Akhirnya, siri telefon pintar Google Pixel 9 sudah dijual secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Sebagai salah satu perintis untuk Android, kami sebenarnya sudah lama menanti apakah yang ditawarkan oleh Google Pixel 9, terutamanya kerana telefon-telefon ini diketahui dengan kebolehan kameranya serta fungsi-fungsi AI terkni oleh Google.
Jadi, adakah ia berjaya memenuhi reputasinya? Ayuh baca ulasan Pixel 9 kami yang ditulis oleh pengarang TechNave Bahasa Inggeris untuk mengetahuinya:
Rekaan – Tidak banyak berubah daripada trend masa kini
Daripada segi rekaan, nampaknya Pixel 9 mengikuti gaya rekaan iPhone dengan bahagian sisi besi yang rata dan skrin rata dengan bucu membulat. Perbezaan utama hanya datang daripada bonggol kamera berbentuk pil yang berada di bahagian belakang.
Disebabkan itu, apabila telefon ini didirikan, ia nampak seperti watak dalam game popular Among Us. Sewaktu memegang, telefon ini mempunyai mutu buatan yang kukuh dan selesa dipegang pada tapak tangan.
Unit ulasan kami didatangkan dalam warna hijau Wintergreen, dengan bahagian belakang rata yang dibuat daripada kaca dengan logo Google yang ringkas. Butang kuasa dan volume berada di bahagian kanan, manakala port USB-C dan pembesar suara berada di bahagian bawah. Bonggol kameranya yang besar bermaksud telefon ini tidak boleh dibaringkan dengan rata pada bahagian belakangnya. Dengan berat 198 gram dan ketebalan 8.5mm, ia rasa lebih berat dan tebal sedikit berbanding kebanyakan telefon dalam pasaran.
Di bahagian hadapan, skrin Actua 6.3 inci adalah sangat cantik dengan kadar segar semula 120Hz yang lancar. Di bahagian atas, terdapat sebuah lubang punch-hole untuk kamera hadapan 10.5MP Dual PD, manakala kacanya dibuat daripada Corning Gorilla Glass Victus 2 dengan salutan kalis cap jari pada permukaannya. Seperti biasa, pengimbas cap jari berada di bahagian bawah.
Google Malaysia juga meminjamkan sarung rasmi kepada kami (besar kemungkinan, anda perlu membelinya secara berasingan) dan kami berpendapat ia agak licin untuk dipegang. Ia juga membuatkan Pixel 9 ini nampak seperti sebuah bata silikon. Seperti lain-lain jenama telefon pintar, Pixel 9 hanya didatangkan dengan kabel USB-C dan dokumen-dokumen penting dalam kotaknya, jadi anda perlu dapatkan pengecas dan sarung secara berasingan.
Spesifikasi teknologi – Gabungan pelbagai kategori mid-range
Berikut adalah spesifikasi teknologi untuk Google Pixel 9:
- Cip Google Tensor G4
- RAM 12GB
- Storan dalaman 128GB/256GB
- Skrin Actua Display 6.3 inci (OLED, resolusi 1080×2024, kaca Corning Gorilla Glass Victus 2, HDR, kadar segar semula sehingga 120Hz, kecerahan puncak 1800-2700 nits)
- Kamera utama 50MP (f/1.68, sensor 1/131″) + kamera ultra-lebar 48MP dengan Macro Focus (f/1.7)
- Kamera hadapan 10.5MP (f/2.2 autofokus, sudut penglihatan 95 darjah)
- 152.8 x 72 x 8.5mm | 198 gram
- Bateri 4,700mAh (pengecasan pantas, pengecasan wayarle3s Qi)
- Menampilkan pemproses keselmatan Titan M2
- Rating kalis air IP68
- Badan aluminium dikitar semula 100%
- Sistem operasi Android 14
- Kemas kini sistem operasi dan Pixel Drop selama 7 tahun
- Pengimbas cap jari, Face Unlock
- Spatial audio, Audio Noise Suppression, pembesar suara stereo, tiga mikrofon
- Menyokong port USB Type-C 3.2, Dual SIM (1x nano SIM + eSIM)
- Menyokong WiFi 7 802.11be, Bluetooth v5.3, NFC, Google Cast, 5G
- Pilihan warna Peony, Wintergreen, Porcelain, Obsidian
Dengan cipset Google Tensor G4, RAM 12GB dan storan 256GB, Google Pixel 9 datang dengan pelbagai fungsi telefon kategori pertengahan dan pertengahan-atas (upper-midrange). Ini termasuklah skrin OLED Actua 6.3 inci dengan kadar segar semula 120Hz, HDR dan kecerahan puncak sehingga 2,700 nits.
Memandangkan Pixel 9 menggunakan Android versi stok, ia tidak mempunyai bloatware langsung. Ini juga bermaksud anda perlu pasang sendiri semua aplikasi media soial popular seperti Facebook dan Instagram. Dengan RAM 12GB dan skrin dengan kadar segar semula yang tinggi, pengalaman menatal adalah sangat lancar dan responsif.
Walaupun dengan lambakan fungsi Google AI seperti latar belakang (wallpaper) janaan AI, Pixel Studio dan Magic Editor dalam aplikasi Photos, hanya sejumlah kecil sahaja yang sudah disepadukan dengan operasi keseluruhan. Ini bermaksud anda boleh gunakannya jika anda mahu, atau mengabaikannya terus.
