fbpx
More

    Ulasan Edifier X3 – TWS yang baik dengan harga berpatutan

    Produk audio Edifier terdahulu yang diulas adalah fon kepala gaming Edifier G4 (melalui TechNave) pada tiga tahun lalu, dan rakan pengulas kami masih menggunakannya sehingga kini. Melalui hal tersebut, anda mungkin boleh menjangkakan kualiti produk Edifier adalah baik. Ulasan ini pula akan berkisar tentang fon telinga (earbuds) wayarles Edifier X3.

    Jika anda fikir Edifier hanya sekadar menyertai trend terkini jenama telefon pintar yang menghasilkan fon telinga True Wireless Stereo (TWS), anda salah. Syarikat ini sebenarnya telah menghasilkan beberapa produk audio sebelum trend penghasilannya popular. Lebih menarik, X3 ini hadir dengan harga sangat berpatutan dalam julat harga TWS iaitu RM129. Ketahui pandangan rakan pengulas setelah menggunakan Edifier X3 selama seminggu.

    Earbuds wayarles Edifier X3 dan perumah pengecasannya
    Reka bentuknya nampak tebal dan besar
    Bekas pengecasannya menggunakan port mikroUSB

    Bermula dengan rekaannya, ia kelihatan seakan earbuds wayarles biasa yang lain. Anda boleh memilih mengikut citarasa anda sama ada hitam atau putih. Kami telah mendapat varian berwarna hitam yang kelihatan kemas. Bekas pengecasannya juga kelihatan kemas dan kukuh, kualitinya tidak seperti versi murahan di pasar malam seperti sesetengah jenama lain dan anda juga dapat melihat kewujudan port mikroUSB di belakangnya.

    Seperti earbuds lain, anda boleh menggunakan mana-mana saiz tip silikon telinga yang terkandung dalam kotak. Tip telinganya juga agak besar, namun percayalah bahawa agak susah untuk earbuds ini tertanggal dari telinga walaupun anda sengaja menggoncangkan kepala. Bagus Edifier! Walaupun earbuds ini bertahan secara ergonomik di telinga, anda juga akan ingin menanggalkannya untuk memberi ruang pernafasan kepada telinga jika anda menggunakannya dalam tempoh yang lama.

    Apa yang anda dapat dalam kotak

    Kawalan Sentuhan di X3 membenarkan anda mengawal muzik dan panggilan di telefon. Anda hanya perlu mengetik (tap) sekali untuk play/pause atau menjawab/menamatkan panggilan. Ketik dua kali untuk memainkan muzik seterusnya, ketik tiga kali untuk kembali ke muzik sebelumnya dan tekan selama beberapa saat sehingga pembantu suara kedengaran. Kawalan Sentuhan ini boleh digunakan pada kedua-dua belah earbud, namun terdapat satu sahaja perkara yang tidak disukai; reka bentuknya yang tebal dan besar membuatkan pergerakan semasa kawalan sentuhan agak menganggu. Apa pun, ini hanyalah pendapat peribadi sebagai pengulas.

    Mengenai ciri lain, terdapat sambungan Bluetooth menggunakan versi 5.0 dan rating tahan percikan air dan debu IP54. Ya, ini bermakna anda boleh menggunakan earbuds wayarles X3 untuk melakukan aktiviti senaman tanpa perlu bimbang jika ia terjatuh secara tidak sengaja. Tambahan pula, terdapat teknologi pembatalan hingar CVC 8.0, namun perlu diingatkan bahawa ia tidak sama seperti Pembatalan Hingar Aktif (ANC). Versi CVC ini sememangnya berfungsi, namun anda masih boleh mendengar sedikit bunyi di sekitar anda jika persekitaran terlalu bising.

    Kepada penggemar audio, usah risau kerana Edifier X3 ini menyokong penyahkodan audio Qualcomm aptX. Kadar penyahkodannya menyokong sehingga 352kbps di mana kualiti bunyi menyamai CD, jadi ianya memadai. Namun, anda juga perlu diingatkan bahawa ianya bergantung kepada kualiti fail MP3 anda, fail bertahap rendah akan menghasilkan bunyi biasa sahaja dan X3 juga tidak akan dapat membantu apa-apa. Secara keseluruhan, kualiti audionya adalah memuaskan.

    Berdasarkan pengalaman penggunaan Edifier X3 selama seminggu, muzik jenis EDM adalah yang terbaik untuk didengar. Bass tidaklah pada tahap yang sangat baik seperti Beats, tetapi ia agak seimbang untuk treble dan tidak seberapa baik untuk mid. Jika anda sukakan muzik akustik, bunyi strum gitar yang dihasilkan mungkin tidak seperti yang anda jangkakan. Perlu diingatkan juga tentang ketiadaan kawalan penyama (equalizer) Edifier untuk mengawal treble, mid dan bass, jadi ianya agak mengecewakan untuk penggemar audio (kecuali jika telefon anda mempunyai penyama tersendiri). Apa pun, penggunaan dalam jangka masa lama mungkin membuatkan anda menjadi terbiasa walaupun tanpa kawalan penyama, atau mungkin juga anda tidak akan terbiasa dan tidak menyukainya.

