fbpx
More

    Ulasan GoPro HERO9 Black: Lebih stabil, lebih resolusi dan lebih seronok!

    Sebut sahaja perkataan “GoPro” dan saya pasti gambaran aksi-aksi sukan lasak dan pengembaraan seluruh dunia yang dirakam dengan kamera kecil berbentuk kiub akan terpapar dalam fikiran anda. Jenama tersebut memang sudah sinonim dengan kameranya yang tahan lasak dan mudah untuk dibawa ke mana sahaja.

    GoPro HERO9 Black yang baru dilancar pada September lalu meneruskan tradisi tersebut, dengan rekaan ikoniknya yang membuatkannya mudah dikenal oleh sesiapa pun. Akan tetapi adakah ia sekadar sebuah lagi kamera GoPro HERO atau pun ia menawarkan fungsi yang lebih bagus berbanding model-model tahun lepas? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahui sama ada slogan “More Everything” itu ada benarnya atau tidak.

    Sebaik sahaja saya memegang kamera HERO9 Black, saya dapat merasakan mutu buatannya yang amat kukuh dan padu. Untuk memberi gambaran mudah kepada anda, bayangkan seketul batu yang boleh merakam video dan mengambil gambar. Saya rasa itulah kenyataan yang paling sesuai untuk menggambarkan keutuhan kamera ini.

    HERO9 Black menampilkan rekaan yang kukuh

    Selain daripada itu, rekaannya amat ringkas dengan hanya dua butang sahaja iaitu butang kuasa di bahagian sisi dan butang rakaman di bahagian atas. Ruang untuk bateri, kad memori microSD dan port USB-C berada dalam sebuah ruang yang boleh dibuka dengan selak (latch) khas, namun selak tersebut agak ketat. Ini bertujuan untuk memastikan keupayaan HERO9 Black yang boleh ditenggelamkan sehingga 10 meter. Pada waktu pertama saya ingin membuka selak tersebut, ia boleh dikatakan agak keras dan memerlukan sedikit kekuatan untuk membukanya.

    Di samping itu, mungkin ciri yang paling ikonik dalam HERO9 Black adalah kewujudan sebuah skrin di bahagian hadapan, terletak di sebelah kanta. Tidak seperti skrin hadapan dalam kamera sebelum ini yang hanya menunjukkan tetapan rakaman (record settings), skrin hadapan HERO9 Black menampilkan warna penuh yang boleh digunakan untuk rakaman swafoto dan vlogging.

    Skrin hadapan HERO9 Black adalah sangat berguna untuk vlogging
    Pemasang (mounting) yang terdapat pada HERO9 Black untuk digabungkan dengan aksesori lain
    Selak ini agak ketat bagi mengelakkan air daripada memasuki ruang bateri
    HERO9 Black hanya mempunyai dua butang fizikal iaitu butang kuasa di bahagian kiri (kiri) dan butang rekod di bahagian atas (kanan)

    Saya sendiri amat menggemari skrin ini kerana saya boleh memposisikan muka saya di tengah-tengah rakaman untuk vlogging. Kualiti warna skrin ini bukanlah bagus, malah anda boleh lihat piksel-piksel warna pada skrin (mengingatkan saya kepada skrin telefon Nokia zaman 2000-an) namun kualiti warna bukanlah keutamaan di sini, kerana tujuannya hanyalah untuk membantu anda merakam diri sendiri dengan lebih baik.

    HERO9 Black meneruskan fungsi skrin sentuh di bahagian belakang yang diperkenalkan dalam HERO8. Saya sebenarnya tidak pernah menggunakan kamera GoPro sebelum ini, namun saya pernah guna kamera sukan jenama lain. Sungguhpun begitu, saya tidak mempunyai masalah yang besar dalam membelek-belek menu dan antara muka (interface) yang terdapat dalam HERO9 Black. 

    Skrin belakang GoPro HERO9 berukuran 2.27 inci meliputi hampir seluruh saiz kamera

    Semua menunya disusun secara teratur, saya jadi selesa mengubah tetapan kamera ini selepas mempelajarinya dalam masa lima minit. Skrinnya juga terang dan boleh digunakan walaupun di bawah cahaya matahari terik. Walau bagaimanapun, usah jangkakan tindak balas mirip skrin telefon pintar dalam kamera ini. Anda perlu leretkan jari anda secara perlahan bagi memudahkan skrin untuk membaca gerakan jari anda. Jika anda leret dengan pantas, ia mungkin tidak dapat membaca gerakan jari.

