fbpx
More

    Ulasan Acer Swift X – Laptop kompak berkuasa tinggi untuk kerja kreatif

    Apabila kita bercakap tentang komputer riba ringan, kita sering mengandaikan bahawa jenama komputer riba akan cuba merendahkan prestasi komputer tersebut bagi menghasilkan produk akhir yang tidak terlalu berat. Siri komputer riba Acer Swift adalah sinonim dengan falsafah ini, namun dengan ketibaan Acer Swift X terbaru, penggguna tidak perlu lagi mengorbankan prestasi untuk mendapatkan komputer yang ringan.

    Komputer riba ini telah dilancarkan secara antarabangsa pada bulan Mei lalu dan ia mula dijual dalam pasaran Malaysia pada bulan Oktober. Dengan harga RM4,999, Acer Swift X terbaru ini dijual pada harga yang lebih mahal berbanding Acer Swift terdahulu, namun peningkatan harga itu disebabkan oleh spesifikasi yang dinaik taraf dengan komponen AMD dan NVIDIA. Dengan spesifikasi tahap tinggi, siapakah yang patut menggunakan komputer ini? Ayuh baca ulasan oleh penulis TechNave English untuk mengetahuinya.

    Seperti yang boleh dijangkakan untuk jenama Acer Swift, komputer riba Acer Swift X ini berada dalam kategori ringan dengan berat 1.39kg sahaja. Kebolehan Acer untuk memasukkan spesifikasi canggih ke dalam reka bentuk yang kompak dan ringan ini adalah sangat menakjubkan. Walaupun skrin IPS pada komputer ini berukuran 14 inci sahaja, ia boleh memaparkan gamut warna sRGB 100%, membuatkannya sesuai untuk kerja-kerja suntingan grafik atau seni.

    Swift X mempunyai reka bentuk yang serupa dengan Acer Swift 3x, termasuklah pada lohong pengudaraan yang berada di bahagian kanan engsel di antara papan kekunci dan skrin. Bergantung kepada perisian yang sedang dibuka, lohong pengudaraan itu boleh menghasilkan bunyi desis yang halus namun ia tidaklah mengganggu. Walaupun dengan ketebalan 17.9mm sahaja, Acer masih mampu melengkapkan pelbagai jenis port seperti HDMI, dua USB-A dan bicu audio 3.5mm.

    Dengan rekaan yang kompak, Swift X sangat mudah untuk dibawa ke mana-mana dan pasti digemari oleh mereka yang kerap bergerak untuk tujuan pekerjaan. Walaupun penulis tidak berpeluang untuk membawa komputer ini ke luar dan sekadar bekerja dari rumah, penulis boleh bertukar-tukar tempat seperti di antara sofa dan katil dengan mudah. Selain itu, ia juga tidak menjana haba yang tinggi jadi anda boleh gunakannya dengan selesa.

    Untuk spesifikasi, Swift X mempunyai unit pemprosesan utama (CPU) AMD Ryzen 7 5800U dan unit pemproses grafik (GPU) NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti dengan teknologi Max-Q 3rd Generation. Dengan spesifikasi sedemikian, anda boleh memainkan pelbagai game AAA namun bukanlah pada tetapan grafik tertinggi.

    Game seperti Horizon Zero Dawn: Complete Edition akan nampak sempurna, namun Far Cry 5 tidak boleh dimainkan dengan baik. Secara keseluruhan, prestasi grafik Swift X tidak begitu konsisten dan kadang-kala akan menutup game terus (crash). Sungguh pun begitu, game indie yang tidak mempunyai keperluan grafik tinggi boleh dimainkan dengan selesa.

    Sebenarnya, komputer ini bukanlah ditujukan untuk gaming dan sebaliknya ia dikhaskan untuk mereka yang kerap membuat kerja-kerja suntingan video dan gambar. Swift X dilengkapi memori yang tinggi, dengan RAM LPDDR4X sebanyak 16GB dan SSD PCIe NVMe sebanyak 512GB. Malang sekali, pilihan 2TB tidak boleh didapati dalam pasaran Malaysia. Sepanjang pengalaman penulis menggunakannya, ia boleh melaksanakan pelbagai tugas penjanaan (rendering) video, membuka banyak tab pelayar web serentak dan membuka pelbagai perisian lain untuk pekerjaan penulis.

    Daripada segi hayat bateri, Swift X boleh digunakan secara mudah alih selama 17 jam, bergantung kepada perisian yang dibuka. Menurut pengalaman penulis, komputer ini boleh bertahan selama lima jam untuk tugas pekerjaan harian, termasuklah menulis artikel, menyunting gambar, melayari laman web dengan Microsoft Edge, bermesej di WhatsApp dan mendengar YouTube Music. Pengecasan penuh pula mengambil masa sekitar sejam sahaja.

    Secara keseluruhan, prestasi Swift X menyerupai Swift 3X dalam beberapa aspek, namun dengan lebih kuasa daripada Ryzen 7 5800U dan RTX 3050 Ti. Dengan prestasi tersebut, ia sesuai digunakan sebagai komputer riba produktiviti untuk pencipta kandungan (content creators) yang sering bergerak ke sana-sini. Sejujurnya, saya tidak mempunyai banyak keluhan tentang komputer ini; prestasinya bagus untuk tugas suntingan media dan ia digabungkan dengan hayat bateri yang lama.

    Jika RM4,999 itu terlalu mahal, anda boleh dapatkan varian AMD Ryzen 5 + RAM 8GB pada harga RM4,299. Harganya yang mahal itu mungkin adalah satu keburukannya, namun ia adalah sangat berbaloi. Penulis boleh syorkan Swift X untuk pencipta kandungan yang memerlukan komputer riba kompak namun masih inginkan prestasi yang lebih tinggi berbanding  Swift 3X (Intel i5) yang dijual pada harga RM3,799.

    Spesifikasi teknologi

    • CPU sehingga AMD Ryzen 7 5800U Octa-core 1.90GHz
    • GPU NVIDIA GeForce RTX 3050Ti dengan VRAM 4GB
    • LPDDR4X RAM 16GB
    • PCIe NVMe SSD 512GB
    • Skrin IPS Full HD 14 inci, nisbah aspek 16:9
    • Port: Satu HDMI, dua USB 3.2 Gen1 Type-A, satu USB 3.2 Gen 2 Type-C, bicu audio 3.5mm, kunci Kensington
    • Webcam HD 720p
    • Teknologi audio Acer TrueHarmony dan Acer Purified Voice
    • Pengimbas cap jari Acer Bio-Protection, Windows Hello
    • Menyokong WiFi 6 802.11a/b/g/n+ax wireless LAN, Dual Band (2.4 GHz and 5 GHz), MU-MIMO RX, Bluetooth 5.2
    • Bateri Li-ion 59Wh empat sel
    • Sistem operasi Windows 10 Home, boleh dinaik taraf ke Windows 11
    • Dimensi: 322.8 x 212.2 x 17.9mm, berat 1.39kg

    Kelebihan: Spesifikasi kelas tinggi, reka bentuk kompak, penghasilan warna tepat pada skrin

    Kekurangan: Harga yang agak mahal

    Kesimpulan: Sesuai untuk pencipta kandungan yang inginkan komputer ringan tanpa mengorbankan prestasi

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X