Sony Malaysia secara rasmi melancarkan fon telinga wayarles premium WF-1000XM6 untuk pasaran tempatan dengan keupayaan pembatalan hingar aktif (ANC) terbaik Sony setakat ini yang menggunakan pemacu audio 8.4mm bersama gabungan cip HD Noise Cancelling Processor QN3e, Integrated Processor V2, Multi Noise Sensor serta Adaptive NC Optimiser.
Menurut Sony, ia mampu memberikan peningkatan kira-kira 25% prestasi ANC berbanding generasi terdahulu. WF-1000XM6 menyokong Multipoint Connection untuk pertukaran automatik antara peranti, Bluetooth 5.3, teknologi peningkatan audio DSEE Extreme serta sokongan julat frekuensi 20 Hz hingga 20,000 Hz pada pensampelan 44.1 kHz dan sehingga 40,000 Hz melalui codec LDAC pada 96 kHz 990 kbps.
Ia turut dilengkapi sensor bone conduction dan sistem mikrofon berbilang untuk penapisan bunyi serta kualiti panggilan yang lebih baik. Setiap unit fon telinga mempunyai berat sekitar 6.5 gram dan menawarkan sehingga lapan jam penggunaan berterusan dengan ANC diaktifkan manakala bekas pengecas menyediakan jumlah penggunaan keseluruhan sehingga 24 jam.
Masa pengecasan sekitar 1.5 jam untuk fon telinga dan dua jam untuk untuk kotak pengecas. Kotak pengecas pula menyokong pengecasan tanpa wayar dan USB selain dilengkapi penarafan kalis percikan air IPX4. WF-1000XM6 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan platinum silver untuk pasaran Malaysia.

Ia ditawarkan pada harga rasmi RM1,599 dengan harga tempahan diperkenalkan pada RM1,249 iaitu diskaun sekitar 21% untuk tempoh terhad selagi stok masih ada. Penghantaran dijadual bermula 3 Mac 2026. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






