More

    Ulasan ASUS Zenbook S 16 – Komputer riba prestasi, ringan dan terbaik 2024?

    Adakah anda sanggup membelanjakan RM8,000 untuk sebuah komputer riba? Itu adalah harga yang sangat tinggi sehingga ramai pelanggan mungkin tidak akan akan mempertimbangkannya. Namun, selepas menggunakan ASUS Zenbook S 16 (UM5606) selama dua minggu, saya merasakan ia adalah satu pelaburan yang berbaloi jika anda mencari komputer riba yang berkuasa dan kompak.

    Pada awalnya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap Zenbook S 16 kerana gimik pemasarannya yang memfokuskan AI. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, jenama-jenama komputer riba berlumba-lumba mempromosikan fungsi AI tetapi setakat ini tiada satu pun yang benar-benar mengagumkan saya.

    Terdapat juga warna Zumaia Grey, tetapi Scandinavian White tetap kegemaran saya
    Reka bentuk Zenbook S 16
    Pad jejak yang cukup besar
    Port sebelah kanan
    Port sebelah kiri

    Walaupun fungsi AI pada Zenbook S 16 boleh dikatakan memadai, kualiti dan ciri-ciri komputer riba ini benar-benar menyerlah. Model yang saya terima adalah dalam warna Scandinavian White (UM5606W-ARJ108WSM). Walaupun reka bentuknya tidak banyak berubah sejak zaman pandemik, komputer riba ini terasa lebih ringan daripada yang saya jangkakan.

    Zenbook S 16 hanya seberat 1.50kg yang saya rasa sangat ringan memandangkan ia dilengkapi perkakasan kelas atas. Jika anda mahukan komputer riba dengan reka bentuk premium, prestasi cemerlang, dan mudah dibawa ke mana-mana, mungkin Zenbook S 16 ini adalah pilihan yang patut dipertimbangkan.

    Perbualan dengan Copilot+ AI

    Dibina daripada “Ceraluminum” (aluminium seramik berteknologi tinggi), ASUS Zenbook S 16 tetap mengekalkan beberapa port penting untuk kegunaan harian. Bezel paparan yang sempit dan pad sentuh ergonomik yang 40% lebih besar berbanding sebelum ini menambah nilai pada reka bentuknya. ASUS juga mendakwa bahawa model ini memenuhi piawaian ketenteraan MIL-STD 810H untuk ketahanan, tetapi saya tidak sampai hati untuk menguji dengan menjatuhkannya.

    Daripada segi ciri, ASUS Zenbook S 16 dilengkapi keupayaan “Superior AI”. Komputer riba ini dilengkapi pemproses AMD Ryzen AI 9 HX 370 yang meningkatkan prestasi AI secara keseluruhan. Pemproses ini mempunyai TDP sehingga 28W dan enjin AI terbina dalam yang mampu menghasilkan sehingga 50 TOPs prestasi AI yang cekap tenaga.

    AI belum dapat memahami slanga daripada bahasa lain

    Terlihat hebat di atas kertas, namun daripada pengalaman saya, aplikasi praktikalnya masih belum sepenuhnya mencerminkan potensi tersebut. Komputer riba ini hadir dengan Copilot+ dan seperti biasa, terdapat butang khas untuk mengaksesnya dengan pantas. Berdasarkan pengalaman saya, pembantu AI ini sangat responsif dan mampu memberikan jawapan yang terperinci apabila diminta.

    Namun, saya rasa ia masih boleh diperbaiki. Sebagai contoh, satu ketika saya meminta ia menghasilkan imej padang bunga yang indah dan kemudian menambah seekor dinosaur. Ia berjaya melakukannya dengan baik tetapi apabila saya meminta ia menambah watak Iron Man bertarung dengan dinosaur, latar belakang gambar berubah sepenuhnya.

