fbpx
More

    Ulasan Lenovo IdeaPad 1: Komputer riba bajet yang tidak harus diendah

    Komputer riba merupakan sebuah gajet yang penting di pejabat mahupun rumah, namun agak sukar untuk mencari sebuah komputer riba yang dijual pada harga mampu milik. Jika anda sedang mencari komputer riba kelas permulaan yang boleh laksanakan semua tugas asas, Lenovo IdeaPad 1 adalah pilihan yang menarik.

    IdeaPad 1 dilengkapi cipset AMD Ryzen 7020, skrin dengan resolusi Full HD, papan kekunci yang selesa dan rekaan luaran yang kemas. Komputer 14 inci ini mempunyai badan yang ringan supaya ia mudah dibawa ke mana-mana, namun masih mempunyai prestasi yang cukup untuk pengguna umum.

    Seperti yang boleh dijangka, ia mempunyai kekurangan daripada beberapa aspek bagi memastikan harganya rendah dalam pasaran. Ayuh kita lihat sama ada komputer ini sesuai untuk anda atau pun tidak, berdasarkan ulasan yang dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris.

    Warna kelabu yang sentiasa nampak kemas dan profesional
    Logo Lenovo di bahagian bucu
    Ketebalan dan berat yang standard untuk komputer kategori ini

    Lenovo IdeaPad 1 mempunyai rekaan yang serupa dengan generasi sebelumnya. Ia mempunyai warna kelabu-perak yang popular untuk komputer segmen ini, dengan logo Lenovo berada di bahagian bucu untuk penjenamaan yang jelas. Keseluruhan badannya dibuat daripada plastik supaya ia boleh mengekalkan berat rendah sekitar 1.4kg, walaupun dengan ketebalan 17.9mm.

    Apabila mengangkat skrinnya, anda boleh lihat skrin Full HD berukuran 14 inci yang mempunyai permukaan matte anti-silau dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 86%. Terdapat sebuah kamera webcam di bahagian atas skrin, lengkap dengan penutup fizikal jika anda ingin menjaga privasi. Walaupun skrin saiz ini cukup untuk majoriti kegunaan, sempadan bezel yang tebal di atas dan bawah memberikan penampilan yang agak ketinggalan berbanding komputer lain.

    Lohong penyejukan dan pembesar suara di bahagian bawah
    Skrin 14 inci

    Malangnya, skrin ini tidak begitu cemerlang. Ia cenderung untuk mempunyai backlight bleed di bahagian bucu yang menyebabkan warna pudar di hujung skrin, dan warnanya mempunyai tint kebiruan yang boleh dilihat dengan jelas sewaktu anda membaca dokumen Word atau melayari laman web dengan latar belakang putih.

    Seterusnya, IdeaPad 1 mempunyai susunan papan kekunci yang standard. Walaupun ia mempunyai butang kuasa yang tidak bertindak sebagai pengimbas cap jari seperti dalam komputer lain, anda boleh hidupkan terus komputer ini dengan mengangkat skrinnya. Penulis berpendapat pengimbas cap jari perlu diperkenalkan untuk keselamatan yang lebih kukuh.

    Skrin anti-silau
    Papan kekunci yang selesa untuk ditaip
    Butang kuasa
    Saiz pad penjejak yang cukup

    Penulis sangat berpuas hati dengan papan kekunci komputer ini. Pada pandangan pertama, kekuncinya mempunyai penampilan plastik yang lembut, namun ia masih boleh menghasilkan pengalaman menaip yang lebih selesa berbanding komputer kelas permulaan lain. Saiz pad penjejak pula cukup, namun anda perlu menekan dengan agak kuat untuk klik. Anda mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pad penjejak ini, namun ia bukanlah masalah besar.

    Daripada segi port I/O, komputer ini menawarkan satu port USB-A 3.2 Gen1, satu port USB-C 3.2 Gen1, satu port USB 2.0, satu HDMI port, satu pembaca kad memori SD dan bicu audio 3.5mm. Ini semua lengkap untuk pengguna umum, namun penulis berpendapat adalah lebih bagus jika ia turut menawarkan port Thunderbolt 4 Type-C.

    Pilihan port yang lengkap
    Pembaca kad memori SD, sesuatu yang semakin pupus dalam komputer riba
    Boleh dibuka sehingga hampir 180°

    Satu perkara menarik untuk komputer ini ialah lipatan skrinnya boleh dibuka sehingga hampir 180°, jadi ciri ini mungkin akan memudahkan anda jika anda ingin menunjukkan sesuatu kepada orang lain. Engsel ini tidak membenarkan lipatan lebih daripada 180° untuk mod khemah, namun ini boleh dijangka untuk komputer kategori ini.

    Kini mari kita lihat spesifikasi IdeaPad 1. Komputer ini mempunyai cipset AMD Ryzen 3 7320U, GPU AMD Radeon 610M, RAM 8GB dan storan SSD 256GB. Untuk pekerja pejabat atau pelajar, spesifikasi ini cukup untuk memenuhi segala kegunaan produktiviti atau hiburan asas.

