fbpx
More

    Ulasan koleksi aksesori Logitech G Aurora: Responsif dan tahan lama sesuai untuk “gamers” wanita

    Kini, semakin ramai wanita mula menceburkan diri dalam aktiviti permainan video dan mereka pasti menginginkan set gaming yang sepadan dari papan kekunci hingga ke set kepala. Anda tidak perlu risau kerana Logitech telah melancarkan koleksi G Aurora iaitu Logitech G715 Wireless Mechanical KeyboardLogitech G705 Wireless Gaming Mouse dan Logitech G735 Wireless Gaming Headset.

    Bermula dengan papan kekunci, G715 bertindak balas dengan responsif, tahan lama dan bunyi hentakan yang tersendiri. Logitech telah memperkenalkan papan kekunci mekanikal Logitech G715 Wireless Mechanical Keyboard sesuai untuk para gamers wanita di luar sana. Di bawah merupakan ulasan yang anda perlu ketahui.

    Barang dalam kotak: Kabel USB-A ke USB-C, pelekat G, dongle USB-A, kusyen pergelangan tangan dan papan kekunci G715
    Kusyen pergelangan tangan

    Sentuhan yang bagus untuk melengkapkan reka bentuk visual Logitech G715 adalah pergelangan tangan awan yang disertakan untuk sokongan tambahan. Ia juga merupakan salah satu kusyen pergelangan tangan yang selesa pernah saya gunakan.

    Papan kekunci ini membawa berat 976g mempunyai sambungan wayarles Lightspeed untuk disambungkan pada PC atau Bluetooth untuk disambungkan ke peranti lain. Anda juga boleh menyambungkannya melalui kabel USB-C ke USB-A yang juga boleh digunakan untuk pengecasan yang turut disertakan dalam kotak.

    Sekilas pandang, Logitech G715 mempunyai warna yang keperempuanan iaitu warna putih bersama lapan butang berwarna biru di bahagian atas. Ia mempunyai 87 kekunci dan susunan kekuncinya pula agak konvensional tetapi tanpa kekunci numpad untuk menjimatkan ruang penggunaan. Ini membuatkan saiz keseluruhan papan kekunci ini agak kecil seperti papan kekunci komputer riba dan mudah dimasukkan ke dalam beg. 

    Kini saya ingin mengulas mengenai pengalaman menaip. Saya agak kagum dengan betapa lancarnya papan kekunci ini. Tiada masalah sambungan selama saya menggunakannya tetapi papan kekunci bertindak sedikit lambat sekiranya saya berehat sekurang-kurangnya lebih 30 minit dan kemudian boleh digunakan seperti biasa. 

    Kekuncinya mempunyai sudahan matte yang meningkatkan cengkaman pada jari anda dan jika jari anda berminyak, ia tidak akan meninggalkan kesan kotoran pada kekuncinya. Jika anda merupakan seorang gamer permulaan, Logitech G715 mungkin produk yang bagus untuk anda.

    Ia mempunyai pencahayaan RGB dikuasakan oleh teknologi Lightsync dengan warna biru, ungu dan merah jambu 16.8M dan LED di bawah setiap penutup kekunci. Ia kelihatan agak keperempuanan daripada segi warna dan terang sesuai digunakan jika anda ingin menaip dalam suasana yang gelap. 

    Bunyi kekunci yang menyeronokkan

    Bekerja pada Logitech G715 telah menjadi salah satu pengalaman yang menyenangkan berbanding beberapa papan kekunci gaming lain yang pernah saya gunakan. Walaupun model ini kelihatan seperti untuk gamer permulaan, prestasi papan kekunci ini tidak dipandang remeh. Jika dibandingkan dengan Corsair K70 Pro Mini Wireless, bunyi hentakan kekunci serta prestasi ketika bermain game lebih lancar tanpa sebarang gangguan.

    Daripada segi hayat bateri, saya hanya mengecasnya sekali sebelum digunakan untuk memastikan bateri papan kekunci penuh. Kemudian, saya tidak pernah mengecasnya selama dua minggu semasa menggunakannya. Berdasarkan laman web Logitech, syarikat itu mengatakan ia boleh bertahan sehingga 25 jam penggunaan. 

