Technics Malaysia telah melancarkan dua model fon telinga wayarles premium baharu iaitu Technics EAH-AZ80 dan Technics EAH-AZ60M2. Kedua-dua fon telinga ini menampilkan pelbagai fungsi canggih untuk kualiti audio yang terbaik daripada Technics setakat ini.
Model flagship EAH-AZ80 dilengkapi diafragma aluminium 10mm yang menghasilkan bunyi terbaik untuk fon telinga Technics, di mana ia melanjutkan respons frekuensi tinggi dan rendah, serta pada masa yang sama mengurangkan herotan dan resonans yang tidak diingini.
EAH-AZ80 dan EAH-AZ60M2 mempunyai kamar kawalan akustik yang mengoptimakan aliran udara untuk vokal yang lebih jelas, bass yang lebih mendalam dan harmoniser yang boleh melincirkan treble.
Kedua-dua model menyokong teknologi High-Resolution Audio Quality dengan Bluetooth dan LDAC, serta menawarkan teknologi pembatalan hingar Dual Hybrid Noise Cancelling Technology untuk mengurangkan bunyi bising daripada persekitaran pemakai. Aplikasi Technics Audio Connect boleh digunakan untuk menyesuaikan pembatalan hingar terbaik dengan bentuk telinga pemakai.
Fon telinga ini juga boleh dihubungkan sehingga tiga peranti serentak melalui hubungan Bluetooth. Sewaktu membuat panggilan telefon pula, ia mempunyai lapan mikrofon dengan teknologi JustMyVoice yang boleh merakam suara pemakai dengan jelas sambil membatalkan bunyi persekitaran untuk kualiti panggilan yang lebih baik.
Sewaktu pembatalan hingar dimatikan, ia turut mempunayi dua mod Ambient Sound, iaitu Natural Ambient yang akan menangkap semua bunyi persekitaran, dan Attention Mode yang akan mengutamakan suara manusia supaya pemakai tidak terlepas suara penting seperti pengumuman di lapangan terbang atau seruan daripada ahli keluarga.
Baterinya boleh bertahan sehingga 25 jam apabila pembatalan hingar dimatikan, atau sehingga 24 jam jika ia dihidupkan. Untuk pengecasan, ia menyokon Qi Wireless Charge.
Fon telinga ini turut mempunyai sensor yang boleh menjedakan muzik jika ia dicabut daripada telinga. Untuk perlindungan, badan fon telinga ini mempunyai rating kalis air dan debu IPX4.
Technics EAH-AZ80 akan dijual pada harga RM1,599 manakala Technics EAH-AZ60M2 akan dijual pada harga RM1,299. Ia boleh dibeli dari kedai All IT Hypermarket dan Best Denki, atau daripada laman web Panasonic Malaysia, Lazada (laman rasmi Panasonic) dan Shopee (laman rasmi Panasonic).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.










