fbpx
More

    Ulasan Jabra Elite 4 Active – Rekaan ergonomik, audio mantap dan sesuai untuk semua aktiviti

    Apabila mencari sepasang fon telinga wayarles yang sempurna untuk digunakan ketika bersenam, anda mungkin memerlukan sebuah TWS dengan rekaan ergonomik, ringan dan yang paling penting kualiti audio. Jabra telah menghasilkan sebuah produk yang sesuai dengan ciri-ciri di atas iaitu Jabra Elite 4 Active.

    Ia mungkin bukan fon telinga yang paling menarik kerana terdapat pelbagai jenama dalam pasaran, namun harga dan kualiti yang ditawarkan sangat berpatutan untuk kesesuaian yang selesa serta terdapat penarafan IP57. Elite 4 Active juga menampilkan Bluetooth 5.2 terbaharu, jadi ia boleh bertahan lama dengan mod pembatalan hingar aktif.

    Pakej yang anda akan dapat jika membelinya

    Elite 4 Active yang berharga RM579 adalah lebih mahal sedikit berbanding Samsung Galaxy Buds 2 (RM499) namun lebih murah berbanding Beats Studio Buds (RM599) yang menawarkan ciri dan prestasi keseluruhan yang hampir sama. Dalam kotak Jabra Elite 4 Active terdapat sepasang fon wayarles yang diletakkan dalam bekas berbentuk bujur dengan jenama Jabra pada bahagian hadapannya bersama tiga pilihan saiz getah telinga, dokumen dan kabel pengecas USB-C.

    Ia hadir dengan tiga pilihan warna iaitu mint, hitam dan biru gelap. Model yang kami terima ialah warna biru gelap. Fon wayarles ini tidak rasa premium seperti pilihan dalam pasaran yang lain mungkin kerana ia dicipta untuk digunakan dalam waktu yang lama dan ketika pergerakan aktif (bersenam atau jalan). Ia juga terasa ringan berbanding TWS lain di pasaran dengan berat 5g.

    Bekas pengecas dan fon telinga wayarles

    Memandangkan terdapat penarafan IP57 dengan pembinaan menggunakan plastik, ia mampu bertahan lama. Fon telinga ini tidak mempunyai wingtips seperti kebanyakan jenama fon telinga yang lain dicipta untuk bersenam. Tetapi ketika saya menggunakannya, ia melekap dengan sangat baik di dalam telinga.

    Saya perlu menukar getah telinga kepada yang lebih kecil kerana bentuk telinga saya. Saya mendapati fon telinga ini selesa digunakan walaupun dipakai untuk jangka masa yang lama. Ia cukup ringan untuk tidak mengganggu anda selama seharian ketika bekerja sambil mendengar muzik. Salah satu ciri yang agak mengganggu keselesaan saya ialah semasa menggunakan butang kawalan.

    Bahagian luar fon telinga wayarles
    Bahagian dalam fon telinga wayarles

    Untuk menjeda atau memainkan lagu, anda perlu menekan butang kawalan dengan kuat pada fon telinga yang menyebabkan ia bergesel dengan telinga dan menyebabkan sedikit ketidakselesaan. Untuk bekas pengecasannya, ia agak besar. Anda boleh lihat seperti gambar dibawah di mana saya tak boleh menggenggam rapat bekas pengecas kerana saiznya yang besar.

    Saiz bekas pengecasnya lebih kurang sama dengan bekas pengecas Sony XM4. Tambahan, apabila anda menyimpannya di dalam poket, terdapat bonjolan yang ketara. Bekas pengecas ini mengecas melalui USB-C, namun tiada ciri pengecasan wayarles padanya. Fon telinga ini sangat mengagumkan saya dengan keseluruhan kualiti bunyi.

    Saiz bekas pengecas ketika diletakkan pada tapak tangan
    Tidak boleh genggam dengan rapat

    Pada tanda harga RM579, ia menghasilkan bunyi mid dan bass dengan cukup sempurna. Saya mengujinya melalui lagu Bring Me The Horizon Live at Royal Albert Hall dan mendapati ia menyampaikan keseluruhan vokal serta instrumen dengan sangat sempurna. Jika anda bukan audiophile yang cerewet mengenai muzik, anda pasti akan menyukai profil bunyi pada fon telinga ini.

    Namun harus diingatkan bahawa perkataan ‘Active’ dalam jenamanya adalah untuk penggunaan aktif dan bukan dicipta 100% memenuhi kriteria audiophile. Jadi, ia telah melakukan kerja dengan sangat baik bagi pengguna yang suka bersenam dan memberi pengalaman audio yang mantap.

    Tetapan yang terdapat pada Jabra Sound+:

    Di samping itu, aplikasi Jabra Sound+ sangat berguna dalam mengubah suai profil bunyi itu untuk pelbagai senario dan pilihan pendengaran sesuai dengan cita rasa anda. Terdapat juga mod HearThrough yang membenarkan anda untuk mendengar bunyi luaran ke dalam fon telinga supaya anda sedar tentang persekitaran anda.

    Jumlah hingar yang ditambahkan boleh dilaraskan dari dalam aplikasi dan anda juga boleh memilih sama ada mengaktifkan mod ini akan menjeda muzik anda atau tidak. Jabra Elite 4 Active menyokong sambungan Bluetooth 5.2 dengan codec aptX dan SBC. Agak mengecewakan kerana AAC tidak disertakan kerana itu akan menjadikan ini lebih menarik untuk pengguna Apple.

    Walau bagaimanapun, aptX lebih penting untuk peranti Android, jadi saya mempunyai pengalaman hebat menggunakan fon wayarles ini dengan Xiaomi Mi Note 10. Penambahan LDAC dan beberapa codec kadar bit tinggi yang lain adalah sangat bagus di mana saya tidak menjangkakannya ada untuk tanda harga sebegini. Google Fast Pair juga berfungsi dengan sempurna.

    Saya tidak mempunyai masalah dalam menyambungkannya pada mana-mana peranti. Pembatalan hingar bunyi pada fon wayarles ini juga mantap. Walaupun anda tidak suka menggunakan ANC kerana menjejaskan kualiti lagu, ia menawarkan pembatalan hingar pasif kerana reka bentuknya yang melekap dengan sangat baik pada bahagian saluran telinga.

    Selesa dan melekap dengan baik di telinga saya

    Mengaktifkan ANC menambahkan lagi sekatan pada suara sekeliling anda. Walaupun ANC-nya tidak setanding ANC peringkat teratas seperti yang terdapat pada Sony, Elite 4 Active memberikan anda pengalaman yang menarik dengan tanda harga yang mampu milik. Fon telinga ini tiada sensor dalam telinga dan ia merupakan salah satu ciri kekurangan yang terdapat padanya.

    Seperti yang dinyatakan di atas, saya tidak menyukai butang pada fon telinga ini dan adalah baik untuk menaik taraf tekanan yang sepatutnya diperlukan bagi menjeda/memainkan muzik. Jabra agak ketinggalan dalam dua aspek ini, namun saya boleh memaafkan kekurangan ini memandangkan spesifikasi yang ditawarkan.

    Tinggi bekas pengecas Jabra Elite 4 Active
    Kelebaran Jabra Elite 4 Active
    Port USB-C untuk pengecasan

    Walaupun mempunyai empat mikrofon, namun jika anda kerap membuat panggilan di kawasan bising, ia bukanlah fon telinga yang baik. Pada pendapat saya ia cukup untuk sesi menjawab dan menutup panggilan dalam tempoh yang sekejap. Hayat bateri adalah setanding dengan janji yang ditawarkan oleh Jabra iaitu selama 7 jam hayat bateri dengan sekali cas.

    Ketika ujian dijalankan, saya mendapat purata masa penggunaan selama 7 jam dan 20 minit. Bekas pengecasnya menambah masa pendengaran selama 28-30 jam melalui pengalaman saya ketika menggunakannya. Jadi anda tidak perlu mengecasnya terlalu kerap. Ini bermakna anda boleh menyimpannya dalam tempoh yang lama sebelum mengecasnya semula.

    Selain itu, apabila anda menggunakan Jabra Elite 4 Active ketika bermain game seperti PUBG Mobile yang mementingkan audio, anda akan mendapati bahawa ianya selari dengan suara yang dihasilkan oleh game tersebut. Saya tidak perasan sebarang sangkut (lag) antara skrin dan bunyi yang dihasilkan oleh peranti ini. Kualiti mikrofon juga baik ketika berkomunikasi antara pasukan ketika game sedang dimainkan.

    Patutkah anda membelinya? Jika anda sedang mencari fon telinga wayarles dengan spesifikasi yang hebat untuk digunakan bersenam, Jabra Elite 4 Active adalah terbaik untuk anda. Ia menghasilkan kualiti bunyi lebih baik daripada jangkaan, penarafan IP57 memberikan anda ketahanan kelas terbaik dan fungsi ANC yang mantap. Ketahanan baterinya adalah lebih daripada mencukupi untuk beberapa sesi senaman setiap minggu tanpa perlu mengecas.

    Terdapat beberapa kekurangan untuk dipertimbangkan. Fon wayarles ini tidak mempunyai bekas pengecasan wayarles yang mungkin menjadi masalah bagi sesetengah orang. Bekasnya juga agak besar menjadikannya kurang selesa untuk dipegang dan disimpan dalam poket. Selain itu, ia tidak mempunyai sensor dalam telinga.

    Kebimbangan utama saya ialah ketidakselesaan yang disebabkan semasa menggunakan kawalan butangnya. Jika anda tidak kerap menggunakan kawalan butangnya, ia mungkin tidak mengganggu anda. Secara keseluruhan, Jabra telah menghasilkan fon telinga wayarles sesuai untuk digunakan ketika bekerja dan bersenam dengan tanda harga RM579.

    Adakah anda setuju dengan ulasan kami? Beritahu kami di laman Facebook dan baca ulasan teknologi lain melalui Rakan Teknologi Utama Malaysia.

    Spesifikasi dan ciri teknologi Jabra Elite 4 Active

    • SBC dan aptX
    • Frekuensi Respon – 20Hz – 20000Hz
    • Bluetooth V5.2
    • Ketahanan bateri – 7 jam (fon telinga) + 28 jam (bekas pengecasan)
    • Jarak wayarles – 10 meter
    • Rating IP57, Kawalan Sentuhan, Pembantu Suara Alexa, Siri, Google Assistant, ANC, 4 mikrofon
    • Berukuran 20.85 x 20.49 x 27.3mm (fon telinga), 28.4 x 38.9 x 64mm (bekas pengecasan)
    • Berat 5g (fon telinga), 37.5g (bekas pengecasan)
    • Pilihan warna tersedia
    • Harga RM579

    Kebaikan – Kualiti audio vokal yang mantap untuk pengguna kasual, sesuai digunakan untuk mendengar podcast, reka bentuk ergonomik untuk melekap di telinga dan ciri rating IP57.

    Kelemahan – Bekas pengecasan agak besar, kualiti mikrofon kurang memuaskan, ketidakselesaan menggunakan butang kawalan dan tiada ciri pengecasan wayarles.

    Kesimpulan – Sesuai bagi pengguna yang mencari sepasang fon telinga TWS untuk digunakan ketika bersenam, bekerja dan santai.

     

    Artikel Terkini

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    GXBank: Faedah deposit 5% Savings Pockets setahun akan berakhir lebih awal

    Kepada pengguna GXBank yang ingin menikmati diskaun faedah deposit 5% Savings Pockets setahun, ketahuilah bahawa ia akan berakhir walaupun belum sampai 9...

    BYD Hiace 07 EV diperkenal, dilengkapi “God’s Eye” dan jarak pemanduan sehingga 610 km

    Semasa Pameran Auto Beijing, BYD telah memperkenalkan kereta terbaharunya iaitu BYD Hiace 07 EV. Salah satu ciri menonjol Hiace 07 EV ialah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X