    Jika anda jenis yang malas untuk berinteraksi dengan skrin, HERO9 Black mempunyai kawalan suara (voice control) yang sangat bagus, selagi anda tidak berada dalam kawasan yang bising. Saya hanya perlu menyuarakan arahan dalam Bahasa Inggeris dan HERO9 boleh memahaminya (walaupun sebutan Inggeris saya mempunyai loghat Malaysia yang pekat).

    Menu HERO9 Black mungkin nampak pelik pada mulanya, namun anda akan menyesuaikan diri dengan pantas

    Kini ayuh kita beralih pula kepada kualiti videonya. Seperti yang boleh diharapkan daripada jenama besar seperti GoPro, video yang dihasilkan nampak cantik walaupun jika ia dirakam dalam resolusi sederhana seperti 1080p. HERO9 Black mengekalkan profil warna GoPro yang agak pekat (saturated), namun jika anda inginkan warna yang lebih pudar, anda boleh tetapkannya kepada flat.

    Teknologi penstabilan HyperSmooth 3.0 bertindak dengan sangat cemerlang. Saya menggunakan kamera ini untuk merakam aksi-aksi skateboarding dan kualiti video nampak sangat lancar seperti sebuah gimbal telah digunakan. Jika ia digunakan untuk rakaman vlogging pula, tiada langsung kesan getaran atau naik-turun yang disebabkan oleh gerakan tangan atau langkah kaki. Secara asal, HERO9 Black menetapkan HyperSmooth 3.0 kepada High dan ia boleh ditinggikan lagi kepada Boost, namun saya rasa ia tidak perlu kerana High sudah cukup bagus dan penstabilan Boost akan nampak sangat pelik.

    Satu lagi fungsi penstabilan unik dalam HERO9 Black adalah Horizon Leveling, di mana ia akan ‘mengunci’ garis ufuk relatif kepada permukaan tanah. Ini akan membuatkan rakaman anda nampak stabil walaupun jika kamera dipusingkan. Untuk melihat fungsi ini dengan lebih jelas, tonton video di bawah:

    GoPro turut mengetengahkan fungsi rakaman 5K dalam HERO9 Black, namun ia hanya boleh dirakam pada kadar 30 bingkai sesaat (frames per second, fps). Fungsi rakaman TimeWarp 3.0 juga amat menarik, di mana anda boleh mengambil video time-lapse dengan stabil walaupun jika anda bergerak atau berjalan. Video time-lapse sambil bergerak biasanya amat sukar untuk dibuat jika gimbal luaran tidak digunakan namun HERO9 Black boleh menghasilkannya tanpa sebarang aksesori khas.

    Jika anda jenis yang menggemari video gerak perlahan pula, HERO9 Black boleh merakam sehingga 240fps pada resolusi 1080p. Saya telah menggunakannya untuk memperlahankan video skateboard di tengah-tengah udara dan saya amat berpuas hati dengannya. Malah, gerak perlahannya boleh dibuat terus dalam kamera dan tidak perlu suntingan dalam komputer.

    HERO9 Black juga boleh digunakan untuk mengambil gambar dan kualitinya amat memuaskan. Ia lengkap dengan fungsi-fungsi standard seperti pemasa (timer), penggambaran HDR dan pilihan untuk menyimpan gambar dalam format RAW.

    Prestasi video dan gambar pada waktu malap tidaklah cemerlang dalam HERO9 Black, namun ini adalah sesuatu yang boleh dijangkakan. Kamera ini dilengkapi sensor yang kecil jadi ia tidak dapat mengumpul cahaya dengan lebih banyak dalam situasi malap. Jika anda ingin mengambil gambar pada waktu malam, jangan lupa untuk mengaktifkan Night Mode dalam tetapan, namun bezanya dengan mod Auto tidaklah banyak. Berikut adalah contoh gambar yang diambil dengan HERO9 Black:

    GoPro mengatakan bateri HERO9 Black adalah 30% lebih besar berbanding HERO8, dengan kapasiti 1,720mAh. Jika saya menggunakannya secara sedikit-sedikit seperti dalam sebuah percutian untuk mengambil gambar dan video pendek, saya yakin ia boleh tahan sehingga sehari. Namun jika anda ingin menggunakannya untuk sesi rakaman intensif seperti vlogging atau membikin filem skateboarding, anda masih perlu memerlukan bateri-bateri lebih. Di samping itu, kamera juga boleh jadi panas jika anda menggunakannya secara berpanjangan.