Terdapat fungsi kamera yang dibantu AI seperti Pan Shot, yang menyediakan efek gerakan seperti anda lakukan panning shot untuk objek yang bergerak dan Long Exposure untuk menangkap garisan cahaya (light trails) dan gerakan aksi (motion shots). Terdapat juga fungsi unik Add Me yang membenarkan anda ambil gambar individu lain, kemudian beri telefon ini kepada individu tersebut untuk memasukkan anda dalam gambar akhir, supaya anda dan individu itu boleh berada dalam gambar bersama-sama.
Prestasi – Berfungsi baik, namun jelasnya ia dibuat untuk Gen AI
Walaupun dengan markah taraf pertengahan dalam ujian penanda aras kami, cipset Tensor M4 berfungsi dengan baik untuk kegunaan harian dan bermain game. Kami boleh memainkan COD Mobile dan Genshin Impact pada tetapan grafik tinggi dengan kadar 60fps, walaupun permukaan belakangnya jadi agak suam.
Bateri 4,700mAh boleh bertahan selama sehari setengah dengan penggunaan biasa. Dengan pengecas yang sesuai, anda boleh mengecasnya sehingga 100% dalam tempoh sekitar sejam. Skrin Actua nampak cantik, namun skrinnya yang berukuran 6.3 inci ini agak kecil untuk menonton filem. Sungguh pun begitu, pembesar suaranya sangat kuat dan jelas, walaupun dalam volume tertinggi.
Dengan kamera ultra-lebar 48MP, Google Pixel 9 sangat bagus untuk fotografi makro. Apabila anda mendekatkan kameranya dengan sebuah objek, mod makro akan diaktifkan secara automatik dan gambarnya nampak jelas. Sebaliknya, gambar zum tidak menghasilkan butiran yang jelas seperti mod makro, namun ini boleh dijangka kerana zum optikalnya yang sekadar 2x.
Kami akui bahawa pada mulanya, kami berharap Google boleh melakukan pasca-pemprosesan (post-processing) canggih dengan zum digital 7x, namun mungkin ini adalah angan-angan sahaja. Mungkin ia akan datang dalam kemas kini yang akan diterima dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
Dengan fungsi fotografi yang dibantu oleh AI, kebanyakan masanya anda boleh dapatkan gambar cantik dengan mengikut arahan yang dipaparkan pada skrin, namun kadang-kala Google AI boleh jadi “terlalu pandai”. Sebagai contoh, mod Long Exposure hanya boleh diambil dalam situasi tertentu, dan tempoh pengambilan gambar akan berubah bergantung kepada AI. Ini boleh menyebabkan penghasilan gambar garisan cahaya yang tidak seperti anda inginkan dan mungkin akan menjengkelkan ahli fotografi yang berpengalaman. Anda boleh lihat contoh-contoh gambar di bawah:
Tindakan “terlalu pandai” ini dipaparkan dalam lain-lain fungsi AI seperti fungsi Add Me yang boleh jadi agak rumit dan terus berhenti (hang) sewaktu menunggu anda bergerak ke posisi yang sesuai. Mujur sekali, fungsi seperti Night Mode dan Video Stabilisation boleh berfungsi dengan bagus. Mod Long Exposure juga boleh dibuat tanpa memerlukan tripod atau penapis ND. Gambar yang diambil dalam situasi malap pula nampak cantik dan jelas, manakala rakaman video juga nampak stabil, melainkan anda berlari.
Gemini juga sangat laju dan responsif pada Google Pixel 9, ia boleh menjana gambar dan teks dengan pantas. Circle to Search masih berfungsi dengan sangat bagus, dan Pixel Studio adalah sebuah penjana imej Imagen 3 AI yang boleh menjana imej lebih pantas berbanding Gemini dalam telefon bukan Pixel. Jika anda tidak berminat dengan Gen AI, kami fikir anda tidak akan memanfaatkan fungsi-fungsi ini, selain daripada Circle to Search.
Malangnya, Gemini hanya disepadukan dalam aplikasi Gmail sahaja, jadi tidak ada fungsi AI yang direka khas untuk produktiviti, walaupun ia terdapat dalam Google Workspaces. Seperti beberapa telefon lain, Pixel 9 boleh menjana transkripsi daripada rakaman suara, namun kami merasakan hasil transkripsinya tidaklah sentiasa tepat. Kami berharap Google boleh meningkatkan ketepatan transkripsi dalam kemas kini akan datang.
Kesimpulan – Agak mahal, tapi bagus untuk Gen AI dan fotografi makro
Secara keseluruhan, Google Pixel 9 adalah telefon kompak yang bagus untuk kategori pertengahan-atas. Ia boleh mengambil gambar lanskap dan makro yang cantik, malah mempunyai fungsi Google AI yang canggih serta akan menerima kemas kini selama tujuh tahun. Dengan harga RM3,699 (lebih rendah berbanding RM3,999 sewaktu pelancarannya), ia agak mahal untuk telefon saiz ini. Perlu diingati bahawa ini adalah telefon Pixel terkini yang paling murah di Malaysia setakat ini.
Walaupun terdapat sejumlah pengulas lain yang tidak gemar dengan prestasi Tensor G4, ia cemerlang dalam aspek lain (seperti AI) yang tidak boleh dicapai oleh cipset lain. Apabila digabungkan dengan kamera Pixel 9 yang sangat bagus dan penerimaan kemas kini selama tujuh tahun, ini adalah pakej yang berbaloi.
Telefon lain yang sesuai dipertimbangkan sebagai alternatif termasuklah Samsung Galaxy S24 (RM3,159) yang lebih nipis dan turut mempunyai pelbagai fungsi AI (kecuali penjana imej AI) dan kamera yang bagus.
Jadi adakah anda berminat dengan Google Pixel 9? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
[Diterjemahkan daripada TechNave]