fbpx
More

    Ulasan ASUS ExpertBook B9 – Ringan seperti bawa fail dan tahan lasak!

    Memandangkan dunia kini semakin ke arah pergerakan mobiliti, sepertinya pengguna teknologi juga perlu memastikan mereka dapat memiliki ciri mudah alih yang diperlukan. Selain daripada telefon pintar, komuniti yang sentiasa bekerja secara mudah alih juga mementingkan peranti seperti komputer riba. Seiring dengan itu, ASUS telah memperkenalkan ASUS ExpertBook B9, sebuah komputer riba 14 inci kompak yang tahan lasak.

    Jika sebelum ini reka bentuk bukan merupakan perkara yang anda utamakan, anda perlu ketahui asas reka bentuk ASUS ExpertBook B9 untuk memahami ketahanannya. Ia hadir dengan reka bentuk dan sudahan yang kemas. Badannya yang ringan diperbuat daripada aloi magnesium litium dengan berat cuma 995g. Ya, berat kurang daripada 1kg (rasa seperti bawa fail dengan beberapa helai kertas). Sebenarnya, ada varian dengan berat yang lebih ringan, 870g dengan bateri 33W.

    Pengotakan ASUS ExpertBook B9
    Warna kelihatan hitam, namun sebenarnya ada kilauan berwarna kebiruan
    Pandangan keseluruhan komputer riba 14 inci ringan
    Papan kekunci yang selesa pad kekuncinya
    2 port USB Type-C, port HDMI, port LAN
    Bicu audio 3.5mm, port USB 3.2 Gen 2, slot keselamatan Kensington
    Ciri yang menyenangkan untuk membuka komputer riba

    Di sisi sebelah kanan, terdapat satu port USB 3.2 Gen 2, bicu audio 3.5mm dan port slot keselamatan Kensington. Di sebelah kiri pula terdapat dua port USB Type-C, port HDMI dan port LAN. Menurut pandangan peribadi kami, adalah lebik baik jika terdapat pembaca mikroSD memandangkan terdapat juga pengguna yang ingin menggunakan ciri tersebut.

    Kami tahu anda mungkin memandang komputer riba ini dengan persepsi komputer riba nipis yang mudah rosak dan tidak berprestasi. Pernyataan ini mungkin mengubah perspektif anda. Selama menggunakan ExpertBook B9, rasanya saya tiada kerisauan jika ianya jatuh atau tercalar (walaupun tidak terjatuh kerana susah untuk jatuh memandangkan ianya ringan dan mudah dipegang dengan selamat).

    Tidak menjadi masalah juga jika sekadar terjatuh kerana kecuaian memandangkan komputer riba ini melepasi kelulusan standard Military Grade. Ini bermakna ia telah melepasi ujian kelulusan ketahanan! Jika anda merupakan seseorang yang mementingkan nilai estetik, anda juga tidak akan kecewa dengan paras rupa ExpertBook B9 bersama sudahan kemas hitam matte, ditambah dengan kilauan sinar biru seperti bintang (Star Black).

    Untuk mengulas paparan ASUS ExpertBook B9, kita mula dengan bezelnya. Saiz bezel di sisi berukuran 4mm sememangnya memberi pengalaman tontonan yang memuaskan. Menurut kami, saiz skrin Full HD 14 inci beresolusi 1920 x 1080 piksel ini bersesuaian untuk pengguna yang mempunyai tugasan tertentu, tetapi masih perlu bekerja secara mudah alih. Walaupun saya biasa menggunakan komputer riba 16 inci, namun tiada rasa janggal apabila beralih kepada ExpertBook B9 dek kerana saiz nisbah skrin ke badan 94% yang memuaskan.

    Ciri tontonan lain seperti saturasi warna juga amat baik, terima kasih kepada 100% sRGB untuk nikmat menonton drama dan filem. Ciri anti silau juga sangat membantu. Tidak lupa kepada engsel ErgoLift yang memudahkan pengalaman membuka tutup komputer riba ini kerana biasanya saya akan lebih berhati-hati dengan komputer riba berengsel biasa. Walaupun dengan penggunaan seharian, ia juga tiada isu cepat panas atau terlalu panas.

