fbpx
More

    Telefon mantap dengan faktor ‘wow’ yang kurang – OPPO A74 4G

    Telefon berharga bawah RM1000 sememangnya adalah antara julat harga kegemaran ramai. Kini, harga telefon pintar menjadi semakin rendah dan hadir dengan spesifikasi yang semakin mantap. Kali ini, kami ingin mengulas OPPO A74 4G yang hadir dengan tanda harga RM899 untuk RAM 6GB dan storan 128GB. Perlu diberitahu, OPPO A74 mempunyai dua versi berbeza iaitu OPPO A74 4G dan OPPO A74 5G. Kami telah memerhati dan menggunakan peranti ini selama beberapa minggu. Adakah berbaloi dengan harganya? Mari baca ulasan penuh di bawah.

    Reka bentuk – Ringkas dan elegan

    Sebenarnya, OOPO A74 tidaklah mempunyai reka bentuk yang memukau. Jika dilihat pada panel belakangnya, ia nampak sangat ringkas dengan modul kamera yang standard dan sebuah logo OPPO di bawahnya. Modul kameranya mempunyai tulisan ’48MP AI Camera’ yang menempatkan tiga kamera dan sebuah lampu kilat LED. Bonggolan modul kameranya juga rendah dan ia menambahkan lagi ke’ringkas’an telefon pintar ini. Panel belakangnya diperbuat dari binaan plastik (mungkin polikarbonat) dan ia hanyalah memantulkan cahaya sedikit apabila dilihat dari sudut tepi.

    OPPO A74 4G memang sedap dipegang kerana panel belakangnya dilengkukkan pada bahagian hujung. Tambahan lagi, dengan rangka yang nipis dan berat sehingga 175g, ia lebih mudah untuk dibawa tanpa membebankan tangan anda. Pada bahagian hadapan pula, ia menggunakan reka bentuk yang sama seperti kebanyakan telefon pintar kelas pertengahan iaitu dengan potongan punch hole pada atas kiri skrin. Telefon ini juga masih hadir dengan bezel yang tebal terutamanya pada bahagian dagu.

    Pada sisi kanan, ia mempunyai butang kuasa manakala pada kirinya adalah butang kawalan suara. Kami merasakan butang kawalan suara yang berasingan seperti ini adalah lebih mudah dan lebih sedap untuk ditekan. Ia juga hadir dengan slot kad SIM yang boleh menempatkan dua kad SIM dan satu kad microSD untuk storan tambahan pada masa yang sama.

    Pada bawahnya pula, ia masih mengekalkan bicu audio 3.5mm (masih lagi relevan untuk telefon kelas pertengahan). Port USB-C juga tersedia disebelah pembesar suaranya.

    Spesifikasi penuh dan ciri istimewa

    Untuk harga RM899, kami merasakan sepesfikasinya cukup mantap dan sesuai dengan harga yang ditawarkan. Berikut adalah spesifikasi penuh OPPO A74 4G.

    • Skrin 6.43 inci AMOLED FHD+, nisbah aspek 20:9, kecerahan 600 nits
    • Sensor cap jari dalam skrin jenis optikal
    • Cipset Snapdragon 662 (11nm), Adreno GPU 610
    • RAM 6GB + storan 128GB
    • Bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 33W
    • Kamera utama 48MP f/1.7 + kamera makro 2MP f/2.4 + sensor kedalaman 2MP f/2.4
    • Kamera swafoto 16MP f/2.4
    • Kebolehan rekod video sehingga 1080p 30fps
    • Dimensi : 160.3 x 73.8 x 7.95mm, Berat : 175g
    • Antara muka ColorOS 11.1 atas perisian Android 11
    • Pilihan warna Midnight Blue & Prism Black

    Bercakap mengenai skrinnya, OPPO A74 4G menggunakan skrin AMOLED 6.43 inci beresolusi FullHD+. Setelah menggunakan untuk beberapa minggu, kami merasakan warna skrinnya pekat dan mempunyai sudut pandangan dan ketepatan warna yang baik. Kecerahannya juga baik terutamanya jika anda menggunakan peranti ini di tempat yang tertutup (contoh di bilik).

    Skrin AMOLED yang cantik

    Namun begitu, skrin OPPO A74 tidak hadir dengan ciri kadar segar semula yang tinggi. Jika anda tidak mengikuti perkembangan telefon pintar masa kini, kadar segar semula yang tinggi pada skrin adalah antara tarikan terkini pada telefon pintar. OPPO A74 hanyalah menggunakan kadar segar semula 60Hz yang standard dan ini sedikit mengecewakan kerana kini sudah banyak telefon pintar harga bawah RM1000 menawarkan skrin dengan kadar segar semula yang tinggi (ada yang setinggi 120Hz).

    Selain itu, OPPO A74 dilengkapi sensor cap jari bawah skrin. Sensor cap jari ini jenis optikal dan ia dapat mengesan jari anda dengan pantas. Namun, kami merasakan kedudukannya mungkin sedikit rendah dan anda perlu meregangkan jari untuk mencapai sensor tersebut.

    Sensor cap jari optikal yang pantas

    Untuk antara muka ColorOS 11 pula, kami merasakan ia cukup mudah untuk digunakan. Ia hadir dengan App Drawer yang sinonim dengan perisian Android 11, namun ia tidak hadir dengan Google Discover Feed. Pengulas cukup meminati Google Discover Feed yang selalunya ada pada kiri halaman utama.

    Selain itu, ColorOS 11 ini juga mempunyai beberapa perisian remeh (bloatware) seperti App Market, Hot Apps dan lain-lain. Yang menarik, ColorOS 11 kini membolehkan pengguna mengubah bentuk ikon, warna dan tulisan pada tetapan personalization.

    OPPO A74 mempunyai tiga kamera pada bahagian belakang dengan kamera utama 48MP. Sedikit pelik, ia tidak hadir dengan kamera ultra lebar yang seharusnya diletakkan pada telefon pintar berharga RM899 ini. Selain kamera utama, ia hadir dengan kamera makro 2MP dan sensor kedalaman 2MP. Kamera peranti ini juga menyokong ciri mod malam, ciri potret, panorama, time-lapse dan juga mod Pro yang menawarkan pengendalian kamera yang lebih terperinci.

    Dari segi antara muka, sususan tetapan kameranya mudah untuk digunakan dengan butang shutter yang ringkas. Pada mod gambar, anda boleh zum sehingga 5x namun ia hanyalah zum digital sahaja kerana peranti ini tidak mempunyai sebarang kamera telefoto. Ciri kecantikan juga anda boleh digunakan pada mod gambar dan mod video.

    OPPO A74 hadir dengan RAM setinggi 6GB dan storan 128GB. Namun jangan risau kerana untuk RAM, anda boleh menambah RAM secara virtual menggunakan ciri RAM expansion (anda boleh menambah sehingga 5GB RAM!).

    Ia dapat memudahkan anda untuk multi-tasking dengan lebih selesa kerana ia membesarkan ruangan aplikasi stanby di ruangan latar belakang. Untuk storan pula, anda boleh menambah storan menggunakan kad microSD.

    Prestasi – Cukup mantap tapi tidak istimewa

    Pertama sekali, kami ingin mengulas mengenai prestasi cipset yang digunakan. OPPO A74 menggunakan cipset Snapdragon 662, cipset kelas pertengahan yang sering kali digunakan pada peranti mampu milik. Sepanjang penggunaan peranti ini, cipset Snapdragon 662 dapat menyokong penggunaan harian dengan baik. Pembukaan aplikasi media sosial dan proses penangkapan gambar terasa lancar tanpa sebarang sela masa yang ketara.

    Namun begitu, GPU cipset ini agak lemah dan anda akan terasa apabila membuka aplikasi berat seperti game PUBG. Melihat kepada tetapan game, ia hanya mampu menyokong sehingga tetapan rendah sahaja. Kami merasakan ianya kurang sesuai untuk bermain game yang berat pada jangka masa yang lama.

    Jika dibandingkan kepada telefon jenama lain pada tanda harga yang sama, terdapat banyak pilihan lain yang menawarkan prestasi GPU yang jauh lebih baik. Berikut adalah hasil penanda aras yang telah dilakukan pada peranti ini. (OPPO A74 adalah penjenamaan semula kepada OPPO F19 yang dilancarkan di pasaran lain).