    "
    "
    Beberapa fungsi untuk menyemak dalam aplikasi MyASUS
    Ciri StoryCube ASUS

    Kemungkinan besar isu ini berkait dengan hak cipta watak seperti Iron Man, tetapi AI ini sebenarnya menggambarkan Iron Man seperti yang saya mahukan. Masalahnya, ia tidak dapat menambah watak itu ke dalam gambar sedia ada. Saya rasa AI ini masih perlu belajar lebih banyak. Fungsi AI Caption juga boleh diperbaiki.

    Pada awalnya, saya sangka ia adalah penterjemah automatik untuk kapsyen tetapi sebenarnya ia hanya bar alat yang menghasilkan kapsyen masa nyata. Fungsi ini berkesan tetapi apabila melibatkan istilah bahasa slanga, AI sering salah tafsir. Contohnya, ketika mendengar lirik lagu, AI memahami bahagian awal dengan betul tetapi apabila tiba di korus, ia tidak mengenal pasti perkataan seperti “Apateu” lalu menghasilkan teks rawak.

    Kamera inframerah pintar untuk mengunci komputer riba apabila saya tidak berada di hadapannya
    Gerak isyarat pintar pada pad jejak ini merupakan satu langkah yang genius!

    Selain itu, komputer riba ini juga dilengkapi alat AI lain seperti kamera AiSense untuk panggilan video dalam talian. Walaupun berguna, ciri seperti kabur latar belakang, pembetulan pandangan mata dan pembingkaian automatik hanya terasa bermanfaat dalam persekitaran sibuk seperti kafe. Aplikasi StoryCube juga tidak begitu mengagumkan kerana kebanyakan album foto telefon pintar sudah mampu melakukan fungsi yang sama.

    Walaupun ciri AI pada Zenbook S 16 belum begitu luar biasa, ia bukanlah segala-galanya. Satu ciri AI yang saya sukai ialah Adaptive Lock yang boleh memadamkan skrin apabila anda memalingkan muka dan cuba mengesan mata anda untuk tujuan keselamatan. Saya juga sangat menghargai gerak isyarat pintar pada pad sentuh, sesuatu yang saya belum lihat dilakukan oleh syarikat lain.

    Ah ya, paparan OLED!
    Zenbook S 16 dilengkapi dengan stilus di dalam kotak. Sangat berguna untuk menandatangani dokumen!

    Daripada sudut penggunaan, Zenbook S 16 adalah komputer riba yang hebat. Paparan 3K OLED 16 inci memberikan pengalaman tontonan yang memuaskan, pembesar suara berkualiti dan prestasi bateri sangat mantap. Jika anda hanya melakukan tugas ringan, baterinya boleh bertahan sehingga dua hari penuh. Teknologi pengecasan pantasnya boleh mengisi bateri sehingga 60% dalam masa kurang dari satu jam (bergantung pada penggunaan).

    Untuk pencipta kandungan, spesifikasinya cukup hebat untuk menyunting dan render video dengan pantas di mana sahaja. Sambungan WiFi 7 terbina dalam juga sangat mengagumkan dengan kelajuan penghantaran data yang lebih daripada dua kali ganda WiFi 6. Walau bagaimanapun, reka bentuknya yang nipis menyebabkan bahagian bawah komputer riba ini kadangkala menjadi agak panas dan kurang selesa apabila ia diletakkan di atas riba.

    Melukis lakaran apabila dengan bantuan AI
    Mainkan video dengan berbilang lapisan dengan lancar

    Walaupun begitu, Zenbook S 16 tetap menjadi pilihan yang sangat baik untuk bekerja secara mobil dengan bateri tahan lama, paparan berkualiti tinggi dan prestasi serba pantas. Namun, ada satu kekurangan lain yang perlu diperbaiki iaitu ciri Hibernate Helper. Fungsi ini bertujuan untuk mematikan komputer riba selepas beberapa waktu tidak digunakan.

