fbpx
More

    Ulasan HONOR 90 – Gabungan prestasi hebat dan rekaan anggun pada harga berpatutan

    Pada bulan lepas, siri HONOR 90 telah dilancarkan membawa varian standard dan HONOR 90 Lite. Siri kali ini tidak membawa banyak perubahan pada reka bentuknya tetapi terdapat peningkatan kamera seperti yang anda akan baca di bawah.

    Ulasan kali ini akan membincangkan varian standard, HONOR 90 daripada segi reka bentuk, prestasi, spesifikasi dan peningkatan kamera. Adakah ia berbaloi dengan harga yang ditawarkan untuk anda dapatkannya?

    Rekaan – Premium dan menarik perhatian!

    HONOR 90 membawa susunan kamera belakang yang sedikit lain daripada HONOR 80. HONOR 80 membawa modul kamera berbentuk nombor lapan manakala HONOR 90 membawa modul kamera bulat berasingan di atas dan bawah. Bonggol kameranya juga agak tebal memberikan ketinggian 0.3mm apabila ia diletakkan secara mendatar.

    Tri-kamera belakang: Kamera utama 200MP, ultra lebar 12MP dan kedalaman 2MP
    Ketinggian 0.3mm kerana boggol kamera yang tebal

    Anda disarankan untuk memakai sarung telefon yang terdapat dalam kotak pembelian untuk mengelakkan sebarang kecacatan pada modul kamera. Anda juga boleh mendapatkan sarung telefon yang boleh mengekalkan peletakan selaras dengan kamera, tetapi sarung telefon sebegini selalunya dijual daripada gerai kecil di dalam pusat membeli belah.

    Apa yang saya suka mengenai telefon ini adalah warna dan kemasan matte di bahagian belakang peranti. Warnanya cukup menawan, Peacock Blue dengan cetakan seperti bulu burung merak sedikit berkilauan dengan kemasan matte yang tidak meninggalkan kesan cap jari membuatkan ia kelihatan premium. Ia juga menawarkan dua warna lain iaitu Emerald Green dan Diamond Silver sekiranya anda tidak berminat dengan Peacock Blue.

    Warna Peacock Blue seperti bulu merak yang berkilauan
    Satu pembesar suara, slot kad dwi-SIM dan port USB-C di bahagian bawah
    Butang kawalan audio dan kuasa di sisi kanan. Panel lengkung yang juga memberikan keselesaan apabila dipegang.
    Kamera hadapan dalam paparan 50MP

    Seperti kebanyakan telefon pintar yang lain, butang audio dan kuasa terletak di bahagian sisi kanan manakala satu pembesar suara, slot kad dwi-SIM dan port USB-C untuk pengecasan terletak di bahagian bawahnya. Sekiranya anda lihat dengan teliti, terdapat satu lagi pembesar suara untuk panggilan audio di bahagian atas skrin.

    Di sekelilingnya, ia mempunyai rangka aluminium yang berkilauan mengikut warna biru Peacock, menyerlahkan lagi penampilan premium pada telefon ini. Anda perlu tahu bahawa bahagian sisi kanan dan kiri panel belakang mempunyai lengkungan yang agak ketara.

    Telefon di dalam dompet panjang saya

    Sepanjang saya menggunakan telefon ini, lengkungan ini selesa digenggam dan tidak pernah menjejaskan pengalaman saya seperti terlepas daripada genggaman dan sebagainya. Dalam pada itu, HONOR 90 juga tidak terlalu berat pada 183 gram untuk di bawa ke mana-mana. Ia nipis pada 7.8mm dan mudah untuk disimpan dalam dompet perempuan yang panjang tanpa perlu membawa beg tangan yang besar.

    Secara keseluruhan, saya boleh sifatkan rekaan HONOR 90 sebagai sangat kemas, elegan dan menarik perhatian. Ini adalah telefon yang anda perlu pertimbangkan jika anda inginkan telefon andalan Android yang membuatkan rakan-rakan anda bertanya “Apakah telefon yang awak gunakan?”

