fbpx
More

    Ulasan Infinix Note 30 – Pilihan mantap untuk telefon “gaming” bajet

    Pada bulan Mei lalu, siri Infinix Note 30 telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia, terdiri daripada dua varian utama iaitu Infinix Note 30 dan Infinix Note 30 Pro. Dengan cogan kata “telefon pintar gaming bajet terbaik dalam 2023″, kami ingin mengetahui sebaik mana ia boleh menepati kenyataan tersebut. Jadi tanpa membuang masa lagi, ayuh baca tulisan Infinix Note 30 yang telah diterbitkan oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris ini.

    Rekaan – Kemas, namun dengan saiz yang agak besar

    Pada pandangan pertama, telefon ini nampak kemas dengan reka bentuk polikarbonat dan sudahan pusam (matte) di belakangnya. Bahagian sisinya yang berwarna oren berkilauan menghasilkan penampilan yang premium.

    Saiznya yang berukuran 6.78 inci membuatkannya agak besar untuk digunakan dengan satu tangan. Jadi, jika anda sedang mencari telefon yang tidak nampak tersembul apabila dimasukkan dalam poket, ini bukan produk untuk anda.

    Menariknya, telefon ini datang dengan pengimbas cap jari di bahagian sisi kanan yang memudahkan anda untuk membuka kunci skrin dan mengelakkan kesan cap jari pada skrin. Pengimbas cap jari ini turut bertindak sebagai butang kuasa. Butang kawalan audio (volume) pula diletakkan bersebelahan dengan pengimbas cap jari.

    Spesifikasi – Gabungan menarik antara telefon bajet dan pertengahan

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Infinix Note 30:

    • Skrin IPS LCD 6.78 inci, resolusi 1080 x 2460, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 580 nits, nisbah skrin-ke-badan ~84.5%
    • Cipset MediaTek MT8781 Helio G99 (6nm) lapan teras (dua teras 2.2GHz Cortex-A76 dan enam teras 2.0GHz Cortex-A55)
    • RAM 8GB
    • Storan dalaman 256GB, boleh dibesarkan dengan microSD
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 45W
    • Sistem operasi Android 13
    • Menyokong rangkaian 4G, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, dual-band, Wi-Fi Direct

    Walaupun Infinix Note 30 dikategorikan sebagai telefon bajet, skrinnya masih mempunyai kadar segar semula 120Hz dan membuatkannya sangat lancar untuk digunakan. Jika anda gemar menonton video pada telefon, panel IPS LCD dan kecerahan 540 nits boleh menghasilkan pengalaman yang memuaskan. Ia bukanlah skrin yang terbaik dalam pasaran, namun boleh dijangkakan untuk sebuah telefon bajet.

    Banyak aksesori yang diberikan dalam kotaknya

    Telefon ini datang dengan perisian XArena Optimiser untuk mengoptimumkan prestasi gaming. Dibina dengan Dar-Link Engine, ia diguna untuk meningkatkan prestasi CPU, hubungan (network), GPU dan memori. Ia juga boleh digunakan untuk mematikan panggilan telefon dan menghantar peringatan keselamatan melalui mod Health. Malangnya ia masih tidak menyokong rangkaian 5G, jadi anda masih perlu bergantung kepada 4G.

    Selain itu, ia turut mempunyai dwi-pembesar suara stereo JBL di bahagian atas dan bawah telefon. Selepas menonton siaran Netflix selama tiga jam dan mendengari lagi Spotify selama dua jam, pembesar suara ini masih menghasilkan bunyi yang baik daripada segi kejelasan, Mereka yang mempunyai pendengaran tajam mungkin akan mendengari sedikit bunyi hirisan, namun tidak keterlaluan.

    Pembesar suara yang agak bagus untuk telefon kategori ini
    UI untuk aplikasi XArena dan Dar-Link Engine

    Satu isu yang mungkin akan merunsingkan anda adalah kewujudan banyak perisian remeh (bloatware) yang diprapasang dalam telefon. Ini mungkin akan memperlahankan telefon jika dibiar begitu sahaja namun anda boleh mematikan sesetengah daripadanya.

    Antara mukanya (UI) nampak agak kemas, namun kebanyakan aplikasi yang diprapasang tidak kerap digunakan oleh saya. Sebagai contoh, Mobile Cloner, Phone Master, X Share Mini, Palm Store dan banyak lagi, namun saya yakin mungkin ada orang di luar sana yang akan menghargai aplikasi ini.

    Prestasi – Praktikal, namun jumlah bloatware harus dikurangkan

    Dengan cipset MediaTek Helio G99 SoC, Infinix Note 30 menghasilkan prestasi yang bagus untuk kategorinya sebagai telefon gaming bajet. Menurut ujian penanda aras yang kami lakukan, telefon ini memperolehi markah 394,293 mata dalam Antutu dan 2,050 dalam ujian multi-teras Geekbench 6.

    Sewaktu bermain game kelas pertengahan seperti Asphalt 9, ia boleh dimainkan dengan lancar. Namun untuk game berprestasi tinggi seperti Genshin Impact, prestasinya masih agak tersangkut-sangkut walaupun dalam tetapan grafik rendah. Sewaktu saya bermain Mobile Legends Bang Bang (MLBB) pula, sesi permainan dalam talian dan grafiknya rasa bagus namun kadang-kala skrinnya rasa tidak responsif.

    Dengan RAM sebanyak 8GB, telefon ini memberikan penstabilan yang tinggi dan fleksibiliti sewaktu anda membuka beberapa aplikasi serentak. Pada satu masa, saya boleh membiarkan game Genshin Impact dan Asphalt 9 untuk beroperasi di latar belakang, dan telefon ini masih beroperasi dengan baik.

    Penanda aras Geekbench (kiri) dan Antutu (kanan)
    Tangkapan skrin Asphalt 9
    Genshin Impact: Tekstur bayang-bayang nampak berkotak-kotak, manakala kadar bingkai agak tersangkut
    MLBB: Grafik nampak cantik, tapi kadang-kala skrinnya tidak responsif

    Satu perkara yang menarik perhatian penulis adalah Infinix mengatakan bateri telefon ini boleh bertahan sehingga dua hari. Sewaktu saya menggunakannya, ia bertahan lebih daripada 48 jam, jadi kenyataan ini memang tepat. Walaupun dengan bateri sebesar 5,000mAh, pengecasan pantas 45W All-Round FastCharge mengambil masa sekitar 35-45 minit untuk mencapai 100%.

    Untuk fotografi, Infinix Note 30 menggunakan kamera utama 108MP, sensor kedalaman 2MP dan sebuah “kanta AI”. Ketiadaan kamera ultra-lebar atau kamera makro mungkin akan menghampakan anda, kerana telefon lain yang dijual pada harga serupa sudah mempunyai kamera ultra-lebar.

    Mod potret boleh diambil dengan kemas, namun ia masih boleh diperbaiki terutamanya dalam aspek pemisahan latar belakang. Jika anda gemar mencipta video menegak untuk Instagram Reels, TikTok atau YouTube Shorts, mod Film sesuai digunakan oleh anda. Lagipun, telefon ini mempunyai mod dwi-rakaman (dual-view mode) yang membenarkan anda untuk merakam menggunakan kamera belakang dan hadapan serentak.

    Sementara itu, mod Super Night pula tidak berfungsi dengan baik walaupun dalam situasi malap. Ia memang boleh meningkatkan sedikit kualiti gambar berbanding mod auto, namun perbezaannya tidak banyak. Kami menjangkakan Note 30 Pro mungkin boleh mengambil gambar mod malam yang lebih cantik, namun jika anda sekadar memiliki Note 30, anda perlu mengambil gambar pada waktu siang atau situasi dengan cahaya terang untuk kualiti gambar tertinggi.

    Kesimpulan – Telefon bagus untuk harganya

    Secara keseluruhan, Infinix Note 30 adalah sebuah telefon bajet yang bagus, selagi anda memahami hadnya sebagai telefon kelas permulaan. Ia mempunyai kapasiti bateri yang besar, RAM 8GB, ruang kad memori microSD dan cipset Helio G99. Walaupun reka bentuknya agak besar, saya pasti ada orang di luar sana yang akan menghargai saiz skrinnya yang besar. Kami tidak menyukai jumlah perisian remeh yang agak tinggi namun jika anda seorang peminat MLBB, ini adalah telefon yang sesuai untuk anda.

    Pada harga RM699, tidak banyak telefon kelas permulaan yang boleh menyaingi Infinix Note 30 terutamanya dalam aspek prestasi gaming. Sungguh pun demikian, realme C55 dan Samsung Galaxy A04s adalah alternatif yang menarik jika dilihat pada harga yang serupa. Perlu diingati bahawa Galaxy A04s menawarkan tri-kamera 50MP sahaja, dengan memori yang lebih kecil.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    [Diterjemahkan daripada TechNave]

     

    Artikel Terkini

    Harga Infinix GT 20 Pro 5G untuk pasaran Malaysia didedah bermula RM1,299

    Infinix GT 20 Pro 5G yang akan dilancarkan di Malaysia pada 2 Mei ini tetapi butiran lanjut masih belum didedahkan oleh syarikat...

    Google Play Store kini boleh memuat turun dua aplikasi serentak

    Baru-baru ini, Google telah memperkenalkan peningkatan kecil namun ketara pada Google Play Store yang membolehkan pengguna memuat turun dua aplikasi serentak pada...

    Pengguna TNG eWallet dan MyPB kini boleh buat pembayaran QR melalui Alipay+ di Hong...

    Pengguna Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) dan MyPB oleh Public Bank Berhad kini berpeluang untuk membuat pembayaran QR dengan lancar di...

    Shopee ingatkan anda supaya waspada dengan sebarang mesej yang minta maklumat peribadi

    Platform e-dagang popular, Shopee, ingin mengingatkan anda supaya kekal berwaspada terhadap sebarang mesej atau SMS yang meminta maklumat peribadi anda. Peringatan ini...

    AmBank akan lancarkan kemas kini baharu untuk aplikasi AmOnline pada Mei ini

    Jika anda mempunyai akaun AmBank, anda perlu mengambil perhatian lanjut mengenai berita ini. Untuk makluman anda, AmBank merancang untuk menaik taraf aplikasi...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X