fbpx
More

    Ulasan HUAWEI MateBook 14s – Komputer riba premium untuk tugas produktiviti

    Walaupun mereka lebih dikenali dengan telefon pintar dan peranti mudah alih, HUAWEI adalah sebuah jenama yang tidak asing lagi dalam industri komputer riba terutamanya dengan siri MateBook yang menawarkan fungsi lengkap untuk golongan profesional.

    Kini produk terbaru dalam siri tersebut, HUAWEI MateBook 14s, menampilkan rekaan yang kemas dan spesifikasi pantas untuk mereka yang kerap pergi ke pelbagai tempat untuk pekerjaan mereka. Untuk mengetahui sama ada komputer ini sesuai untuk kegunaan anda, ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Daripada segi luaran, MateBook 14s menampilkan rekaan yang ringkas namun masih nampak premium dan profesional, membuatkannya sesuai untuk diletakkan dalam suasana korporat. Warna yang telah dipinjamkan kepada kami adalah kelabu Space Gray dan jika anda tidak berminat dengannya, HUAWEI Malaysia turut menawarkan komputer ini dalam warna hijau Spruce Green.

    Rekaan kelabu yang kemas di bahagian luar

    Komputer ini juga mempunyai bentuk yang ringan dan sangat nipis, jadi ia sangat mudah untuk dibawa ke mana-mana atau dimasukkan ke dalam beg. Beratnya sekadar 1.43kg sahaja manakala ketebalannya pula adalah 16.7mm. Secara amnya, komputer ini dibina dengan mutu buatan yang sangat premium namun masih boleh mengekalkan saiz yang kompak.

    Dengan badan senipis ini, satu perkara yang anda perlu pertimbangkan adalah ketiadaan beberapa port yang mungkin dilengkapi dalam komputer lain. Port I/O MateBook 14s terdiri daripada dua port USB-C, satu port USB-A 3.2 Gen1, bicu audio 3.5mm serta satu port HDMI. 

    Satu port USB-A di bahagian kanan
    Dua port USB-C, satu port HDMI dan bicu audio 3.5mm di bahagian kiri

    Jelas sekali HUAWEI tidak ingin mengabaikan kebolehan komputer ini untuk dihubungkan kepada projektor atau monitor kerana penggunanya pasti akan kerap menghubungkannya kepada paparan luaran (external display) untuk membuat pembentangan dalam mesyuarat. Kedua-dua port USB-C pula menyokong pemindahan data, pengecasan dan DisplayPort. Jika anda ingin mengakses kad memori, anda perlu dapatkan dongle berasingan.

    Beralih kepada paparannya pula, ia berukuran 14.2 inci dengan resolusi 2520 x 1680 dan nisbah aspek unik 3:2. Skrin dengan nisbah aspek ini adalah lebih panjang daripada nisbah 16:9 yang masih terdapat dalam majoriti komputer riba, jadi dokumen anda boleh dilihat dengan lebih banyak berbanding skrin 16:9. Sungguh pun begitu, sebarang video atau filem yang dirakam dalam 16:9 akan dipaparkan dengan letterbox di atas dan bawah skrin kerana ia tidak dapat memenuhinya.

    Skrin ini mempunyai nisbah aspek 3:2 yang sangat unik, ia lebih tinggi dan petak daripada skrin 16:9

    Ia juga menawarkan kadar segar semula 90Hz untuk penggunaan yang lebih lancar dan gamut warna sRGB 100%. Jadi sewaktu anda ingin berehat daripada kesibukan kerja, anda boleh nikmati penghasilan warna yang sangat cantik daripada skrin ini. Seperti kebanyakan komputer riba untuk golongan profesional, skrin ini menyokong 10 titik sentuhan (10-point multi-touch) untuk memudahkan anda berinteraksi dengan komputer anda. Apabila digabungkan dengan kadar 90Hz, sebarang leretan (swiping) akan nampak lancar.

    Skrinnya boleh menjana kecerahan sehingga 400 nits. Ini adalah cukup jika anda sekadar bekerja dalam pejabat, namun ia mungkin tidak cukup cerah jika digunakan di bawah cahaya terik atau dalam tempat terang seperti kafe.

    Anda boleh nikmati warna yang cantik pada skrin ini, namun ia tidak begitu cerah jika digunakan di luar bangunan. Sempadan hitam “letterbox” juga boleh dilihat di atas dan bawah skrin jika anda membuka video yang dirakam pada nisbah 16:9

    Papan kekunci dalam MateBook 14s sangat selesa untuk ditaip dan susunannya (layout) mudah untuk dibiasakan. Ia mempunyai key travel 1.5mm sahaja manakala cahaya latar (backlit) pula memudahkan anda untuk menaip dalam situasi malap. Selain itu, saya juga amat menggemari saiz pad sentuh (touchpad) yang besar dan ia adalah sangat responsif.

    Komputer ini turut mempunyai pengimbas cap jari yang berada di bahagian atas kanan daripada papan kekunci dan ia adalah sangat pantas. Pengimbas cap jari ini turut berfungsi sebagai butang kuasa. Apa yang menarik tentang pengimbas ini adalah apabila anda menghidupkan komputer menggunakan jari anda, pengimbas ini akan terus membaca cap jari dan ia boleh terus mendaftar masuk ke dalam desktop. Pastinya amat mudah untuk mereka yang ingin bekerja dengan cepat.