    Bagaimana pula dengan tontonan video dan game? Ya, tiada masalah untuk itu, namun telinga anda mungkin perlu ruang pernafasan selepas satu jam (anda perlu menanggalkannya dari telinga sebentar). Untuk penstriman video seperti YouTube, rakan pengulas mendapati bahawa terdapat kecenderungan untuk meninggikan kelantangan bunyi bagi mendapatkan kepuasan, namun tidak pada gaming di telefon pintar. Pengulas tidak mencuba untuk game popular seperti Call of Duty: Mobile (COD) memandangkan ianya bukan earbuds khusus untuk gaming. Pengulas hanya mencuba dengan game Cytus 2 dan Voez, hasilnya adalah baik. Kualiti bunyi panggilan keluar masuk juga baik.

    Kualiti audio mungkin biasa sahaja untuk sesetengah pengguna, namun berbeza pula dengan prestasi baterinya. Edifier X3 dikatakan mampu bertahan sehingga 6 jam semasa muzik dimainkan dan pengulas telah mencubanya. Jika anda hanya menggunakannya lebih kurang 2-3 jam sehari, ia mungkin boleh bertahan selama lebih 2 minggu, dengan syarat bekas pengecasan perlu dicas penuh.

    Secara keseluruhan, earbuds wayarles Edifier X3 ialah peranti yang baik. Harga RM129 ialah harga yang lebih berpatutan daripada produk TWS milik jenama telefon pintar yang lain. Hal ini kerana ia hadir dengan kualiti audio dan ketahanan bateri yang baik. Sememangnya, kualiti audio masih boleh diperbaiki, namun kita tidak boleh mendapatkan segalanya dengan julat harga sebegitu. Untuk anda yang mencari earbuds, anda boleh mempertimbangkan Edifier X3. Jika anda mempunyai jangkaan lebih terhadap kualiti audio, anda boleh melihat produk lain.

    Ciri teknologi dan spesifikasi Edifier X3

    • Qualcomm aptX, kadar penyahkodan sehingga 352kbps
    • Frekuensi Audio – 16bit/44/1kHz
    • Frekuensi Respon – 20Hz – 20KHz
    • Sensitiviti – 95dB
    • Bluetooth V5.0
    • Ketahanan bateri – 6 jam (earbuds) + 18 jam (bekas pengecasan)
    • Jarak wayarles – 10 meter
    • Tahan percikan air dan debu IP54, Kawalan Sentuhan, Pembantu Suara, Pembatalan Hingar CVC 8.0
    • Berukuran 17 x 25mm (earbuds), 53 x 39 x 24mm (bekas pengecasan)

    Kebaikan – Kualiti audio yang baik untuk pengguna kasual, jangka hayat bateri mantap, reka bentuk ergonomik baik untuk melekap di telinga dan ciri tahan percikan air & debu IP54.

    Kelemahan – Kualiti audio mungkin biasa sahaja untuk penggemar audio berkualiti tinggi, tidak sesuai untuk dipakai dalam jangka masa lama dan tiada penyama Edifier untuk ubah suai citarasa muzik sendiri.

    Kesimpulan – Pengguna yang mencari sepasang fon telinga TWS yang sekadar boleh berfungsi dengan baik perlu pertimbangkan Edifier X3.

    Adakah anda setuju dengan ulasan kami? Beritahu kami di laman Facebook dan baca ulasan teknologi lain melalui Rakan Teknologi Utama Malaysia.

     

    Artikel Terkini

    Redmi Note 13R dilancar: SD 4 Gen 2 dan skrin 120Hz bermula ~RM907

    Selepas mengeluarkan Redmi Note 13R Pro tahun lepas, anak syarikat Xiaomi kini melancarkan varian standard peranti tersebut iaitu Redmi Note 13R di...

    Samsung sindir iklan Apple iPad Pro 2024 dengan video “Uncrush”

    Apple telah melancarkan iPad Pro 2024 baharunya dengan cip M4. Walau bagaimanapun, kemunculannya telah mencipta kontroversi dengan iklan Crush!. Iklan itu mungkin...

    Samsung Galaxy Z Fold6 muncul dalam Geekbench dengan Snapdragon 8 Gen 3, RAM 12GB

    Peranti boleh lipat Samsung Galaxy generasi seterusnya akan dikeluarkan pada 10 Julai dan kini, salah satu telefon pintar dalam barisan tersebut telah...

    Twitter secara rasmi telah tamat, beralih kepada domain X.com

    Landskap media sosial telah mengalami perubahan ketara dengan peralihan lengkap Twitter kepada X. Ini berikutan langkah besar yang dimulakan oleh pengambilalihan Elon...

    Anthony Loke: Tiada rancangan untuk mewajibkan pemasangan “dashcam”

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa tiada rancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam (kamera papan pemuka) di semua kenderaan di negara...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X