    Jika anda ingin memuat naik gambar dan video yang telah diambil ke dalam media sosial dengan cepat, HERO9 Black boleh dipautkan dengan telefon anda melalui aplikasi GoPro App dan hubungan Bluetooth dengan mudah. Untuk memberi gambaran tentang kadar pemindahan fail daripada HERO9 Black ke telefon, video 1080p 60fps berdurasi satu minit mengambil masa selama 30 saat untuk dipindahkan. GoPro App juga boleh menyunting video-video anda secara ringkas.

    HERO9 Black membawa kembali ciri unik yang terdapat dalam HERO7 iaitu penutup kanta (lens cover) yang boleh dibuka, jadi jika penutup anda tercalar, anda boleh menggantikannya. Selain itu, anda juga boleh memasang kanta Max Lens untuk sudut penglihatan yang lebih besar, namun saya tidak berpeluang untuk mencubanya kerana GoPro tidak meminjamkan kanta tersebut kepada saya.

    Penutup kanta HERO9 Black boleh dibuka dan ditukar

    Secara keseluruhan, HERO9 Black adalah sebuah kamera kecil yang boleh menyaingi kamera-kamera besar dalam pasaran. Pada pendapat saya, ini adalah kamera yang anda perlu miliki jika anda jenis yang suka membuat vlog di kawasan luar kerana ia amat mudah dibawa dan digunakan. Malang sekali saya diberikan kamera ini pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi saya tidak boleh membawa kamera ini berkeliaran.

    Walau bagaimanapun, semua ciri canggih ini juga membuatkan HERO9 Black kamera GoPro yang paling mahal setakat ini iaitu berharga RM2,099. Namun dengan pelbagai fungsi yang hebat padanya, ia adalah kamera yang amat berbaloi.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda untuk membeli GoPro HERO9 Black dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi:

    • Sensor 20MP
    • Skrin sentuh 2.27 inci di belakang, berwarna
    • Skrin 1.4 inci di hadapan, berwarna namun tidak menyokong sentuhan
    • Port USB Type-C 
    • Bateri 1,720mAh
    • Rakaman 5K (30fps), 4K (sehingga 60fps), 2.7K (sehingga 120fps) dan 1080p (sehingga 240fps)
    • Kalis air sehingga kedalaman 10 meter atau 33 kaki
    • Sokongan untuk kawalan suara
    • Fungsi HyperSmooth 3.0, TimeWarp 3.0

    Kebaikan: Tahan lasak, skrin hadapan berwarna, rakaman 5K

    Keburukan: Penggambaran malap yang kurang baik, harga yang agak mahal, selak dan kanta yang agak ketat

    Kesimpulan: Kamera terbaik untuk penggiat sukan lasak, penggemar aktiviti luar dan vloggers

     

    Artikel Terkini

    Fahmi Fadzil: Kerajaan akan bincang mengenai model rangkaian dwi 5G minggu depan

    Satu mesyuarat mengenai model rangkaian dwi 5G dijangka diadakan minggu depan menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Beliau mendedahkan perkara ini semasa pelancaran...

    Jualan Xiaomi 14 Ultra catat peningkatan lebih 4 kali ganda berbanding Xiaomi 13 Ultra

    Telefon pintar andalan terbaru daripada Xiaomi, Xiaomi 14 Ultra, baru sahaja dilancar pada awal bulan ini dan ia telah pun mencatatkan jumlah...

    Samsung Galaxy AI akan ditawarkan kepada lebih banyak peranti selain Galaxy S24

    Sewaktu pelancaran siri Samsung Galaxy S24 pada awal tahun ini, Samsung telah melancarkan beberapa fungsi berdasarkan kecerdasan buatan (AI) iaitu Galaxy AI....

    Tengku Zafrul: Perodua akan hasilkan EV mampu milik pada 2025, perlu naikkan jumlah stesen...

    Pada awal tahun ini, Perodua dilaporkan sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa bagi menghasilkan kenderaan elektriknya (EV) yang pertama untuk pasaran...

    Siri vivo X Fold 3 rasmi sebagai telefon boleh lipat paling ringan, harga bermula...

    vivo telah melancarkan siri X Fold 3 hari ini di China dengan varian standard dan pro. Siri ini hadir dengan paparan OLED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X