    Dalam kotak terdapat HONOR 90, kabel pengecas USB-A ke USB-C, pengecas 66W, pin SIM dan sarung silikon

    Spesifikasi – Lengkap untuk era terkini

    Sebagai sebuah telefon pintar terkini, ia mempunyai segala spesifikasi yang diperlukan:

    • Cipset Snapdragon 7 Gen 1
    • RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 512GB
    • Skrin AMOLED Quad Curved 6.7 inci
    • 2664 x 1200 piksel, 1 juta warna, kecerahan puncak 1,600 nits dan kadar penyegaran semula 120Hz
    • Tri-kamera belakang: Kamera utama 200MP, ultra lebar 12MP dan kedalaman 2MP
    • Kamera swafoto 50MP
    • Bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 66W
    • Spesifikasi lain termasuk MagicOS 7.1 berdasarkan Android 13, sambungan Wi-Fi 6 dan dwi-SIM
    • Warna: Perak, hijau dan biru

    Bermula dengan skrin, HONOR 90 menawarkan skrin AMOLED yang sangat cantik dengan kadar segar semula 120Hz untuk penggunaan yang lancar dan sokongan untuk video HDR. Resolusinya agak tinggi (2664 x 1200) untuk saiz berukuran 6.7 inci, memberikan tontonan video atau game dengan cemerlang walaupun di bawah cahaya terik. Skrinnya mudah ditatal dan tidak memberikan sebarang masalah sepanjang penggunaan.

    Ia dikuasakan oleh cipset yang canggih iaitu Snapdragon 7 Gen 1 memberikan prestasi yang baik dalam menjalankan aplikasi dan pelbagai tugas harian. Kecepatan dan kecekapan cipset ini memastikan pengalaman yang lancar dan responsif, sama ada dalam penggunaan aplikasi, gaming atau multimedia.

    Dengan RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 512GB, sudah cukup bagus untuk pengguna menyimpan banyak data, foto dan video. Kamera utama dengan resolusi tinggi dan teknologi pemprosesan gambar canggih membolehkan pengguna mengambil gambar dengan ketajaman dan butiran yang mengagumkan. Daripada segi prestasi dan kamera, saya akan terangkan di bahagian seterusnya.

    Baterinya standard pada 5,000mAh di mana kuasa meningkat dengan cepat ketika pengecasan. Saya mengecas HONOR 90 dari 0% ke 60% dalam masa 32 minit manakala 60% ke 100% mengambil masa 26 minit. Dengan ini, anda tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mula melakukan kerja atau bermain game.

    Namun, sudah pasti, setiap produk pasti ada kekurangannya. Saya bermain game Genshin Impact dan biarkan ia bermain video tanpa henti selama 30 minit. Sayang sekali kerana bateri menurun dari 100% ke 35% dengan cepat. Tidak dinafikan prestasi sistem, gaming dan penggunaan cukup bagus, namun, untuk penggunaan yang lama, ini agak melecehkan terutamanya ketika dalam perjalanan yang memerlukan bank kuasa kerana anda perlu mengecasnya beberapa kali.

    Antara muka yang disediakan

    Beberapa telefon Android memberi dua jenis antara muka untuk membuka senarai aplikasi, iaitu sama ada menatal dari kanan ke kiri atau menatal ke atas untuk mengakses App Drawer. Telefon ini tidak mempunyai App Drawer seperti kebanyakan telefon Android, sebaliknya hanya memberikan satu jenis antara muka mungkin untuk mengelakkan sebarang kekeliruan kepada pengguna.

    Walaupun begitu, antara mukanya kelihatan terlalu biasa dan saya mengharapkan sedikit perubahan. Sebagai contoh, Nothing Phone (2) memberi pilihan antara muka baharu yang menarik perhatian pengguna selain daripada reka bentuknya. Kelebihan yang diharapkan daripada telefon ini lebih kepada produktiviti, peningkatan pengecasan bateri dan skrin peranti.

