More

    Ulasan HUAWEI MatePad Pro 12.2 – Tablet PaperMatte HUAWEI yang boleh ganti komputer?

    Dengan teknologi dan keupayaan tablet yang semakin canggih pada waktu ini, ramai pengguna sedang mempertimbangkan jika tablet terkini sudah cukup canggih untuk menggantikan komputer riba mereka yang lebih berat. Bagi memenuhi permintaan tersebut, HUAWEI Malaysia menawarkan tablet HUAWEI MatePad Pro 12.2 inci yang mempunyai pelbagai fungsi premium.

    Dengan harga RM4,599, HUAWEI MatePad Pro 12.2 menampilkan skrin Tandem OLED PaperMatte berukuran 12.2 inci yang bukan sahaja kurang silau dan pantulan, malah tidak meninggalkan kesan cap jari. Tetapi adakah ia sudah cukup bagus untuk menggantikan komputer anda? Ayuh baca ulasan yang ditulis oleh TechNave Bahasa Inggeris ini untuk mengetahuinya.

    Huawei MatePad Pro 12.2 didatangkan dengan Glide Keyboard dan M Pencil (3rd Gen) buat masa ini
    M Pencil (3rd Gen) boleh dicas secara wayarles di atas tablet
    Glide Keyboard mempunyai kekunci “chiclet” yang responsif dan senyap, serta touchpad
    Stilus ini menyokong lebih 10,000 tahap sensitiviti tekanan
    Glide Keyboard mempunyai engsel yang boleh mendirikan tablet, serta ruang untuk meletakkan stilus

    Walaupun apabila ia digabungkan dengan papan kekunci HUAWEI Glide Keyboard, tablet ini mempunyai profil yang sangat nipis dan mudah dibawa. Engselnya membenarkan anda untuk mendirikan tablet ini dengan kukuh pada sebarang sudut yang selesa untuk anda. Kekunci chiclet yang mempunyai bucu membulat adalah sangat senyap dan responsif apabila ditekan, dan terdapat juga ruang untuk stilus M Pencil (3rd Gen) dan pad sentuh (touchpad) dengan Nearlink untuk pemindahan data pantas.

    Papan kekuncinya nampak seperti tidak memerlukan sebarang pin penghubung, namun terdapat magnet yang sangat kuat untuk memasangnya dengan tablet dan ini mungkin menjelaskan beratnya yang setinggi 420 gram. Ini juga salah satu sebab kenapa kami tidak dapat membuka tablet ini dengan satu tangan.

    Skrin ini mempunyai bezel yang nipis, namun ia cukup untuk menempatkan kamera hadapan 16MP tanpa sebarang takuk
    Dengan berat 508 gram, ia agak ringan untuk sebuah tablet
    Ketebalan 5.5mm sahaja, dengan casis membulat di bahagian sisi dan bucu

    Daripada segi rekaan, MatePad Pro 12.2 nampak sangat premium dengan casis senipis 5.5mm, bahagian sisi dan bucu yang membulat, serta hiasan-hiasan berwarna emas. Di bahagian belakang, terdapat bonggol kamera nipis yang menempatkan kamera 13MP+8MP. Beratnya agak ringan iaitu sekadar 508 gram.

    Selain daripada bonggol kamera, keseluruhan panel belakangnya diliputi corak Golden Silk yang berkerlipan dengan sudahan pusam (matte) supaya ia tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari. Logo HUAWEI berada di bahagian tengah dan jika anda menyentuhnya, ia memberikan pengalaman mutu buatan yang premium. Di bahagian hadapan, skrinnya mempunyai sempadan bezel yang sangat nipis, namun HUAWEI masih mampu meletakkan kamera hadapan 16MP tanpa sebarang takuk (notch) tambahan.

    Rekaan Golden Silk dengan corak keemasan yang tidak meninggalkan kesan cap jari
    Bonggol kamera untuk dwi-lensa 13MP+8MP

    Skrin Tandem OLED PaperMatte 12.2 inci kekal menjadi tarikan utama tablet ini dengan skrin yang tidak memantul (non-reflective) dan tidak meninggalkan kesan cap jari. Di samping itu, ia mempunyai resolusi 2800×1840 (2K) dan kadar segar semula 144Hz. Kecerahannya boleh pergi setinggi 2,000 nits, jadi anda boleh gunakannya di bawah sinaran matahari tanpa sebarang masalah.

    Bahagian atas dan bawah tablet ini menempatkan empat pembesar suara yang sangat jelas dan lantang. Pada tahap kelantangan tertinggi, anda boleh jangkakannya untuk menghasilkan audio yang cukup untuk memenuhi bilik kecil, manakala empat mikrofonnya boleh merakam suara dengan jelas. Di bahagian sisi tablet, terdapat butang kuasa yang turut bertindak sebagai pengimbas cap jari, butang kawalan volume dan port USB-C.

