fbpx
More

    Ulasan ASUS RT-BE88U – Kini lebih banyak fungsi, “bandwith” lebih tinggi berbanding Wi-Fi 6

    Untuk kebanyakan pengguna, pemasangan jalur lebar (broadband) dalam rumah adalah proses yang ringkas. Anda hanya perlu pilih syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP), pilih pelan internet kemudian pekerja ISP itu akan pasangkan kabel dan kelengkapan-kelengkapan berkaitan di tempat anda. Kebanyakan ISP akan menyediakan modem dan penghala (router) sebagai sebahagian daripada pakej internet, malah ada yang menyediakan wireless mesh untuk luaskan jarak liputan penghala.

    Walau bagaimanapun, kelengkapan yang selalunya disediakan oleh ISP ini tidak cukup bagus untuk rumah yang besar atau pejabat. Jika anda ingin memasang kabel ethernet, ini sesuatu yang tidak sesuai kerana beberapa peranti mudah alih dan komputer riba tidak lagi mempunyai port ethernet. Anda juga boleh dapatkan wireless mesh untuk luaskan liputan Wi-Fi, namun sebenarnya penghala Wi-Fi yang lebih berkuasa adalah pilihan yang lebih tepat untuk meluaskan liputannya.

    Baru-baru ini, kami menggantikan penghala asal yang digunakan dalam pejabat TechNave kepada ASUS RT-BE88U untuk mengetahui bagaimana prestasinya dalam pejabat yang lebih besar berbanding saiz rumah biasa. Ayuh baca ulasan yang dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris ini untuk mengetahuinya:

    ASUS RT-BE88U yang diletakkan secara rata
    Empat antena luaran yang boleh dilipat sehingga 90 darjah

    Memandangkan penghala yang digunakan dalam pejabat kami sebelum ini juga merupakan jenama ASUS, tidak menghairankan jika ia mempunyai rekaan yang serupa dengan ASUS RT-BE88U, selain daripada beberapa perbezaan kecil. Penghala baharu ini nampak seperti penghala konvensional yang boleh diletakkan mendatar di atas meja, jadi ia memerlukan lebih banyak ruang berbanding model yang boleh didirikan. Ini bukanlah isu yang besar, melainkan anda perlu menggunakan ruang meja yang kecil bersama penghala ini.

    RT-BE88U masih mengekalkan rekaan garis-garis lurus yang kerap berada pada produk ASUS. Di bahagian atas, terdapat seksyen di belakang gril yang mempunyai warna gangsa iaitu sebahagian daripada sistem penyejukannya bagi melanjutkan hayat penggunaan. Ini pastinya bermanfaat kerana penghala boleh jadi panas apabila memindahkan jumlah data yang banyak. Turut mengelilingi penghala ini termasuklam empat antena luaran yang boleh dicabut, iaitu satu naik taraf berbanding tiga antena pada penghala lama RT-AX86U kami. Secara teori, ia akan meluaskan lagi liputan Wi-Fi.

    Beberapa port LAN, termasuklah satu port khas untuk gaming

    Di bahagian belakang, terdapat banyak port yang terdiri daripada port 10Gbps WAN/LAN, port 2.5Gbps WAN/LAN, port 10Gbps SFP+, tujuh port LAN (3x 2.5Gbps + 4x 1Gbps) dan port USB 3.2 Gen 1. Terdapat juga butang WPS, butang reset dan butang kuasa. Secara keseluruhan, RT-BE88U mempunyai port yang lengkap untuk pejabat kecil atau pejabat korporat yang lebih besar.

    Bahagian bawahnya pula menempatkan lohong pengudaraan. Memandangkan model ini direka untuk diletak secara mendatar, ia mempunyai beberapa “kaki” kecil bagi menyediakan pengudaraan yang lebih lancar. Terdapat juga pelekat dengan maklumat default login dan butiran Wi-Fi. Untuk pemasangan pertama yang mudah, anda boleh imbas kod QR pada pelekat ini untuk hubungan pantas kepadanya.

    Bahagian bawah yang menempatkan lohong pengudaraan dan pelekat untuk info lanjut

    Untuk sebuah penghala, ASUS RT-BE88U adalah model premium dengan pelbagai fungsi untuk memenuhi keperluan ramai pengguna. Dua port 10Gbps WAN dan 10Gbps SFP+ tidak akan diguna dalam rumah atau pejabat kecil, namun pejabat korporat yang besar akan menghargai port SFP+ bagi menghubungkan pelayan dalaman (internal network servers) atau suis berkelajuan tinggi.