    Untuk maklumat, Ryzen 3 7320 ialah CPU dengan empat teras dan lapan thread yang menjana kelajuan clock sehingga 4.1GHz. Untuk GPU pula, ia menampilkan seni bina 2CU RDNA2 dengan kelajuan clock sehingga 1.9GHz dan TDP sehingga 15W. Terdapat juga dua ruang untuk RAM tambahan yang menyokong sehingga LPDDR5 5,500MHz.

    Maklumat sistem

    Seperti biasa, kami mengujinya dengan penanda aras PCMark 10 dan 3D Mark. PCMark mencatatkan 4,388 mata yang pastinya sudah cukup untuk kegunaan pejabat dan perisian produktiviti, asalkan anda tidak mengakses sebarang suntingan gambar atau video.

    Untuk bermain game, usah jangkakan prestasi lebih daripada Minesweeper. Dalam ujian 3DMark Time Spy, komputer ini mencatatkan sekadar 631 mata, manakala kadar bingkai tertinggi pula ialah 3.7FPS dan terendah ialah 3.13FPS. Jelasnya, ia tidak boleh hasilkan prestasi gaming yang pantas.

    PCMark 10
    3D Mark

    Kualiti audio pula agak memuaskan, dengan sepasang pembesar suara stereo yang menyokong efek Dolby Sound. Kelantangannya cukup kuat dan kualitinya kekal jelas walaupun pada tahap kelantangan 100%. Penulis berpuas hati apabila mendengar muzik dan menonton video dengan pembesar suara ini, sesuatu yang jarang untuk sebuah komputer riba kategori ini.

    Baterinya mempunyai kapasiti 42Wh dan menyokong kadar pengecasan 65W melalui port USB-C. Penulis menggunakan komputer ini untuk tugasan kerja dalam mod Balanced Mode untuk menguji ketahanan bateri, dan ia mencatatkan 93% ke 29% dalam masa sekitar empat jam.

    Tugasan kerja penulis terdiri daripada tugas biasa seperti membuka laman web, menulis dokumen dalam Google Docs dan menyertai mesyuarat melalui panggilan video. Di luar waktu kerja pula, penulis menonton video di YouTube dan mendengar lagu di Spotify. Secara kasar, hayat bateri ini boleh diterima memandangkan penulis membuka banyak perisian serentak sewaktu bekerja.

    Rekod penggunaan bateri
    Google Chrome memang kuat makan bateri
    Prestasi baterinya agak bagus jika sekadar menonton video

    Hayat baterinya boleh berubah jika anda menonton video. Penulis mengujinya dengan menonton YouTube pada kecerahan skrin 50% dan tahap bunyi 100%, hayat baterinya turun dari 100% ke 86% dalam masa sejam, dan turun ke 74% selepas dua jam. Secara kasar, ia bermaksud komputer ini menggunakan 10% bateri untuk satu jam. Jika anda sekadar menonton video YouTube, anda boleh jangkakan hayat sehingga 10 jam.

    Untuk pengecasan, IdeaPad 1 boleh dicas daripada 29% ke 100% dalam masa dua jam, iaitu tempoh yang agak standard. Lenovo mengatakan anda boleh gunakan komputer selama dua jam dengan pengecasan selama 15 minit, jadi ini ialah ciri yang berguna untuk mereka yang kerap bergerak ke banyak tempat.

    Pengecasannya agak pantas
    Pengecas 65W disertakan dalam kotak

    Secara keseluruhan, Lenovo IdeaPad 1 adalah komputer yang sesuai untuk mereka yang mengutamakan pelayaran laman web dan menaip dokumen. Ia juga amat ringan dan menawarkan banyak port I/O, termasuklah pembaca kad memori SD.

    Malangnya, penulis berpendapat hayat baterinya agak mengecewakan kerana kapasitinya yang agak kecil, sekadar 42WH sahaja. Skrinnya juga mempunyai masalah backlight bleed walaupun dengan permukaan anti-silau. Jika anda tidak kisah dengan dua isu ini, IdeaPad 1 adalah produk yang sesuai untuk dipertimbangkan.

    Varian yang dijual di Malaysia hanya terdapat dalam skrin 15 inci, namun selain daripada saiz skrin, ia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan varian 14 inci. Dengan harga RM2,000 sahaja, ini adalah komputer riba kelas permulaan yang sesuai untuk ramai pengguna.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Ukuran: 17.9mm x 325.3mm x 216.5mm
    • Berat: 1.4kg
    • Skrin: 14 inci, resolusi Full HD (1920×1080), anti-silau, kecerahan 220 nits
    • CPU AMD Ryzen 3 7320U
    • GPU AMD Radeon 610M
    • RAM 8GB
    • Storan SSD 256GB
    • Port I/O: 1x USB 3.2 Gen1, 1x USB 2.0, 1x USB-C 3.2 Gen1, 1x HDMI, bicu audio 3.5mm, pembaca kad SD
    • Sistem operasi Windows 11
    • Kamera webcam HD 1MP, pembesar suara stereo, pengecas USB-C 65W
    • Bateri 42Wh
    • Warna kelabu Cloud Gray

    Kelebihan: Badan ringan dan nipis, pengalaman menaip yang selesa, bunyi kuat

    Kekurangan: Skrin dengan backlight bleed, hayat bateri pendek

    Kesimpulan: Sesuai untuk mereka yang inginkan komputer untuk tugas ringan dan akses Internet

     

    Artikel Terkini

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X