Kadang-kala saya merasa pelik kerana industri teknologi seolah-olah berfikir bahawa pengguna yang gemar peranti bersaiz besar turut mempunyai akaun bank yang besar. Inilah fikiran yang timbul dalam minda saya apabila Google Pixel 10 Pro XL dilancar iaitu varian termahal dalam siri Pixel 10 (bermula RM5,999) dan turut dilengkapi skrin Actua 6.8 inci.
Di samping itu, ia dilengkapi cipset Google G5 Tensor, RAM 16GB, zum Pro Res sehingga 100x, magnet PixelSnap di bahagian belakang dan banyak lagi. Jadi adakah telefon ini berbaloi dengan harga tersebut? Adakah prestasinya sepantas telefon lain dengan harga serupa? Ayuh baca ulasan penuh untuk Google Pixel 10 Pro XL yang telah dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris:
Rekaan – Macam sama, tapi bukan


Daripada segi luaran, Pixel 10 Pro XL tidak membawa banyak perubahan, terutamanya pada rekaan dan pengalaman memegang. Seperti generasi sebelumnya, ia mempunyai bahagian bucu yang membulat dan bahagian sisi yang rata. Bahagian hadapan dan belakang dilitupi kaca yang rata sepenuhnya, manakala bonggol kamera berbentuk pil di belakang telefon menempatkan tiga kamera.
Ukurannya kekal sama dengan ketebalan 8.5mm, namun berat Pixel 10 Pro XL adalah lebih tinggi sebanyak 11 gram berbanding Pixel 9 Pro XL, mungkin kerana ia kini mempunyai magnet PixelSnap. Jika anda tidak tahu, PixelSnap adalah sebuah ciri magnetik yang serupa dengan MagSafe yang terdapat pada peranti Apple dan ia menyokong pengecasan wayarles Qi2 sehingga 25W.


Lebih aneh, walaupun dengan ukuran yang serupa dengan generasi sebelumnya, kedudukan bonggol kamera berbentuk pil ini telah berubah sedikit. Ini bermaksud jika anda merancang untuk pakaikan sarung Pixel 9 Pro XL pada telefon ini, ia tidak akan muat. Jadi, anda perlu dapatkan sarung baharu.
Ia ditawarkan dalam pilihan warna Moonstone, Jade, Porcelain dan Obsidian. Unit yang dipinjamkan kepada kami ialah Moonstone yang nampak seperti warna kelabu terang. Skrin LTP OLED Actua Display berukuran 6.8 inci juga nampak lebih terang, dengan kecerahan puncak sehingga 3,300 nits.


Ini membuatkannya lebih mudah dilihat apabila anda berada bawah cahaya matahari. Ia juga masih mempunyai kadar segar semula 120Hz, menyokong HDR10+ dan dilindungi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 (depan dan belakang).
Casis aluminium yang mengelilinginya rasa premium, dengan butang kuasa dan volume di bahagian sisi kanan. Sebuah port USB Type-C berada di bahagian bawah dengan dua pembesar suara, manakala ruang kad SIM berada di bahagian atas.
Sarung silikon masih perlu dibeli secara berasingan dan ia menjadikan Pixel 10 Pro XL nampak seperti sebuah bata. Mujur ia rasa tidak licin seperti tahun lepas.
Spesifikasi – Lebih banyak AI dan ciri-ciri kamera flagship
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Pixel 10 Pro XL:
- Skrin OLED 6.8 inci, resolusi 1344×2992, kadar segar semula 1-120Hz, kecerahan puncak 3,300 nits, kaca Gorilla Glass Victus 2
- Cipset Google Tensor G5
- RAM 16GB
- Storan dalaman 256GB atau 512GB
- Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 48MP + kamera telefoto 48MP dengan zum optikal 5x, zum digital sehingga 100x
- Kamera hadapan 42MP, medan penglihatan 103°
- Bateri 5,200mAh, boleh bertahan lebih daripada 24 jam
- Pengecasan pantas 45W, boleh cas sehingga 70% dalam masa 30 minit
- Pengecasan wayarles 25W
- Port USB-C 3.2
- Pembesar suara stereo, 3 mikrofon
- Sistem operasi Android 16, akan menerima kemas kini selama 7 tahun
- Fungsi Google AI: Gemini Nano, Gemini, Pixel Screenshots, Magic Cue, Circle to Search, Live Translate, Clear Calling
- Rating kalis air IP68
- Pilihan warna Moonstone, Jade, Porcelain, Obsidian
- Harga: bermula RM5,999

