fbpx
More

    Ulasan ConceptD 3 Ezel – Komputer riba dengan skrin mantap untuk golongan artis dan pelukis

    Pada Jun 2020, Acer telah memperkenalkan komputer riba baharu di bawah jenama ConceptD iaitu ConceptD 3 Ezel yang dikhaskan untuk pencipta kandungan (content creator) dan mereka yang terlibat dalam industri seni. Komputer riba ini menampilkan rekaan engsel yang menarik di mana skrinnya boleh dilaraskan ke sudut yang lebih selesa untuk dilukis menggunakan stilus. Untuk mengetahui sama ada komputer ini adalah sempurna untuk tugas-tugas ilustrasi anda, teruskan membaca ulasan untuk ConceptD 3 Ezel ini.

    Pada pandangan pertama pun, ConceptD 3 Ezel menarik perhatian kerana ia mempunyai engsel yang berada di tengah-tengah bahagian atasnya. Jika anda menunjukkan komputer ini kepada rakan-rakan anda, mereka pasti bingung mengapakah ia mempunyai engsel pada kedudukan tersebut. Selain itu, ketebalannya sebanyak 0.94 inci dan berat 1.73 kg membuatkan komputer ini nampak sangat mirip dengan komputer riba gaming yang tebal.

    Sebaik sahaja anda membuka komputer ini, ia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan ribuan komputer riba di luar sana. Untuk melihat ciri paling utama pada komputer ini, anda boleh membengkokkan skrin daripada bahagian bawah untuk menjadikannya rata atau diputar 180° di sekeliling engsel kedua. Ciri ini membolehkan anda untuk melaraskan sudut skrin mengikut kesesuaian anda sewaktu melakar untuk kedudukan yang lebih ergonomik.

    Skrin yang kami dapat berukuran 14 inci dan ia menghasilkan imej yang sangat cantik. Skrin sentuh ini mempunyai pengiktirafan PANTONE yang merangkumi gamut warna sRGB sebanyak 100% dan ketepatan warna E<2. Ini bertujuan membantu mereka yang sering menyunting gambar dan video agar warna yang dihasilkan adalah tepat dengan warna yang diinginkan.

    Untuk tontonan filem pula, anda boleh nikmati warna yang sangat jelas pada skrin ini, memang padan dengan visi yang dikehendaki oleh pengarah filem.

    Skrin ConceptD 3 Ezel menghasilkan warna yang sangat tepat dan terang

    Satu lagi ciri penting dalam ConceptD 3 Ezel adalah sebatang stilus Wacom AES yang berada di dalam komputer. Ia boleh dicabut dan digunakan pada skrin untuk melukis atau berinteraksi dengan sebarang ikon pada skrin. Fungsi ini amat berguna buat mereka yang menggunakan komputer untuk melukis dan anda tidak perlu risau tentang membawa stilus berasingan.

    Walau bagaimanapun, stilus ini bersaiz seperti lidi sate dan mungkin kurang selesa untuk dipegang atau digunakan dalam tempoh yang lama. Jika anda lebih menggemari stilus tebal mirip pen sebenar, anda perlu mendapatkan stilus luaran.

    Daripada segi rekaan keseluruhan, ConceptD 3 Ezel menampilkan mutu buatan yang kukuh dan rekaan yang sangat minimalis, lebih-lebih lagi dengan warna putih. Saya juga merasakan dua engsel pada komputer ini mampu tahan lama dan tidak akan bergerak langsung sewaktu anda melukis pada skrin.

    Daripada segi papan kekunci, komputer ini mempunyai kekunci yang sangat selesa untuk ditaip. Papan kekunci ini mempunyai cahaya dalaman (backlight) berwarna oren yang memudahkan anda untuk menggunakannya dalam suasana malap. Saya sendiri merasakan warna cahaya ini adalah agak aneh tetapi ia boleh dipadamkan dengan mudah. Ruang sentuh (trackpad) juga agak besar berbanding komputer riba lain dan ia amat responsif. 

    Daripada segi port, ConceptD 3 Ezel mempunyai segala port yang penting untuk seorang pencipta kandungan. Di bahagian kanan, ia mempunyai bicu audio 3.5mm, ruang kad memori dan dua port USB-A, manakala di bahagian kiri pula terdapat pengimbas cap jari, port USB-C, HDMI, Thunderbolt 3 dan palam kuasa.

    Saya amat menggemari pengalaman melukis pada skrin komputer ini. Saya tidak memiliki sebarang perisian khas untuk melukis seperti Adobe Illustrator, namun pengalaman saya dalam Paint sahaja sudah memudahkan saya untuk mewarnakan lukisan saya dengan mudah.

    Di samping itu, permukaan skrin pusam (matte) yang licin memudahkan saya untuk melukis padanya. Skrin yang boleh diputar ke atas juga memudahkan saya untuk melukis sambil duduk dan meletakkan komputer di atas paha. 

    Walaupun fokusnya hanyalah pada penciptaan kandungan, ConceptD 3 Ezel menampilkan spesifikasi yang agak tinggi dengan CPU Intel i7-10750H 2.60GHz dan GPU NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti Max-Q. Apabila digabungkan dengan storan SSD 1TB dan RAM 16GB, membuatkan komputer ini amat pantas untuk pelbagai kegunaan asas dan multimedia. Walau bagaimanapun, Acer Malaysia telah menyatakan kepada kami agar tidak melakukan ujian penanda aras (benchmark) kerana pemacu (drivers) untuk komponennya masih belum dimuktamadkan untuk pasaran Malaysia.