    Port 10Gbps WAN juga relevan untuk syarikat yang besar kerana ia memerlukan lebih banyak bandwith dan rangkaian konsisten di seluruh sudut pejabat. Untuk pejabat yang melanggan kepada pelan jalur lebar berkelajuan tinggi, penghala ini adalah pilihan yang tepat. Sebagai rujukan, kelajuan jalur lebar gentian (fibre broadband) yang terpantas di Malaysia pada waktu ini adalah 2Gbps. Pelan ini menyediakan penghala Wi-Fi percuma dan mungkin wireless mesh tambahan, jadi anda mungkin tidak perlukan RT-BE88U.

    Port 10Gbps WAN and SFP+ sesuai untuk pejabat yang gunakan network switches

    Proses pemasangannya cukup ringkas. Pertama, hubungkannya dengan modem melalui port WAN. Kemudian, hubungkan komputer atau komputer riba kepada penghala untuk mengakses proses permulaan (startup). Ia juga boleh dilakukan melalui aplikasi ASUS Router (disediakan untuk Android dan iOS) pada telefon atau tablet.

    Perisian pemasangannya (setup wizard) mudah diikuti oleh kami sewaktu memasangnya. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menghubungkannya kepada perkhidmatan TIME Fibre dan menetapkan rangkaian Wi-Fi. Klik pada pilihan “Create A New Network”, masukkan butiran akaun ISP, tunggu untuk dihubungkan, kemudian tubuhkan rangkaian Wi-Fi. Sebaik sahaja siap, pejabat kami dihubungkan kepada internet dengan rangkaian Wi-Fi yang lebih luas.

    Port USB untuk Network Attached Storage dan USB Tethering

    Satu fungsi yang menarik adalah anda boleh tambatkan (tether) telefon anda melalui port USB. Ini bermaksud anda boleh gunakan pelan mudah alih 4G atau 5G sebagai penyedia internet dan ia tidak terhad kepada liputan telefon yang kecil. Sebaliknya, anda boleh manfaatkan liputan Wi-Fi yang lebih luas menggunakan penghala ini dan nikmati kelajuan Wi-Fi 7 yang lebih tinggi. Ia juga akan mengecas telefon anda secara perlahan sewaktu tambatan, jadi anda tidak perlu risau jika telefon akan kehabisan bateri.

    Untuk fungsi-fungsi tambahan, sebahagian daripadanya dihidupkan secara lalai (default) manakala yang lainnya perlu diaktifkan secara manual. Sebagai contoh, penghala ini mempunyai firewall yang dihidupkan secara lalai. Sungguh pun begitu, anda perlu tukar pelayan DNS secara manual, jika anda tidak ingin gunakan tetapan lalai daripada ISP. Fungsi-fungsi tambahan seperti Adaptive QoS atau AiProtection perlu dihidupkan terlebih dahulu, manakala sesetengah fungsi seperti AiCloud 2.0 memerlukan storan USB untuk berfungsi dengan betul. Jika anda seorang gamer, Adaptive QoS adalah sangat berguna, kerana ia membenarkan anda melaraskan hubungan untuk utamakan trafik rangkaian kepada game (untuk komputer dan peranti mudah alih.)

    Pelbagai fungsi lengkap, termasuklah fungsi-fungsi khas untuk gaming

    Untuk prestasi, kami tidak boleh mencuba kebolehan penghala ini sepenuhnya kerana kami tidak mempunyai sebarang peranti Wi-Fi 7 dalam pejabat. Walau bagaimanapun, kami boleh sahkan bahawa RT-BE88U boleh menangani lebih banyak peranti yang memuat turun dan memuat naik fail serentak secara aktif pada kelajuan yang sama. Kelajuan cecah 150Mbps sewaktu menonton video 4K/60fps, lebih tinggi berbanding penghala Wi-Fi 6 kami sebelum ini. Kelajuan rangkaian 5GHz juga cemerlang, jadi pengguna yang berada jauh dari penghala ini masih boleh nikmati kelajuan tinggi, berbanding Wi-Fi 6 sebelumnya.

