fbpx
More

    Ulasan Acer Nitro 5 – Komputer riba “gaming” terbaik untuk dompet anda

    Dalam industri komputer riba gaming, Acer terkenal dengan produk bermutu tinggi seperti Predator Helios dan Predator Triton yang boleh menjana prestasi terpantas dengan reka bentuk premium. Walau bagaimanapun, jika anda tidak mempunyai dompet yang tebal untuk membeli komputer tersebut, Acer masih menawarkan produk yang sesuai dengan bajet anda iaitu Acer Nitro 5.

    Sejak beberapa tahun lalu, siri Acer Nitro terkenal sebagai komputer riba gaming yang lebih mampu milik namun tidak berkompromi daripada segi prestasi. Acer Nitro 5 yang baru dilancar di Malaysia pada April lalu meneruskan tradisi tersebut, dengan harga bermula daripada RM3,699 untuk spesifikasi terendah. Jadi adakah komputer ini bakal menjadi mesin gaming yang sempurna untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Daripada luar, Acer Nitro 5 memang menunjukkan bahawa ia adalah sebuah komputer riba khas untuk kegunaan gaming. Ia mempunyai pelbagai garisan agresif yang menunjukkan estetika gamer manakala bahagian belakangnya yang berwarna merah menghasilkan imej “garang”, seolah-olah ingin menonjolkan kebolehannya untuk menewaskan musuh dalam game. Oleh yang demikian, Nitro 5 mungkin nampak aneh jika ia digunakan dalam suasana profesional seperti pejabat. Selain itu, rekaannya juga tidak banyak berubah berbanding model tahun lepas.

    Walaupun begitu, dimensi komputer ini tidak sebesar kebanyakan komputer riba gaming lain. Dengan ketebalan sekitar 23.9mm, kelebaran 363.44mm dan ketinggian skrin 255mm serta berat 2.30kg, ia masih boleh dimasukkan ke dalam beg dan mudah untuk dibawa ke mana-mana.

    Badan keseluruhannya dibuat daripada plastik dengan sudahan pusam (matte) dan nampak serupa dengan komputer riba biasa. Ia mungkin akan mengecewakan penggemar komputer riba gaming, namun ini adalah satu kompromi yang anda harus terima untuk mendapatkan harga yang mampu milik ini. Mutu buatannya adalah kukuh walaupun skrinnya boleh dibengkokkan (flex) sedikit.

    Daripada segi port input output (I/O), komputer ini menawarkan port yang lengkap untuk kegunaan harian seperti dua port USB-A 3.2 Gen 1, satu port USB-A 3.2 Gen 2, satu port USB-C 3.2 Gen 2. HDMI 2.0, gigabit ethernet dan bicu audio 3.5mm. Soket untuk pengecas pula diletakkan pada bahagian belakang komputer, memudahkan anda untuk menguruskan kabel dengan lebih kemas. Ia tidak mempunyai pembaca kad SD jadi ini mungkin akan mengecewakan penggiat fotografi dan video.

    Papan kekunci Nitro 5 mempunyai pencahayaan RGB dengan corak bergerak yang boleh dilaraskan mengikut cita rasa anda dalam perisian Nitrosense. Selain itu, kekunci WASD serta arah (arrow keys) mempunyai garisan luaran berwarna putih yang menonjolkan lagi sifat “gaming” komputer ini. Daripada segi penggunaan, papan kekunci ini sangat selesa digunakan dan tidak menghasilkan bunyi yang terlalu bising. Pad sentuh juga adalah amat responsif dan mempunyai saiz yang besar.

    Kini mari kita lihat prestasi yang boleh dihasilkan oleh komputer ini. Varian yang kami terima dilengkapi pemproses AMD Ryzen 9 5900HX 3.3GHz, unit pemproses grafik (GPU) NVIDIA GeForce RTX 3080 Laptop GPU dengan GDDR6 VRAM 8GB, RAM 16GB dan storan NVMe PCIe SSD 1TB. Ini adalah cipset komputer riba tercanggih daripada AMD dan NVIDIA, jadi ia memang boleh memainkan sebarang game terkini dengan grafik tertinggi dan kadar bingkai yang sekata.

    Walaupun ia dilengkapi RTX 3080, jumlah kuasa grafik (total graphics power, TGP) komputer ini adalah dalam jurang rendah iaitu setakat 85W sahaja. Menurut spesifikasi NVIDIA, RTX 3080 Laptop GPU boleh dibekalkan dengan TGP sekitar 80W hingga 150W. Memandangkan jumlah TGP yang dibekalkan kepada RTX 3080 dalam Nitro 5 adalah agak rendah, ia akan dikalahkan oleh GPU lain yang lebih bawah (seperti RTX 3070 atau 3060) jika mereka diberikan TGP yang lebih tinggi.

    Perisian Nitrosense yang disediakan dalam komputer ini juga adalah amat berguna. Anda boleh menetapkan kelajuan kipas dalaman (Fan Control), penggunaan tenaga (Power Plan), corak pencahayaan RGB pada papan kekunci dan frekuensi audio dalam Acer TrueHarmony. Anda juga boleh meneliti suhu dan beban (loading) yang dijana oleh CPU dan GPU serta kelajuan kipas dalaman. Kalau anda mahukan penyejukan maksimum, anda boleh tetapkan Fan Control kepada mod Max di mana kipas akan diputarkan pada kelajuan tertinggi namun akan menghasilkan bunyi yang sangat bising, mengingatkan saya kepada pembersih vakum.