    Di bawahnya menempatkan pembesar suara tunggal dan bukanlah pembesar suara stereo. Audionya tidak terlalu kuat tetapi sedap didengar kerana kurang bunyi bising yang bingit tetapi kualiti bass masih perlu dipertingkatkan lagi. Saya tidak merasakan kekuatan pembesar suara ini mengganggu prestasi tontonan ataupun persidangan video. Sekiranya ia menggangu, anda mungkin perlu memakai fon telinga yang boleh disambungkan ke HONOR 90 untuk pengalaman yang lebih baik.

    Prestasi – Responsif untuk gaming dan pelbagai tugas

    Saya menggunakan Geekbench dan 3DMark untuk menjalankan ujian penanda aras. Dalam mata larian Geekbench 6, HONOR 90 mendapat 1085 mata untuk teras tunggal dan 3005 untuk berbilang teras.

    Berdasarkan carta ujian 3Dmark pula, HONOR 90 mempunyai permulaan yang baik dalam ujian, kekal stabil dengan suhu teras tertinggi pada 39 °C dan mencapai kestabilan 99.8%.

    Saya bermain game Genshin Impact dan Mortal Kombat untuk ujian prestasi di mana kualiti grafik tinggi pada kadar bingkai 120fps ditetapkan. Tiada sebarang lag semasa permainan dalam masa 30 minit dan operasi berjalan dengan lancar. Namun begitu, telefon menjadi hangat untuk penggunaan berat dan tanpa henti. Oleh itu, anda disarankan membeli sarung yang mampu mengekalkan suhu telefon atau penyejuk tambahan luar peranti.

    Cipset yang digunakan mampu menyokong game yang berat dan pelbagai tugas. Ketika bermain game, saya turut melakukan sedikit kerja melalui aplikasi Chrome pada peranti dengan membuka beberapa tab bersilih ganti. Lebih 20 tab yang dibuka dan peranti masih berjalan dengan cukup baik tanpa lag.

    Salah satu ciri yang menonjol daripada HONOR 90 adalah kemampuannya dalam pengambilan gambar yang memukau. Dengan sistem kamera yang terdiri daripada kamera utama 200MP, ultra lebar 12MP dan kedalaman 2MP, HONOR 90 menawarkan pengalaman fotografi yang memuaskan. Gambar yang dihasilkan memberi resolusi dan ketajaman yang hebat dengan perincian yang halus dan warna yang hidup memberikan kualiti seperti kamera DSLR.

    Jika dilihat pada gambar yang dihasilkan, anda boleh lihat pengurangan noise, peningkatan ketajaman, kemampuan pengurangan gegaran untuk gambar yang stabil walaupun dalam cahaya rendah atau saat objek bergerak. Kanak-kanak yang berlari masih boleh ditangkap tanpa kekaburan, jelas, tajam dan konsisten. Pelbagai mod turut disediakan untuk pengguna eksplorasi kreativiti dalam fotografi.

    Mod lain yang turut disediakan

    Untuk mod makro, gambar kelihatan sangat terperinci menunjukkan butiran daun rumput dan juga batu-batu pada tembok. Pada mod standard 1x, butiran dilihat jelas pada jarak 2-3cm manakala untuk mod 2x, anda perlu jarakkan telefon pada 5-6cm.

    HONOR 90 menawarkan mod malam yang efektif untuk pengambilan gambar dalam keadaan cahaya rendah. Pengguna tidak perlu risau untuk mengambil gambar pada waktu malam walaupun hanya bergantung pada lampu jalan.

    Flash pada kamera hadapan berapa di skrin sekeliling paparan kamera

    Kebanyakan telefon akan menyalakan flash setelah butang kamera ditekan, tetapi HONOR 90 menyalakan flash di sekeliling skrin apabila kamera hadapan diaktifkan. Ini memudahkan anda untuk melihat wajah dengan flash pada masa yang sama.

