fbpx
More

    Ulasan DJI Pocket 2: Penstabilan tahap profesional dengan harga mampu milik!

    DJI adalah sebuah jenama yang terkenal dengan gimbal untuk penggambaran profesional, namun mereka turut menghasilkan gimbal untuk para pengguna biasa. DJI Pocket 2 yang dilancarkan pada bulan Oktober lalu adalah salah satu daripada produk tersebut, di mana ia merupakan sebuah kamera digital kecil yang dilengkapi dengan penstabilan gimbal 3 paksi.

    Tidak seperti gimbal profesional yang memerlukan latihan dan kemahiran tertentu, DJI Pocket 2 membolehkan sesiapa sahaja untuk merakam video yang stabil dengan sangat mudah. Cara penggunaannya adalah sama dengan kebanyakan kamera digital; hanya tekan butang rekod dan pengguna boleh terus merakam, tidak perlu melaraskan apa-apa tetapan lain. Jadi adakah ini kamera terbaik jika anda inginkan video yang stabil? Ayuh baca ulasan kami mengenainya.

    Daripada segi luaran, DJI Pocket 2 mempunyai bentuk yang menarik. Tidak seperti kebanyakan kamera digital yang mempunyai kelebaran seperti kad kredit, badan DJI Pocket 2 adalah kecil dan panjang, membuatkannya mudah disimpan dalam poket seluar anda. Ia terdiri daripada badan utama yang menempatkan bateri, butang dan skrin LCD, serta gimbal 3 paksi bermotor dan kamera. Dengan berat hanya 117g, ia sangat mudah untuk dibawa ke mana-mana. Sebagai rujukan, kebanyakan telefon pintar mempunyai berat sehingga 180g.

    DJI Pocket 2 hanya mempunyai tiga butang iaitu butang suis, butang mod untuk memilih di antara gambar atau video dan butang shutter untuk mula merakam atau mengambil gambar. Selain itu, terdapat juga sebuah skrin sentuh yang sangat kecil untuk melihat gambar yang dirakam. Walaupun skrinnya kecil, ia memadai untuk mengawal kamera ini serta membingkaikan (compose) rakaman anda.

    Jika anda inginkan “skrin” yang lebih besar, DJI Pocket 2 boleh digabungkan dengan telefon pintar anda melalui aplikasi DJI Mimo. Apabila dihubungkan dengan telefon, anda bukan sahaja boleh menggunakan skrin telefon sebagai viewfinder, malah boleh mengawal gerakan gimbal dengan lebih halus. Penghubung untuk USB-C dan Lightning turut disertakan dalam kotak bagi memudahkan pengguna peranti Android atau iPhone.

    Kamera ini juga mempunyai empat mikrofon yang dihadapkan ke depan, belakang, kiri dan kanan kamera bagi merakam audio daripada semua arah. Kualiti rakaman audionya tidaklah begitu jelas, namun sekurang-kurangnya anda tidak perlu risau tentang kedudukan mikrofon.

    Boleh dihubungkan dengan telefon melalui port USB-C atau Lightning
    DJI Pocket 2 mempunyai empat mikrofon (terletak dalam lubang kecil), satu di setiap permukaan bagi mendapatkan audio yang jelas daripada seluruh arah

    Memandangkan kamera ini mempunyai gimbal, biar saya ulaskan tentang kestabilan videonya terlebih dahulu kerana inilah kebolehan utama dalam DJI Pocket 2. Saya amat kagum dengan kebolehan kamera ini untuk merakam video yang stabil walaupun ketika saya berlari dengan sangat laju. Biasanya penstabilan seperti ini hanya terdapat pada gimbal profesional, namun kamera comel ini mampu menghasilkan imej stabil yang boleh menyaingi “abang-abangnya” yang lebih besar.