    Nisbah skrin ke badan 94% dengan bezel sisi 4mm, bezel atas 7mm
    Engsel ErgoLift
    Pengudaraan di celahan lipatan engsel ErgoLift

    Beralih kepada papan kekunci, prestasinya sangat memuaskan! Tiada sela masa dan tiada kelewatan. Anda boleh menaip dengan selesa dan pantas. Ciri kesukaan kami adalah papan kekunci kalis tumpah dan pad sentuhnya (touchpad). Secara jujurnya, bahagian tapak tangan berasa selesa memandangkan pad sentuhnya lebar.

    Ia juga tiada masalah kelewatan dalam mengesan gerakan jari. Lebih menarik, kewujudan nombor pada pad sentuh ASUS NumberPad 2.0 sebenarnya amat membantu jika terdapat penggunaan nombor dalam tugasan kerja.

    Papan kekunci pada jarak dekat
    Papan kekunci bercahaya di belakang
    NumberPad 2.0 pada pad sentuh (tekan pada simbolnya di pad sentuh untuk mengaktifkannya)
    Pad sentuh yang agak lebar

    Berkenaan prestasi, bergantung kepada aspek mana yang anda ingin lihat. Jika anda sedang membaca ulasan ini untuk mengetahui prestasi produktiviti dan tugasan kerja harian, ExpertBook B9 sememangnya berprestasi. Sepanjang menggunakan ExpertBook B9, saya hanya memfokuskan kepada tugasan kerja harian yang lebih seperti tugasan pejabat. Contohnya penulisan, kemas kini data dan sedikit penggunaan perisian grafik ringan. Boleh dikatakan tugasan dapat dijalankan dengan sangat lancar!

    Berbeza pula dengan aspek tugasan grafik yang lebih mencabar, anda mungkin masih boleh menggunakannya, tetapi tidak selancar tugasan harian lain. Mungkin anda akan dapat sedikit maklumat pencerahan berkenaan prestasi grafiknya melalui apa yang bakal dinyatakan dalam aspek gaming.

    Tontonan pada waktu siang
    Penutup privasi kameraweb dibuka
    Kamera web ditutup oleh penutup privasi

    Sebagai tambahan, ASUS ExpertBook B9 juga ada digunakan untuk menyertai mesyuarat mingguan melalui aplikasi video konferens. Prestasi audio dan videonya adalah baik, terima kasih kepada tetapan mikrofon quad. Anda boleh menutup kamera web dengan penutup khas (tolak ke tepi penutup tersebut) jika anda menginginkan lebih keselamatan privasi.

    Jika anda menginginkan komputer riba gaming, ini bukan tempatnya. Komputer riba 14 inci tahan lasak ini adalah untuk kemudahan pengguna mudah alih. Mungkin jika anda ingin bermainan game dengan keperluan grafik rendah atau tahap pertengahan, tidak menjadi masalah. Namun, jika anda ada memuat turun game bergrafik intensif yang terkini contohnya seperti GTA V, anda akan melihat kelemahan grafiknya memandangkan kad grafik Intel UHD Graphics 620 hanya mampu menampung keperluan grafik kelas pertengahan sahaja. Tiada ulasan lanjut mengenai aspek gaming, cukuplah setakat itu memandangkan sudah terang lagi bersuluh ASUS ExpertBook B9 bukan sebuah komputer riba berfokuskan gaming.

    Markah penanda aras PCMark10 menandakan prestasi yang sangat baik untuk tugasan harian dan produktiviti
    Malangnya, markah di 3DMark tidak sehebat markah untuk tugasan harian
    Dota 2 boleh dimainkan, tetapi jangan jangkakan kelancaran yang baik

    Berkenaan jangka hayat bateri, penggunaan komputer riba kompak ini bertahan sehingga lebih 16 jam berdasarkan penggunaan melengkapkan tugasan harian dengan sambungan WiFi (mungkin berbeza jangka hayatnya mengikut penggunaan). Menurut ASUS, ia mampu bertahan sehingga 24jam, terima kasih kepada bateri berkapasiti 66W. Pengecasan sehingga tahap 60% pula mengambil masa lebih kurang 49 minit seperti yang dinyatakan ASUS.

