fbpx
More

    Ulasan Enco Air2 – Fon telinga wayarles selesa dengan mikrofon jelas

    Di samping pelancaran Reno7 Series 5G, OPPO juga telah mengumumkan generasi kedua fon telinga wayarles Enco Air. Fon telinga tersebut ialah Enco Air2 yang kini hadir dengan dua kesan bunyi stereo baharu iaitu Bass Boost dan Clear Vocals.

    OPPO Enco Air 2 menggunakan reka bentuk klasik OPPO Enco Air tetapi dengan saiz lebih kecil dan ringan serta menambah reka bentuk pada bahagian kawalan sentuhan. Baru-baru ini, kami diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan OPPO Enco Air2. Namun, adakah fon telinga ini sesuai untuk tugasan harian anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Pada kotak OPPO Enco Air2 memaparkan ciri-ciri yang terdapat pada fon telinga wayarles ini. Ciri-ciri tersebut ialah penutup sarung pengecas jeli lut sinar, pembesar suara diafragma bersalut titanium komposit 13.4mm, fon kepala ultra-ringan 3.5g, 2 jenis kesan bunyi stereo Enco Live, 24 jam hayat bateri dan kependaman (latency) rendah Bluetooth 5.2.

    Sarung pengecas OPPO Enco Air 2 meneruskan reka bentuk penutup jeli separa lut sinar seperti generasi sebelumnya tetapi dengan saiz yang kecil dan ringan. Badan sarung pengecas diperbuat daripada plastik dengan kemasan matte termasuk bahagian penutup lut sinarnya.

    Fon telinga yang terletak di dalam sarung pengecas boleh dilihat secara samar-samar melalui penutup kotak dan anda boleh mengetahui sama ada fon telinga berada dalam sarung pengecas tanpa membuka penutupnya.

    Berat sarung pengecas OPPO Enco Air2 adalah kira-kira 39.9g. Secara keseluruhan, fon telinga ini ringan dengan berat hanya 3.5g setiap satu. Ia juga boleh disimpan dengan mudah di dalam poket. Enco Air2 tersedia dalam warna biru dan putih dan unit yang kami terima ialah warna putih.

    Fon telinganya mempunyai bentuk seperti Apple AirPods dengan batang (stem). Selama saya menggunakan fon telinga ini tidak sedikit pun saya rasa sakit atau tidak selesa (walaupun memakainya hampir 4 jam) kerana reka bentuknya yang kecil, ringan dan ergonomik.

    Ia sangat ringan dan anda tidak akan terasa beban untuk memegangnya. Terdapat kod S/N produk dicetak pada engsel kotak pengecasan dan bahagian bawahnya terdapat port USB-C untuk pengecasan. Selain itu, sarung pengecas OPPO Enco Air2 mempunyai logo jenama OPPO pada engsel di bahagian belakang.

    Walaupun harganya mesra bajet, Enco Air2 datang dalam pembungkusan yang eksklusif dan tidak terasa murah langsung. Mudah untuk digunakan dan menyimpan semula kerana terdapat magnet pada bahagian dalamnya. Jika dibandingkan dengan fon telinga wayarles yang lain, anda tidak perlu risau dengan baterinya kerana magnet tersebut akan terus melekatkan batang fon telinga pada tempat pengecasnya.

    Nombor siri pada engsel penutup sarung pengecasnya

    OPPO Enco Air2 menyokong semua jenis telefon pintar dan boleh disambungkan dengan mudah melalui Bluetooth 5.2. Apabila penutup dibuka, secara pantas ia akan disambungkan pada telefon anda. Jika fon telinga berada di luar sarung pengecasnya, anda boleh menekan dan menahan kawasan sentuhan pada kedua-dua fon telinga selama 4 saat untuk memasuki mod sambungan. Jika anda memakainya, anda akan mendengar empat bip serentak yang menunjukkan bahawa anda boleh menyambungkannya kepada peranti baharu.

    Kawalan sentuh telah dipertingkatkan dalam Enco Air2 baharu termasuk:

    • Sentuh dua kali: Langkau trek, jawab atau tutup panggilan dan ambil gambar
    • Sentuh tiga kali: Aktifkan Mod Gaming atau pembantu suara
    • Sentuh dan tahan fon telinga kiri untuk merendahkan kelantangan dan fon telinga kanan untuk meningkatkan kelantangan

    Kawalan boleh disesuaikan melalui aplikasi HeyMelody di mana anda juga boleh menyemak status bateri kedua-dua fon telinga dan sarung serta memuat turun kemas kini.

    Fon telinga OPPO Enco Air 2 telah dinaik taraf dalam kesan audio yang dilengkapi dengan diafragma bersalut titanium komposit 13.4mm. Ciri ini direka bentuk untuk menghasilkan bass yang lebih baik jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Selain itu, terdapat akustik Blu-ray OPPO untuk menetapkan dua pilihan kesan bunyi bass dan vokal mengikut kesesuaian pendengar.

    Selepas memakai fon telinga ini, OPPO Enco Air2 memberikan pengalaman pemakaian yang sangat selesa. Walaupun saya memakainya beberapa jam, saluran telinga tidak berasa sakit. Ketika mendengar lagu yang dinyanyikan oleh Adele yang bertajuk Easy On Me, saya dapat dengarkan setiap muzik dan instrumen yang dimainkan. Jika hendak dibandingkan dengan AirPods generasi pertama yang saya pernah milki, fon telinga ini jelas lebih baik daripada segi kualiti muzik yang dihasilkan.

