SNS Network Technology Berhad hari ini mengumumkan kerjasama dengan NVIDIA untuk melancarkan pusat perkhidmatan infrastruktur AI awanan (AI cloud) di Malaysia yang diuruskan sepenuhnya oleh pekerja tempatan. Pusat ini menggunakan 64 unit pemprosesan grafik NVIDIA Hopper dalam lapan pelayan Dell PowerEdge XE9680 (AI Factory) dengan rangkaian NVIDIA Quantum-2 InfiniBand dan perisian NVIDIA AI Enterprise.
Pusat ini terletak di Pusat Data Lembah Klang (KVDC) di Cyberjaya dan akan mendedikasikan 50% daripada kapasiti pengkomputeran pantas ini untuk tugas-tugas komersial, manakala baki 50% akan digunakan untuk aktiviti yang membesarkan penggunaan AI, seperti aktiviti Proof of Concept (POC), latihan industri, bengkel dan lain-lain.
SNS Network menyediakan AI Factory ini dengan model GPU-as-a-Service (GPUaaS) bagi meningkatkan penggunaan AI dalam kalangan perniagaan-perniagaan di Malaysia, serta menggalakkan pembesaran AI dan pembangunan bakat melalui program latihan dan aktiviti POC.

SNS Network merancang untuk menyediakan pilihan langganan yang fleksibel bagi memenuhi keperluan yang pelbagai oleh industri yang menggunakan AI, disokong oleh pelayan Dell PowerEdge dengan pengkomputeran maju NVIDIA.
Selain itu, SNS Network akan turut memperkenalkan penilaian AI Readiness Assessment dan perkhidmatan POC untuk pelanggan-pelanggan yang layak. Penilaian ini akan menyediakan rancangan khas bagi pemindahan yang lancar kepada aliran kerja berdasarkan AI dalam platform GPUaaS oleh SNS Network.
Memandangkan pusat data ini terletak dalam Malaysia, ia dilindungi oleh undang-undang privasi data dan keselamatan tempatan. Ia juga membenarkan para pembangun teknologi untuk mendapatkan infrastruktur AI yang canggih tanpa perlu berbelanja besar, serta membenarkan fleksibiliti kepada pembangun untuk menskalakan keperluan pengkomputeran mereka.
Para pelanggan yang berminat boleh dapatkan langganan GPUaaS untuk tempoh bulanan atau tahunan, atau tempahan khas selama satu hingga tiga tahun. Langganan bulanan bermula pada RM35,000 untuk setiap NVIDIA Hopper GPU, sehingga RM240,000 untuk pelayan Dell XE9680 yang dilengkapi lapan NVIDIA Hopper GPU.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