    Dengan GTX 1650 Ti, ConceptD 3 Ezel mempunyai prestasi yang baik untuk kebanyakan game terkini. Saya telah bermain game yang agak baru seperti Far Cry 5 (2018) dan GRID (2019) di mana komputer ini boleh menjana kadar bingkai konsisten 40-50fps pada tetapan grafik Ultra. Haba yang dihasilkan sewaktu melakukan tugas berat juga tidaklah terlalu tinggi.

    Malah, komputer ini tidak menghasilkan bunyi kipas yang terlalu bising sewaktu melakukan tugas berat atau bermain game. Walau bagaimanapun, saya ragu-ragu jika ia boleh menjana prestasi serupa untuk game AAA keluaran 2020 seperti Cyberpunk 2077 atau Microsoft Flight Simulator.

    Komputer ini tidak datang dengan perisian remeh (bloatware) yang terlalu banyak, sekadar perisian asas seperti ConceptD Pallete yang menunjukkan situasi asas seperti tahap penggunaan CPU, GPU dan RAM serta Acer Care Center yang membantu anda untuk menjaga komputer ini.

    Daripada segi bateri, ia mungkin agak mengecewakan kerana baterinya hanya mampu bertahan sekitar empat hingga lima jam. Ini mungkin akan menghadkan kebolehan anda untuk berkarya di luar jadi jangan tinggalkan pengecas anda di rumah.

    Untuk pembesar suaranya pula, mutu bunyi yang dihasilkan adalah agak mengecewakan. Ia langsung tiada bass dan kualitinya adalah sama dengan komputer kelas permulaan. Walaupun begitu, ia datang dengan perisian DTS:X untuk membantu anda menala (tune) audio dengan lebih terperinci untuk kegunaan sewaktu bermain game pelbagai genre atau menonton filem dengan memakai fon kepala. 

    Satu masalah berkaitan audio adalah komputer ini tidak boleh memainkan sebarang audio selepas saya menghidupkannya buat kali pertama. Saya terpaksa memuat turun pemacu audio daripada laman web sokongan Acer untuk menyelesaikan isu tersebut. Ia bukanlah satu masalah yang besar, namun ia adalah sesuatu yang anda perlu tahu jika mengalami masalah serupa. 

    Secara ringkas, saya berpendapat bahawa ConceptD 3 Ezel adalah pakej yang menarik buat mereka yang terlibat dalam industri kreatif, terutamanya ilustrator yang akan menghargai kebolehan untuk membuat lakaran di mana-mana tempat. Saya juga boleh membayangkan komputer ini digunakan sewaktu mesyuarat dengan klien di mana sebarang lukisan boleh dibuat dengan mudah. Buat penyunting gambar dan video pula, skrin yang boleh menghasilkan warna tepat pasti akan membantu anda untuk menghasilkan karya yang padan dengan visi kreatif anda.

    Buat masa ini, Acer Malaysia masih belum mengeluarkan harga rasmi untuk ConcepD 3 Ezel namun kami akan mengemas kini ulasan ini sebaik sahaja ia dimaklumkan. Tidak banyak komputer yang menawarkan mekanisme skrin seperti ini namun alternatif yang sesuai adalah komputer riba yang boleh dilipat 360° seperti Lenovo Thinkpad X13 atau Dell Inspiron 14 5406.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin IPS sentuh 1920 x 1080 dengan pengiktirafan PANTONE, gamut warna sRGB 100%, terdapat dalam 14 atau 15.6 inci
    • CPU Intel Core i7-10750H 2.60GHz
    • GPU NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti Max-Q dengan VRAM 4GB
    • RAM 16GB, storan SSD 1TB
    • Ukuran: 12.9 x 9.0 x 0.94 inci
    • Port: 2xUSB-A, 1xUSB-C, Thunderbolt kad memori SD, bicu audio 3.5mm, Thunderbolt 3, HDMI
    • Webcam 720p
    • Sokongan Wi-Fi 6
    • Windows 10 Pro

    Kebaikan: Skrin yang menghasilkan warna tepat dan selesa untuk membuat lukisan, boleh dilipat untuk melukis secara ergonomik di mana-mana sahaja

    Keburukan: Hayat bateri yang singkat, kualiti pembesar suara seperti komputer riba murah

    Kesimpulan: Komputer riba yang istimewa untuk pelukis dan golongan kreatif

     

    Artikel Terkini

    5 telefon “flagship” lama yang masih lagi menyengat pada 2024!

    Dalam pasaran telefon pintar Malaysia yang semakin dinamik pada setiap tahun, setiap jenama akan memperkenalkan telefon baharu dengan fungsi-fungsi dan spesifikasi terkini...

    AEON Bank bakal lancarkan Kad Debit-i Visa pada akhir suku kedua 2024

    AEON Bank telah mendedahkan kerjasama dengan Visa untuk memperkenalkan kad debit yang direka khas untuk pemegang akaunnya yang dikenali sebagai Kad Debit-i...

    YouTube perkenal ciri AI “Jump Ahead”, tontonan terus ke bahagian menarik video

    YouTube telah melancarkan ciri baharu yang dipanggil Jump Ahead (Langkau Kedepan) yang direka khusus untuk pelanggan Premium. Ciri ini dikuasakan oleh AI...

    vivo X100 Ultra, X100s & X100s Pro akan dilancar pada 13 Mei 2024

    vivo akan mengumumkan telefon pintar yang dinantikan iaitu vivo X100 Ultra pada 13 Mei ini bersama dua model andalan lain, vivo X100s...

    Mufti Selangor: Haram beli kad waranti atau waranti lanjutan secara berasingan

    Mufti Selangor sering menjawab pelbagai persoalan yang diutarakan. Terbaru, Mufti Selangor turut menjawab soalan melibatkan pembelian kad waranti atau waranti lanjutan bagi...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X