Sony mengumumkan penamatan pengeluaran cakera permainan fizikal untuk semua permainan baharu di platform PlayStation bermula Januari 2028. Keputusan ini bermakna setiap permainan baharu yang dilancarkan selepas tarikh tersebut hanya boleh didapati dalam bentuk digital melalui PlayStation Store atau kod digital daripada peruncit lain.
Peraturan baharu ini tidak terpakai bagi permainan yang sudah berada di pasaran atau yang akan dilancarkan sebelum Januari 2028. Keputusan ini didorong oleh trend industri hiburan semasa serta pilihan pengguna. Menurut Sony, sebahagian besar komuniti pemain mereka kini lebih gemar membeli permainan secara digital.


Kewujudan cakera fizikal membolehkan pengguna berkongsi, memindahkan atau menjual semula permainan selain membolehkan peruncit luar talian menawarkan potongan harga mengikut kehendak mereka. Ia juga sebelum ini menjamin pemilikan penuh bagi membolehkan permainan dimainkan pada bila-bila masa tanpa perlu bergantung kepada kedai dalam talian.
Walau bagaimanapun, industri sebelum ini telah mula mengurangkan nilai cakera fizikal dengan tidak melancarkan versi fizikal atau menyediakan versi tidak lengkap di dalam cakera yang memerlukan muat turun dalam talian. Bersama-sama pengumuman ini, Sony turut mengesahkan penutupan PlayStation Store untuk konsol PS3 dan PS Vita bermula tahun ini.

Walaupun muat turun untuk pembelian sedia ada masih dibenarkan buat masa ini, pembelian baharu akan dihentikan sepenuhnya dan Sony hanya menjamin akses tersebut untuk tempoh yang tidak ditetapkan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Sony







