Samsung Electronics telah mengumumkan perubahan kepimpinan dalam syarikat berikutan pemergian Han Jong-hee minggu lalu. Ketua perniagaan Mobile eXperience (MX) Samsung, TM Roh, kini dilantik sebagai Pemangku Ketua Bahagian Device eXperience (DX).
Selain itu, beberapa eksekutif lain turut diberikan peranan baharu. Won-joon Choi dinamakan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) bahagian MX dan akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Pejabat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) serta Ketua Pasukan Operasi Global bahagian tersebut.
Sementara itu, Cheolgi Kim dilantik sebagai Ketua Bahagian Peralatan Digital. Samsung juga telah melantik Mauro Porcini sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Rekaan (Chief Design Officer). Sebelum menyertai Samsung, Porcini pernah berkhidmat di Pepsi dan 3M.
Dalam kenyataan rasmi, Samsung menyatakan bahawa penambahan Porcini akan memperkukuh keupayaan reka bentuk syarikat merentasi semua bidang perniagaan termasuk peranti mudah alih, televisyen dan peralatan rumah. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung






