fbpx
More

    Ulasan Amazfit BIP 5 – RM300 untuk GPS? Berbaloi ke?

    Amazfit telah melancarkan jam tangan pintar baharu dalam siri BIP iaitu Amazfit BIP 5 di Malaysia pada Ogos lalu. Ia adalah jam tangan pintar segmen bajet yang memiliki sorotan utama untuk hayat bateri yang panjang, mikrofon terbina dalam, penjejak kesihatan baharu, 120+ mod sukan, berdozen muka jam dan banyak lagi. 

    Namun, terdapat kekurangan pada jam ini seperti paparan LCD dan bukannya panel AMOLED. Dalam pasaran tempatan, Amazfit BIP 5 boleh didapati dengan harga RM319 tetapi saya berasa ia agak sedikit mahal jika dibandingkan dengan jam tangan pintar lain yang terdapat di pasaran. Terdapat persoalan bahawa walaupun ia mempunyai beberapa ciri yang menarik seperti hayat bateri yang panjang dan sistem operasi Amazfit sendiri, adakah ia berbaloi atau tidak? 

    Pakej yang anda akan dapat

    Amazfit BIP 5 hadir dalam pilihan warna hitam, putih dan merah jambu. Kami telah menerima varian hitam dan telah menggunakannya selama dua minggu. Untuk mengetahui adakah ia berbaloi atau tidak, jom baca ulasan tentang Amazfit BIP 5 ini!

    Amazfit BIP 5 mempunyai reka bentuk unibody plastik yang baik untuk titik harga yang ditawarkan. Di bahagian hadapan terdapat paparan 1.91 inci yang merupakan panel melengkung 2.5D. Jam tangan pintar ini tidak mudah menangkap kotoran atau cap jari dan bertaraf IP68 untuk kalis air. Saya boleh menggunakan jam tangan pintar ini dalam situasi hujan atau berenang tanpa bimbang. 

    Skrin LCD 1.91″
    Bahagian belakang jam dan pengecasan magnetik

    Bahagian belakang pula mempunyai sensor degupan jantung dan SpO2 bersama dok pengecasan magnetik. Bahagian sisi kanan terdapat butang yang digunakan untuk menghidupkan skrin, kembali ke mana-mana aplikasi atau melancarkan sesuatu aplikasi dengan cepat. Jika anda mengaktifkan mod kunci pada tetapan, anda boleh membuka kuncinya dengan menekan dan menahan butang ini. 

    Butang ini juga boleh digunakan untuk menjeda semasa latihan. Bahagian lain mempunyai gril pembesar suara. Seterusnya, bahagian tali mempunyai lebar 22mm dengan kualiti yang baik dan mudah untuk ditanggalkan. Anda boleh memakainya untuk tempoh yang lama kerana ringan dan bahan yang digunakan memberikan mesra pada kulit. Secara keseluruhan, Amazfit BIP 5 mempunyai kualiti binaan yang baik dan selesa dipakai.

    Ketika memakainya

    Untuk bahagian paparan, sejujurnya saya agak kecewa kerana Amazfit tidak memberikan perkakasan yang bagi saya wajib untuk sebuah jam tangan pintar sukan. Hal ini kerana paparan 1.91 inci menggunakan panel LCD dan bukannya AMOLED yang lebih jelas dilihat jika berada di bawah cahaya matahari. Selain itu, bezel pada bahagian dagu kelihatan agak tebal. Jika anda ingin membeli jam tangan pintar dengan paparan LCD maka terdapat beberapa pilihan yang baik untuk tanda harga yang ditawarkan. 

    Dalam pahit ada manisnya kerana paparan LCD pada jam tangan pintar ini ‘lebih baik’ sedikit berbanding jam tangan pintar lain yang menggunakan paparan yang sama. Tahap kecerahan paparan adalah baik dan boleh digunakan dengan selesa untuk menyemak pemberitahuan pada bila-bila masa. 

    Selesa dipakai

    Amazfit BIP 5 dilengkapi dengan pilihan muka jam yang banyak dan anda boleh meletakkan foto sendiri. Terdapat 70+ muka jam yang boleh anda ubah mengikut keutamaan menggunakan Aplikasi Zepp. Jam tangan pintar  ini tidak mempunyai Paparan Sentiasa Hidup (AOD) seperti Samsung Galaxy Watch, jadi anda perlu menekan butang untuk menghidupkan skrin dan kemudian baru menggunakannya. 

    Secara keseluruhan, paparannya bagus tetapi untuk jam pintar yang menggunakan panel LCD, ia membuatkan saya merasakan bahawa Amazfit BIP 5 mahal. Namun begitu, terdapat ciri-ciri lain yang menjadikan jam tangan pintar panel LCD ini lebih baik sedikit daripada pesaingnya.

    Amazfit BIP 5 menjalankan sistem operasi Zepp OS 2.0 yang dilengkapi dengan banyak ciri dan pilihan untuk penyesuaian. Kebiasaannya, jam tangan pintar bajet tidak mempunyai perisian yang sangat baik tetapi Amazfit menyangkal kenyataan tersebut. Untuk sambungan, terdapat Bluetooth 5.2 yang menjadikannya serasi dengan Android 7.0 dan ke atas dan iOS 14 dan ke atas. Untuk menggunakan semua ciri jam tangan ini, anda perlu mempunyai Aplikasi Zepp (aplikasi Amazfit sendiri) pada telefon pintar anda. 

    Meleret dari kiri ke kanan pada skrin akan memaparkan kawalan muzik, jumlah langkah, kadar degupan jantung (BPM), cuaca, personal activity intelligence (PAI) dan menu ringkasan untuk setiap ciri. Dengan jam tangan pintar ini, anda boleh memantau paras oksigen darah, pemantauan kadar jantung, pengesanan tidur, kitaran haid wanita dan banyak lagi. Panggilan Bluetooth dan GPS terbina dalam juga berguna. 

    Meleret dari atas ke bawah akan memaparkan tetapan pantas seperti bateri, Do Not Disturb (DND), Tidur, Kalendar, Kelantangan, Masa Skrin Mati, pelarasan kecerahan, tetapan, mod teater dan Cari Telefon Saya. Sebaik sahaja skrin dihidupkan selepas menekan butang, anda boleh melihat PAI, Kadar Jantung, Oksigen Darah, senaman, tekanan, aktiviti, tidur, penjejakan kitaran haid, cuaca, muzik, penggera, stres dan banyak lagi. 

    Bahagian yang terbaik ialah jam tangan itu dilengkapi dengan GPS terbina dalam jadi sama ada anda bersenam di luar rumah atau pergi ke mana-mana sahaja, anda boleh menjejakinya. Pengiraan langkah juga agak tepat dan memberikan hasil yang baik. Ciri penjejakan tidur beroperasi dengan baik serta menyediakan data tentang tidur nyenyak dan ringan (light sleep) dengan tepat. 

    Terdapat cara khusus untuk membuat panggilan pada jam tangan ini. Jika kebiasaanya, apabila jam tangan pintar disegerakkan bersama telefon, maka ia akan terus dapat menggunakan ciri yang tersedia. Namun berbeza dengan Amazfit Bip 5, langkah pertama adalah menyambungkan jam tangan dengan aplikasi dan yang kedua adalah sambungan Bluetooth untuk disambung pada ‘peranti’ khusus. 

    Tetapan untuk panggilan terdapat dalam aplikasi Zepp. Saya cuba menggunakan jam pintar ini untuk menjawab telefon dan respon yang saya terima daripada pemanggil adalah bagus kerana suara yang jelas. Kelantangan pembesar suara pada jam tangan ini agak terhad dan jika anda berada di luar rumah, ia akan menjadi lebih sukar untuk didengari.

    Amazfit BIP 5 mempunyai bateri 300mAh dan pengecasan mengambil masa dari 0 hingga 100% dalam masa 2 jam. Dalam situasi ini, Amazfit perlu meningkatkan teknologi pengecasan untuk menjimatkan masa dan bersaing dengan pengeluar jam tangan pintar yang lain. Selepas mengecasnya, jam tangan pintar ini berfungsi selama kira-kira 6 hari secara berterusan. 

    Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan panggilan Bluetooth dan menetapkan skrin tepat pada masanya kepada 5 atau 10 minit, bateri bertahan selama 2 hari sahaja. Untuk penggunaan kasual seperti penjejakan langkah setiap hari, pemantauan tidur dan penjejakan aktiviti, ia boleh bertahan selama 1 minggu. Bagi saya, ketahanan bateri pada Amazfit BIP 5 adalah mengagumkan untuk julat harga yang ditawarkan.

    Amazfit BIP 5 rasmi di Malaysia dengan harga RM319 dan pada tanda harga ini, ia akan bersaing dengan sangat sengit kerana pilihan jam yang tersedia dalam pasaran tempatan. Namun, jam tangan ini didatangkan dengan ciri-ciri berguna yang hampir lengkap dan kualiti binaan yang kukuh. 

    Beberapa perkara yang saya tidak berapa berminat adalah ketiadaan paparan AMOLED, sambungan berasingan untuk panggilan Bluetooth dan antara muka pengguna (UI) yang hampir sama dari generasi Amazfit Pace yang saya pernah gunakan dahulu. Jika Amazfit menawarkan panel AMOLED, maka ia adalah tawaran terbaik. 

    Selain itu, Amazfit BIP 5 didatangkan dengan GPS terbina dalam yang jarang berlaku pada titik harga ini dan hayat bateri boleh menjadi faktor terbesar untuk pembeliannya. Terdapat pilihan jam tangan pintar lain dalam julat harga tersebut seperti Amazfit GTS 2 Mini yang berharga RM234 untuk skrin AMOLED atau Redmi Watch 3 Pro yang berharga RM319.

    Spesifikasi lengkap Amazfit BIP 5:

    • Sistem operasi Zepp OS 2.0
    • Skrin 2.5D 1.91 inci LCD dengan resolusi 320×380, ketumpatan piksel 260 PPI dan anti cap jari
    • Bateri 300 mAh, cas penuh mengambil masa lebih kurang 2 jam
    • Ukuran badan: 45.94mmx38.09mmx 11.2mm
    • Ukuran tali: 22mm (lebar)
    • Berat: 26g
    • Sensor: BioTracker™, pecutan 3 paksi PPG, Ketepuan darah-oksigen, Kadar Jantung, Pengukuran tahap tekanan
    • GPS: 4 sistem kedudukan satelit
    • Ciri: Penarafan IP68, 120 Mod Sukan, panggilan suara
    • Warna pilihan: Soft Black, Cream White dan Pastel Pink
    • Harga: RM319

    Kelebihan: GPS, bateri tahan lama, ringan dan selesa

    Kekurangan: LCD dan bukannya AMOLED, sambungan untuk panggilan perlu cara manual

    Kesimpulan: Sesuai untuk mereka yang hanya mementingkan ketersediaan GPS ketika melakukan aktiviti dan ketahanan bateri yang lama

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Tecno Pova 6 dilancar di Malaysia: Helio G99 Ultimate, AMOLED FHD+ 6.78″ berharga RM899

    Tecno yang merupakan salah satu jenama kompetitif dalam segmennya kini telah melancarkan sebuah lagi telefon pintar iaitu Tecno Pova 6 untuk pasaran...

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 3 & bateri 6,000mAh...

    iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5Gdan iQOO Z9x 5G dengan spesifikasi menarik pada harga...

    realme GT 6T akan dilengkapi cipset Snapdragon 7+ Gen 3

    realme mengumumkan bahawa mereka akan melancakran siri telefon pintar kelas pertengahan realme GT 6 Series di India pada bulan ini. Jenama teknologi...

    Raikan Hari Ibu dengan siri Samsung Galaxy watch6 dan hadiah percuma sehingga 12 Mei...

    Hari Ibu ini, luahkan rasa terima kasih kepada wanita istimewa dalam hidup anda dengan meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka melalui siri Galaxy...

    HUAWEI bakal dikenakan sekatan untuk beli cip daripada Qualcomm dan Intel

    Kerajaan Amerika Syarikat (AS) didakwa telah membatalkan lesen Qualcomm dan Intel untuk menjual cip kepada HUAWEI menurut laporan baharu daripada Reuters hari...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X