    Papan kekunci yang selesa untuk ditaip bersama touchpad besar
    Pengimbas cap jari ini turut bertindak sebagai butang suis
    Webcam yang sangat kecil di bahagian atas skrin

    Di atas skrin, MateBook 14s dilengkapi sebuah kamera webcam 720p yang boleh digunakan dengan elok untuk mesyuarat video yang sangat penting pada waktu norma baharu ini. Ia turut didampingi oleh empat mikrofon yang dilengkapi teknologi pembatalan hingar AI Noise Cancellation. Sepanjang saya menggunakan komputer ini untuk menghadiri mesyuarat video, rakan-rakan tidak mengalami masalah untuk mendengar suara saya.

    Varian MateBook 14s yang dipinjamkan kepada kami mempunyai spesifikasi tercanggih iaitu cipset Intel® Core™ i7-11370H, RAM 16GB serta storan SSD 1TB. Dengan komponen canggih seperti ini, sebarang tugasan produktiviti boleh dijalankan dengan sangat lancar. Malah, ia juga boleh digunakan untuk sesi gaming ringan jika anda ingin berehat seketika.

    Markah penanda aras dalam PCMark 10. Ia boleh menghasilkan prestasi yang agak tinggi untuk tugas produktiviti

    Jika anda inginkan varian yang lebih murah, komputer ini turut ditawarkan bersama Intel Core i5-11300H, RAM 8GB dan storan SSD 512GB.

    Daripada segi hayat bateri, MateBook 14s mempunyai kapasiti 60Wh dan boleh digunakan selama lapan jam sebelum ia perlu dicas. Hayat bateri ini boleh dijangkakan untuk kebanyakan komputer kategori ini dan ia boleh dipanjangkan lagi jika anda menetapkan kadar skrin kepada 60Hz. 

    Komputer ini turut dibekalkan bersama pengecas 90W dan pengecasan penuh akan mengambil masa sekitar tiga jam. Apa yang menarik tentang pengecas ini adalah ia dihubungkan melalui kabel USB-C, jadi anda boleh gunakan pengecas ini untuk telefon, tablet, kamera dan pelbagai peranti elektronik lain. Jika anda kerap mengembara untuk tugasan kerja, satu pengecas ini sahaja sudah cukup untuk mengecas segala peranti anda.

    Pengecas USB-C dengan kadar 90W yang boleh digunakan bersama pelbagai peranti elektronik

    MateBook 14s mempunyai empat pembesar suara dan ia adalah sangat jelas untuk pembesar suara dalam komputer riba, namun kelantangannya tidaklah begitu kuat. 

    Sebagai sebuah produk HUAWEI, ia boleh dihubungkan dengan mudah kepada produk HUAWEI lain seperti tablet MatePad atau telefon pintar Mate dan anda boleh gunakannya sebagai skrin kedua, berinteraksi dengan telefon melalui skrin komputer atau menyalin fail dengan mudah. Malang sekali saya tidak memiliki peranti HUAWEI jadi saya tidak boleh mencubanya.

    Secara keseluruhan, HUAWEI MateBook 14s adalah komputer riba yang sangat menarik untuk golongan profesional, terutamanya dengan reka bentuk kompak dan prestasi yang tinggi untuk kegunaan produktiviti. Tidak seperti kebanyakan komputer dalam kategori harga ini, MateBook 14s menawarkan skrin sentuh yang boleh memudahkan tugasan harian anda serta boleh memaparkan sebarang media dengan cantik.

    Ia dijual dalam pasaran Malaysia pada harga RM4,999. Harganya mungkin agak mahal, namun ia adalah berbaloi untuk prestasi pantas yang ditawarkan dengan komputer ini. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin sentuh LTPS 14.2 inci, resolusi 2520 x 1680 (3:2), kadar segar semula 90Hz, gamut warna sRGB 100%, kecerahan 400 nits, menyokong 10 titik sentuhan
    • Cipset Intel® Core™ i7-11370H Processor
    • RAM dwi-saluran LPDDR4x 16GB
    • Storan NVMe PCIe SSD 1TB
    • Grafik bersepadu Intel Iris Xe
    • Sistem operasi Windows 10 Home, boleh dinaik taraf kepada Windows 11
    • Papan kekunci dengan pencahayaan putih
    • Dua port USB-C, satu port USB3.2 Gen1, satu port HDMI, bicu audio 3.5mm
    • Sokong pengecasan 90W melalui USB-C
    • Webcam 720p dengan empat mikrofon pembatalan hingar
    • Empat pembesar suara
    • Pilihan warna kelabu atau hijau
    • Dimensi 313 x 229 x 16.7mm, berat 1.43kg

    Kebaikan: Rekaan premium dan ringan, prestasi pantas untuk produktiviti, skrin sentuh 90Hz

    Keburukan: Harga mahal, tidak boleh manfaatkan fungsi komputer ini sepenuhnya jika anda tidak memiliki peranti HUAWEI

    Kesimpulan: Komputer mantap untuk golongan profesional yang kerap bergerak ke pelbagai tempat

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X