    Dalam ruangan Power Plan, anda boleh pilih mod High Performance jika anda ingin komputer ini menghasilkan prestasi sebaik mungkin, namun saya berpendapat bahawa anda boleh tetapkan sahaja pada mod Balance [Acer Optimized] di mana komputer ini akan meninggikan prestasi secara automatik jika ia mendapati anda sedang mengakses perisian berkuasa tinggi seperti game. Dalam ujian penanda aras, tiada perbezaan yang ketara daripada segi prestasi di antara mod High Performance atau Balance [Acer Optimized].

    Menghasilkan markah yang agak bagus dalam 3DMark, namun tiada perbezaan ketara di antara mod High Performance atau Balance [Acer Optimized]
    Markah yang agak tinggi untuk kegunaan produktiviti dan tugas harian

    Skrin komputer ini mempunyai resolusi Quad HD (2560×1440, nisbah aspek 16:10) yang semakin menjadi trend dalam komputer riba gaming pada tahun ini, serta kadar segar semula 165Hz. Biasanya, komputer riba gaming bajet dilengkapi skrin yang tidak cantik bagi mengekalkan harga yang rendah, namun Nitro 5 mampu menawarkan skrin berkualiti tinggi dengan gamut warna sRGB 100% yang boleh menghasilkan warna sangat cantik untuk filem dan game anda.

    Jadi adakah segala aspek komputer ini menghasilkan prestasi yang bagus? Sebenarnya selain daripada prestasi tinggi yang disebutkan tadi, tidak banyak yang boleh dikatakan tentang aspek lain dalam Acer Nitro 5. Bateri dalam komputer ini mempunyai spesifikasi 57Wh dan ia boleh bertahan sekitar empat jam dalam mod Power Saver. Ia bukanlah sesuatu yang menakjubkan, namun boleh dijangka untuk sebuah komputer riba gaming seperti ini. Daripada segi pengecasan pula, ia tidaklah begitu pantas di mana pengecasan penuh mengambil masa sekitar dua jam.

    Skrin Acer Nitro 5 menghasilkan warna yang sangat cantik, dengan gamut warna sRGB 100%

    Selain itu, pembesar suara pada komputer ini juga agak mengecewakan, di mana kelantangan pada tahap maksimum tidak begitu kuat. Malah, bunyi yang dihasilkan menjadi agak nyaring dan ‘pecah’ jika anda menetapkan pada tahap kelantangan tinggi. Untuk menikmati kualiti audio yang lebih jelas, lebih baik anda menggunakan fon telinga.

    Sungguh pun begitu, Nitro 5 yang telah dipinjamkan kepada saya tidak dapat mengesan fon telinga secara automatik sebaik sahaja ia dihubungkan melalui bicu audio 3.5mm. Saya perlu membuka perisian Realtek Audio Console, pergi ke ruangan Device Advanced Settings dan tetapkan Connector Retasking kepada Headphone. Walaupun ini bukan isu yang besar, ia adalah agak leceh dan saya berharap Acer bakal membaiki masalah ini.

    Saya perlu tetapkan sendiri dalam Realtek Audio Console jika ingin mendengar audio menggunakan fon telinga yang dihubungkan melalui bicu audio 3.5mm, kerana Nitro 5 gagal mengesannya secara automatik

    Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa Acer Nitro 5 adalah komputer riba yang sempurna buat mereka yang ingin bermain game tanpa perlu berbelanja besar dan sanggup berkorban dalam aspek estetika. Varian yang kami terima untuk ulasan ini (AN515-45-R49W) dijual pada harga RM8,999, namun anda tidak semestinya perlu mengeluarkan jumlah wang tersebut. 

    Pada pendapat saya, perkara paling menarik tentang siri Nitro 5 adalah kepelbagaian varian yang ditawarkan dalam jurang bajet yang luas. Acer Malaysia sendiri telah mengumumkan bahawa enam varian Nitro 5 akan dijual di sini, dengan harga bermula RM3,699. Oleh itu, anda boleh pilih sendiri varian yang sesuai untuk dompet anda.

    Spesifikasi Acer Nitro 5 (AN515-45-R49W)

    • CPU AMD Ryzen 9 5900HX
    • NVIDIA GeForce RTX 3080 Laptop GPU dengan VRAM 8GB
    • RAM DDR4 3200MHz 16GB (boleh dibesarkan dengan dua RAM 16GB)
    • Storan SSD PCIe NVMe 1TB
    • Skrin IPS 165Hz Quad HD (2560 x 1440) 15.6 inci, sRGB 100%
    • Bateri 57Wh, pengecas 180W
    • Dua port USB-A 3.2 Gen 1, satu port USB-A 3.2 Gen 2, satu port USB-C 3.2 Gen 2, HDMI 2.1, gigabit ethernet dan bicu audio 3.5mm
    • Webcam 720p
    • Dimensi: Ketebalan 23.9mm, lebar 363.4mm, tinggi 255mm
    • Berat 2.2kg

    Kebaikan: Prestasi tinggi dengan harga yang lebih murah berbanding jenama pesaing

    Keburukan: Binaan plastik, pembesar suara yang hambar, hayat bateri pendek

    Kesimpulan: Pilihan terbaik untuk gamer yang tidak ingin berbelanja besar dan tidak pentingkan rupa luaran yang cantik

     

    Artikel Terkini

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X