    Secara keseluruhannya, prestasi tugasan dan produktiviti melalui ExpertBook B9 adalah sangat lancar jika tidak melibatkan keperluan grafik yang tinggi. Kerana itulah, ia digelar komputer riba untuk kelas business atau bersesuaian dengan pengguna mudah alih yang sentiasa memerlukan akses kepada data tugasannya dan terbukti melalui markah yang diperoleh dalam PCMark10. Sedikit pandangan peribadi, komputer riba ini mungkin berfungsi dengan baik juga untuk pelajar yang inginkan komputer riba ringan kompak dengan prestasi yang lancar untuk tugasan pelajaran.

    Secara keseluruhannya, boleh dikatakan jika anda memiliki ASUS ExpertBook B9, anda tidak perlu meletakkan kebimbangan kepada komputer riba kerana komputer riba ini seperti menjaga dirinya sendiri. Kenapa? Kerana ciri tahan lasaknya. Membawanya ke mana sahaja juga tidak membebankan fizikal dan mental memandangkan beratnya kurang daripada 1kg. Anda sentiasa ke sana ke sini dengan tugasan kerja? ExpertBook B9 mungkin pilihan anda.

    Namun, jika anda inginkan komputer riba yang menggabungkan hiburan gaming intensif dan produktiviti, mungkin terdapat komputer riba lain yang boleh menepati citarasa itu. Walaupun grafiknya sememangnya bertahap kelas pertengahan, namun anda perlu tahu bahawa grafik Intel UHD 620 adalah bersesuaian dengan komputer riba kompak yang berfokuskan prestasi tugasan dan ciri mudah alih.

    Dengan harga bermula dari RM6,299 hingga RM9,299 bergantung kepada varian RAM, pemproses dan bateri, anda boleh memilih mengikut citarasa anda. Jika harganya terlalu tinggi, anda boleh pertimbangkan Acer Swift 3 dengan ciri berat kurang daripada 1kg yang sama. Namun, ExpertBook B9 pastinya menawarkan lebih daripada Acer Swift 3 dengan ciri tahan lasak dan lebih gah, manakala Acer Swift 3 adalah lebih murah dengan kad grafik NVIDIA.

    Ciri dan spesifikasi ASUS ExpertBook B9

    • Pemproses Intel Generasi Ke-10 Intel Core i7
    • Kad grafik Intel UHD Graphics 620
    • RAM LDDR3 16GB
    • SSD 1TB
    • ASUS NumberPad 2.0
    • Alat suai (adapter) 65W dengan sokongan pengecasan pantas
    • Jenis palam: Type-C
    • Badan tahan lasak bergred US Military Grade MIL-STD 810G
    • Pelindung Kamera web
    • Skrin 14 inci anti silau
    • Papan kekunci kalis tumpah
    • Berat 995g, berukuran lebar 32.0cm/12.06″ x kedalaman 20.3cm/7.99″

    Kelebihan dan kekurangan

    Kelebihan Tahan lasak bergred Military Grade, berat kurang dari 1kg dengan prestasi tugasan harian yang baik. Bateri mampu bertahan sehingga 24jam (bergantung kepada penggunaan).

    Kekurangan – Mungkin boleh memberi pilihan kad grafik lain yang lebih berprestasi memandangkan mungkin terdapat pengguna yang memerlukan komputer riba 14 inci bergrafik tinggi.

    Kesimpulan – Susah untuk memetik kelemahannya kerana ia sememangnya direka kemas, tahan lasak dan ringan. Jika wang bukan masalah, berbaloi untuk melabur di komputer riba ini jika anda sentiasa bekerja secara mudah alih.

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X