    Digabungkan dengan reka bentuknya yang kecil, membuatkan DJI Pocket 2 sesuai digunakan sambil melakukan aktiviti lain seperti menunggang basikal, berlari atau bercakap dengan cara vlog. Saya telah cuba merakam sambil berdiri di atas skateboard dan saya amat berpuas hati dengan video stabil yang dihasilkan oleh DJI Pocket 2, hampir seperti dalam filem wayang! Saya boleh bayangkan yang kamera ini boleh dimanfaatkan oleh vloggers yang sering merakam di luar kerana reka bentuknya yang ringan dan penstabilan kukuh.

    Kualiti videonya juga adalah sangat cantik. DJI Pocket 2 boleh merakam video pada resolusi 4K dengan kadar 60 bingkai sesaat (fps) untuk butiran yang lebih jelas. Selain itu, ia mempunyai kebolehan zum digital sehingga 4x yang masih stabil sewaktu anda zum sehingga hujungnya. Kualiti video jatuh sedikit sewaktu anda zum, namun ia tidaklah terlalu ketara.

    Buat mereka yang gemarkan video gerak perlahan seperti saya, DJI Pocket 2 boleh merakam sehingga 240 fps untuk efek perlahan yang sangat jelas. Malah, segala proses memperlahankan video boleh dibuat dalam kamera, jadi anda tidak perlu mengeksportnya ke dalam komputer untuk diperlahankan dalam perisian suntingan. Walau bagaimanapun, video gerak perlahan tidak merakam audio.

    Walaupun dengan sensor CMOS yang kecil sekadar 1/1.7 inci, DJI Pocket 2 masih mempunyai fungsi videografi yang baik termasuk sistem autofokusnya mampu mengesan subjek dengan cepat, manakala video pada waktu malap juga tidak banyak noise selagi terdapat sumber lampu yang cukup.

    Bagaimana pula dengan gambar? DJI Pocket 2 mampu untuk mengambil gambar yang cantik, terutamanya dengan apertur sebesar f/1.8 untuk gambar mirip telefon flagship. Buat mereka yang gemar menyunting gambar pula, kamera ini boleh mengambil gambar 64MP dengan format RAW untuk lebih banyak fleksibiliti dalam suntingan.

    Satu fungsi yang agak menghiburkan saya adalah mod panorama. Biasanya dalam kamera-kamera lain, untuk mengambil panorama, pengguna sendiri perlu bergerak dan mengalihkan kedudukan kamera dari kiri ke kanan. Dengan DJI Pocket 2, anda hanya perlu berdiri tegak kerana gimbalnya sendiri yang akan bergerak dan mengambil gambar panorama anda.

    Saya telah pun memaklumkan bahawa DJI Pocket 2 boleh dihubungkan dengan telefon pintar untuk lebih banyak kawalan. Fungsi yang paling membantu tentunya adalah penjejakan ActiveTracking di mana pengguna boleh memilih objek yang ingin dijejak oleh gimbal dengan melakar sebuah kotak pada objek tersebut. Aplikasi DJI Mimo juga memudahkan pemindahan fail daripada kamera ke telefon untuk dimuat naik ke dalam media sosial, serta menawarkan fungsi suntingan video ringkas.

    Sungguh pun begitu, saya berpendapat bahawa kamera ini tidak lagi seronok digunakan jika ia dihubungkan dengan telefon kerana kini saya perlu memegang dua buah objek yang agak besar untuk merakam video. Apa yang membuatkan DJI Pocket 2 seronok digunakan adalah saiznya yang kecil dan mudah digunakan dengan satu tangan, jadi kehadiran telefon pintar telah memadamkan kemudahan tersebut kerana saya perlu menggunakan dua tangan. Saya merasakan fungsi hubungan telefon pintar ini boleh dimanfaatkan oleh pembikin filem yang ingin merakam video sinematik tanpa berbelanja besar untuk gimbal.