    Walaupun beberapa video YouTube 4K mengalami penurunan kadar bingkai (frame drop) yang ketara, kami tidak pasti sama ada ia disebabkan oleh latency daripada pelayan YouTube atau terlalu ramai orang dalam pejabat yang menonton video YouTube serentak pada waktu rehat tengah hari. Sebagai rujukan, ulasan kami untuk penghala ASUS sebelum ini dibuat sewaktu pejabat kami kosong (kerana PKP). Sungguh pun demikian, network throughput keseluruhan adalah lebih bagus, hasil daripada bandwith yang lebih tinggi disediakan oleh RT-BE88U.

    Kelajuan sangat tinggi, walaupun dengan komputer Wi-Fi 5

    Secara keseluruhan, RT-BE88U merupakan satu naik taraf untuk pejabat TechNave. Ia menyediakan lebih banyak fungsi dan pilihan seperti port SFP+ untuk suis rangkaian (network switches), 10Gbps WAN untuk hubungan internet yang lebih pantas dan bandwith yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Walaupun anda tidak perlukan fungsi tambahan atau bandwith yang lebih tinggi, penghala ini harus dipertimbangkan bagi menyediakan pejabat anda untuk teknologi masa hadapan.

    Gamer individu atau streamer pula akan menghargai penghala seperti ini, kerana ia boleh menyediakan pengalaman game dan streaming yang lebih lancar. Sudah tentu, anda perlu tanya diri sendiri jika naik taraf ini berbaloi dengan harganya yang bernilai RM1,999.

    Jadi adakah anda berminat dengan penghala ASUS RT-BE88U untuk pejabat atau rumah? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi

    • Wi-Fi standard: Dual-band Wi-Fi 7 (802.11be)
    • Antena: 4 (luaran)
    • Port: 1x USB 3.2 Gen 1, 1x 10Gbps WAN/LAN port, 1x 10Gbps SFP+ port, 1x 2.5Gbps WAN/LAN, 3x 2.5Gbps LAN, 4x 1Gbps LAN
    • CPU: 2.6GHz empat teras
    • RAM: 2GB
    • Storan: 256MB
    • Cip Wi-Fi: Broadcom BCM6726
    • Prestasi 802.11be tertinggi: 7200Mbps
    • Saiz: 300 x 188 x 60.5 mm
    • Berat: 1060g
    • Fungsi: Dual-band Multi-Link Operation, 4K-QAM, Adaptive QoS, 4G/5G mobile tethering, VLAN, AiProtection Pro, AiMesh, Parental Control, Site-to-site VPN, Traffic Analyzer, Mobile Game Mode, Gear Accelerator, OpenNAT

    Kelebihan: Bandwith tinggi untuk kegunaan pejabat atau streamer, port 10Gbps WAN dan SFP+ disediakan, penambatan USB

    Kekurangan: Mungkin terlalu mahal untuk pengguna biasa

    Kesimpulan: Naik taraf Wi-Fi 7 yang bagus untuk bersedia dengan teknologi akan datang

    [Diterjemahkan daripada TechNave]

     

    Artikel Terkini

    GXBank umum kemas kini baharu untuk had pengeluaran ATM, program pulangan tunai

    GXBank hari ini mengumumkan beberapa perubahan produk termasuk had pengecualian caj pengeluaran ATM dan penyesuaian program pulangan tunai. Bermula 6 Mei hingga...

    HONOR 400 Lite tiba di Malaysia dengan Dimensity 7025-Ultra, AMOLED 6.7″ 120Hz berharga RM1,299

    HONOR Malaysia hari ini telah memperkenalkan telefon pintar terbaharu dengan HONOR 400 Lite dalam pasaran tempatan pada harga hanya RM1,299. Dikenali sebagai...

    Luno perkenal koin digital baharu dengan Algorand dan NEAR

    Luno yang merupakan satu-satunya bursa aset digital yang dikawal selia di Malaysia, kini menambah dua lagi koin ke dalam senarai aset digitalnya...

    WhatsApp lancar Advanced Chat Privacy untuk privasi sembang peribadi dan kumpulan

    WhatsApp hari ini secara rasmi telah melancarkan ciri baharu yang dinamakan Advanced Chat Privacy yang merupakan satu lapisan keselamatan tambahan untuk pengguna...

    Redmi Turbo 4 Pro rasmi sebagai telefon pertama dengan SD 8s Gen 4, bermula...

    Redmi Turbo 4 Pro kini rasmi di China dan menariknya, ia menjadi telefon pintar pertama di dunia yang dikuasakan cip Snapdragon 8s...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured