fbpx
More

    Ulasan HONOR MagicBook 14 – Harga tak ‘pecah kepala’, prestasi baik untuk tugasan harian

    Komputer riba dari jenama telefon pintar? Usah luahkan, kami juga ada pandangan skeptikal tersendiri terhadap komputer riba sebegini. Namun, HONOR MagicBook 14 yang merupakan salah sebuah barisan komputer riba kompak di pasaran Malaysia telah mengubah pandangan kami.

    Sebelum anda membeli, anda pastinya melihat beberapa model komputer riba dan melihat ulasannya. Kami ingin menyeru anda untuk mempertimbangkan juga jenama telefon pintar yang mengeluarkan komputer riba termasuk HONOR. Apa pun, sejauh manakah prestasi sebuah komputer riba seringan 1.38kg ini? Mampukah ia mengubah pandangan sinis kami?

    Sebelum menelusuri spesifikasi dan prestasinya, perkara pertama yang memikat adalah reka bentuk. Antara perbezaan HONOR MagicBook 14 dengan HONOR MagicBook terdahulu adalah rekaan istimewa Azure Blue Chamfer pada badan aluminiumnya. Garis biru ini kelihatan menonjol kerana ia memberi kilauan biru jika anda menghadapkannya ke arah cahaya.

    Kombinasi bezel ultra nipis 4.8mm dan skrin HONOR FullView 14 inci dengan nisbah skrin ke badan 84% adalah gabungan yang baik untuk tontonan yang memuaskan! Selama penggunaan harian selama 2 minggu, kami tiada rungutan mengenai kelecehan membawanya ke mana sahaja memandangkan ia hadir dengan berat 1.38kg, senipis 15.9mm.

    Terdapat warna kebiruan pada bingkai komputer riba dan logo
    Lihat Azure Blue Chamfer dengan lebih dekat
    Rekaan yang memudahkan pengguna untuk membuka komputer riba
    Port USB-A 2.0, bicu audio 3.5mm
    Port USB-C, USB-A 3.0 dan penyambung HDMI
    Sensor cap jari disekalikan dengan butang ‘ON/OFF’

    Bahagian kanan MagicBook 14 tersedia dengan port USB-A 2.0 dan bicu audio 3.5mm, manakala di sebelah kiri pula tersedia dengan Port USB-C, USB-A 3.0 dan penyambung HDMI.

    Walaupun kekurangan port LAN, namun port yang tersedia sudah cukup memadai untuk pengguna yang melakukan tugas pejabat harian atau tugasan belajar. Perlu kami ingatkan anda untuk berhati-hati semasa ingin menekan butang ‘Delete’, kerana ia berada di sebelah sensor cap jari/butang kuasa.

    Skrin di bawah cahaya matahari terik
    Boleh dibentangkan sehingga 180 degree
    Ambil kesempatan menonton Haikyu!! Skrin diluluskan oleh TUV Rheinland untuk menjaga mata
    Pembesar suara di kedua-dua belah kiri dan kanan di bahagian bawah komputer riba, sistem penyejukan di sebalik lubang pengudaraan

    Mengulas mengenai paparan, kami tidak mempunyai masalah besar dengan paparan HONOR FullView 14 inci beresolusi 1920 x 1080 piksel selain daripada skrin sedikit malap di bawah cahaya matahari. Kemalapan ini adalah perkara biasa untuk skrin yang mempunyai ciri perlindungan mata dari cahaya biru. Namun, ia masih boleh dilihat dengan jelas seperti yang anda lihat pada gambar di atas. Skrin juga boleh dibuka dan dibentangkan sehingga 180 degree. Ciri yang memudahkan jika anda ingin menunjukkan skrin kepada rakan di hadapan anda!

    Pengalaman tontonan juga tidak mendatangkan sebarang masalah melainkan audio yang seperti terperangkap di bawah komputer riba. Hal ini adalah kerana posisi kedua-dua pembesar suara yang ditempatkan di belakang badan komputer riba, jadi bunyi yang dikeluarkan seperti terhalang. Namun, ia masih jelas dan enak didengar semasa menonton drama atau anime.

    Sepanjang menonton filem seharian atau melakukan tugasan berpanjangan beberapa jam, suhu komputer riba ini tidak terlalu panas. Keadaan ini mungkin selari dengan tuntutan HONOR yang menyatakan HONOR MagicBook 14 hadir dengan reka bentuk bilah kipas pelesapan haba untuk penyejukan yang lebih efisyen.

    Kekunci dan pad sentuh
    Papan kekunci bercahaya di belakang
    Elemen menarik, kamera pop-up tersembunyi

    Mengulas mengenai papan kekuncinya, kami boleh menaip dengan selesa dan tiada sebarang kelewatan pada skrin. Pad sentuh yang agak lebar juga memberi keselesaan dalam membuat gerakan jari untuk kawalan skrin.

    Apa yang menariknya, kedudukan kamera web pada komputer riba ini tidak terletak pada bezel atau skrin, tetapi pada papan kekunci! Terdapat simbol kamera di antara F6 dan F7. Anda hanya perlu menekan kekunci tersebut untuk membuka kamera web. Tujuan kamera web pada kedudukan ini adalah untuk melindungi daripada diceroboh oleh penggodam.