    "
    "
    Ia dikuasai oleh sistem operasi HarmonyOS 4.2
    Antara mukanya (UI) nampak seperti gabungan iPadOS dan Android

    Dengan menghidupkan tablet, anda akan mendapati tablet ini menggunakan sistem operasi HarmonyOS 4.2 yang menyerupai gabungan Apple iPadOS dan Android. Jika anda sudah biasa dengan leretan dan gerakan jari, tablet ini sangat intuitif. Menunya sangat jelas dan bergaya. Jika anda mempunyai peranti HUAWEI lain, anda boleh gunakan fungsi Super Device untuk hubungan pantas dan memudahkan perkongsian fail.

    Seperti kebanyakan peranti HUAWEI lain, terdapat banyak ikon shortcut untuk memasang perisian remeh (bloatware). Anda boleh buang ikon-ikon ini namun anda perlu melakukannya secara satu per satu. Sungguh pun begitu, masih terdapat beberapa aplikasi yang sangat berguna seperti HUAWEI Notepad (kami gunakannya untuk menulis ulasan ini), GoPaint, WPS Office dan Petal Search.

    Anda boleh buang aplikasi pra-pasang yang tidak diingini

    Dan sedia maklum dengan peranti HUAWEI, anda tidak mempunyai akses kepada Google Play. Platform HUAWEI AppGallery sebenarnya sudah cukup untuk memenuhi keperluan anda dalam memuat turun aplikasi penting, namun jika aplikasi kegemaran anda tidak ditawarkan dalam AppGallery, anda boleh pergi ke laman web yang menawarkan fail APK seperti APKPure.

    Satu aplikasi HUAWEI yang perlu diketengahkan adalah GoPaint yang boleh digunakan bersama stilus M Pencil (3rd Gen) yang didatangkan bersama tablet ini sewaktu ulasan kami. Stilus ini menyokong lebih 10,000 tahap pengesanan tekanan dan berfungsi dengan baik untuk melakar dan menulis. Pengalamannya adalah sangat lancar dan responsif, ia pasti akan dihargai oleh para karyawan.

    GoPaint boleh digunakan dengan sangat intuitif dengan M Pencil (3rd Gen)

    Fungsi-fungsi AI dalam tablet ini kebanyakannya bertumpu sekitar sistem pembantu HUAWEI Assistant Celia. Disebabkan oleh kekangan masa, kami tidak sempat mencuba fungsi ini sepenuhnya. Fungsi seperti AI Touch akan terpapar jika anda menyentuh skrin dan menahan (hold) dengan dua jari sewaktu membuat carian. Terdapat juga fungsi Smart Remove dalam aplikasi galeri.

    Daripada segi prestasi, cipset Kirin 9000s boleh menghasilkan pengalaman penggunaan yang pantas dan responsif, dengan antara muka yang lancar. Kami tidak mengalami sebarang sangkut (lag), namun cadangan auto-pembetulan (autocorrect) sewaktu menaip boleh jadi agak menjangkalkan.

    Hayat baterinya juga cemerlang dan boleh bertahan selama tiga hari dengan pengecasan penuh. Sewaktu mengecas pula, pengecasan daripada 20% kepada 100% mengambil masa 40 minit sahaja dengan pengecas 100W GaN yang disertakan.

    Fungsi Smart Remove boleh buang sesetengah unsur daripada gambar asal (kiri)
    AI Touch akan membuat carian jika anda menyentuh dan tahan dengan dua jari serentak, seperti Circle To Search
    Contoh hasil carian AI Touch, yang menunjukkan di mana anda boleh beli Bunga Raya

    Pengalaman menonton filem dengan skrin MatePad Pro 12.2 adalah sangat mengasyikkan, terutamanya jika anda berada di tempat yang membenarkan anda memasang pembesar suara dengan sangat lantang. Warna yang dihasilkan nampak terang dan butirannya juga jelas.

    Walaupun kami tidak mencadangkan anda gunakan sebarang tablet untuk mengambil gambar, kamera belakang 13MP+8MP pada tablet ini mempunyai kualiti gambar yang memuaskan. Gambarnya mempunyai butiran yang cukup dengan warna yang cerah. Ia mempunyai kebolehan zum digital sehingga 10x, namun kualiti gambarnya nampak sangat kabur dan berpiksel.

    Kamera belakang sesuai digunakan untuk mengambil gambar dokumen. Seperti kebanyakan kamera pada tablet lain, ia tidak mempunyai prestasi yang bagus dalam situasi malap kerana gambar yang diambil dalam situasi tersebut mempunyai jumlah noise yang agak tinggi.

    Sementara itu, kamera hadapan 16MP pula berfungsi dengan baik jika anda ingin menggunakan tablet ini untuk menyertai mesyuarat video.

    Baterinya boleh bertahan sehingga 3 hari
    Gambar yang cantik daripada kamera belakang
    Butiran yang jelas daripada kameranya
    Kamera hadapan 16MP boleh mengambil gambar swafoto dengan baik

    Secara keseluruhan, HUAWEI MatePad Pro 12.2 adalah tablet premium yang sangat bagus jika anda inginkan tablet yang boleh menggantikan komputer anda. Anda mungkin masih perlu mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan antara muka HarmonyOS 4.2, sama sahaja jika anda membeli tablet Android. Penggunaan HarmonyOS 4.2 melibatkan gerakan jari yang intuitif, jadi anda tidak akan mengambil masa lama untuk mempelajarinya.

