Sony telah melancarkan telefon pintar andalannya (flagship) yang terbaru iaitu Sony Xperia 1 VI. Seperti telefon-telefon Xperia 1 sebelum ini, ia mempunyai pelbagai fungsi yang dikhaskan untuk fotografi dan satu fungsi baharu dalam Xperia 1 VI adalah kebolehan zumnya yang lebih jauh berbanding generasi sebelumnya.
Kamera Xperia 1 VI mempunyai tiga lensa iaitu kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto 12MP yang mempunyai jarak fokal 85-170mm. Ini bermaksud ia boleh membuat zum optikal sejauh 7.1x, manakala mod telephoto macro pula boleh mempunyai pembesaran maksimum sebanyak 2x untuk fokus yang lebih dekat sewaktu mengambil gambar makro.
Selain itu, ia mempunyai penjejakan autofokus AI yang boleh mengecam muka manusia bagi memastikan fokus yang boleh diharap. Aplikasi kamera dalam Xperia 1 VI juga telah dikemas kini untuk memaparkan antara muka yang lebih mesra pengguna dan menawarkan fungsi tambahan seperti Creative Look, fungsi tambahan dalam mod Pro Video dan banyak lagi.





Di bahagian sisi, ia mempunyai butang shutter yang lebih besar bagi memudahkan akses pantas kepada kameranya.
Skrinnya pula berukuran 6.5 inci, resolusi 1080×2340, kadar 120Hz dan mempunyai teknologi OLED yang serupa dengan BRAVIA TV untuk menghasilkan kualiti warna yang cantik. Nampaknya Sony telah mengabaikan skrin 4K yang digunakan pada Xperia 1 V sebelum ini dan sekarang sekadar menggunakan skrin 1080p sahaja.
Sewaktu menggunakan di bawah cahaya matahari terik pula, ia mempunyai fungsi Sunlight Vision yang boleh meningkatkan kecerahan maksimum sebanyak 1,300 nits atau 1.5 kali ganda lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya.
Untuk audio, telefon ini mempunyai pembesar suara stereo dan bicu audio 3.5mm jika anda lebih gemar gunakan fon telinga berwayar. Jika anda menggunakan fon telinga wayarles, anda boleh aktifkan Advanced Audio Coding (AAC) untuk tingkatkan kualiti audio.
Daripada segi spesifikasi dalaman, ia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 untuk prestasi taraf andalan pada 2024, bateri berkapasiti 5,000mAh dan modem Wi-Fi 7.



Sony Xperia 1 VI akan dilancar untuk pasaran Malaysia pada bulan Julai 2024. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






