fbpx
More

    Ulasan HUAWEI nova 9 – Telefon HMS yang lebih mampu milik

    HUAWEI Malaysia telah melancarkan telefon kelas pertengahan HUAWEI nova 9 pada bulan November lalu dan ia menawarkan spesifikasi yang menarik, termasuklah skrin OLED 120Hz, pengecasan pantas 66W dan empat kamera belakang. Di samping itu, ia turut mempunyai rekaan yang agak unik, dengan permukaan matte berkilauan dan sisi yang melengkung (curved).

    Dengan harga RM1,999, adakah ia berbaloi untuk anda, terutamanya jika anda pengguna HUAWEI Mobile Services (HMS)? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Agak cantik untuk telefon bawah RM2 ribu

    HUAWEI nova 9 mempunyai rekaan yang agak unik, terutamanya pada bonggol kameranya yang berbentuk pil dan menempatkan empat lensa. Lensa untuk kamera utama berada dalam bulatan atas manakala tiga lagi lensa serta lampu kilat LED diletakkan dalam bahagian bulatan bawah. Bonggol kamera ini agak tebal untuk telefon kelas pertengahan, namun ia boleh diratakan jika anda menggunakan sarung (casing) untuk telefon ini yang disertakan dalam kotak.

    Daripada segi permukaan belakang, ia mempunyai sudahan frosted matte yang berkilauan dan tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari. Warna yang telah dipinjamkan kepada kami adalah biru Starry Blue dan ia mempunyai tona warna yang berubah sedikit apabila telefon ini dilhat daripada pelbagai sudut berlainan. Sebuah logo “nova” juga tertera pada bahagian bawah, namun ia tidak terlalu menonjol.

    HUAWEI nova 9 dikelilingi dengan rangka plastik yang dihiasi dengan kilauan besi, membuatkannya nampak lebih premium. Memandangkan telefon ini mempunyai skrin yang melengkung di bahagian sisi, ia rasa lebih “tajam” apabila anda memegangnya kerana ia tidak mempunyai sisi yang luas untuk bersentuhan dengan jari.

    Butang suis dan kawalan audio berada di bahagian sisi kanan, manakala di bawah pula terdapat ruang dwi-kad SIM, port USB-C dan pembesar suara. Tidak seperti kebanyakan telefon pertengahan yang lain, telefon ini tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm.

    Di hadapan, ia mempunyai skrin berukuran 6.57 inci dengan sebuah kamera swafoto kecil dalam lubang punch hole di bahagian atas. Sempadan bezel di bahagian kanan dan kiri adalah sangat nipis, manakala bezel atas dan bawah pula lebih tebal berbanding kiri dan kanan, namun ia tidaklah terlalu mengganggu. Skrin ini juga menempatkan pengimbas cap jari yang berada di bahagian bawah, namun ia mungkin terlalu rendah untuk beberapa orang.

    Secara keseluruhannya, HUAWEI nova 9 menampilkan rekaan yang agak mewah untuk peranti kelas pertengahan, namun ketiadaan bicu audio 3.5mm mungkin akan mengecewakan sejumlah pelanggan yang mungkin sedang mempertimbangkan peranti ini.

    Spesifikasi – Standard untuk telefon kelas pertengahan 2021

    HUAWEI nova 9 menampilkan spesifikasi yang boleh dijangkakan untuk telefon kelas pertengahan yang dilancar pada tahun ini. Berikut adalah spesifikasi penuh:

    • Skrin OLED Full HD+ (1080 x 2340) 6.57 inci
    • Kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuhan 360Hz
    • Cipset Snapdragon 778G
    • RAM 8GB
    • Storan 256GB
    • Kamera utama 50MP Ultra Vision Camera System + kamera ultra-lebar 8MP + sensor kedalaman 2MP + kamera makro 2MP
    • Kamera utama 32MP
    • Bateri 4,300mAh
    • Pengecasan pantas 66W HUAWEI SuperCharge
    • Sistem operasi EMUI 12 berdasarkan HarmonyOS 2.0
    • Pengimbas cap jari dalam skrin

    Skrin OLED yang dilengkapi dalam telefon ini boleh menjana imej yang sangat cantik untuk tontonan video dan filem, manakala kadar segar semula 120Hz pula membenarkan anda untuk mengalami leretan (swiping) yang lebih lancar. Satu perkara menarik tentang kadar 120Hz dalam peranti ini adalah ia merupakan kadar yang berubah secara dinamik, jadi kadarnya akan berubah mengikut aplikasi yang sedang dipaparkan bagi menjimatkan penggunaan bateri.

    HUAWEI nova 9 membenarkan anda untuk mengubah tetapan warna skrin di antara Standard (sRGB/P3) atau Vivid, dan saya mendapati mod warna Vivid nampak lebih berwarna-warni. Untuk kawalan suhu warna (colour temperature) yang lebih halus, anda boleh tetapkannya dengan roda warna.  Daripada segi kecerahan pula, skrin telefon ini boleh digunakan dengan selesa walaupun di bawah cahaya matahari terik.

    (Kiri) Tetapan warna skrin, (tengah) tetapan kadar segar semula, (kanan) tetapan resolusi

    Pengimbas cap jari yang berada dalam skrin ini juga boleh membaca cap jari anda dengan pantas. Jika anda lebih berminat untuk membuka skrin dengan pengimbasan muka, kamera swafotonya boleh melakukannya dengan kadar yang sama.

    Seperti kebanyakan produk HUAWEI lain, telefon ini dilengkapi sistem operasi HarmonyOS 2.0 dan jika anda pernah menggunakan peranti Android sebelum ini, antara muka (UI) HarmonyOS 2.0 tidak akan jadi asing untuk anda. Untuk memuat turun aplikasi, anda boleh gunakan HUAWEI AppGallery dan jika aplikasi yang anda inginkan tidak terdapat dalam platform tersebut, anda boleh gunakan Petal Search untuk memasangnya secara side-load.

    Sungguh pun begitu, pemasangan aplikasi secara side-load memerlukan lebih banyak langkah leceh yang mungkin akan menyukarkan pengguna. Oleh yang demikian, saya mencadangkan anda untuk gunakan AppGallery sebanyak mungkin untuk keperluan aplikasi anda. 

    (Kiri dan Tengah) Home Screen; (kanan) pelbagai ikon dan bloatware yang agak banyak dalam telefon

    Namun seperti yang diketahui ramai, kebanyakan aplikasi popular yang banyak digunakan oleh rakyat Malaysia dan dihasilkan di negara Barat, tidak boleh didapati dalam AppGallery dan mungkin hanya boleh dipasang secara side-load. Ini adalah satu hakikat yang anda perlu hadapi untuk menggunakan telefon HUAWEI.

    Daripada segi perisian remeh (bloatware), nova 9 mempunyai jumlah yang agak banyak, terdiri daripada aplikasi buatan HUAWEI sendiri. Selain itu, telefon ini juga akan menunjukkan beberapa ikon aplikasi dalam home screen untuk menggalakkan anda memuat turunnya dan ia mungkin akan menjengkelkan sesetengah pengguna. Mujur sekali, anda boleh membuang ikon tersebut dengan mudah.

    Untuk audio, nova 9 mempunyai satu sahaja pembesar suara di bahagian bawah dan ia boleh hasilkan kualiti audio yang memuaskan. Untuk pengalaman audio yang lebih jelas, saya syorkan anda untuk gunakan fon telinga wayarles atau fon telinga dengan port USB-C.

    Prestasi – Pantas untuk kegunaan harian, OK untuk gaming

    Keputusan penanda aras Geekbench (kiri) dan 3DMark Wild Life (kanan)

    Dengan cipset Snapdragon 778G yang dibuat dengan proses nod 6nm, HUAWEI nova 9 boleh menghasilkan prestasi yang sangat pantas untuk kegunaan aplikasi harian seperti media sosial, pemain media, pelayar web atau pemesejan. Apabila digabungkan dengan kadar 120Hz, membuatkan pengalaman keseluruhan telefon ini menjadi sangat responsif.

    Saya telah memainkan beberapa game dalam telefon ini seperti Asphalt 9 dan Honkai Impact 3, dan prestasi yang dihasilkan adalah memuaskan walaupun dengan kadar grafik tertinggi. Sungguh pun begitu, saya perasan bahawa permukaan belakang telefon ini menjadi suam dengan kadar yang agak cepat sewaktu bermain game.

    Asphalt 9 boleh dimainkan pada grafik tertinggi, namun kadar bingkainya tidak konsisten

    Varian memori yang dipinjamkan kepada kami adalah RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Kapasiti RAM tersebut adalah cukup untuk membuka beberapa aplikasi serentak tanpa perlu mengorbankan prestasi telefon. Walau bagaimanapun, ia tidak mempunyai fungsi RAM tambahan (RAM expansion) yang banyak diperkenalkan dalam telefon kelas pertengahan oleh jenama lain pada tahun ini.

    Storan 256GB juga agak besar untuk menyimpan banyak gambar, video atau aplikasi, namun sayang sekali ia tidak boleh dibesarkan dengan kad microSD atau kad nano memori (NM).

    Untuk hayat bateri pula, kapasiti 4,300mAh di dalamnya boleh bertahan selama sehari dengan selesa. Sepanjang saya menggunakannya, pengecasan penuh boleh bertahan dari pagi hingga malam dengan baki sekitar 20%. Jika anda mahu gunakannya untuk lebih lama, nova 9 turut menawarkan Power Saving mode yang boleh memanjangkan hayat bateri sekitar beberapa jam lagi.

    Pengecasan pantas 66W adalah antara ciri utama nova 9, dan pengecasan penuh akan mengambil masa sekitar satu jam 15 minit. Ia bukanlah kadar pengecasan terpantas, namun masih mengagumkan untuk telefon kelas pertengahan. Sekurang-kurangnya, pengecas pantas 66W turut disertakan dalam kotak.

    Pengecasan daripada 4% ke 89% mengambil masa sejam (3:15pm ke 4:15pm)

    Kini mari kita beralih kepada prestasi kamera untuk nova 9. Antara muka (user interface) kamera ini menawarkan fungsi asas seperti gambar, video, mod Potret dan mod Night, serta fungsi-fungsi tambahan seperti Slow-Mo, Time Lapse dan Moving Picture.

     Di bawah cahaya terang, ia boleh menghasilkan gambar yang cantik daripada kamera utama dan kamera ultra-lebar. Dengan bantuan sensor kedalaman, ia juga boleh menghasilkan gambar mod Portrait dengan pemisahan kemas di antara subjek dengan latar belakang.

    Walaupun ia bukannya telefon kelas andalan, kamera nova 9 masih boleh ambil gambar yang cantik dalam suasana malap. Untuk zum pula, ia boleh melakukan zum digital sehingga 10x, namun saya merasakan kualiti gambar hanya boleh kekal cantik sehingga zum 3x sahaja.

    Untuk video pula, ia boleh merakam dalam resolusi 4K pada kadar 30fps dan kualitinya agak memuaskan. Jika anda mahukan kadar yang lebih pantas (60fps), anda terpaksa merendahkan resolusi kepada 1080p. Buat mereka yang kerap merakam vlog pula, fungsi Dual View akan membenarkan anda untuk merakam menggunakan kamera utama dan kamera swafoto secara serentak.

    Satu perkara yang agak mengecewakan saya adalah pada penstabilan rakaman video. Ia masih mempunyai penstabilan imej elektronik AIS, namun penstabilannya tidak kukuh seperti dalam telefon kelas pertengahan yang lain. Menu dalam kamera juga tidak mempunyai sebarang tetapan untuk penstabilan, jadi saya tidak boleh meningkatkan tahap penstabilannya.

    Kesimpulan – Telefon menarik untuk penggemar HMS yang tidak ingin berbelanja besar

    Jika anda selesa menggunakan HMS namun tidak ingin membelanjakan sejumlah wang besar untuk beli telefon andalan seperti HUAWEI P40, HUAWEI nova 9 adalah peranti yang sesuai untuk anda. Cipset Snapdragon 778G boleh menghasilkan prestasi pantas untuk kebanyakan situasi, manakala skrin OLED 120Hz pula akan memberikan pengalaman penggunaan yang sangat lancar.

    Sungguh pun begitu, dengan harganya yang bermula dari RM1,999, anda mungkin boleh dapatkan telefon Android yang mempunyai spesifikasi serupa pada harga yang lebih murah. Alternatif yang sesuai kepada HUAWEI nova 9 termasuklah Samsung Galaxy A52s 5G (RM1,899), realme GT Master Edition (RM1,499) atau HONOR 50 (RM1,699). Ketiga-tiga pilihan ini mempunyai cipset Snapdragon 778G, namun kadar pengecasannya tidak sepantas HUAWEI nova 9.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Fahmi Fadzil: Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut miliki akaun media sosial

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki sebarang akaun media...

    Kerajaan akan buat pengumuman penting tentang 5G pada hujung April atau awal Mei 2024

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan membuat beberapa pengumuman penting mengenai rangkaian 5G pada hujung bulan ini atau awal bulan Mei....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X