fbpx
More

    Ulasan Edifier Hecate GM4 – Fon telinga wayarles ‘gaming’ berlatensi rendah yang bagus, mesra poket

    Kembali lagi bersama kami untuk ulasan fon telinga Edifier dan kali ini kami akan mengulas mengenai earbuds Edifier Hecate GM4. Dipasarkan sebagai earbuds untuk gaming mudah alih, anda mungkin mencari perbezaannya di antara earbuds wayarles yang lain memandangkan kebanyakan earbuds wayarles bukan untuk gaming mempunyai masalah latensi (masa tindak balas) semasa gaming.

    Disenaraikan dengan harga RM399, Hecate GM4 ini masih dijual dengan harga promosi RM199 sehingga kini (setakat tarikh artikel ini ditulis). Jadi, adakah ianya berbaloi untuk dibeli atau ada pilihan produk lain yang lebih baik? Kami senaraikan kelemahan dan kebaikan dalam ulasan Edifier Hecate GM4 untuk rujukan anda.

    Izinkan kami memanggilnya dengan nama GM4. GM4 ini mempunyai bekas pengecas yang agak unik. Rekaan ini sememangnya selari dengan imej gaming dan mengingatkan kami kepada peranti ASUS ROG. Ia mempunyai tiga bar dengan lampu LED biru jika ianya dibuka atau semasa pengecasan (akan diulas kemudian). Di dalam bekas pengecas, anda akan mendapat sepasang earbuds wayarles dengan huruf H pada kedua-dua belah dan kelipan lampunya seakan mengucapkan salam perkenalan kepada anda. Menarik!

    Terdapat buku panduan, kabel USB-C, gantian silikon dengan saiz berbezo, dan earbuds wayarles dalam bekas pengecas
    Port USB-C di sebelah kanan
    Rekaan menarik

    Selain reka bentuk menarik, keseluruhan badannya terasa seperti plastik. Ia mungkin mengingatkan anda tentang rasa ‘murah’ yang anda dapat dari produk yang dibeli di Pasar Malam. Walau bagaimanapun, rasa plastik ini tidak mengganggu kami kerana apa yang penting adalah prestasinya.

    GM4 serasi dengan peranti Android atau iOS, jadi tidak ada masalah untuk anda menghubungkannya dengan peranti anda (kami diberitahu ia juga boleh dihubungkan dengan konsol game anda). Kawalan sentuhnya boleh jadi mengelirukan jika anda tidak melihat panduan memandangkan terdapat beberapa arahan yang tersedia. Kedua-dua belah fon telinga mempunyai fungsi yang berbeza, tetapi panduan secara dalam talian adalah tidak lengkap. Jadi, kami menyediakan senarai arahan kawalan sentuh seperti di bawah:

    • Main/Jeda – Sentuh 2 kali salah satu fon telinga
    • Lagu sebelumnya – Tekan fon telinga sebelah kiri selama 2 saat
    • Lagu seterusnya – Tekan fon telinga sebelah kanan selama 2 saat
    • Mod Game – Sentuh fon telinga sebelah kanan 3 kali
    • Jawab dan meletakkan panggilan – Sentuh 2 kali mana-mana belah fon telinga
    • Tolak panggilan – Tekan mana-mana belah fon telinga selama 2 saat
    • Pembantu suara – Sentuh fon telinga sebelah kiri 3 kali

    Fuhh, agak panjang senarai panduan untuk sepasang earbuds wayarles. Tapi, lama-kelamaan anda akan ingat dan terbiasa dengannya. Apa pun, disebabkan saiznya yang agak besar, agak janggal untuk melakukan kawalan sentuhan. Tambahan pula, pemakaiannya agak tidak selesa walaupun hanya selama 30 minit atas sebab tertentu (telinga pengulas meronta meminta udara). Pengulas cuba menukar gantian silikon dengan saiz berbeza pada hujung fon telinga, tetapi ia masih berasa tidak selesa. Apa pun, masalah tidak selesa ini mungkin hanya berlaku kepada pengulas, bukan kepada anda.

    Perkara lain yang terlihat adalah terdapat ciri Game Mode pada panduan kawalan sentuh. Menurut Edifier, Game Mode menawarkan latensi (masa tindak balas) rendah bersama teknologi pengurangan hingar CVC8 (versi lebih rendah dari Pembatalan Hingar Aktif [ANC]) untuk pengalaman gaming lebih baik. Anda mungkin ingat tiada perbezaan di antara mod biasa dan Game Mode, tetapi jika anda mendengar secara teliti, anda akan dapat mendengar audio yang sedikit lebih baik.

    Gantian silikon yang boleh ditukar
    Lampu LED akan menyala jika anda memakainya dan bunyi tidak akan terhenti jika anda menanggalkan fon telinga

    Contohnya, anda akan dapat mendengar bunyi tapak kaki musuh dalam Call of Duty Mobile dan bunyi tembakan juga adalah lebih pantas jika menggunakan Game Mode. Untuk muzik, kami boleh katakan bahawa semua genre muzik boleh dimainkan dengan baik jika anda bukan penggemar audio bertahap tinggi. Jika anda mengaktifkan Game Mode untuk muzik, bass kedengaran lebih baik, tetapi tidak melebihi treble dan mid. Tidak ketinggalan fungsi Music Mode. Tidak semua lagu (khususnya bukan EDM dan rock/metal) dimainkan dengan baik pada Game Mode. Jadi, pemilihan antara Music Mode dan Game Mode adalah bagus untuk memudahkan pengguna menukarnya.

    Berkenaan jangka hayat bateri, GM4 mampu bertahan sehingga 4 jam seperti yang dinyatakan oleh Edifier. Namun, telinga anda mungkin tidak selesa jika memakainya sepanjang 4 jam. Apabila digabungkan dengan bekas pengecas, GM4 mampu bertahan beberapa hari (kami berani cakap mungkin selama seminggu) jika anda hanya menggunakannya untuk gaming. Bercakap mengenai pengecasan, bekasnya mempunyai cara unik untuk menyuruh anda mengecasnya iaitu; nyalaan tiga bar lampu LED. Ia mungkin mengelirukan jika lampu LED di tengah tidak menyala.

    Lampu yang menandakan tahap bateri
    Hmmm.. Apakah maksud ini?
    Ya, sememangnya kalis air
    Bagus untuk gaming mudah alih

    Di awal ulasan, kami ada menulis mengenai pemakaian fon telinga yang tidak selesa, tetapi bergantung kepada si pemakai. Keselesaan ialah perkara yang subjektif. Apa pun, kami gembira dengan kualiti audio dan mod gaming latensi rendah yang baik. Sejujurnya, banyak jenama yang kononnya tampil dengan fungsi latensi rendah (low-latency) untuk gaming, tetapi fungsinya tidak sebaik yang diperkatakan. Jadi, jika anda sedang mencari earbuds wayarles dengan harga berpatutan untuk gaming mudah alih, anda boleh mempertimbangkan Edifier Hecate GM4. Ianya berbaloi.

    Ciri teknologi dan spesifikasi

    • Penyahkodan audio – Teknologi PixArt
    • Unit pembesar suara – unit gegelung bergerak 5.8mm
    • 95 desibel, 20Hz – Julat frekuensi 20KHz, 32Ω
    • Bluetooth 5.0 (Jarak 10m)
    • Teknologi pengurangan hingar CVC8
    • Kawalan Multi-Sentuhan (Multiple Touch Controls)
    • Latensi (masa tindak balas) rendah 65ms (Gaming Mode) dan letensi rendah 200ms (Music Mode)
    • Hayat bateri tahan sehingga 16 jam (earbuds 4 jam + bekas pengecasan 12 jam)
    • Kalis air IPX5

    Kelebihan – Kualiti bunyi bagus, latensi rendah sebenar untuk gaming, bekas pengecasan dan rekaan earbuds menarik, kalis air IPX5

    Kelemahan – Panduan kawalan sentuh agak suaah, mungkin selesa atau tidak selesa dipakai dan anda mungkin tidak suka binaan plastiknya

    Kesimpulan – Setakat yang kami tahu, ini adalah earbuds wayarles yang paling bagus dan berpatutan untuk gaming mudah alih

     

    Artikel Terkini

    U Mobile buka kedai pertama di Sabah, perkukuhkan kehadiran di Malaysia Timur

    U Mobile telah melancarkan kedai pertama di Malaysia Timur yang terletak di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu, Sabah. Kedai khidmat lengkap ini...

    Ulasan HONOR X7b 5G – ‘Entry level’ tapi macam ‘mid-range’?

    HONOR X7b versi 5G telahpun dilancarkan pada 22 April 2024 di pasaran Malaysia dengan harga RM899 memberikan spesifikasi tersendiri dan membawa storan...

    Kerjasama PETRONAS, CelcomDigi bakal transformasi tekno-digital 5G untuk sektor tenaga

    PETRONAS dan CelcomDigi bekerjasama melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu usaha transformasi digital dan kemampanan untuk industri tenaga dengan memanfaatkan kuasa...

    TSMC bakal hasilkan cip dengan proses 1.6nm menjelang 2026

    TSMC mengumumkan proses pembuatan 1.6nm untuk cip dan ia juga termasuk rangkaian penghantaran kuasa yang meningkatkan kecekapan kuasa dan ketumpatan transistor dengan...

    Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro tawar hadiah sehingga RM10,000, acara bakal diadakan pada...

    Sempena pelancaran Infinix GT 20 Pro pada 2 Mei ini, Infinix Malaysia akan menganjurkan Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro iaitu sebuah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X