fbpx
More

    Ulasan Infinix NOTE 50 Pro+ 5G – “Flagship killer”? Macam tak.. Macam ya…

    Dalam pasaran telefon pintar Malaysia yang semakin sengit, Infinix telah membuat satu langkah yang berani dengan memperkenalkan model terbaharu NOTE 50 Pro+ 5G. Saya telah menggunakan peranti ini sebagai telefon harian selama beberapa minggu dan apa yang boleh saya katakan ialah ia bukan sekadar telefon kelas pertengahan biasa.

    Ia adalah satu penawaran luar jangka yang berjaya menggabungkan prestasi, reka bentuk dan ciri-ciri pintar dalam satu pakej yang menyaingi peranti flagship jauh lebih mahal. Peranti ini telah dilancarkan secara rasmi pada 22 April lepas dan menawarkan fon telinga AI Buds secara percuma, selagi stok masih ada. Jom sama-sama baca ulasan tentang kehebatan, kekurangan dan keunikannya.

    Pakej yang anda akan dapat jika membelinya

    Rekaan – Kemasan premium memikat hati

    Sebaik sahaja mengeluarkan telefon ini dari kotaknya, saya terus terpikat dengan reka bentuknya. Unit yang saya gunakan hadir dalam warna Enchanted Purple yang menampilkan warna ungu gelap. Bahagian belakangnya agak ringkas tetapi kelihatan mewah dengan rekaan kameranya serta mempunyai kemasan matte yang membantu mengurangkan cap jari dan menjadikannya kekal bersih walaupun digunakan sepanjang hari.

    Bahagian bingkai logam yang mengelilinginya terasa kukuh di tangan dengan butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pembantu AI “Folax” terletak pada posisi ergonomik dan mudah dicapai tanpa perlu mengubah genggaman. Berbeza dengan sesetengah telefon yang hanya meletakkan ciri AI untuk tujuan pemasaran, Infinix benar-benar membina pengalaman pintar yang membantu dalam kehidupan harian.

    Butang untuk memanggil “Folax”
    Bahagian kiri telefon
    Bahagian kanan telefon
    Bahagian hadapan peranti

    Bahagian kamera juga terletaknya pengimbas kadar jantung dan oksigen dalam darah. Saya rasa ciri ini agak hebat untuk sebuah telefon pintar yang mana anda boleh mengetahui serba sedikit tentang jantung sebelum apa-apa berlaku. Langkah yang bijak dan unik! Sepanjang menggunakan telefon ini, saya tidak rasa sebarang kekurangan tentang luarannya. Ia lengkap seperti sebuah telefon pintar standard tetapi dengan ciri yang betul-betul praktikal.

    Tips – Jangan tekan kuat sangat

    Spesifikasi – Lengkap, berbaloi untuk peranti 2025

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Infinix NOTE 50 Pro+ 5G:

    • Skrin AMOLED 6.78 inci, resolusi 1080×2436, kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 1,300 nits, dilindungi kaca Gorilla Glass 5
    • Cipset MediaTek Dimensity 8350 Ultimate 5.5G
    • RAM 12GB + RAM tambahan 12GB
    • Storan dalaman 256GB (tiada slot microSD)
    • Kamera utama 50MP (Sony IMX896, OIS) + kamera ultra-lebar 112° + kamera makro 2MP
    • Kamera hadapan 32MP
    • Bateri 5,200mAh
    • Pengecasan pantas 100W (pengecas disertakan) + pengecasan wayarles 50W
    • Sistem operasi Android 15 dengan XOS 13
    • Pembesar suara stereo JBL dengan peningkatan bass 58%
    • Port USB-C, NFC, pengimbas cap jari sisi
    • Penyejukan VC 12,326mm²

    Digandingkan dengan cip MediaTek Dimensity 8350 Ultimate, pengalaman penggunaan harian saya terasa pantas dan lancar. Saya tidak mengalami sebarang isu ketika menyunting gambar, menstrim video 4K atau membuka berbilang aplikasi secara serentak. Dengan RAM sebanyak 12GB dan tambahan 12GB Extended RAM, saya dapat membuka lebih daripada 15 aplikasi sekaligus tanpa sistem terasa perlahan atau aplikasi tertutup sendiri.

    Saya menggunakan AI Recording Summary ketika merakam suara dan biarkan telefon hasilkan ringkasan penting secara automatik. Fungsi AI Writing pula membantu saya menstruktur semula ayat dalam mesej penting dengan lebih kemas dan profesional. Satu lagi ciri yang sering saya gunakan ialah One-Tap Query dengan pembantu digital Folax.

    Saya boleh tanya tentang cuaca, jadual harian, malah cadangan tempat makan berdekatan hanya dengan satu sentuhan. Fungsi AI Privacy Masking juga amat berguna apabila saya perlu berkongsi tangkap layar tanpa mendedahkan maklumat peribadi. XOS 13 berasaskan Android 15 juga menawarkan antara pengalaman perisian paling ringan yang saya temui dalam telefon kelas pertengahan.

    Tiada bloatware yang menjengkelkan dan antaramukanya ringkas serta mudah disesuaikan. Saya juga suka dengan fungsi Desktop Mode yang membolehkan telefon digunakan seperti komputer apabila disambungkan ke monitor luaran. Super WiFi 2.0 dan teknologi EDCA pula memastikan sambungan stabil, walaupun di rumah saya yang penuh dengan peranti sambungan serentak.

    Selesa untuk mata dan senang ketika gaming

    Paparan AMOLED bersaiz 6.78 inci pada telefon ini merupakan antara yang terbaik dalam kelas harganya. Ia menyokong kadar segar semula setinggi 144Hz yang menghasilkan pengalaman penggunaan yang sangat lancar. Saya sedar betapa bezanya apabila menatal media sosial atau membaca artikel panjang dengan pergerakan lebih halus dan responsif.

    Di bawah cahaya matahari pula, skrin ini tetap jelas kelihatan kerana kecerahan puncak sehingga 1300 nits dan saya tidak perlu lagi “meneduhkan” skrin untuk membaca mesej di luar rumah. Peranti ini dilengkapi sistem kamera yang mengimbangi keperluan harian dan kreativiti pengguna. Kamera utamanya beresolusi 50MP Sony IMX896 dengan sokongan OIS (Optical Image Stabilization) menghasilkan gambar yang tajam dan stabil walaupun dalam keadaan cahaya rendah.

    Bonggol kamera agak menonjol
    Pembesar suara yang ditala oleh JBL

    Zoom digital 6X lossless mengekalkan kualiti imej yang baik untuk subjek jarak sederhana, manakala kamera ultra-wide 112° membolehkan pengambilan gambar landskap atau kumpulan yang lebih luas tanpa perlu berundur. Ciri AI RAW Image Processing turut membantu meningkatkan kualiti gambar dengan ketara terutamanya dalam situasi kontras tinggi atau cahaya redup.

    Fungsi seperti ZoneTouch Master dan AI Magic Box daripada XBOOST Gaming Engine turut memberikan nilai tambah dengan memberikan kawalan lebih tepat dan tumpuan penuh pada permainan. Speaker stereo daripada JBL pula menghasilkan bunyi yang lantang dan bertenaga. Ia cukup kuat dan jelas untuk menonton filem tanpa memerlukan speaker luaran. Kualiti bass juga lebih terasa berbanding kebanyakan peranti dalam julat harga ini.

    XBOOST Gaming Engine yang sangat praktikal

    Prestasi – Kuasa mengatasi jangkaan

    Dalam ujian penanda aras, telefon ini mencatat skor yang mengagumkan dengan mata 1223 dalam ujian single-core dan 3932 mata dalam multi-core menerusi Geekbench 6. Ujian grafik menggunakan 3DMark Wild Life juga menunjukkan kestabilan prestasi yang baik dengan keputusan yang hampir menyamai telefon yang dua kali ganda lebih mahal. Yang lebih penting, prestasi ini turut konsisten dalam dunia sebenar.

    Ketika saya bermain Genshin Impact pada tetapan tinggi selama hampir sejam, suhu peranti hanya meningkat sekitar lima darjah Celsius kerana sistem penyejukan VC bersaiz besar yang digunakan. Yang lebih penting, prestasi ini turut konsisten dalam dunia sebenar. Bagi saya yang gemar bermain permainan mudah alih, prestasi gaming adalah antara faktor penentu. Dengan telefon ini, saya boleh bermain Mobile Legends pada kadar bingkai tertinggi dan hasilnya sangat memuaskan.

    Boleh capai 120 bingkai per saat!
    Pilihan grafik untuk MLBB
    Lancar dan seronok!
    Pilihan grafik untuk PUBG Mobile
    Pandangan ketika main Genshin Impact
    Boleh guna tetapan tertinggi

    Tiada lag, tiada frame drop dan sentuhan di skrin terasa sangat responsif. Cuma dinasihatkan untuk bermain dalam persekitaran berangin untuk menjaga kestabilan peranti. Bagi permainan yang memerlukan ketepatan bunyi seperti PUBG, saya masih menggunakan fon kepala, tetapi pengalaman audio secara keseluruhan sudah cukup baik untuk kegunaan harian.

    Saya juga mencuba pengecasan tanpa wayar 50W menggunakan pad pengecas Infinix yang dijual berasingan dan pengalaman mengecas sambil bekerja atau tidur jadi jauh lebih mudah. Telefon ini dilengkapi bateri sebesar 5200mAh yang boleh bertahan sehari penuh dengan penggunaan intensif. Saya lalui hari biasa dengan sesi gaming, strim video, navigasi dan media sosial tanpa perlu mencari pengecas menjelang petang.

    Pilihan mod pengecasan
    Active Halo Lighting
    Palam pengecas 100W + kabel

    Malah, dengan pengecasan pantas 100W yang disokong, saya tidak lagi panik apabila peranti kehabisan bateri kerana 10 minit pengecasan sudah cukup untuk lebih 35% dan pengecasan penuh hanya mengambil masa kira-kira 32 minit. Satu lagi aspek yang tidak saya sangka begitu memuaskan ialah sistem kamera.

    Kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX896 dan penstabilan imej optikal menghasilkan gambar yang tajam, terang dan seimbang dalam hampir semua keadaan pencahayaan. Saya ambil beberapa gambar malam dan hasilnya cukup menakjubkan walaupun dengan cahaya minimum. Imej tetap jelas dan noise dapat dikawal dengan baik.

    Kamera yang mantap

    Fungsi zum 6X lossless sangat praktikal terutamanya apabila saya mahu menangkap butiran pada bangunan atau objek dari jauh. Zum digital sehingga 100X pula lebih kepada ciri tambahan yang menyeronokkan tetapi tidak sesuai untuk hasil imej berkualiti tinggi. Namun, tetap berguna sekadar untuk melihat teks kecil dari jarak jauh.

    Kamera ultra-lebar turut menunjukkan prestasi yang baik dengan hasil tangkapan landskap dan gambar kumpulan yang lebar dan kurang herotan. Saya juga mencuba rakaman video 4K pada 60fps dan mendapati hasilnya sangat stabil dengan warna semula jadi dan julat dinamik yang luas, cukup untuk kegunaan vlogging atau dokumentasi peribadi. Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan Infinix NOTE 50 Pro+ 5G.

    Zum 0.6x
    Zum 1x
    Zum 2x
    Zum 3x
    Zum 6x
    Ini zum 100x!
    Mod makro
    Mod malam
    Daripada kamera swafoto
    Mod automatik malam
    Belanja sikit mawar TechNave BM
    Dalam keadaan cahaya malap
    Mod automatik

    Kesimpulan – Flagship killer sebenar?

    Secara keseluruhan, pengalaman saya menggunakan Infinix NOTE 50 Pro+ 5G adalah sangat positif. Ia bukan sahaja berfungsi dengan baik, malah memberikan rasa puas hati daripada segi prestasi, reka bentuk dan ciri pintar yang ada. Pada harga RM1,599, telefon ini jelas menawarkan nilai yang luar biasa sama ada anda seorang pelajar, profesional mahupun kaki gaming.

    Dalam segmen harga yang kompetitif ini, Infinix NOTE 50 Pro+ 5G tampil dengan kelebihan seperti kapasiti bateri yang besar, pengecasan pantas 100W dan pelbagai ciri AI yang memudahkan urusan harian. Jika dibandingkan, POCO F6 mungkin menawarkan prestasi grafik yang sedikit lebih mantap, manakala realme 12 Pro+ pula menonjol dalam keupayaan kamera terutamanya untuk fotografi potret.

    Namun, setiap peranti membawa kekuatan tersendiri dan pilihan terbaik akhirnya bergantung kepada keutamaan pengguna sama ada ke arah produktiviti dan gaming, prestasi keseluruhan atau kualiti kamera. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Luno perkenal koin digital baharu dengan Algorand dan NEAR

    Luno yang merupakan satu-satunya bursa aset digital yang dikawal selia di Malaysia, kini menambah dua lagi koin ke dalam senarai aset digitalnya...

    WhatsApp lancar Advanced Chat Privacy untuk privasi sembang peribadi dan kumpulan

    WhatsApp hari ini secara rasmi telah melancarkan ciri baharu yang dinamakan Advanced Chat Privacy yang merupakan satu lapisan keselamatan tambahan untuk pengguna...

    Redmi Turbo 4 Pro rasmi sebagai telefon pertama dengan SD 8s Gen 4, bermula...

    Redmi Turbo 4 Pro kini rasmi di China dan menariknya, ia menjadi telefon pintar pertama di dunia yang dikuasakan cip Snapdragon 8s...

    Siri Samsung Galaxy Tab S10 FE dilancar di Malaysia: Skrin 90Hz, cas pantas 45W...

    Samsung Malaysia hari ini memperkenalkan dua buah tablet baharu dalam siri Galaxy Tab FE iaitu Samsung Galaxy Tab S10 FE dan Samsung...

    Astro kini tawarkan langganan Prime Video untuk peranti Ultra dan Ulti Box

    Pelanggan Astro kini boleh menikmati lebih banyak hiburan apabila aplikasi Amazon Prime Video mula tersedia untuk peranti Ultra dan Ulti Box. Kolaborasi...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured