fbpx
More

    Ulasan ASUS ZenBook Flip S OLED – “Notebook” dengan kecantikan skrin sentuh OLED 4K

    Mungkin ada segelintir pengguna yang tidak peduli tentang kecantikan warna skrin atau spesifikasi skrin komputer riba. Untuk golongan yang mementingkan kecantikan imej pada skrin, kebanyakannya gemar mencari spesifikasi skrin OLED. ASUS telah memperkenalkan sebuah komputer riba produktiviti dengan skrin OLED, ASUS ZenBook Flip S OLED (UX371) di pasaran Malaysia baru-baru ini.

    Adakah komputer riba kompak atau lebih mesra dianggap notebook ini berbaloi digunakan untuk pengguna yang gemar dengan skrin menawan? Kami akan mengulas mengenai ASUS ZenBook Flip S OLED (UX371) bukan sahaja dari segi prestasi skrin, tetapi juga dari segi perkakas dan prestasi keseluruhannya.

    Melihat kepada reka bentuk, model yang berada di tangan kami hadir dengan kombinasi warna hitam dan litupan keemasan merah jambu (rose gold) di bingkai-bingkai dan bahagian sisinya. Warna hitam pada komputer riba ini tidaklah terlalu pekat kerana ia disudahi dengan tekstur pusam (matte). Walaupun pusam, cap jari anda masih boleh melekat jika jari anda kotor atau berminyak. Menariknya, bahagian hadapan komputer riba yang menempatkan logo ASUS mempunyai tekstur membulat (anda boleh rujuk pada gambar). Litupan keemasan pada bingkai skrin dan di sisi komputer riba pula memberi elemen mewah dan premium.

    Komputer riba ini berukuran 13.9 x 305 x 211 mm, senipis 13.9 mm, bersama berat 1.2kg. Walaupun terdapat komputer riba kompak lain dengan berat kurang dari 1 kg, tetapi selagi beratnya tidak mencapai 1.5 kg, sebenarnya ia masih terasa ringan sahaja.

    Mengulas mengenai kelengkapan port dan butang, ZenBook Flip S OLED dilengkapi 2x port Thunderbolt 4 dan 1x HDMI 1.4 di bahagian kiri, 1x USB 3.2 Gen 1 dan butang kuasa di bahagian kanan. Terdapat juga lampu isyarat LED untuk isyarat pengecasan bateri. Jika anda memerlukan port USB yang lebih banyak, kami sarankan anda membeli hub USB yang boleh disambung dengan komputer riba memandangkan masalah port yang tidak mencukupi untuk sebuah notebook adalah perkara biasa. Walaupun tiada bicu audio 3.5mm, ASUS memberi penyambung USB-C ke 3.5mm untuk anda gunakan. Sejujurnya, saya merasakan bahawa ASUS boleh sahaja menambah bicu 3.5mm di sebelah kanan.

    Pada bahagian papan kekunci pula, ia dilengkapi ciri cahaya di belakang dan pad sesentuh yang mantap. Saya tidak pernah mengalami masalah sela masa di antara penaipan dan apa yang dipaparkan oleh skrin. Papan kekuncinya agak responsif dan ciri bercahaya di belakang sangat membantu sekiranya anda perlu menaip dalam keadaan gelap. Untuk pengetahuan anda, huruf di papan kekunci hadir dengan warna keemasan merah jambu juga, jadi ianya agak menarik apabila bercahaya.

    Pad sesentuh pada ZenBook Flip S OLED juga agak lebar. Sejujurnya, saya bukan sahaja berpuas hati dengan keluasannya, tetapi juga ciri yang ada pada pad sesentuh seperti ASUS NumberPad 2.0. Anda boleh mengaktifkan paparan nombor yang anda boleh tekan pada pad sesentuh dan menggunakannya untuk memasukkan data bernombor.

    Di belakang komputer riba, terdapat dua pembesar suara yang diperakui oleh Harman Kardon dan lubang pengudaraan. Terdapat juga empat getah yang menampung posisi belakang komputer riba agar ianya tidak mudah tercalar.

    Biasanya, kami mengulas prestasi kelancaran, barulah prestasi skrin. Kali ini, saya akan mengulas mengenai skrin dahulu kerana salah satu daya penarik utama ASUS ZenBook Flip S OLED ini adalah skrinnya.

    Komputer riba ini dilengkapi skrin sentuh OLED 13.3 inci 4K UHD beresolusi 3840 x 2160 dengan warna gamut DCI-P3 100%. Ia juga lengkap dengan ciri perlindungan mata yang diperakui oleh TUV Rheinland dan sokongan stilus (tahap tekanan stilus 4096).

    Penghasilan warna pada skrin sangat memuaskan pandangan mata saya. Tontonan filem, tugasan kerja yang melibatkan pengeditan gambar dan sebagainya memaparkan warna yang cantik dan paparan imej yang jelas. Selain spesifikasi OLED yang menghasilkan paparan cantik, ia juga diperakui oleh Pantone Validated.

    Selain itu, oleh kerana ZenBook Flip S OLED menyokong ciri nyahkunci melalui pengesanan wajah, saya telah cuba menguji kelancaran nyahkuncinya. Pengesanannya agak pantas, tetapi tidak sepantas pengesanan wajah di peranti. Namun, tidak adil juga sekiranya kita membandingkan kepantasan nyahkunci pengesanan wajah komputer riba dengan telefon pintar. Anda juga perlu memastikan keadaan di sekeliling anda tidak terlalu gelap untuk membolehkan kamera mengesan wajah.