    Terdapat lubang mikrofon pada bahagian atasnya yang berfungsi untuk menyelaraskan bunyi ambien bagi membatalkan hingar semasa panggilan. OPPO Enco Air2 juga mempunyai permukaan rata yang menempatkan kawasan sentuhan pada bahagian batangnya bagi memudahkan pengguna mengawal sentuhan ketika memakainya. Walaupun ia ringkas, namun saya rasa ia adalah salah satu ciri yang baik lebih-lebih lagi ketika hendak menurunkan kelantangan atau langkau lagu.

    Hayat bateri sangat memberangsangkan kerana ia mempunyai hayat bateri sehingga 24 jam dengan sarung pengecasan. Tanpa sarung, fon telinga boleh bertahan selama 4 jam masa mendengar. Pengecasan penuh mengambil masa 1.5 jam.

    Walaupun saya tidak menghadapi masalah membiasakan diri dengan kawalan sentuhannya, namun saya rasa tidak selesa dan menyusahkan kerana perlu menyentuh dua kali untuk menjeda atau memainkan lagu. Melalui pengalaman selama ini menggunakan fon telinga wayarles yang lain, saya hanya perlu menyentuh sekali sahaja. Saya harap dalam kemas kini seterusnya akan mempunyai penambahbaikan daripada syarat kawalan sentuhan.

    Selain itu, dengan pengaktifan mod Bass Boost menjadikan bass lebih kuat dan jelas. Melalui aplikasi HeyMelody, mod Clear Vocals juga boleh diaktifkan apabila anda mendengar lagu dan anda akan menikmati vokal dan treble yang lebih jelas.

    Kepada pengguna yang gemar bermain game, anda dinasihatkan untuk mengaktifkan Mod Gaming yang boleh mengurangkan kependaman (latency) serendah 80ms. Dalam mod ini, visual yang ditunjukkan pada skrin dan bunyi akan bergerak seiringan. Ketika bermain game yang mementingkan arah bunyi seperti PUBG dan Free Fire, setiap bunyi arah tembakan dan tapak kaki disekeliling dapat didengari dengan jelas. Perbualan bersama rakan ketika dalam game juga jelas.

    OPPO Enco Air2 baharu ialah pilihan yang baik dan mampu milik jika anda mencari versi AirPods yang jauh lebih murah. Kualiti audio telah dipertingkatkan dengan dua kesan bunyi baharu serta Mod Gaming yang memberikan pengalaman gaming tanpa lag. Pergerakan visual dan bunyi seakan tiada rasa delay langsung. Walaupun harganya rendah, ia masih mempunyai penarafan IPX4 sesuai untuk anda pakai ketika bersenam kerana kalis air.

    OPPO Enco Air2 mempunyai reka bentuk ergonomik yang sesuai dengan telinga manusia dan saya berasa tidak sakit selepas memakainya untuk masa yang lama. Ia juga menggunakan algoritma kecerdasan buatan untuk mensimulasikan sistem pendengaran binaural manusia. Fungsinya adalah dengan memproses suara manusia secara bijak, menapis bunyi persekitaran dan menghasilkan panggilan suara yang jelas.

    Namun, terdapat dua perkara yang saya kurang gemar tentang fon telinga wayarles ini. Pertamanya, walaupun ia nampak seperti sebuah produk yang premium, tetapi apabila anda memakainya, ia rasa seperti fon telinga wayarles yang murah (mungkin kualiti bahan plastik yang digunakan dan rasa sangat ringan).

    Selain itu, saya kerap membetulkan kedudukannya pada saluran telinga kerana ia mudah ‘tergelincir’ mungkin kerana bentuknya yang sedikit kecil dan tidak serasi dengan saiz telinga saya. Ia akan mengganggu waktu memainkan lagu kerana kedapan bunyi penting ketika memakai fon telinga wayarles. Oleh kerana sering ‘tergelincir’, penghasilan bunyi yang ingin disampaikan juga terganggu kerana kehadiran ruang pada sekeliling saluran telinga.

    Ringkasnya, OPPO Enco Air2 adalah produk baharu yang telah dipertingkat daripada generasi sebelumnya yang menawarkan keselesaan, audio yang mantap, sambungan yang tiada delay dan harga mesra bajet. Dengan segala ciri yang ada pada fon telinga ini, saya meletakkan OPPO Enco Air2 dalam senarai hajat (wishlist).

    Spesifikasi lengkap OPPO Enco Air2:

    • Pemacu: Pemacu dinamik 13.4 mm
    • Sensitiviti pemacu: 128 ± 3 dB
    • Kadar tindak balas kekerapan: 20 Hz – 20 kHz
    • Kepekaan mikrofon: -38 dBV / Pa
    • Codec Bluetooth: AAC / SBC versi Bluetooth 5.2
    • Jarak Bluetooth: 10 m
    • Kapasiti bateri: 27 mAh (Fon telinga) /440 mAh (Sarung Pengecasan)
    • Masa main (50% kelantangan): 4 jam (sekali cas)/24 jam (dengan Sarung Pengecasan)
    • Masa mengecas: 1.5 jam (Fon telinga)/ 2 jam (Fon telinga + Sarung Pengecasan)
    • Port Pengecasan: USB-C
    • Kalis air: IPX4
    • Berat: 39.9 g
    • Pilihan warna putih dan biru

    Kebaikan: Rekaan ergonomik dan selesa dipakai dalam tempoh yang lama

    Keburukan: Kualiti bahan yang digunakan dan mudah ‘tergelincir’ daripada telinga

    Kesimpulan: Kualiti bunyi dan sambungan yang ditawarkan sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan

    Anda boleh dapatkan OPPO Enco Air2 di laman rasmi OPPO Malaysia dengan harga RM249 atau di Shopee. Adakah anda berminat dengan fon telinga wayarles ini? Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X