Seperti varian lain dalam siri telefon ini, Pixel 10 Pro XL dikuasakan oleh cipset Google Tensor G5. Perbezaan ketara selain daripada skrin 6.8 inci 3,300 nits hanyalah pada RAM 16GB dan bateri besar 5,200mAh.
Seperti Pixel 10 Pro, Pixel 10 Pro XL mempunyai tiga kamera di belakang iaitu kamera utama 50MP dengan penstabilan imej optikal (OIS), kamera ultra-lebar 48MP dan kamera telefoto periskop 48MP dengan OIS, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 42MP.


Google juga menyertakan Super Res Zoom 100x dalam kameranya serta pendakap magnetik PixelSnap yang menyokong pengecasan wayarles Qi2 25W serta boleh digunakan bersama pelbagai aksesori Apple MagSafe.
Dengan Gemini, Pixel 10 Pro XL juga menawarkan pelbagai fungsi Generative AI seperti Pixel Studio, Gemini Live, Circle to Search dan Live Translate.


Fungsi kecerdasan buatan (AI) yang menarik perhatian saya termasuklah Ask Photos di mana anda boleh sunting gambar dengan menaip apa yang anda ingin lakukan. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan di Amerika Syarikat, namun anda boleh lakukan tugas yang serupa dalam Google Gemini. Terdapat juga Reimagine, namun ia berkemungkinan menggantikan terus kawasan yang dipilih dalam gambar.
Satu lagi ciri AI yang diiklankan adalah Magic Cue yang sepatutnya mempersembahkan maklumat penting sewaktu anda memerlukannya. Walau bagaimanapun, saya tidak boleh membuatkan Magic Cue memenuhi tugasnya, walaupun selepas mengaktifkan segala tetapan berkaitan.



Camera Coach juga ditawarkan dalam Pixel 10 Pro XL. Ia merupakan sebuah fungsi yang akan mengimbas kawasan sekeliling dengan kamera, kemudian membuat cadangan gambar dan AI akan menyediakan langkah-langkah yang mudah diikuti. Ia masih perlu bergantung kepada anda untuk mengambil gambar, namun ia pasti akan dimanfaatkan oleh mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan fotografi.
Seperti biasa untuk telefon Pixel, antara muka (UI) Android 16 yang terdapat telefon ini adalah versi stock yang tidak mempunyai banyak bloatware. Satu-satunya bloatware yang disertakan adalah aplikasi Fitbit, manakala aplikasi-aplikasi media sosial lain perlu dipasang oleh anda sendiri. Anda juga akan menerima kemas kini sistem operasi selama tujuh tahun dan kemas kini Pixel Drop (termasuklah langganan Google AI Pro selama setahun dan storan 2TB).
Prestasi – Lebih sejuk berbanding Pixel 10?

Walaupun Google Pixel 10 Pro XL tidak banyak berbeza dengan varian Pixel 10 lain daripada segi prestasi, saya perasan bahawa ia lebih dingin berbanding varian lain apabila bermain game prestasi tinggi. Ini mungkin kerana saiznya yang lebih besar bermaksud terdapat lebih banyak ruang untuk kamar penyejukan wap (vapour cooling chamber) dan membuatkan telefon ini rasa selesa pada tangan.
Seperti varian lain yang dilengkapi cipset Tensor G5, penanda aras untuk Pixel 10 Pro XL menunjukkan ia setaraf telefon flagship generasi sebelumnya. Namun, ini bukanlah satu keburukan.