    Secara keseluruhan, papan kekunci mekanikal ini menawarkan reka bentuk yang menarik untuk pengguna perempuan, namun satu isu yang mungkin akan menjadi masalah adalah harganya agak mahal iaitu RM799. Logitech terkenal sebagai sebuah jenama aksesori komputer yang premium dan G715 mempunyai rekaan dan fungsi yang berbaloi dengan harga tersebut.

    Akan tetapi, anda boleh dapatkan papan kekunci gaming lain yang lebih murah daripada harga ini seperti Logitech G913 TKL Wireless RGB Mechanical Gaming Keyboard pada harga RM730 di Shopee.

    Antara barangan terpenting ketika bermain game pastinya tetikus dengan fungsi ketepatan yang baik. Oleh itu, syarikat Logitech telah menghantar tetikus Logitech G705 Wireless Gaming Mouse. Dengan sambungan wayarles, ia boleh disambungkan melalui dongle USB-A yang boleh didapati di kabel pengecasan atau Bluetooth.

    Sekilas pandang, G705 mempunyai rekaan yang biasa dan sangat selesa untuk dipegang. Ia membawa warna putih dengan pencahayaan RGB yang menawarkan 16.8 juta warna dan kesan berbeza seperti Verticool, Ocean Wave dan Bounce. 

    Dalam kotak: Tetikus G705, kabel USB-A ke USB-C, dongle USB-A dan dokumen

    Di bawah, ia mempunyai suis, sensor, butang untuk bertukar peranti yang dihubungkan kepada tetikus dan sebuah port USB-C untuk pengecasan atau jika anda ingin guna tetikus ini secara berwayar. Di bahagian sebelah kiri tetikus pula terdapat dua butang klik jika anda lebih gemar untuk klik menggunakan ibu jari.

    Bunyi klik tetikus ini tidak terlalu senyap dan masih mengeluarkan bunyi seperti tetikus biasa. Klik memberi pengalaman yang responsif membawa sensor 8,200 DPI bermaksud ia sesuai digunakan untuk monitor beresolusi tinggi atau pun sesi gaming sengit.

    Daripada segi bateri, tetikus ini mempunyai bateri dalaman yang boleh dicas semula menggunakan kabel USB-C, jadi anda tidak perlu kerap menukar bateri AA seperti dalam tetikus wayarles lain. Saya telah menggunakannya selama dua minggu dan tahap baterinya mampu bertahan sehingga 40 jam seperti yang dinyatakan oleh syarikat. Saya hanya perlu mengecas tetikus wayarles ini sekali sahaja sejak mendapatkannya.

    Dalam kotak, anda akan menerima kabel pengecas USB-A ke USB-C. Pada harga RM399, ini adalah sebuah tetikus yang agak mahal, namun ia masih berbaloi kerana ia menawarkan rekaan ergonomik serta lancar digunakan ketika bermain game

    Tetapi, anda mungkin inginkan tetikus gaming dengan prestasi yang lebih kurang sama pada harga yang lebih murah seperti Logitech Wireless Gaming Mouse MX ANYWHERE 3 pada harga RM298 di Shopee.

    Untuk melengkapkan pengalaman game anda, Logitech turut menghantar Logitech G735 Wireless Gaming Headset kepada kami. G735 nampaknya bersaing dengan fon kepala seperti Sony WH-1000XM5 dan Apple AirPods Max berbanding set biasa. Jalur warna putih memberikan kemasan premium yang jelas kelihatan pada tali kepala dan kusyen telinga juga. 

    Dalam kotak: Set kepala G735, kabel USB-A ke USB-C, mikrofon dan dokumen

    Perbezaan utama antara tawaran terbaru Logitech dan unit yang disebutkan di atas adalah penambahan pencahayaan RGB yang sama seperti koleksi Aurora yang lain. Secara jujur, saya mendapati set kepala G735 sangat selesa dan ringan dengan sistem audio yang berkualiti memberikan pengalaman yang mengasyikkan ketika saya menonton filem. 