    Satu perkara yang kami amat hargai adalah kebanyakan aplikasi yang diperlukan untuk kegunaan harian anda sudah pun dipasang dalam tablet ini, seperti HUAWEI Notepad dan GoPaint. Aplikasinya lengkap dengan ciri-ciri terkini, manakala aplikasi bloatware lain yang terdapat pada tablet ini boleh dibuang jika anda ingin melakukannya. Satu penambahbaikan yang saya harapkan adalah jika saya boleh mematikan auto-pembetulan dengan lebih mudah.

    Walaupun dengan harga yang agak mahal iaitu RM4,599, ia didatangkan dengan pelbagai aksesori percuma seperti HUAWEI Glide Keyboard (bernilai RM899), M Pencil (3rd Gen) (bernilai RM699), tetikus HUAWEI dan pembesar suara HUAWEI Sound Joy. Kami menjangkakan produk-produk percuma ini bergantung kepada keberadaan stok dan akan ditawarkan dalam masa terhad sahaja, jadi jika anda berminat dengan tablet ini, anda tidak boleh tunggu lama.

    Tablet premium lain yang dijual dalam lingkungan harga ini termasuklah Samsung Galaxy Tab S10+ yang menawarkan fungsi-fungsi serupa, namun HUAWEI MatePad selalunya menawarkan hayat bateri yang lebih lama. MatePad Pro 12.2 juga ideal jika anda sudah memiliki beberapa peranti dalam ekosistem HUAWEI, seperti telefon pintar, televisyen dan pembesar suara. Tetapi usah risau jika anda memiliki aksesori jenama lain, kerana ia boleh berfungsi baik dengan MatePad Pro 12.2.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Cipset Kirin 9000S (7nm)
    • RAM 12GB + storan 256GB / 512GB
    • Skrin Tandem OLED PaperMatte 12.2 inci, resolusi 2800×1840, kadar segar semula 144Hz, kepadatan piksl 274 ppi, 1.07 bilion warna, kecerahan puncak 2,000 nits, nisbah kontras 2,000,000:1
    • Kamera belakang 13MP (f/1.8, AF) + 8MP (sudut lebar, f/2.2, FF)
    • Kamera hadapan 16MP
    • Bateri 10,100mAh
    • Pengecasan HUAWEI SuperCharge sehingga 20V/5A
    • Menyokong WiFi 2.4Ghz dan 5Ghz, Bluetooth 5.2, Nearlink
    • Port USB 3.1 Gen 1 Type-C
    • Pengimbas cap jari sisi
    • Empat mikrofon, empat pembesar suara
    • Didatangkan bersama 1x Huawei Glide Keyboard, 1x Huawei SuperCharge Adaptor, 1x USB Type-C Cable dan Huawei M Pencil 3rd Gen
    • Warna Premium Gold
    • Sistem operasi HarmonyOS 4.2

    Kelebihan: Mudah dibawa, mutu buatan premium, pelbagai fungsi, hayat bateri panjang, pengecasan pantas, tidak meninggalkan kesan cap jari

    Kekurangan: Mahal, hanya boleh muat turun aplikasi yang ditawarkan dalam HUAWEI AppGallery, auto-pembetulan yang menyibuk

    Kesimpulan: Tablet premium tahan lama untuk para peminat HUAWEI

     

    Artikel Terkini

    REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 dilancar di Malaysia, bermula RM239

    Xiaomi hari ini mengumumkan pelancaran tiga peranti boleh pakai baharu di bawah sub jenama REDMI untuk pasaran Malaysia termasuk fon kepala over-ear...

    Catcha Digital catat untung 128 peratus hasil ambil alih syarikat media Malaysia

    Catcha Digital Berhad mencatatkan prestasi kewangan paling kukuh setakat ini apabila merekodkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 128% bagi suku pertama tahun kewangan 2026...

    Cristiano Ronaldo kini jadi duta global Dreame Technology

    Dreame Technology mengumumkan kerjasama global bersama legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dalam usaha memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran perkakasan rumah pintar...

    Xiaomi Watch S5, Smart Band 10 Pro dan Buds 6 turut rasmi di Malaysia,...

    Selain siri 17T, Xiaomi turut mengumumkan pelancaran beberapa produk baharu di Malaysia menerusi pengenalan Xiaomi Watch S5 46mm, Xiaomi Smart Band 10...

    Siri Xiaomi 17T rasmi di Malaysia dengan Dimensity 9500, kamera Leica dan bateri 7,000mAh...

    Siri Xiaomi 17T secara rasmi dilancarkan di Malaysia dengan dua pilihan model iaitu Xiaomi 17T dan Xiaomi 17T Pro. Model paling berkuasa...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...