fbpx
More

    Ulasan JBL Tour Pro+ – Fon telinga wayarles dengan pelbagai ciri premium

    Selepas mencuba pembesar suara Bluetooth JBL Charge 5, kali ini saya akan mengulas mengenai fon telinga wayarles JBL Tour Pro+. JBL merupakan jenama yang tidak asing lagi dalam pembuatan peranti berkaitan audio. Menariknya, ia datang dalam bungkusan yang istimewa bersempena sambutan ulang tahun JBL kali ke-75.

    Sekali pandang peranti ini nampak kukuh (daripada segi bahan yang digunakan) dan sesuai kepada mereka yang sentiasa bergerak. Selepas mencubanya, terdapat beberapa ciri yang menarik dalam fon telinga wayarles ini. Jadi, adakah JBL Tour Pro+ sesuai dengan kehendak anda? Ayuh baca ulasan mengenai peranti ini!

    Pakej istimewa sambutan ulang tahun ke-75
    Fon telinga bersama sarung pengecas

    Mencari set fon telinga wayarles yang membatalkan hingar tanpa mudah terlucut ketika memakainya? JBL Tour Pro+ ialah pilihan terbaik untuk anda. Ia mempunyai reka bentuk dengan cantik, padat dan ciri bercakap dengan pembantu maya iaitu Alexa atau Google Assistant tanpa perlu menyentuh fon telinga.

    Ini tidak terdapat pada AirPods Apple. Tetapi adakah ciri Tour Pro+ yang selebihnya sesuai dan patutkah anda menambahkannya dalam senarai keinginan anda? Mari kita ketahui. Dalam pakejnya, anda akan menemui fon telinga, sarung pengecasnya, wayar pengecas USB-C, lima getah saiz telinga, dua saiz ear-tip dan beberapa buku panduan.

    Plastik dengan kemasan satin, logo halus dan hanya beberapa tempat yang mempunyai kemasan berkilat membuatkan Tour Pro+ kelihatan sangat premium. Daripada segi saiz, ia serupa dengan Jabra Elite 75t yang menonjol keluar daripada telinga anda dan menjadikannya mudah untuk dimasukkan dan ditanggalkan.

    Penarafan IPX5 menawarkan perlindungan yang sangat baik daripada peluh dan air. Sarung pengecas boleh dicas secara wayarles atau melalui kabel USB-C yang disertakan. Bahagian penutupnya dibuka dan ditutup dengan lancar serta engselnya memastikan penutup terbuka dengan luas bagi memudahkan pengguna untuk mengeluarkan fon telinga daripada sarung.

    Belakangnya terdapat bahagian dengan kemasan yang kesat membolehkannya kekal pada tempatnya ketika mennggunakan mengecas secara wayarles atau melalui wayar. Turut terdapat LED bersebelahan dengan port USB-C pada bahagian bawahnya untuk menunjukkan status pengecasan.

    Selain itu, terdapat juga LED bewarna putih pada bahagian dalam yang menunjukkan fon telinga sedang dicaj apabila diletakkan dalam tempatnya. Dalam kotaknya juga mempunyai pilihan silikon getah mengikut kesesuaian telinga pengguna, jadi anda boleh pilih saiz silikon yang sesuai dengan telinga anda.

    Saya memilih saiz yang paling kecil kerana bentuk telinga saya agak kecil dan terasa sangat selesa serta selamat. Saya boleh gunakannya ketika bersenam atau berlari tanpa terjatuh. Bagi memanfaatkan sepenuhnya ciri yang ada pada Tour Pro+ ini, anda perlu memuat turun aplikasi JBL Headphones dalam Play Store atau Google Store.

    Dalam aplikasi tersebut terdapat ujian kesesuaian yang membantu anda mengetahui sama ada anda mengoptimumkan ruang telinga sepenuhnya bagi kedapan bunyi (soundproof). Berbaloi untuk dilakukan kerana kesesuaian yang kurang baik akan menjejaskan pembatalan hingar aktif (ANC) dan kualiti bunyi.

    Walaupun saya lebih suka butang fizikal, Tour Pro+ mempunyai kawalan sentuhan yang sangat responsif yang memberikan nada maklum balas yang boleh didengar apabila anda menyentuhnya. Malangnya, fon telinga ini hanya menyediakan sedikit sahaja set kawalan sentuh pada fon telinganya.

    Ia tidak membenarkan pengguna menetapkan satu fungsi dengan setiap sentuhan pada setiap fon telinga. Terdapat tetapan kawalan tetapi dalam bentuk kumpulan. Contohnya seperti kumpulan kawalan main balik memberi anda main/jeda dan trek langkau ke hadapan/belakang.

    Kumpulan kawalan kelantangan membolehkan anda menaikkan dan menurunkan kelantangan serta kawalan bunyi ambien membolehkan anda bertukar daripada mod ANC kepada mod TalkThru. Kumpulan kawalan bunyi ambien mungkin yang paling mengelirukan daripada kesemuanya. Dengan satu sentuhan, anda boleh bertukar antara ANC, bunyi ambien dan menyahaktifkan semua mod (tiada ANC atau ambien).