    Aplikasi DJI Mimo boleh digunakan untuk menetapkan subjek yang perlu diikut oleh kamera DJI Pocket 2. Dalam gambar di atas, kamera berwarna hitam itu telah dikenal pasti sebagai subjek oleh DJI Pocket 2 dan akan memastikan subjek sentiasa berada dalam bingkai

    Hayat bateri kamera ini juga agak baik. Saya telah membuat ujian ringkas di mana kamera ini boleh merakam video 1080p berterusan selama sejam untuk 50% daripada hayat bateri, namun ini tidak melibatkan sebarang gerakan gimbal. Jadi jika ia digunakan di luar bersama gerakan gimbal, baterinya boleh tahan sekitar 1 jam 45 minit. Jika anda menggunakannya untuk merakam klip-klip pendek sewaktu percutian anda, saya pasti ia boleh tahan sehingga satu hari.

    Namun satu perkara yang saya kurang gemar adalah DJI Pocket 2 boleh jadi agak panas dengan cepat. Kamera ini tidak mempunyai sebarang had rakaman jika kamera menjadi panas, namun saya risau jika haba ini akan mengganggu ketahanan baterinya dalam jangka masa panjang. Walaupun dengan merakam video selama lima minit, permukaan suam boleh terasa pada badan kamera ini. Ia tidaklah terlalu panas, namun ia adalah sesuatu yang anda perlu tahu sebelum membeli kamera ini.

    Mengakhiri ulasan ini, DJI Pocket 2 boleh disimpulkan sebagai gabungan kamera+gimbal yang sangat mantap untuk kegunaan santai dan aktiviti harian. Namun, pada pendapat saya perkara yang terbaik pada kamera ini bukanlah pada prestasi videografinya tetapi pada harganya iaitu RM1,549. Benar, ia bukanlah kamera yang murah namun harganya adalah lebih rendah daripada saya sangkakan kerana biasanya teknologi gimbal dikaitkan dengan harga yang sangat mahal. Kawan-kawan saya sendiri agak tertarik dengan harga tersebut, malah ada juga yang berminat untuk membelinya.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Ciri teknologi dan spesifikasi

    • Dimensi: 124.7×38.1×30 milimeter
    • Berat: 117g
    • Penstabilan 3 paksi untuk gerakan ke sisi (pan), senget (tilt) dan putar (roll)
    • Sensor kamera CMOS 1/1.7 inci dengan resolusi 64MP
    • Lensa f/1.8 dengan jarak fokal 20mm, sudut penglihatan 93°
    • Rakaman video sehingga 4K (3840×2160) 60 fps
    • Sokongan fotografi 16MP atau 64MP
    • Bateri 875mAh
    • Menyokong aplikasi DJI Mimo untuk kawalan daripada telefon pintar

    Kebaikan: Video yang sangat stabil, resolusi sehingga 4K 60fps, harga berpatutan

    Keburukan: Cepat panas

    Kesimpulan: Sesuai untuk mereka yang inginkan video mirip sinematik dan profesional dengan mudah dan tanpa berbelanja besar

     

    Artikel Terkini

    Apple hentikan usaha pembangunan skrin MicroLED untuk Apple Watch

    Tahun lalu, Apple mendedahkan bahawa mereka ingin membangunkan Apple Watch dengan paparan MicroLED (LED Mikro). Ia akan menjadi paparan yang lebih besar...

    Infinix GT 20 Pro muncul dalam pensijilan FCC, dedahkan spesifikasi utama

    Infinix sedang mengusahakan pengganti Infinix GT 10 Pro dengan model baharu iaitu Infinix GT 20 Pro yang muncul pada platform pensijilan FCC...

    Spotify lancarkan Miniplayer untuk Mac dan Windows

    Spotify mengumumkan penampilan sulung ciri baharu pada kedua-dua macOS dan Windows yang dipanggil Miniplayer. Ia kini tersedia untuk pelanggan Spotify Premium sahaja....

    CelcomDigi Metaversity™ bawa landskap baharu dalam pendidikan tinggi di Malaysia

    CelcomDigi telah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melancarkan kaedah pembelajaran berasaskan CelcomDigi Metaversity™ pertama di Malaysia. Inisiatif ini bakal melonjakkan pembangunan...

    AS failkan saman terhadap Apple kerana monopoli haram pasaran

    Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyertai Kesatuan Eropah (EU) dalam mengambil tindakan terhadap Apple kerana memegang monopoli telefon pintar haram ke atas pasaran....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X