fbpx
More

    Ulasan iQOO 11 5G – Telefon Snapdragon 8 Gen 2 paling bergaya

    Buat para pengguna telefon pintar di Malaysia, iQOO mungkin bukanlah sebuah jenama teknologi yang dikenali ramai. Ia sebenarnya merupakan sebuah sub-jenama bawah naungan vivo yang menghasilkan telefon khas berprestasi tinggi untuk gaming sejak pengenalannya pada 2019 di China.

    Kini, syarikat itu telah meluaskan sayapnya ke dalam pasaran Malaysia dan telefon pertama yang ditawarkan adalah iQOO 11 5G, dan ia juga merupakan telefon Snapdragon 8 Gen 2 pertama yang dilancar di sini. Dengan cipset yang setaraf untuk telefon andalan (flagship) pada 2023, adakah ini sebuah telefon yang sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Dari jauh dah boleh tahu ini telefon iQOO

    Sejak telefon pertama lagi, rekaan telefon iQOO termasuk iQOO 11 mempunyai penampilan yang sangat unik iaitu pada jalur menegak dengan tiga warna hitam, merah dan biru. Memang jika dilihat dari jauh pun, anda sudah boleh tahu bahawa ini adalah sebuah telefon iQOO dan memang tidak akan tersilap dengan jenama lain.

    Jalur tiga warna pada iQOO 11 ini sebenarnya melambangkan kerjasama syarikat itu dengan pasukan kereta lumba BMW Motorsports, di mana hampir setiap keretanya mempunyai jalur yang sama. Dengan berat sekitar 200 gram, ia agak berat di tangan namun ini adalah standard untuk telefon kategori ini.

    Warna utama telefon ini adalah putih terang dan ia mempunyai kemasan kulit (leather). Selain membuatkannya nampak lebih eksklusif, kemasan kulit ini tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari dan permukaannya yang kesat membuatkan telefon ini lebih mudah dipegang.

    Sungguh pun begitu, satu keburukan warna putih ini adalah ia sangat mudah dikotorkan, jadi saya nasihatkan anda untuk pasangkan sarung lutsinar yang turut diberikan dalam kotak. Jika anda inginkan warna lain seperti yang ditawarkan untuk pasaran antarabangsa, anda tidak bernasib baik kerana iQOO Malaysia tidak menawarkan warna selain daripada yang putih ini.

    Bonggol kameranya yang berbentuk petak besar pula membuatkan saya terfikir seperti siri telefon vivo X70 dan lain-lain telefon vivo kelas pertengahan. Memandangkan iQOO adalah syarikat bawah naungan vivo, ini bukanlah satu perkara yang menghairankan. Mujur sekali bonggol kameranya nipis sahaja dan tidak tebal seperti dalam telefon vivo.

    Bahagian sekelilingnya mempunyai rangka aluminium untuk mutu buatan yang kukuh, namun aluminium ini tidak berkilauan jadi sisinya nampak lebih mirip kepada sebuah telefon kelas pertengahan. Walaupun demikian, ini masih membuatkan iQOO 11 nampak seperti sebuah telefon premium secara keseluruhan.

    Spesifikasi – Sedia untuk prestasi tinggi pada 2023!

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk iQOO 11:

    • Skrin AMOLED E6 6.78 inci, resolusi 1440×3200, kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 1,800 nits, panel LTPO4, kaca Gorilla Glass Victus
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2
    • RAM LPDDR5X 16GB
    • Storan dalaman UFS4.0 256GB
    • Kamera utama 50MP + kamera telefoto 13MP + kamera ultra-lebar 8MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Rakaman video sehingga 8K 30fps
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 120W, pengecas disertakan dalam kotak
    • Pembesar suara stereo
    • Sistem operasi Funtouch 13 berdasarkan Android 13
    • Pengimbas cap jari optikal bawah skrin
    • Warna putih sahaja

    iQOO 11 merupakan telefon pintar pertama di Malaysia yang dilengkapi cipset tercanggih oleh Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 2. Secara kasar, Qualcomm mengatakan cipset baru ini menawarkan prestasi CPU yang lebih pantas sebanyak 35 peratus dan kecekapan tenaga yang lebih tinggi sebanyak 40 peratus berbanding Snapdragon 8 Gen 1. Ia juga dilengkapi GPU Adreno 740 yang menawarkan prestasi grafik lebih pantas sebanyak 25 peratus dan kecekapan tenaga lebih tinggi sebanyak 45 peratus daripada cipset sebelumnya. Anda boleh ketahui lebih banyak tentang Snapdragon 8 Gen 2 di sini.

    Memorinya juga terdiri daripada komponen pantas, iaitu storan dalaman UFS 4.0 dan RAM LPDDR5X. Untuk pasaran Malaysia, ia hanya ditawarkan dalam satu varian kapasiti iaitu storan 256GB dan RAM 16GB yang boleh dibesarkan lagi sebanyak 8GB dengan fungsi Extended RAM 3.0.

    Storan 256GB dan RAM 16GB yang boleh ditambah sebanyak 8GB lagi

    Bagi mengawal suhu yang optimum sewaktu bermain game, iQOO 11 dilengkapi sistem penyejukan cecair kamar wap (vapour chamber liquid cooling system), dengan ruang kamar seluas 24,768 mm persegi untuk pelesapan haba yang lebih cekap. Sejauh mana sistem penyejukan ini berfungsi, kami akan ulas dalam seksyen Prestasi.

    Di hadapan, ia mempunyai skrin yang sesuai dengan tarafnya sebagai telefon berfokuskan gaming. iQOO 11 mempunyai skrin AMOLED E6 dengan saiz 6.8 inci, resolusi 2K (1440×3200) dan kadar segar semula sehingga 144Hz, jadi anda memang boleh nikmati sebarang video atau game dengan warna yang pekat dan kelancaran tinggi. Kamera swafotonya berada dalam sebuah lubang punch-hole di bahagian tengah dan saiznya sangat kecil.

    Skrin iQOO 11 sangat berkualiti tinggi, seronok menonton video dan bermain game
    Tetapan skrin iQOO 11: (kiri) kadar segar semula automatik, 60Hz atau 144Hz; (tengah) pilihan resolusi FHD+ atau 2K; (kanan) tetapan warna yang ringkas

    Terdapat juga sebuah pengimbas cap jari optikal di bahagian bawah skrin dan ia berfungsi dengan sangat pantas. Anda juga boleh membuka skrin yang dikunci dengan pengimbasan muka melalui kamera hadapan.

    Untuk audio pula, telefon ini mempunyai pembesar suara stereo dan saya sangat berpuas hati dengan kualiti audionya. Ia menghasilkan bunyi yang jelas walaupun pada kelantangan tertinggi. Walaupun begitu, tahap kelantangannya tidak setinggi telefon gaming lain yang lebih popular.

    Baterinya yang besar berkapasiti 5,000mAh adalah ciri yang standard untuk sebuah telefon gaming, namun apa yang lebih menakjubkan adalah ia mempunyai kadar pengecasan 120W yang sangat pantas. Malah, ia turut didatangkan dengan pengecas 120W dalam kotak, sesuatu yang semakin dipinggirkan dalam telefon andalan lain. Malangnya, telefon ini tidak mempunyai sebarang pengecasan wayarles.

    Satu perkara yang mungkin akan mengecewakan peminat telefon gaming adalah ketiadaan fungsi khas untuk bermain game, seperti butang di bahagian bucu telefon.

    Sistem antaramuka FuntouchOS 13 dalam telefon ini adalah sama dengan telefon vivo yang lain, jadi jika anda pernah menggunakan telefon vivo sebelum ini, iQOO 11 tidak akan terasa janggal. Malangnya, ia masih mempunyai aplikasi remeh (bloatware) yang agak banyak.

    iQOO 11 mempunyai jumlah bloatware yang agak banyak; (kanan) Selain daripada PUBG Mobile, itu semua aplikasi yang telah dipasang oleh pihak iQOO
    Boleh pilih prestasi yang diinginkan sewaktu bermain game

    Sebagai sebuah telefon gaming, satu ciri menarik pada telefon ini adalah anda boleh tetapkan tahap prestasi sewaktu bermain game, sama ada anda inginkan mod Monster bagi prestasi tertinggi, atau mod terkawal (Battery Saver Mode) untuk jimatkan bateri.

    Prestasi – Lajunya!

    Berikut adalah markah penanda aras yang telah kami lakukan untuk iQOO 11:

    Seperti yang dijangkakan, iQOO 11 boleh memainkan semua jenis game dengan tetapan grafik tertinggi tanpa sebarang masalah. Saya telah bermain game seperti Genshin Impact, Asphalt 9, COD Mobile dan PUBG Mobile dan semuanya boleh dimainkan dengan kadar bingkai yang sekata. 

    Bagaimana pula dengan suhu telefon sewaktu bermain game? Pastinya ini adalah isu yang akan ditekankan oleh mereka yang berminat dengan telefon, terutamanya dengan rekod Snapdragon sebelum ini yang cepat panas. Mujur sekali, telefon ini tidak menjadi terlalu panas walaupun selepas bermain game dalam tempoh yang lama. Saya selalu bermain game selama sejam dan suhunya masih rasa terkawal sekitar 40°C.

    Hayat baterinya sangat cemerlang. Untuk penggunaan biasa, ia boleh bertahan sehingga dua hari jika anda jarang bermain game dan sekadar melakukan tugasan asas seperti bermesej atau melayari media sosial. Malah saya berpendapat anda boleh panjangkan lagi sehingga tiga hari jika anda merendahkan kadar segar semula kepada 60Hz, tetapkan resolusi kepada FHD+ dan rendahkan kecerahan pada skrin.

    Pengecasan daripada 2% ke 99% mengambil masa 38 minit (6:39pm hingga 7:17pm)

    Dengan pengecasan pantas 120W pula, anda tidak perlu tunggu lama untuk mengecas telefon ini. Pengecasan daripada 0 peratus kepada penuh mengambil masa sekitar 40 minit sahaja. Perlu diingati bahawa suhu telefon boleh meningkat sehingga 38°C sewaktu mengecas dengan pengecas yang disertakan dalam kotak, jadi pastikan anda mengecasnya dalam suasana yang dingin.

    Untuk fotografi pula, kamera iQOO 11 boleh mengambil gambar yang sangat cantik dalam situasi terang, namun kualiti gambar yang diambil pada waktu malam masih terdapat noise yang jelas. Memandangkan ini telefon yang lebih dikhaskan untuk gaming, saya merasakan ini bukanlah masalah besar untuk para pengguna telefon ini.

    Fungsi-fungsi kamera dalam iQOO 11

    Ia boleh merekod video dengan resolusi sehingga 8K pada kadar 30fps. Telefon ini mempunyai penstabilan imej optikal (OIS) yang sangat baik, namun ia hanya ditawarkan dalam rakaman 4K dan ke bawah. Jika anda ingin merekod video 8K, ia tidak mempunyai penstabilan. Saya tidak syorkan anda untuk merekod video dalam 8K kerana ia mengambil ruang yang besar dalam memori dan tidak mempunyai kualiti yang lebih baik daripada video 4K.

    Kesimpulan – Telefon Snapdragon 8 Gen 2 yang mampu milik

    Pada waktu ulasan ini ditulis, sudah terdapat beberapa telefon lain yang turut dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 2, terutamanya siri Samsung Galaxy S23. Satu kelebihan utama untuk iQOO 11 adalah ia menawarkan prestasi pantas untuk telefon Android pada 2023, namun ia dijual pada harga yang lebih mampu milik iaitu setakat RM3,499 sahaja.

    Jika dibandingkan dengan telefon Snapdragon 8 Gen 2 lain, telefon-telefon tersebut biasanya lebih mahal dan jika dijual dengan harga sama sekalipun, spesifikasi keseluruhannya tidak setaraf iQOO 11. Jika anda masih tidak mampu membeli iQOO 11, telefon gaming 2022 dengan cipset Snapdragon 8 Gen 1 masih lagi relevan.

    Anda boleh lihat pada Xiaomi 12T Pro (RM2,699) jika anda inginkan kamera 200MP, namun rekaan luarannya lebih bosan daripada iQOO 11. Jika anda lebih utamakan telefon gaming yang mempunyai butang di bucu serta menawarkan pelbagai aksesori gaming tambahan, ASUS ROG Phone 6 (RM3,599) adalah telefon yang sesuai.

    Kongsi pendapat anda tentang ulasan ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy A35 5G dan A55 5G, mana satu lebih bagus?

    Jadi Samsung dah lancarkan dua telefon terbaru dalam siri telefon mid-range iaitu Samsung Galaxy A35 5G dan Samsung Galaxy A55 5G! Dua-dua...

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X