    Tetapi, sentuhan dua kali membolehkan anda menghidupkan dan mematikan TalkThru. Memandangkan TalkThru dan mod ambien hampir tidak dapat dibezakan, saya rasa JBL sepatutnya memudahkan perkara ini dengan menggabungkannya kepada satu sentuhan sahaja yang anda perlukan untuk bertukar antara ANC dan ambien.

    Terdapat sensor pada setiap fon telinga yang mana ia akan menjeda muzik secara automatik apabila anda mengeluarkannya daripada telinga dan memainkannya kembali apabila anda memasukkannya semula. Ciri ini berfungsi dengan baik iaitu dengan menjeda dan bermain semula dengan pantas sebagai tindak balas kepada perubahan tersebut.

    Tetapi anehnya, ia hanya berfungsi pada fon telinga sebelah kiri sahaja. Anda juga boleh menyahaktifkan ciri ini dalam aplikasi JBL Headphone. Anda boleh memilih untuk menggunakan hanya satu fon telinga pada satu-satu masa, tetapi pastikan anda menetapkan kawalan yang anda perlukan pada fon telinga yang anda gunakan.

    Jangan risau tentang jawab/tamat panggilan kerana ia berfungsi pada kedua-dua belah fon telinga tanpa mengira kumpulan kawalan yang anda pilih. Kualiti sambungan Bluetooth-nya sangat baik. Saya mencubanya ketika berada di kawasan sekitar rumah bersama iPhone 11 Pro Max dan saya perasan tiada penurunan daripada segi respon isyarat dan muzik yang dimainkan tidak tersangkut-sangkut.

    Dengan pemilihan silikon saiz telinga yang betul, Tour Pro+ memberikan pengalaman bunyi yang sangat seimbang. Respon bass sangat baik tanpa berlebihan dan terdapat banyak perincian yang dapat didengar pada julat pertengahan (midrange). Frekuensi Highs sedikit diredamkan tetapi masih sangat menyeronokkan untuk didengar.

    Aplikasi JBL Headphones benar-benar membolehkan anda mengubah secara mendadak cara Tour Pro+ mengeluarkan bunyi dengan beberapa tetapan yang disediakan. Kegemaran saya ialah My EQ yang mana saya ubahsuai mengikut keselesaan dengan meningkatkan bass dan treble serta memberikan kenaikan graf sedikit pada julat pertengahan.

    Fon telinga ini dibangunkan dengan sangat teliti dan memberikan pengalaman muzik yang sangat sempurna. Kesan vokal ketika mendengar fon telinga ini sangat menakjubkan. Kejelasannya mengalahkan mana-mana fon telinga dalam kelasnya. JBL menyatakan Tour Pro+ mampu memainkan enam jam main balik dengan setiap cas.

    Saya mendapati ia hampir sama seperti keputusan yang saya peroleh semasa memainkan muzik pada kelantangan 50%. Jika mematikan ANC, saya mendapat lapan jam main balik muzik. Itu dengan mudah mengalahkan Apple AirPods Pro yang mana ia mampu bertahan 4.5 jam sahaja dengan ANC dihidupkan.

    Sarung pengecas mampu mengecas tiga kali pengecasan penuh yang memberikan jumlah 24 atau 32 jam. Untuk pengetahuan, sarung pengecasnya mempunyai teknologi pengecasan wayarles. Ia memudahkan anda untuk mengecas jika mempunyai hab pengecas wayarles. ANC pada Tour Pro+ lebih cenderung untuk menfokuskan kepada bunyi dengan frekuensi rendah.

    Ia berfungsi dengan baik untuk menyekat bunyi enjin dan tayar serta bunyi bising daripada kerja pembaikan jalan yang mungkin menembusi dinding. Saya mendapati bahawa frekuensi yang lebih tinggi seperti bunyi kipas bilik mandi tidak disekat dengan berkesan dan tiada cara untuk melaraskan ciri ANC untuk meningkatkan jumlah sensitif hingar yang diperolehnya.

    Saya paling suka ciri JBL bawakan pada fon telinga ini iaitu mod “senyap sekarang” (silent now). Saya hanya perlu menyentuh kedua-dua permukaan selama lima saat dan Tour Pro+ secara automatik memastikan ANC aktif tetapi Bluetooth dinyaktifkan supaya anda boleh mendapatkan ketenangan tanpa perlu menggunakan kuasa bateri yang banyak.

    Mod ketelusan (atau mod ambien) berfungsi dengan baik sama ada dalam mod Ambient Aware atau TalkThru. Ia memudahkan untuk mendengar perbualan dan sentiasa mengawas tentang keadaan sekeliling. Salah satu ciri paling hebat pada Tour Pro+ ialah keupayaan mereka untuk bukan sahaja berfungsi dengan kedua-dua Alexa dan Google Assistant, tetapi terdapat ciri wake-word yang mana anda hanya perlu menyebut “Hey Google” atau “Alexa” tanpa menggunakan fon telinga.

