fbpx
More

    Ulasan HUAWEI FreeBuds Studio: Cubaan pertama bagus, tapi boleh jadi lebih baik

    HUAWEI mungkin mengalami masa yang sukar untuk mempromosikan telefon pintar mereka untuk pasaran global akibat dari sekatan dari AS. Namun, ekosistem HUAWEI Mobile Services (HMS) yang semakin berkembang mungkin menjadi penyelamat selain dari barisan produk yang mantap seperti HUAWEI MateBook. Di sisi yang lain, HUAWEI telah memperkenalkan HUAWEI FreeBuds Studio semasa pelancaran siri HUAWEI Mate40.

    Mungkin terdapat sesetengah golongan yang meragui fon kepala wayarles pertama dari syarikat ini memandangkan harga yang ditawarkan RM1,199 tidak mesra poket. Jika anda ingin tahu tentang prestasinya, baca ulasan di bawah mengenai HUAWEI FreeBuds Studio.

    Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah reka bentuknya yang baik, tidak seperti fon kepala wayarles yang lain. HUAWEI dilihat berusaha memastikan keselesaan pemakai fon kepala ini dan mereka telah berjaya. Kusyen-kusyen pada bahagian ruang telinga adalah lembut dan memberi keselesaan walaupun dipakai sepanjang hari. Begitulah selesanya HUAWEI FreeBuds Studio ini. Namun, saya tidak menggalakkan memakainya ketika bersenam kerana peluh mungkin merosakkan kusyen-kusyen.

    Hadir dengan bekas yang cantik untuk fon kepala dan USB-C untuk pengecasan
    Kusyen-kusyen yang sangat selesa
    Butang ANC di sebelah kiri, butang kuasa dan Bluetooth di sebelah kanan

    Menariknya, bingkai untuk cekak kepala peranti ini diperbuat daripada keluli tahan karat. Ia boleh dipanjangkan sehingga 7mm dan membolehkan anda menyesuaikannya dengan kepala anda. Tambahan pula, kawalan sentuh (Touch Controls) di sebelah kanan mudah untuk digunakan. Untuk rujukan, panduan kawalan sentuh adalah seperti di bawah.

    • Seret ke atas atau bawah untuk kawalan bunyi/kelantangan
    • Seret ke kiri atau kanan untuk memainkan lagu seterusnya/sebelumnya
    • Sentuh dua kali untuk memainkan muzik/jeda dan menjawab/mematikan panggilan
    • Tekan selama 2 saat untuk aktifkan pembantu suara atau menolak panggilan

    Memandangkan ia adalah peranti HUAWEI, memadankannya dengan telefon HUAWEI adalah lebih mudah. Anda boleh memadankan atau menghubungkan dengan telefon, komputer riba dan komputer anda melalui Bluetooth. Anda perlu mengaktifkan Bluetooth dengan menekan butang Bluetooth di sebelah butang kuasa pada fon kepala pada bahagian kanan dan tunggu isyarat aktifnya. Terdapat juga butang di bahagian kiri fon kepala untuk pembatalan hingar dinamik aktif pintar (Intelligent Dynamic Active Noise Cancellation) yang hadir dalam tiga mod.

    Bahagian luar fon kepala di ruang telinga mampu menampung fungsi kawalan sentuh
    Jika anda menggantungnya di leher, ciri pengesanan apabila dipakai aktif dan media yang dimainkan akan dijeda. Kadang-kadang kehangatan di sekitar leher anda boleh mengaktifkan ciri ini secara tidak sengaja
    Sambungan dwi-peranti (Dual Device Connection) membenarkan anda menyambung kepada dua peranti dalam satu masa yang sama, tetapi anda hanya boleh mendengar pada satu peranti sahaja

    Menurut laman web rasmi, tiga mod tersebut adalah General, Cozy dan Ultra Mode. Mod General adalah biasa sahaja seperti ciri pembatalan hingar lain. Mod ini berfungsi dengan baik, tetapi tidak sempurna. Sebagai ringkasan, saya masih boleh mendengar bunyi air ketika membasuh tangan, bunyi angin dari kipas atau bunyi kucing di bilik sebelah semasa mendengar lagu, dengan mengaktifkan Ultra Mode. ANC boleh menapis bunyi seperti bunyi vakum, tetapi ianya tidak kalis bunyi 100%.

    Perkara yang dinyatakan adalah berita buruk untuk peminat audio bertahap tinggi, tetapi terdapat juga ciri yang bagus. Pengalaman panggilan telefon melalui HUAWEI FreeBuds Studio adalah mantap, hasil daripada 6 mikrofon Call Noise Cancellation. Semasa menjawab panggilan dari telefon mahupun dari aplikasi Zoom, rakan sekerja dapat mendengar suara saya dengan baik. Isyarat Bluetooth juga kuat, hasil daripada rekaan antena yang memberi liputan isyarat yang lebih luas. Sambungan masih tidak terputus walaupun jika saya ke bilik sebelah atau ke tingkat atas.