    Sekarang, kita sentuh mengenai prestasi bateri pula. Secara menyeluruh, kami berpuas hati dengan prestasi baterinya. OPPO A74 dilengkapi dengan bateri 5,000mAh yang cukup besar dan mampu bertahan selama 2 hari (bergantung penggunaan anda). Selain dari itu, anda juga boleh memanjangkan lagi hayat bateri dengan mod Power saving dan mod Super power saving. Apa yang lebih menarik adalah pengecasan pantasnya 33W Flash Charge. Teknologi ini dapat mengecas penuh peranti ini dengan masa 75 minit sahaja.

    Seperti yang kami beritahu tadi, OPPO A74 mempunyai 3 kamera pada bahagian belakang dan satu kamera swafoto. Untuk kamera utama 48MP nya, ia dapat menghasilkan gambar yang cukup baik. Warna gambar nampak natural dan mempunyai butiran yang banyak. Apa yang kami perasan adalah warna hitam dalam gambarnya nampak pekat dan menjadikan gambar sedikit gelap. Namun begitu, ia masih mempunyai kawalan cahaya yang baik.

    Untuk gambar zum pula, kami merasakan gambar zum 2x masih boleh digunakan kerana ia masih mengekalkan butiran dan kualiti yang memuaskan. Untuk zum 5x, butiran gambar sudah nampak kurang baik. Gambar makronya pula mempunyai butiran yang rendah dengan kawalan cahaya yang tidak konsisten.

    Jika anda suka menangkap gambar pada waktu malam, kamera OPPO A74 dapat menghasilkan gambar yang baik dengan kawalan cahaya yang mantap. Namun, jika dilihat dengan dekat, gambar waktu malamnya mempunyai noise yang agak tinggi, walaupun ditangkap menggunakan mod malam.

    Untuk kamera swafoto pula, OPPO A74 dapat menghasilkan gambar selfie yang cukup baik. Jika anda mengaktifkan HDR pada tetapan, ia dapat mengawal cahaya dengan lebih baik dan tidak nampak terlalu cerah atau terlalu gelap. Butiran gambar masih terjaga namun, potongan bokeh nya kurang baik terutama pada rambut pengulas yang agak ‘serabut’.

    Dari segi kualiti videonya, OPPO A74 dapat menghasilkan video 1080p yang baik dengan warna yang sedikit pekat. Video yang diambil oleh pengulas dilihat sedikit gegar kerana ia tidak hadir dengan sebarang penstabilan imej.

    Kesimpulan

    Setelah menggunakan peranti ini selama beberapa minggu, kami merasakan harga RM899 adalah harga yang cukup sepadan dengan spesifikasinya. Namun, jika dibandingkan dengan pesaingnya, peranti ini kurang menyengat dan tidak mempunyai faktor istimewa yang banyak. Reka bentuknya nampak ringkas, cipsetnya kurang mantap dan kameranya kehilangan kamera ultra lebar. Walaupun begitu, jika anda meminati peranti jenama OPPO dan inginkan telefon pintar yang mudah untuk dipakai dengan spesifikasi yang sederhana, anda boleh membelinya.

    Namun, jika anda mencari telefon pintar dengan prestasi yang lebih mantap, anda boleh melihat kepada POCO X3 Pro yang mempunyai prestasi lebih 3x dari telefon ini. Manakala jika anda suka mengambil gambar dan inginkan ciri teknologi yang baru, anda boleh meilihat pada Redmi Note 10 Pro yang mempunyai kamera 108MP serta skrin AMOLED 120Hz.

    Adakah anda berpuas hati dengan ulasan kami? Berikan ulasan anda pula di Facebook dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula...

    HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci...

    HONOR MagicBook X 16 2024 rasmi di Malaysia dengan Intel i5-12450H, skrin 16″ berharga...

    Selain telefon pintar dan tablet, komputer riba HONOR MagicBook X 16 2024 juga dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Ia dilengkapi dengan pemproses Intel...

    Shopee lancarkan program Jaminan Tepat Masa untuk penghantaran barang bermula 6 Mei ini

    Shopee akan melancarkan inisiatif terbaharunya, program Jaminan Tepat Masa yang bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kebolehpercayaan penghantaran untuk pembeli dalam talian.

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X