    Markah di PCMark 10

    Untuk memulakan ulasan mengenai prestasinya, kami kemukakan dahulu keputusan markahnya di penanda aras PCMark10. Markah seperti di atas menunjukkan prestasi yang baik untuk sebuah komputer riba harian, khas untuk tugasan kerja pejabat dan tugasan pelajaran contohnya.

    HONOR MagicBook 14 dilengkapi pemproses AMD Ryzen 5 3500U, grafik Radeon Vega 8, RAM dual-channel DDR4 dan PCIe NVME SSD sehingga 256GB.

    Ber-Zoom bersama rakan! Rakan di sebelah kanan menggunakan HONOR MagicBook 14

    Kami ada menggunakan perisian Adobe Photoshop biasa. Tiada masalah untuk menyelesaikan tugasan grafik ringan juga. Sebagai tambahan, anda boleh melihat hasil kamera web melalui aplikasi Zoom. Hasilnya adalah sedikit tidak memuaskan kerana ia merakam muka anda dari bawah, namun ianya mungkin tidak menjadi masalah buat anda.

    Penggunaan untuk gaming berat tidak digalakkan memandangkan komputer riba ini bukan berada di dalam segmen gaming, tetapi ia dikhaskan sebagai komputer riba kompak untuk memudahkan tugasan harian anda sahaja.

    Grafik sebenar sedikit lebih baik memandangkan rakaman ini lebih rendah kualitinya

    Apa pun, anda masih boleh memuat turun dua atau tiga game ringan seperti Dota 2 dan Portal. Gameplay Portal yang diuji melalui MagicBook 14 dipamerkan seperti di dalam video di atas. Ianya masih boleh dimainkan dengan baik walaupun ada sedikit frame jatuh.

    Seterusnya adalah mengenai jangka hayat bateri dan ketahanannya. HONOR MagickBook 14 dilengkapi bateri 56Wh dan dibekalkan pengecas pantas Type-C 65W. Selama penggunaannya, kami hanya perlukan masa selama lebih kurang 35 minit untuk mengecasnya dari 0% ke 50%.

    Penggunaannya selama seharian juga membuktikan bahawa ketahanan bateri adalah selama lebih kurang 8 jam, seperti yang dituntut oleh HONOR. Lebih terperinci, penggunaan selama lebih kurang 8 jam ini bergantung kepada jenis penggunaan anda juga.

    Pengecas 65W dan dua wayar USB-C

    Sebelum memberi kesimpulan, perlu kami utarakan bahawa HONOR Magic Link sebenarnya adalah aplikasi berharga jika anda mempunyai peranti HONOR yang mempunyai fungsi NFC. Anda boleh mengawal telefon pintar anda melalui skrin komputer riba sahaja. Satu usaha yang baik untuk mewujudkan ekosistem HONOR.

    Dengan harga RM2,499, HONOR MagicBook 14 adalah berbaloi untuk sebuah komputer riba harian dengan ciri-ciri teknologi terkini. Mungkin ia mempunyai beberapa kelemahan, namun dengan harga di bawah RM2,500, anda boleh dapat sebuah komputer riba yang mampu menyelesaikan tugasan harian dengan prestasi yang baik untuk segmen ini.

    Pada julat harga yang sama, terdapat beberapa pesaing lain seperti siri Lenovo IdeaPad atau siri Acer Swift. Anda tidak perlu memandang sinis kepada komputer riba keluaran dari jenama telefon pintar kerana kelengkapan ciri dan spesifikasinya adalah tidak berbeza dari kelengkapan yang ditawarkan oleh jenama komputer riba yang sudah sedia ada.

    Ciri dan spesifikasi HONOR MagicBook 14

    • Dimensi 322.5mm x 214.8mm x 15.9mm
    • Berat 1.38kg
    • Pemproses AMD Ryzen 5 3500U
    • Grafik Radeon Vega 8
    • RAM DDR4 8GB
    • SSD 256GB
    • Bateri 56Wh
    • Pengecasan pantas 65W
    • Nisbah skrin ke badan 84%
    • Skrin IPS 14 inci dengan resolusi 1980 x 1080 piksel (kelulusan TUV Rheinland)
    • 2x mikrofon, 2x pembesar suara
    • Kamera web 1MP pop-up
    • Warna Mystic Silver
    • Sokongan WiFi IEEE 802.11a/b/g/n/ac, 2×2 MIMO
    • Sokongan Bluetooth 5.0
    • USB 2.0 x 1, USB 3.0 x 1, USB Type-C (untuk pengecasan dan data) x 1, HDMI x 1, bicu audio 3.5mm
    • Windows 10

    Kelebihan: Kamera web tersembunyi di papan kekunci, reka bentuk menarik dengan garis Azure Blue Chamfer, boleh dibentang sehingga 180 degree, harga yang baik untuk pasaran komputer riba harian.

    Kelemahan: Kekurangan port LAN, kedudukan kamera web memberi hasil seperti anda melihat ke bawah, kedudukan pembesar suara yang tidak strategik.

    Kesimpulan: Komputer riba dengan ciri baru seperti sensor cap jari, sokongan WiFi yang baik, boleh menggantikan komputer riba lama anda untuk menyelesaikan tugasan harian dengan jayanya.

    Apakah pandangan anda mengenai ulasan ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X