    Tentunya, satu-satunya perkara yang anda ingin tahu adalah kualiti audio. Pada mulanya, saya merasakan HUAWEI menjalankan tugas yang baik untuk menyampaikan audio mantap. Dengan menggunakan struktur Tee Audio Tube (TAT), kedua-dua belah telinga dapat mendengar segalanya. Pengguna kasual mungkin akan sangat menyukainya, tetapi bukan penggemar audio bertahap tinggi. Terdapat masalah dengan ciri TAT, sesuatu yang telah disebut dalam laman web rasmi; ia menapis hingar berfrekuensi medium dan tinggi. Perkara ini memberi kesan kepada beberapa genre muzik seperti rock.

    Menguji lagu dari YouTube Music

    Sebagai contoh, lagu dalam genre yang terkesan adalah seperti The Gazette – Pledge (Traces Vol.2). Ketika mendengarkan lagu ini secara berulang melalui fon kepala, bunyi gitar elektrik seperti ditenggelami dengan bunyi bass dram dan gitar. Perkara ini terjadi dengan kerap dalam genre yang sama. Anda boleh bayangkan ke konsert, tetapi pihak teknikal merendahkan bunyi elektrik gitar dan menaikkan bunyi bass dram atau gitar. Selain dari perkara tersebut, keseluruhan bunyi lain adalah bagus. Mungkin ada golongan yang suka dengan bass tinggi.

    Saya juga menguji FreeBuds Studio dengan beberapa filem dan game. Secara keseluruhan, ia berfungsi dengan baik. Tambahan pula, baterinya mengambil masa yang lama untuk habis. Untuk pengecasan, anda hanya perlu mengambil masa kurang dari satu jam (bergantung kepada kelajuan pengecas anda). Jika anda meninggalkannya terpasang dalam waktu yang lama, anda akan dapati terdapat kelewatan dalam 1-2 saat semasa anda ingin mula memainkan sesuatu.

    Untuk RM1,199, ia adalah satu cubaan pertama yang baik dari HUAWEI. Antara ciri yang paling mantap adalah prestasi bateri, disusuli dengan kualiti panggilan dan prestasi audio (untuk penggemar muzik kasual). Namun, masih banyak yang perlu diperbaik untuk menjadi setaraf dengan jenama audio terkenal seperti Sony. Sebagai contoh, saya telah menggunakan Sony WH-1000XM3 selama lebih kurang dua tahun. Ia mempunyai kualiti ANC dan keseimbangan muzik yang lebih baik.

    Jadi, itu sahaja ulasan saya terhadap HUAWEI FreeBuds Studio. Apa pula pendapat anda? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Ciri teknologi dan spesifikasi

    • Frekuensi 4 Hz hingga 48 kHz
    • Pemacu dinamik 40 mm
    • L2HC High-resolution Codec, pemindahan sehingga 960kbps
    • Berukuran 194 x 152 x 81.5mm, berat 260g
    • Ciri pembatalan hingar Intelligent Dynamic ANC, Mod Hear-through, 6 mikrofon Call Noise Cancellation, Sambungan Dwi-Peranti, pengesanan apabila dipakai (Wear detection)
    • Bluetooth 5.2
    • Bateri 410mAh (pengecasan lebih kuran 60 minit)
    • Boleh mainkan muzik sehingga 8 jam (ANC aktif), hingga 24 jam (ANC dimatikan) dalam satu kali pengecasan

    Kelebihan: Jangka hayat bateri yang lama, kualiti panggilan jelas, sangat selesa dipakai dan prestasi audio baik (untuk peminat muzik kasual)

    Kelemahan: Ciri ANC boleh diperbaik lagi kerana bass terlalu diutamakan, persaingan sukar dengan fon kepala wayarles jenama lain yang terkenal

    Kesimpulan: Cubaan pertama yang baik dari HUAWEI dalam mengeluarkan fon kepala wayarles pertama, peminat HUAWEI mungkin menyukainya sebagai salah satu bahagian dalam ekosistem HUAWEI

     

    Artikel Terkini

    Malaysia negara kedua paling ketagih gajet di Asia pada 2024, luang masa 8 jam...

    Agensi kajian pemasaran antarabangsa Electronics Hub telah menerbitkan senarai untuk negara yang paling banyak menggunakan gajet dalam masa sehari secara purata (average...

    Fujifilm instax mini 99 dilancar di Malaysia: Kamera analog yang boleh cetak gambar berharga...

    Pada hari ini, Fujifilm Malaysia melancarkan model kamera analog segera (instant analog camera) yang terbaru dalam siri instax*1 iaitu instax mini 99....

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X