    Saya juga mencuba untuk menggunakan beberapa perisian melukis seperti Paint dan Krita. Untuk keselesaan, anda boleh membentangkan skrin 180 darjah atau melipatnya sehingga 360 darjah seperti tablet, terima kasih kepada engsel ErgoLift 360°. Tiada kelewatan atau sela masa semasa menggunakan stilus dan saya berjaya menghasilkan lukisan dengan baik (walaupun tidak setaraf pelukis lain kerana saya hanyalah penulis yang cuba melukis).

    ASUS ZenBook Flip S OLED yang berada di tangan kami dilengkapi pemproses Intel Generasi Ke-11 Core i7-1165G7, RAM 16GB dan SSD PCIe 1TB. Dari segi tugasan harian, saya berpuas hati dengan prestasinya. Tiada masalah dengan kelancaran dalam menjalankan tugasan pejabat biasa, penulisan, mahupun pengeditan grafik ringan seperti melalui aplikasi Adobe Photoshop. Sebagai rujukan, anda boleh melihat markah yang agak baik dalam PCMark 10, namun markah biasa untuk sebuah komputer riba kompak pada 3DMark (platform yang lebih memfokuskan kemampuan gaming).

    Prestasi mengenai gaming tidak akan diulas panjang kerana komputer riba ini memfokuskan kepada produktiviti dalam tugasan harian, bukannya gaming. Anda boleh bermain game, asalkan bukan game yang memerlukan grafik intensif. Saya telah mencuba bermain game yang tidak memerlukan grafik tinggi seperti Dota 2.

    Oleh kerana ia memiliki sokongan Intel Evo dan grafik Intel Iris Xe, maka kelancaran game juga agak baik dan sekadar memuaskan jika anda ingin bermain game setelah penat melakukan tugasan harian.

    Semasa bermain game, menonton filem atau video, pembesar suara yang disokong Harman Kardon ini adalah memuaskan. Tiada gegaran pada belakang komputer riba walaupun bunyi ditetapkan pada tahap maksimum. Namun, saya sarankan anda mendapatkan sokongan pembesar suara yang boleh disambungkan ke komputer riba jika anda gemar menonton filem dengan audio yang lantang.

    Menurut ASUS, bateri 67Wh pada komputer riba ini boleh bertahan sehingga 15 jam. Berdasarkan pengalaman penggunaan saya, ia mampu bertahan sekitar 13 jam, mungkin kerana saya banyak membuat tugasan grafik. Sebenarnya, mungkin ia memang mampu bertahan sehingga 15 jam jika penggunaan anda tidak melibatkan tugasan berat (bergantung kepada penggunaan). Pengecasan penuhnya pula mengambil masa sekitar 1 jam setengah.

    Saya sememangnya berpuas hati dengan spesifikasi baterinya, tetapi terdapat isu pemanasan jika anda menggunakan komputer riba semasa mengecas. Ia tidaklah terlalu panas, tetapi boleh memberi rasa yang agak tidak selesa. Semestinya, anda boleh menurunkan suhu dengan menggunakan kipas penyejuk komputer riba.

    Kesimpulannya, ASUS ZenBook Flip S OLED boleh memberi kepuasan maksimum untuk pengguna yang menginginkan komputer riba kompak dengan kecantikan skrin OLED 4K. Kemudahan membuka komputer riba sehingga 180 darjah, menukarkannya seperti tablet 360 darjah atau mendirikannya di atas meja adalah satu nikmat juga.

    Namun, kami juga faham jika ia bukanlah harga berpatutan yang mampu dibayar oleh pengguna komputer riba harian yang tidak peduli dengan kecantikan skrin dan ketersediaan ciri mudah alih. Komputer riba ini dijual di pasaran dengan harga RM6,799. Dalam julat harga yang sama, kami juga menyarankan anda mempertimbangkan ASUS ZenBook Duo 14 dengan keunikan dua paparan (varian pemproses sama) pada harga RM6,499 di pasaran Malaysia.

    Ciri teknologi dan spesifikasi ASUS ZenBook Flip S OLED (UX371)

    • Berukuran 1.39 x 30.5 x 21.1cm
    • Berat 1.2kg
    • Pemproses Intel Generasi Ke-11 Core i7-1165G7 2.8GHz
    • Grafik Intel Iris xe
    • RAM LPDDR4x 16GB
    • SSD PCIe NVMe 3.0 1TB
    • Skrin sentuh OLED 13.3 inci 4K UHD beresolusi 3840 x 2160 (sokongan warna gamut 100% DCI-P3)
    • ASUS NumberPad 2.0
    • Sambungan Intel WiFi-6, Bluetooth 6.0
    • Dua pembesar suara diperakui Harman Kardon
    • Sistem audio ASUS SonicMaster
    • Port: 1x HDMI, 1x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 2x Thunderbolt 4 USB-C
    • Sokongan kamera web IR dan Windows Hello untuk nyahkunci melalui pengesanan wajah
    • Bateri 67Wh + cas 65W USB-C PD

    Kelebihan: Tontonan dan pandangan memuaskan melalui skrin sentuh OLED 13.3 inci 4K UHD yang memaparkan warna cantik, sokongan stilus (stilus percuma diberi), skrin boleh dilipat 360 darjah menjadi tablet dan pembesar suara Harman Kardon yang baik.

    Kelemahan: Tiada bicu audio 3.5mm (diberi penghubung USB-C ke 3.5mm), penggunaan untuk lebih satu tugasan intensif dalam satu masa tidak digalakkan.

    Kesimpulan: Komputer riba yang baik untuk produktiviti dan tugasan harian jika anda mementingkan kecantikan skrin dan ketepatan warna.

     

    Artikel Terkini

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar dengan ChatGPT terbina dalam bermula RM459

    Fon telinga terbaharu Nothing datang dalam dua model iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Nothing Ear ialah tawaran perdana baharu yang...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X