Dengan penggunaan biasa, Google Pixel 10 Pro XL boleh bertahan selama lebih dua hari dengan sekali pengecasan, atau lebih spesifik sekitar 1 hari 17 jam. Pengecasan mengambil masa sekitar dua jam dengan pengecas biasa. Telefon ini boleh menghasilkan audio yang agak lantang dan jelas dan skrinnya sesuai digunakan untuk menonton filem.
Telefon ini masih boleh memainkan game grafik tinggi seperti Genshin Impact dengan tetapan 60fps tanpa sebarang lag yang ketara dan suhu telefon juga tidak jadi terlalu panas. Walaupun terdapat laporan yang mengatakan anda tidak boleh memainkan Genshin Impact dengan lancar pada siri Pixel 10 kerana GPU-nya, saya memainkan tahap Nod-Krai tanpa sebarang masalah.
Seperti generasi sebelumnya, Pixel 10 Pro XL cemerlang dalam mod makro atau fotografi jarak dekat tanpa perlu memerlukan lensa makro. Dengan zum tambahan, anda boleh dapatkan gambar yang jelas dari jarak jauh. Saya merasakan ia lebih bagus jika ia boleh menstabilkan secara automatik, tanpa perlu menekan ikon stabil (stabilise).
Sungguh pun begitu, terdapat sesuatu yang tidak padan apabila anda mengambil gambar dalam jurang zum 30x hingga 100x. Apabila mengambil gambar, pada asalnya ia nampak berpiksel, jadi anda mungkin perlu susun komposisi dengan lebih baik. Namun apabila anda lihat gambar itu kemudian, ia nampak lebih cantik.

Saya andaikan inilah fungsi Super Res Zoom yang akan menjelaskan butiran dalam gambar zum jauh, namun ia tidak sempurna setiap masa. Kadang-kala, ia memunculkan artefak yang sebenarnya tidak ada di situ pun, jadi siap sedia untuk mengambil lebih daripada satu gambar.
Pada kebanyakan masa, Pixel 10 Pro XL boleh hasilkan gambar yang cantik. Saya boleh ambil gambar bulan dengan jelas, membuktikan kebolehannya untuk mengambil gambar zum jauh walaupun dalam situasi malap. Anda boleh lihat sendiri contoh gambar di bawah:












Kesimpulan – Pixel untuk gamer dan penggiat fotografi
Secara keseluruhan, Google Pixel 10 Pro XL bukan sahaja telefon yang paling besar dalam siri Pixel 10, malah ia merupakan varian yang sesuai jika anda seorang gamer atau pengambil gambar. Skrin dan kamar wap yang lebih besar memastikan prestasi yang tinggi untuk kebanyakan game.
Tambahan lagi, kamera pada Pixel 10 Pro XL adalah sangat versatil dan boleh menangani gambar makro dan super zoom dengan bagus. Saya perlu maklumkan bahawa Super Res Zoom sejauh 100x boleh berikan hasil yang agak aneh, namun ia mungkin akan diperbaiki dalam kemas kini akan datang.

Walau bagaimanapun, kerana pelbagai ciri-ciri penting seperti Magic Cue atau Ask Photos masih belum diberikan, Pixel 10 Pro XL rasa seperti sebuah peranti yang belum “masak” sepenuhnya. Apa-apa pun, dengan kemas kini selama tujuh tahun, kami menjangkakan Google akan memperbaiki isu-isu yang telah diutarakan tadi pada masa akan datang.
Jika anda sedang mencari alternatif, Samsung Galaxy S25 Ultra adalah pilihan yang paling menarik kerana ia didatangkan dengan Galaxy AI, Space Zoom 100x, Nightography, S Pen dan banyak lagi pada harga RM5,099. Sungguh pun begitu, fungsi-fungsi Google AI adalah lebih versatil.
Jadi adakah anda menyukai Google Pixel 10 Pro XL? Atau adakah Pixel 10 standard sudah cukup untuk keperluan AI dan fotografi anda? Jangan lupa untuk baca dulu ulasan Pixel 10 dan Pixel 10 Pro kami untuk rujukan anda.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
[Diterjemahkan daripada TechNave]