    Daripada segi zum, gambar zum 10x agak pecah memberikan butiran gambar yang kabur. Untuk tangkapan gambar yang berkualiti, anda disarankan untuk tidak menggunakan mod zum lebih 2x. Selain itu, ketika mengambil gambar, anda perlu kekal statik dalam masa 1.5 saat pada waktu malam untuk mengurangkan noise dan gegaran yang tidak diinginkan.

    Kualiti video pada waktu siang

    Kamera hadapannya, mempunyai mod cantik untuk kulit anda kelihatan licin. Anda boleh suaikan tanpa mod cantik tersebut dan ia tetap menghasilkan kualiti gambar dengan butiran terperinci walaupun pada waktu malam. Pada waktu siang, air embun pada daun-daun masih kelihatan walaupun dizum pada gambar.

    Kualiti video juga boleh tahan dengan warna yang pekat pada waktu siang tetapi agak kabur pada waktu malam terutamanya pada kamera hadapan. Bagi mereka yang gemar membuat VLOG, anda boleh mengguna mod multi-view yang menangkap video daripada kamera hadapan dan belakang secara serentak.

    Kesimpulan – Prestasi dan kualiti imej yang baik dengan rekaan bergaya

    HONOR 90 menawarkan pengalaman telefon pintar yang menakjubkan daripada segi prestasi, kualiti gambar yang memukau dan rekaan yang elegan dalam satu peranti. Pengguna boleh mempertimbangkan telefon ini bagi mereka yang mengutamakan kualiti dan keselesaan dalam penggunaan telefon pintar. HONOR 90 boleh didapati dalam varian 12/256GB pada RM1,799 dan 12/512GB berharga RM2,099.

    Terdapat juga telefon pintar lain yang anda boleh pertimbangkan seperti realme 11 Pro+ 5G. realme 11 Pro+ 5G menampilkan cipset MediaTek Dimensity 7050, skrin AMOLED berukuran 6.7 inci dan kamera utama 200MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP. Ia berharga RM1,999 boleh didapati di Shopee dan Lazada.

    Kemudian, Xiaomi 12T Pro pula membawa cipset Snapdragon 8+ Gen 1 4nm, skrin AMOLED CrystalRes 6.67 inci, kamera utama 200MP, ultra lebar 8MP, makro 2MP dan bateri 5,000mAh, dengan HyperCharge 120W. Telefon ini boleh didapati pada harga RM2,299 di Shopee.

    Dengan lingkungan harga sehingga RM2,099, saya merasakan HONOR 90 ini cukup bagus kerana mempunyai hampir kesemuanya yang diperlukan dalam sebuah telefon pintar. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ulasan HONOR X7b 5G – ‘Entry level’ tapi macam ‘mid-range’?

    HONOR X7b versi 5G telahpun dilancarkan pada 22 April 2024 di pasaran Malaysia dengan harga RM899 memberikan spesifikasi tersendiri dan membawa storan...

    Kerjasama PETRONAS, CelcomDigi bakal transformasi tekno-digital 5G untuk sektor tenaga

    PETRONAS dan CelcomDigi bekerjasama melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu usaha transformasi digital dan kemampanan untuk industri tenaga dengan memanfaatkan kuasa...

    TSMC bakal hasilkan cip dengan proses 1.6nm menjelang 2026

    TSMC mengumumkan proses pembuatan 1.6nm untuk cip dan ia juga termasuk rangkaian penghantaran kuasa yang meningkatkan kecekapan kuasa dan ketumpatan transistor dengan...

    Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro tawar hadiah sehingga RM10,000, acara bakal diadakan pada...

    Sempena pelancaran Infinix GT 20 Pro pada 2 Mei ini, Infinix Malaysia akan menganjurkan Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro iaitu sebuah...

    Samsung Galaxy Unpacked kedua dijadualkan pada 10 Julai 2024

    Acara Samsung Galaxy Unpacked yang akan datang dijadualkan pada 10 Julai 2024 di Paris, bertepatan dengan penganjuran City of Love Sukan Olimpik...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X