fbpx
More

    Ulasan Infinix Hot 10S – Telefon kelas permulaan dengan skrin besar 90Hz

    Telefon pintar Infinix Hot 10S yang dilancar pada bulan Julai lalu merupakan sebuah lagi peranti yang dijual dalam pasaran telefon kelas permulaan yang sangat sengit pada waktu ini. Dengan harga bermula RM499 sahaja, ia menawarkan pelbagai spesifikasi yang agak menarik seperti skrin 6.82 inci dengan kadar segar semula 90Hz, bateri 6,000mAh dan cipset MediaTek Helio G85. 

    Jadi adakah ia telefon yang sempurna untuk bajet sekitar setengah ribu Ringgit? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya!

    Rekaan – Susah untuk nampak corak

    Jika anda lihat pada material pengiklanan untuk Infinix Hot 10S, gambar-gambarnya menunjukkan corak berlian (diamond) di belakang telefon tersebut. Hakikatnya, corak tersebut sukar dilihat dengan mata kasar dan hanya boleh dinampak jika ia disengetkan pada sudut tertentu. Ini pasti akan menghampakan mereka yang tertarik dengan rekaan Hot 10S seperti yang dipaparkan pada iklannya, namun buat mereka yang lebih gemarkan rekaan telefon berprofil rendah (low-profile), ini mungkin adalah ciri yang sesuai.

    Sekali pandang, permukaan belakang telefon ini dibuat dengan permukaan plastik yang berkilauan dan tidak banyak berbeza dengan telefon lain. Sebuah logo Infinix yang berwarna kelabu diletakkan di bahagian bawah dan ia tidaklah terlalu menonjol seperti beberapa telefon POCO atau realme. Pengimbas cap jarinya juga diletakkan di belakang, manakala bonggol kamera pula mempunyai saiz yang agak luas namun ia tidak tebal. 

    Seperti permukaan belakang, rangka Hot 10S juga dibuat dengan plastik. Butang suis dan kawalan suara berada di bahagian sisi kanan, manakala di sisi kiri pula terdapat ruang untuk dwi-kad SIM serta kad memori microSD. Di bahagian bawah, terdapat bicu audio 3.5mm, satu pembesar suara dan port microUSB yang agak mengecewakan. Mungkin akan ada orang yang terkesima melihat kewujudan microUSB dalam sebuah telefon yang dilancar pada 2021, namun itulah hakikatnya.

    Di hadapan, ia mempunyai skrin berukuran 6.82 inci yang agak besar untuk sebuah telefon kelas permulaan dan mungkin tidak selesa digunakan oleh mereka yang mempunyai tangan kecil. Ia mempunyai sempadan bezel yang agak tebal di bahagian atas dan bawah, lebih-lebih lagi dengan kamera swafoto yang berada di dalam takuk (notch) di bahagian atas tengah skrin. Mujur sempadan bezel di bahagian sisi adalah nipis, jadi anda boleh layan video dengan lebih syok pada skrin besar ini.

    Secara keseluruhan, telefon ini menawarkan rekaan yang baik namun ia tidak banyak berbeza dengan telefon lain pada harga ini, walaupun ia diiklankan dengan corak diamond di belakangnya. Jadi kita perlu lihat pada prestasinya untuk lihat perbezaannya dengan telefon lain.

    Spesifikasi – Skrin 90Hz dan pelbagai “specs” menarik

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Infinix Hot 10S:

    • Skrin LCD HD+ (1640×720) 90Hz 6.82 inci
    • Cipset MediaTek Helio G85
    • RAM 4GB
    • Storan dalaman 64GB
    • Kamera utama 48MP + sensor kedalaman 2MP
    • Kamera swafoto 8MP dengan dua lampu kilat (flash)
    • Bateri 6,000mAh
    • Satu pembesar suara
    • Perisian XOS 7.6.0 berdasarkan Android 11
    • Bicu audio 3.5mm, dwi-kad SIM

    Walaupun telefon ini mempunyai skrin LCD sahaja, kadar segar semula 90Hz membuatkan pengalaman menatal (scrolling) sangat lancar. Sementara itu, ukurannya yang agak besar meningkatkan lagi pengalaman menonton filem atau bermain game. Oleh yang demikian, mereka yang meminati skrin besar mungkin akan tertarik dengan Hot 10S ini.

    Kadar segar semula boleh diubah di antara 90Hz, 60Hz atau biarkan telefon tetapkannya secara automatik. Memandangkan telefon ini mempunyai bateri yang besar, saya menggalakkan anda untuk menetapkan pada 90Hz sahaja untuk pengalaman terbaik.

    Untuk kamera pula, telefon ini tidak menawarkan lensa yang menarik di mana ia hanya terdiri daripada satu kamera utama 48MP dan satu sensor kedalaman. Aplikasi kameranya juga hanya menawarkan fungsi-fungsi asas seperti mod potret, kecantikan (Beauty), malap (Super Night) dan video pendek (Short Video). Sungguh pun begitu, kamera swafotonya didampingi dua lampu kilat (flash) jadi ia boleh menerangkan muka anda dengan baik sewaktu mengambil swafoto atau vlog.

    Antara muka kamera untuk Infinix Hot 10S
    Antara muka XOS (kiri), rupa app drawer yang disusun menurut huruf aplikasi (tengah), fungsi multi-window
    Spesifikasi Hot 10S (kiri), tetapan kadar skrin (tengah), tetapan prestasi bateri

    Untuk perisian XOS pula, ia menawarkan antara muka yang mesra pengguna dan segala fungsi Android 11 masih boleh diakses dengan mudah. Walau bagaimanapun, telefon ini mempunyai banyak perisian remeh (bloatware) yang mungkin akan menjengkelkan anda. Bilangan aplikasi yang banyak ini membuatkan app drawer nampak sangat serabut. Selain itu, anda juga akan menerima pelbagai iklan apabila anda membuka aplikasi-aplikasi ini.

    Bercakap tentang app drawer, aplikasi dalam telefon ini disusun mengikut abjad dan anda boleh lihat senarai huruf pada bahagian kanan skrin. Ini agak berbeza berbanding app drawer dalam kebanyakan telefon Android lain, namun ia bukanlah satu perbezaan yang akan menyukarkan pengguna. Sekarang, mari kita beralih kepada pengalaman saya menggunakan telefon ini selama lebih daripada seminggu.

    Prestasi – Boleh main game sederhana, ambil gambar cantik

    Berikut adalah markah penanda aras untuk Infinix Hot 10S:

    Keputusan Geekbench (kiri) dan 3DMark (kanan)

    Seperti yang boleh dijangka, markah Geekbench dan 3DMark di atas tidaklah begitu tinggi. Jika anda ingin bermain game menggunakan Hot 10S, ia hanya boleh memainkan game popular seperti COD Mobile dan PUBG Mobile pada tetapan grafik rendah. Ia masih boleh diletakkan pada grafik medium, namun ini akan merendahkan kadar bingkai (frame rate) dan menyukarkan anda untuk bertindak balas dengan cepat.

    Untuk game yang memerlukan spesifikasi andalan seperti Genshin Impact, walaupun dengan tetapan grafik rendah, Hot 10S sukar menjana kadar bingkai yang sekata untuk game tersebut.

    Walaupun dengan prestasi gaming yang agak sederhana, kehadiran bateri 6,000mAh dalam telefon ini membenarkan anda untuk bermain game dengan lebih lama, jadi ia sesuai untuk digunakan oleh mereka yang ingin berlatih dengan lama untuk mengasah skil mereka. Bateri ini mampu menjana prestasi yang cukup untuk sehari walaupun dengan sesi gaming yang mengambil masa berjam-jam. 

    Telefon ini juga tidak menghasilkan haba yang terlalu tinggi sewaktu bermain game, jadi tangan anda akan kekal selesa dan tidak perlu risau sama ada telefon akan jadi terlalu panas (overheat). Jika anda sekadar menggunakan telefon ini dengan fungsi asas sahaja, tiada masalah untuk bateri ini bertahan sehingga dua hari.

    Beralih kepada seksyen fotografi, Infinix Hot 10S memberikan kualiti gambar yang baik di bawah cahaya yang terang. Memandangkan ia tidak mempunyai kamera ultra-lebar, telefoto atau makro, anda perlu bergantung kepada kamera utamanya sahaja untuk kebanyakan mod fotografi. Sungguh pun begitu, ia masih mampu membuat zum digital dengan baik.

    Sensor kedalaman juga berfungsi dengan baik untuk mod potret, di mana pemisahan di antara subjek dengan latar belakang nampak sangat kemas. Untuk mod potret pada kamera swafoto pula, pemisahan tersebut masih nampak kemas. Malah dengan dua lampu kilat khas untuk kamera swafoto, anda boleh mengambil gambar dengan sangat terang dalam waktu malap.

    Satu perkara yang mengagumkan saya adalah mod Super Night, di mana Hot 10S boleh mengambil gambar waktu malap yang cantik tanpa memerlukan lampu kilat. Saya sebenarnya menjangkakan kualiti gambar malap yang tidak bagus daripada Hot 10S seperti dalam kebanyakan telefon kelas permulaan, namun mod Super Night berjaya menghasilkan gambar yang terang dan sesuai untuk dikongsi dalam media sosial.

    Walaupun ia sekadar meningkatkan exposure dan tidak boleh bersaing dengan gambar mod malap daripada telefon andalan, saya masih berpuas hati dengan mod Super Night dalam Hot 10S.

    Untuk kebolehan video pula, tidak banyak istimewa dalam kamera Hot 10S. Ia boleh merakam pada resolusi 1080p dengan kadar 30fps tanpa sebarang teknologi penstabilan. Warnanya nampak agak pudar seperti dalam kebanyakan telefon pada taraf ini, manakala kualiti video dalam waktu malap juga agak kabur.

    Kesimpulan – Telefon kelas permulaan dengan prestasi yang baik

    Infinix Hot 10S menawarkan nilai yang tinggi untuk sebuah telefon pintar yang dijual pada harga RM499. Anda boleh bermain kebanyakan game multi-pemain yang popular, menikmati hayat bateri yang lama, skrin yang sangat besar untuk tontonan video serta fotografi malap yang lebih baik berbanding kebanyakan telefon yang dijual pada harga sama.

    Sungguh pun begitu, Hot 10S masih mempunyai beberapa kelemahan yang ketara. Contohnya, resolusi skrin adalah HD+ sahaja dan ia masih bergantung kepada port microUSB yang sudah pun dipinggirkan oleh industri telefon pintar. Selain itu, corak berlian di belakang telefon itu juga tidak begitu jelas dan sangat berlainan dengan produk yang diiklankan.

    Jika anda tidak kisah dengan kekurangan tersebut, mungkin Hot 10S adalah telefon yang sempurna dengan anda. Untuk alternatif yang menarik kepada telefon ini, anda boleh lihat pada realme Narzo 30A (RM499), POCO M3 Pro 5G (RM599) atau Samsung Galaxy M12 (RM599). Dengan tambahan RM100, POCO M3 Pro 5G menawarkan skrin dalam resolusi Full HD+ dan port USB-C.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X