terdiri daripada iPhone 13 mini, iPhone 13, iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max. Semua varian iPhone 13 akan menyokong rangkaian 5G dan dilengkapi cipset A15 Bionic yang menampilkan prestasi lebih pantas sebanyak 50% berbanding cipset tahun lepas.

    iPhone 13 dan iPhone 13 mini

    Satu ciri yang menarik pada rekan iPhone 13 dan iPhone 13 mini adalah pada bonggol kameranya, di mana dua lensa telah disusun secara berpenjuru (diagonal) dan bukannya sebaris seperti dalam iPhone 12. Selain itu, takuk (notch) di bahagian atas skrin iPhone 13 juga telah dikecilkan sebanyak 20% berbanding iPhone sebelum ini.

    iPhone 13 dan iPhone 13 mini dilengkapi paparan OLED Super Retina XDR yang boleh menjana keterangan sehingga 1,200 nits serta gamut warna HDR10 Dolby Vision dan P3 wide colour. iPhone 13 mempunyai saiz skrin 6.1 inci, manakala skrin iPhone 13 mini pula berukuran 5.4 inci. Semua skrin iPhone 13 akan dilindungi dengan teknologi Ceramic Shield.

    Untuk kamera pula, iPhone 13 dan iPhone 13 mini dilengkapi kamera utama 12MP f/1.6 dan kamera ultra-lebar 12MP f/2.4, manakala sensornya pula dilengkapi penstabilan Sensor Shift yang sebelum ini hanya terdapat pada iPhone 12 Pro Max. Ia turut menawarkan Cinematic Mode di mana pengguna boleh mengubah fokus sewaktu merakam video dengan lebih kemas.

    Daripada segi bateri, iPhone 13 mini menawarkan penggunaan selama 1.5 jam lebih lama daripada iPhone 12 mini manakala iPhone 13 pula lebih lama selama 2.5 jam berbanding iPhone 12. Ia juga bakal menyokong pengecasan magnetik MagSafe.

    iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max

    Beralih kepada iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max, cipset A15 Bionic dalam dua varian ini dilengkapi GPU lima teras untuk prestasi gaming yang lebih pantas serta fungsi kamera yang lebih teliti. Selain dilindungi teknologi Ceramic Shield, varian iPhone 13 Pro mempunyai rating kalis air.

    Skrinnya pula menyokong teknologi ProMotion yang membenarkannya untuk memaparkan kadar segar semula boleh ubah (adaptive refresh), daripada 10Hz hinggalah 120Hz. Perubahan kadar skrin akan bergantung kepada kandungan dan aplikasi yang dipaparkan.

    iPhone 13 Pro mempunyai skrin berukuran 6.1 inci, manakala iPhone 13 Pro Max pula berukuran 6.7 inci.

    "
    "

    Fotografi untuk iPhone 13 Pro terdiri daripada kamera telefoto dengan zum optikal 3x dan jarak fokal 77mm, kamera ultra-lebar 12MP f/1.8 serta kamera utama 12MP f/1.5. Ia boleh merakam video dengan skema warna Dolby Vision HDR serta mod ProRes untuk rakaman 4K 30fps.

    Apple mengatakan bateri iPhone 13 Pro boleh bertahan selama 1.5 jam lebih panjang berbanding iPhone 12 Pro, manakala untuk iPhone 13 Pro Max pula lebih lama selama 2.5 jam berbanding iPhone 12 Pro Max.

    Berikut adalah senarai harga untuk siri iPhone 13:

    • iPhone 13 mini (128GB): RM3,399
    • iPhone 13 mini (256GB): RM3,899
    • iPhone 13 mini (512GB): RM4,799
    • iPhone 13 (128GB): RM3,899
    • iPhone 13 (256GB): RM4,399
    • iPhone 13 (512GB): RM5,299
    • iPhone 13 Pro (128GB): RM4,899
    • iPhone 13 Pro (256GB): RM5,399
    • iPhone 13 Pro (512GB): RM6,299
    • iPhone 13 Pro (1TB) : RM7,199
    • iPhone 13 Pro Max (128GB): RM5,299
    • iPhone 13 Pro Max (256GB): RM5,799
    • iPhone 13 Pro Max (512GB): RM6,699
    • iPhone 13 Pro Max (1TB) : RM7,599

    Layari laman web Apple Malaysia untuk maklumat lanjut tentang telefon ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    DJI Osmo Pocket 4P dilancar: Kamera poket pertama dengan dwi-kamera dan zum optikal 3x

    DJI secara rasmi melancarkan Osmo Pocket 4P iaitu kamera gimbal poket pertama mereka yang hadir dengan dua kamera utama selepas pelancaran Osmo...

    HONOR X80 Pro Max tertiris – Bateri 11,000mAh, telefon pertama dengan SD 6 Gen...

    HONOR nampaknya bersedia meneruskan trend bateri besar untuk siri pertengahan mereka apabila khabar angin terbaharu mendakwa HONOR X80 Pro Max akan hadir...

    LRT3 dijangka mula operasi menjelang penghujung bulan ini

    Selepas beberapa kali mengalami perubahan jadual operasi sebelum ini, projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kini dilihat semakin hampir untuk menerima penumpang...

    Pengecasan EV kini lebih “autopilot” dengan lengan robot baharu Xiaomi

    Xiaomi Auto memperlihatkan teknologi baharu dikenali sebagai lengan robot pengecas yang direka untuk mengautomasikan proses pengecasan kenderaan elektrik (EV) di rumah. Produk...

    Waze akhirnya tambah ciri lampu isyarat dalam navigasi – Dilancar secara berperingkat

    Waze dilaporkan mula melancarkan ciri baharu yang memaparkan lokasi lampu isyarat secara terus pada paparan navigasi aplikasi tersebut. Ciri tersebut sebelum ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...