    Tetapi apabila saya cuba menghidupkannya semula, ia enggan menyala, menyebabkan pengalaman yang mengecewakan. Selepas saya mematikan fungsi ini, masalah itu selesai. Dengan harga RM7,999, Zenbook S 16 memang berbaloi bagi mereka yang memerlukan komputer riba berkuasa dan mudah alih. Namun, jika anda seorang pemain permainan video, mungkin ROG Zephyrus G16 adalah alternatif yang lebih sesuai. Apa pendapat anda tentang Zenbook S 16 ini?

    Komputer riba yang hebat dengan kelemahan kecil

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi lengkap ASUS Zenbook S 16 (UM5606):

    • Pemproses: AMD Ryzen AI 9 HX 370
    • Grafik: AMD Radeon Graphics
    • RAM: LPDDR5X 32GB
    • Storan: 1TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD
    • Dimensi & Berat: 35.36 x 24.30 x 1.19 ~ 1.29 cm, berat 1.50kg
    • Paparan: Skrin sentuh OLED 3K (2880 x 1800), nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 120Hz, VESA CERTIFIED Display HDR True Black 500, disahkan Pantone, TÜV Rheinland-certified
    • Ciri-ciri: Copilot+, alat AI ASUS, StoryCube, MyASUS, kamera FHD dengan fungsi IR untuk Windows Hello
    • Kesambungan: Wi-Fi 7 (802.11be) (Tri-band) 2*2, Kad Wireless Bluetooth 5.4Port:
    • 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A
    • 2x USB 4.0 Gen 3 Type-C (sokongan paparan/pengecasan kuasa)
    • 1x HDMI 2.1 TMDS
    • 1x Jack Audio Kombo 3.5mm
    • Pembaca kad SD 4.0
    • Bateri: 78WHrs, 2S2P, 4-sel Li-ion (penyesuai kuasa TYPE-C, 65W AC Ultra Mini Adapter)
    • Sistem Operasi: Windows 11 Home

    Kelebihan – Ia mempunyai segala-galanya dalam satu pakej, daripada bateri ke paparan dan prestasi hebat untuk kerja.

    Keburukan – Sesetengah fungsi AI masih boleh dipertingkatkan dan komputer riba kadangkala menjadi panas. Hibernate Helper mempunyai bug (matikan sahaja dan semua akan okay).

    Kesimpulan – Walaupun terdapat kelemahan kecil, Zenbook S 16 ialah salah satu komputer riba profesional terbaik untuk digunakan bagi sesiapa yang memerlukan peranti ringan untuk berfungsi penuh.

     

    Artikel Terkini

    Acer perkenal 3 tablet Iconia Duo di Computex 2026 — Skrin OLED 14.2”, bateri...

    Acer mengumumkan tiga tablet baharu dalam siri Iconia Duo berasaskan Android di Computex 2026 yang menyasarkan pengguna profesional yang memerlukan peranti mudah...

    HUAWEI nova 15 Max dilancar di Malaysia dengan bateri 8,500mAh berharga RM1,699

    HUAWEI Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan nova 15 Max yang memfokuskan kepada ketahanan bateri, paparan besar dan ciri ketahanan tambahan untuk kegunaan...

    OPPO dan vivo dilapor bangunkan kamera vlog sendiri, bakal cabar dominasi DJI

    Pasaran kamera vlog mudah alih yang didominasi oleh DJI mungkin bakal menjadi lebih sengit apabila dua pengeluar telefon pintar China, OPPO dan...

    Siri realme P4 rasmi di Malaysia: P4 Power 5G tampil dengan bateri 10,001mAh pertama...

    realme telah melancarkan siri P4 di Malaysia yang terdiri daripada tiga model iaitu realme P4 Power 5G, realme P4x dan realme P4...

    REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 dilancar di Malaysia, bermula RM239

    Xiaomi hari ini mengumumkan pelancaran tiga peranti boleh pakai baharu di bawah sub jenama REDMI untuk pasaran Malaysia termasuk fon kepala over-ear...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...