Perkhidmatan media sosial Twitter kini sedang membangunkan dua fungsi baru iaitu Trusted Friends dan Facets, di mana kedua-dua fungsi ini bertujuan untuk membantu pengguna menghadkan bilangan orang yang boleh membaca ciapan mereka.
Trusted Friends membenarkan pengguna untuk memilih pengikut-pengikut mereka yang dibenarkan untuk membaca ciapan tertentu. Fungsi ini nampak serupa seperti Close Friends di dalam Instagram, di mana pengguna boleh mengumpulkan rakan-rakan rapat dalam satu kumpulan khas dan kandungan yang dikongsi dengan fungsi ini hanya boleh dilihat oleh mereka yang berada dalam kumpulan tersebut.
Facets pula membenarkan pengguna untuk mengkategorikan ciapan mereka berdasarkan topik minat, hobi ataupun kerja. Ini akan memudahkan pengguna untuk menentukan sama ada ciapan mereka boleh dibaca oleh pengguna awam atau hanya pengikut tertentu yang berminat dengan kategori ditentukan.

Twitter juga mengatakan pengguna akan boleh mengikut satu akaun berdasarkan ciapan tentang topik-topik tertentu sahaja dan bukannya seluruh ciapan yang ditulis oleh akaun tersebut.
Di samping itu, pengguna juga bakal boleh menghalang beberapa perkataan yang tidak dikehendaki dalam balasan kepada ciapan mereka. Dalam sebuah demonstrasi oleh Twitter, jika seseorang cuba membalas (reply) kepada satu ciapan dengan perkataan “asshole”, perkataan tersebut akan diterangkan (highlighted) dan penulis perkataan tersebut akan diberikan amaran. Penulis reply masih boleh menulis perkataan itu dalam ciapannya, namun penulis ciapan asal berhak untuk membuang reply dengan perkataan tersebut.

Walau bagaimanapun, Twitter mengatakan fungsi-fungsi ini masih berada dalam fasa pembangunan awal dan mereka mengharapkan pengguna boleh memberi maklum balas tentangnya sekarang. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Verge