    Beratnya hanya 273g mudah di bawa kemana-mana dan tidak menjadi panas setelah berjam-jam digunakan. Ia diliputi dengan getah di bahagian cincin kepala dan cawan telinga. Anda boleh melaraskan set kepala mengikut kelesaan anda. Daripada segi kawalan, terdapat butang kuasa, Bluetooth, sambungan mikrofon, roda audio dan suis A/B yang digunakan untuk mengukur kelantangan antara sumber yang disambungkan.

    Hayat baterinya mampu bertahan selama 56 jam sekiranya pencahayaan RGB dimatikan dan 16 jam dengan game yang berterusan. Selain itu, anda boleh memakainya dengan jarak sehingga 20m tanpa sebarang gangguan audio.

    Namun, saya agak kurang berpuas hati pada mikrofon peranti kerana ia tidak boleh dibengkokkan mengikutkan kehendak pengguna menyebabkan beberapa masalah prestasi ketika bermain game. Ia agak besar dan membuatkan ia kurang bersifat anggun. Mutu suara yang dirakam tidaklah begitu cemerlang tetapi ia masih mampu mengasingkan bunyi bising dengan elok.

    Daripada segi sambungan, anda boleh menyambung secara serentak melalui Bluetooth dan Lightspeed Wireless pada masa yang sama. Ini bermakna anda boleh terus bermain game pada PC dan disambungkan ke telefon atau tablet gaming anda. Pengguna boleh menggunakan butang A/B untuk mengimbangi audio dengan sempurna.

    Ia dilengkapi pemacu neodymium 40mm dan bunyi audio yang dihasilkan adalah seperti yang saya jangkakan iaitu anda tidak akan mendengar sebarang bunyi persekitaran setelah muzik dimainkan seolah-olah anda berada dalam sebuah konsert. Audionya turut dibantu dengan sokongan bass yang mencukupi dan jika anda menanggalkan set kepala ini, anda masih boleh mendengar muzik dengan jelas. 

    Bunyi audio masih jelas dengan pencahayaan RGB

    Secara keseluruhannya, Logitech G735 menawarkan pengalaman audio yang memuaskan, namun kekurangan daripada segi mikrofon yang agak mengganggu prestasi game. Set kepala ini sangat bergaya pada harga RM949. Anda juga boleh dapatkan set kepala yang lebih murah dengan kualiti audio yang lebih baik iaitu Logitech Wireless Gaming Headset G733 dengan harga RM699 di Shopee.

    Sebagai seorang wanita, saya berpendapat koleksi Logitech Aurora sesuai digunakan bagi gamer wanita permulaan tetapi harganya agak mahal. Walaupun begitu, ia masih menghasilkan kualiti yang baik untuk penggunaan dan lancar daripada segi sambungan semasa saya menggunakannya selama dua minggu.

    Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple hentikan usaha pembangunan skrin MicroLED untuk Apple Watch

    Tahun lalu, Apple mendedahkan bahawa mereka ingin membangunkan Apple Watch dengan paparan MicroLED (LED Mikro). Ia akan menjadi paparan yang lebih besar...

    Infinix GT 20 Pro muncul dalam pensijilan FCC, dedahkan spesifikasi utama

    Infinix sedang mengusahakan pengganti Infinix GT 10 Pro dengan model baharu iaitu Infinix GT 20 Pro yang muncul pada platform pensijilan FCC...

    Spotify lancarkan Miniplayer untuk Mac dan Windows

    Spotify mengumumkan penampilan sulung ciri baharu pada kedua-dua macOS dan Windows yang dipanggil Miniplayer. Ia kini tersedia untuk pelanggan Spotify Premium sahaja....

    CelcomDigi Metaversity™ bawa landskap baharu dalam pendidikan tinggi di Malaysia

    CelcomDigi telah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melancarkan kaedah pembelajaran berasaskan CelcomDigi Metaversity™ pertama di Malaysia. Inisiatif ini bakal melonjakkan pembangunan...

    AS failkan saman terhadap Apple kerana monopoli haram pasaran

    Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyertai Kesatuan Eropah (EU) dalam mengambil tindakan terhadap Apple kerana memegang monopoli telefon pintar haram ke atas pasaran....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X