    Sebut sahaja salah satu pembantu maya ini dan ia akan bersedia menunggu anda memberikan arahan. Anda perlu memilih salah satu pembantu maya ini sebagai pembantu aktif anda dalam aplikasi JBL Headphones. Namun, menukarkannya mengambil masa beberapa saat sahaja.

    Saya dapati kedua-dua pembantu bertindak balas dengan mudah dalam pelbagai situasi. Sama ada di jalan yang sibuk atau di lokasi yang senyap, Tour Pro+ sangat bagus dalam kualiti panggilan. Walaupun berjalan di luar dan kadang-kadang tidak menjangkakan bunyi yang kita akan dengar, namun fon telinga ini sangat baik dalam menyesuaikan frekuensi yang terdapat pada mikrofonnya.

    Apabila berada di dalam atau di lokasi luar yang sunyi, saya mengesyaki pemanggil anda tidak akan tahu anda sedang menggunakan satu set fon telinga untuk membuat panggilan tersebut. Ini adalah ciri JBL bawakan pada Tour Pro+ melalui aplikasi JBL Headphones. Ia membolehkan anda:

    • Cari fon telinga saya (Find my earbuds)
    • Tetapan EQ
    • Kawalan tersuai (Custom controls)
    • Ujian kesesuaian telinga
    • Penunjuk hayat bateri
    • Pemilihan pembantu suara (Voice assistant)
    • Pemilihan mod audio
    • Penggera Saya (My Alarm)  (yang membolehkan anda menetapkan jumlah masa untuk muzik dimainkan sebelum menukar fon telinga kepada mod Senyap Sekarang (silent now) untuk tidur)

    Dengan Tour Pro+, JBL memberikan set fon telinga wayarles dengan harga yang berbaloi dan direka dengan elegan. Bunyinya bagus, mempunyai hayat bateri dan kualiti panggilan yang sangat baik serta akses kata-bangun (wake-word) untuk pembantu suara ialah ciri yang jarang berlaku dan sangat berguna.

    JBL membina produk yang sangat bagus dan Tour Pro+ tidak terkecuali. Fon wayarles ini datang dengan jaminan satu tahun daripada JBL dan saya jangka ia akan bertahan selama bertahun-tahun penggunaan. Ianya berharga RM1,099. Kepada yang berminat untuk memilikinya, anda boleh di laman rasmi JBL Malaysia, Shopee dan Lazada.

    Spesifikasi

    • Saiz pemandu: 6.8mm/0.27″
    • Bekalan Kuasa Pemacu Dinamik: 5V 1A
    • Fon telinga: 7.5g setiap satu (15g digabungkan)
    • Sarung pengecasan: 56.8 gram
    • Kuasa bateri: Bateri Li-ion (510mAh/3.7V)
    • Masa pengecasan (USB-C): 2 jam
    • Masa pengecasan wayarles: 4 jam
    • Jangka bateri BT hidup dan ANC dimatikan: 8 jam
    • Jangka bateri BT hidup dan ANC dihidupkan: 6 jam
    • Kepekaan mikrofon: -30dBV/Pa@1kHz
    • Versi Bluetooth: 5.0, A2DP V1.3,  AVRCP V1.6, HFP V1.7

    Kebaikan: Rekaan eksklusif, selesa dipakai dan banyak ciri premium

    Keburukan: Terkeluar sedikit pada bahagian telinga ketika memakainya, sarung pengecasnya terasa besar dan berat

    Kesimpulan: Fon telinga wayarles dengan reka bentuk yang premium dan kualiti bunyi yang sempurna

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    DNB, Ericsson bekerjasama untuk memajukan perusahaan di Malaysia melalui teknologi 5G

    Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson, sebuah syarikat teknologi komunikasi global yang terkemuka telah mengumumkan secara rasmi rancangan untuk memacu transformasi digital...

    Kempen Jualan Super 5.5 realme: Baucar sehingga RM1,800 di Shopee, Lazada dan TikTok Shop

    Bermula 3 Mei 2024, realme Malaysia bekerjasama dengan Shopee, Lazada dan TikTok Shop mengadakan Kempen Jualan Super 5.5. Dalam tempoh tiga hari,...

    OPPO A38 dan A18 kini mendapat penurunan harga sebanyak RM50

    OPPO Malaysia telah mengumumkan pelarasan harga yang ketara untuk model OPPO A38 dan A18 dengan menawarkan penjimatan sehingga RM50. Harga baharu itu...

    Sony Xperia 1 VI mungkin bawa peningkatan lensa telefoto, Snapdragon 8 Gen 3 dan...

    Sony bersedia untuk mendedahkan telefon pintar andalan terbaru mereka, Xperia 1 VI yang dijadualkan untuk dilancarkan pada 17 Mei 2024. Walaupun dianggap...

    WhatsApp sedang uji ciri sekat pengguna sementara jika langgar dasar khusus

    WhatsApp memperkenalkan ciri sekatan akaun baharu seperti yang dilihat dalam versi beta Android baru-baru ini. Ciri ini akan sementara menghalang pengguna daripada...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X