fbpx
More

    Ulasan Acer Swift 3X: Komputer riba ringan dan baik, jangka hayat bateri mantap

    Komputer riba siri Acer Swift sememangnya sinonim dengan ciri ringan dan berfokuskan produktiviti untuk golongan mudah alih. Baru-baru ini, Acer telah mengeluarkan Acer Swift 3x melalui konferens yang telah berlangsung, berharga RM3,799 di pasaran Malaysia.

    Komputer riba ini merupakan salah satu komputer riba yang dilengkapi pemproses Intel Core i7 Generasi Ke-11 dan grafik Intel Irix Xe yang menjanjikan prestasi, serta ketahanan bateri yang baik. Dengan segala ciri teknologi dan perkakas yang dimuatkan ke dalam komputer riba ini, realitinya adakah ia mampu berfungsi dengan baik? Ayuh baca ulasannya di bawah.

    Acer Swift 3x untuk tatapan anda
    Rekaan minimalis dengan sudahan matte

    Berkenaan spesifikasi, Acer Swift 3x memiliki rupa minimalis dengan sudahan pusam (matte). Permukaannya agak licin apabila disentuh. Lebih menarik, engsel komputer riba mempunyai tona warna biru kehijauan yang memberi daya penarik kepada rekaannya, berbanding dilitupi hanya satu warna.

    Untuk dimensi, komputer riba ini berukuran 322.8mm x 212.2mm (sedikit lebar berbanding kertas A4). Ia mempunyai ketebalan berukuran 17.95mm dan berat 1.37kg. Dengan ukuran sedemikian, komputer riba dan pengecas boleh dimuatkan ke dalam kebanyakan saiz beg dan selesa apabila dibawa.

    Anda boleh lihat jenama swift pada engsel komputer riba
    Bezel nipis di sekitar paparan
    Kamera HD kecil di bingkai atas paparan

    Walaupun engselnya agak kukuh dan meyakinkan anda bahawa ianya tidak akan rosak walaupun dengan penggunaan lasak, namun ia mempunyai kekurangan untuk dibuka sehingga 180 darjah. Perkara ini membuatkan penggunaannya agak janggal terutama jika anda meletakkannya di atas riba. Apabila komputer riba dibuka, perkara utama yang anda dapat lihat adalah bezel nipis dengan kamera web yang terletak di bahagian atas paparan.

    Papan kekuncinya dilengkapi pencahayaan belakang LED putih yang berguna jika anda membuat tugasan dalam keadaan gelap. Namun, terdapat kekurangan pada pad nombor. Acer memberi anda fungsi nombor tambahan pada papan kekunci jika anda menukar fungsinya melalui kekunci F12.

    Tiada pad nombor pada papan kekunci
    Fungsi nombor pad yang diintegrasikan berada di sebelah kanan papan kekunci
    Sensor cap jari kapasitif di bawah kekunci anak panah

    Selain itu, komputer riba ini hadir dengan sensor cap jari yang diintegrasikan dengan Windows Hello. Ini bermakna anda boleh log masuk ke Windows hanya dengan satu sentuhan jari. Mengenai kelengkapan port pula, ia dilengkapi satu port HDMI, dua port USB 3.2 Gen 1 Type-A, satu port USB 3.2 Gen 2 Type-C dan kombo nicu audio.

    Dengan kelengkapan port ini, Acer Swift 3x boleh disambungkan dengan papan kekunci lain, tetikus, fon kepala atau monitor untuk meningkatkan produktiviti anda. Namun, jika anda memerlukan port tambahan untuk menyambung peranti lain, anda boleh membeli USB Hub.

    Di sebelah kiri, terdapat port pengecasan, HDMI, USB Type-A dan USB Type-C
    Di sebelah kanan, terdapat port kombo bicu audio, port USB Type-A dan kekunci Kensington

    Beralih kepada spesifikasi teknologi, ia hadir dengan pemproses Intel Core i7-1165G7 Generasi Ke-11, grafik Intel Iris Xe, RAM sehingga 16GB dan storan utama SSD sehingga 512GB. Turut serta adalah paparan IPS 14 inci ComfyView dengan warna gamut NTSC 72% dan bateri 3815mAh yang mampu bertahan sehingga 14 jam (menurut Acer).

    Jika anda menginginkan varian tertinggi Swift 3x seperti apa yang ada di tangan kami, anda perlu mengeluarkan belanja sekitar RM5,499. Namun, jika anda tidak memerlukan spesifikasi tinggi, anda boleh mendapatkan varian yang lebih murah dengan pemproses Intel Core i5 Generasi Ke-11 dengan RAM 8GB.

    Mampu dapat marka 1470 di 3DMark

    Dari segi prestasi, komputer riba yang dioperasikan oleh grafik Intel Iris Xe ini mampu memperoleh markah 1470 di 3Dmark. Markah ini mungkin tidak cukup ideal untuk beberapa jenis game. Apa pun, Swift 3x mampu mengoperasikan Dota 2 pada tetapan tertinggi 60fps. Prestasinya agak baik walaupun ia hanya dioperasikan oleh pemproses grafik yang diintegrasi.

    Game Valorant juga agak sama dimana ia boleh menangani sekitar 60fps bersama tetapan tertinggi. Namun, anda mungkin mengalami pengalaman kadar bingkai jatuh dalam beberapa senario seperti apabila karakter mula terbang. Untuk Genshin Impact, ia agak tidak stabil apabila ditetapkan dalam tetapan tertinggi, terutama semasa melawan raksasa. Perkara ini dikaitkan dengan efek visualnya.

    Dota 2 boleh dimainkan dengan baik dalam tetapan maksimum sekitar 65fps
    Valoran boleh dimainkan dalam tetapan tertinggi 60fps sahaja
    Genshin Impact agak tidak stabil, terutama semasa pertempuran besar dengan raksasa

    Kelemahan pada komputer riba ini adalah suhunya yang agak panas dan menyebabkan ketidakselesaan untuk tugasan intensif seperti gaming atau pengeditan video. Secara spesifiknya, anda boleh merasa suhu yang panas pada sekitar pergelangan tangan di ruang bawah papan kekunci sebelah kanan. Selain gaming, komputer riba ini berfungsi dengan baik untuk kebanyakan tugasan melibatkan produktiviti seperti tugasan pejabat, pengeditan foto dan menghasikan muzik menggunakan stesyen audio digital.

    Papan kekuncinya selesa digunakan dan mempunyai tindak balas sentuhan yang baik untuk penaipan. Spesifiknya, cahaya belakang LED pada papan kekunci juga membantu melakukan tugasan dalam keadaan gelap. Berkenaan jangka hayat bateri, Acer menyatakan ia mampu bertahan sehingga 14 jam sebelum perlu dicas kembali. Namun, jangka hayat bateri sebenarnya bergantung kepada penggunaan komputer riba.

    Baik untuk pengeditan foto, tetapi tidak berapa baik untuk tugasan yang memerlukan ketepatan warna kerana paparan hanya menyokong warna gamut NTSC 72%
    Boleh edit fail video 1080p 60fps dengan baik, tetapi sedikit lag untuk fail 4K RAW

    Penciptaan kandungan seperti pengeditan video adalah bukti kemantapan Intel Iris Xe. Saya mampu menyelesaikan projek 1080p 60fps melalui platform Magix Vegas Pro 15 dengan lancar dan kelewatan (lag) yang sangat minimal. Pengekodan fail RAW kepada format tertentu seperti CineForm atau ProRes 422 juga lebih lancar dan pantas.

    Setelah memuat turun semua aplikasi yang saya sering gunakan seperti Discord, Google Chrome dan Spotify, saya mula menguji ketahanan bateri. Komputer riba hanya mampu bertahan sekitar 5 jam sebelum ia perlu dicas kembali. Ia boleh dicas menggunakan pengecas yang tersedia atau melalui power bank dengan kabel USB Type-C.

    Kesimpulannya, jika anda inginkan komputer riba ringan berfokuskan produktiviti, anda mungkin boleh mempertimbangkan varian Acer Swift 3x yang lebih murah Intel Core i5 yang berharga RM3,799. Namun, jika anda memerlukan prestasi yang lebih baik, anda boleh mendapatkan varian Intel Core i7 dengan harga bermula pada RM4,599.

    Sebagai alternatif lain, terdapat juga ASUS ZenBook 13 dan ZenBook 14 dalam segmen harga bermula pada RM3,999. Lenovo Yoga Duet 7i yang berharga RM4,299 juga pilihan yang baik dalam segmen komputer riba ringan yang menyokong stilus.

    Spesifikasi dan ciri teknologi

    • Pemproses Intel Generasi Ke-11 dengan grafik Intel iris Xe sehingga Intel Core i7
    • RAM sehingga 16GB, SSD 512GB
    • Paparan 14 inci IPS ComfyView IPS FHD
    • Berat 1.37Kg
    • Berukuran 322.8mm x 212.2mm x 17.95mm
    • 1x HDMI, 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C, slot kombo bicu audio, kekunci Kensington
    • Sensor cap jari kapasitif diintegrasikan bersama Windows Hello

    Kebaikan dan kelemahan

    Kebaikan – Komputer riba nipis dan ringan yang berfokuskan produktiviti, dengan jangka hayat bateri yang baik

    Kelemahan – Warna gamut NTSC pada paparan hanya 72% di mana ianya kurang ideal untuk tugasan yang memerlukan penghasilan warna tepat

    Kesimpulan – Mantap untuk pelajar atau golongan profesional yang sentiasa dalam keadaan mudah alih

     

    Artikel Terkini

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X