fbpx
More

    Ulasan Lenovo Legion 5 Pro – Komputer riba “gaming” berprestasi tinggi yang padan dengan harganya

    Pada tahun-tahun lalu, saya berpeluang untuk mengulas pelbagai jenis komputer riba gaming namun saya tidak pernah menggunakan komputer Lenovo Legion sehingga dua minggu lalu. Untuk rekod, jenama gaming Lenovo Legion telah diperkenalkan pada 2017 dan ini adalah kali pertama saya mengulas sebuah produk daripada jenama gaming China ini.

    Lenovo Legion 5 Pro telah dilancarkan di Malaysia bersama Lenovo Legion 5 AMD pada bulan April dengan harga bermula RM6,799. Memandangkan harganya yang agak mahal, saya percaya kebanyakan gamers Malaysia tidak lagi berminat dengan komputer tersebut. Saya sendiri merasakan sedemikian, namun selepas menggunakannya selama lebih seminggu, barulah saya faham mengapa harganya begitu tinggi. Ayuh, mari kita mulakan ulasan untuk komputer hebat ini.

    Seperti kebanyakan komputer riba gaming, Legion 5 Pro adalah sebuah peranti yang sangat besar. Perkara pertama yang paling menonjol pastinya adalah skrin berukuran 16 inci dengan nisbah aspek 16:10 yang masih jarang didapati, namun semakin mendapat tempat di kalangan gamers bermula tahun ini. Jika dibandingkan dengan nisbah biasa 16:9, skrin ini memang nampak lebih tinggi namun tidaklah terlalu banyak.

    Untuk membantu anda menggambarkan nisbah aspek baru ini, bayangkan bezel pada skrin komputer anda dibuang dan skrin anda digantikan dengan nisbah aspek 4:3. Jika anda menonton filem Justice League oleh Zack Snyder atau treler filem, kotak hitam (pillar box) di bahagian sisi hampir hilang sepenuhnya. Ini membenarkan anda untuk menonton kandungan dengan skrin yang secara amnya lebih besar berbanding 16:9.

    Itu bukan sahaja perkara yang akan menggembirakan anda. Saya menggemari pilihan port dan kedudukan lohong pengudaraan yang diletakkan secara strategik di sekeliling komputer. Port HDMI, USB-A dan ethernet berada di bahagian belakang, membuatkan pengurusan kabel anda menjadi lebih kemas. Terdapat juga sebuah port USB-C di bahagian sisi kiri dan sebuah lagi port USB-A di bahagian kanan, menjadikan jumlah port USB sebanyak tiga. Di sebelah port USB yang terdapat di sisi kanan, terdapat suis kecil untuk webcam.

    Rekaan luaran komputer ini adalah antara yang terbaik saya pernah lihat dan saya berharap jenama lain akan mengikut jejak langkah Lenovo.

    Komputer riba gaming kelas tinggi seperti ini selalunya dilengkapi perisian gaming khas daripada syarikat pembuatnya, dan perisian dalam Legion 5 Pro adalah Lenovo Vantage yang boleh mengukur prestasi daripada pelbagai aspek. Ini termasuklah perkakas luaran (hardware), kemas kini, audio dan pengubahsuaian gaming. Di sini juga anda boleh mendaftarkan untuk waranti serta maklumat lanjut tentang Legion 5 Pro.

    Saya sendiri jarang menggunakannya dan tidak pasti jika ramai pengguna yang bergantung kepada perisian ini. Kebanyakan rakan-rakan gaming saya tidak kisah sangat tentang perisian seperti ini dan lebih gemar untuk bermain game terus. Komputer baru selalunya boleh memainkan game terkini tanpa sebarang masalah, jadi perisian gaming ini tidak begitu diperlukan oleh gamers. Walaupun begitu, ia adalah sangat berguna untuk mengukur status komputer dan perisian anda.

    Lenovo Vantage
    Vantage Quick Launcher yang mengaktifkan fungsi Rapid Charge Pro

    Fungsi menarik yang terdapat dalam Lenovo Vantage termasuklah menu pintas (shortcut) yang boleh diakses daripada taskbar, di mana anda boleh mengaktifkan pengecasan Rapid Charge Pro, mic mute, shield protection dan banyak lagi. Terdapat juga sebuah webcam di atas srkin yang sangat penting pada waktu pandemik COVID-19 ini untuk membuat kerja dari rumah.

    Selain Vantage, program yang siap dipasang dalam Legion 5 Pro adalah Legion Game Shop dan X Rite Colour Assistant. Kedua-dua perisian ini tidak mendatangkan faedah yang banyak kerana kebanyakan gamers sudah pun mempunyai akaun Steam atau Epic Games Store untuk memuat turun game mereka. X Rite Colour Assistant pula boleh dimanfaatkan oleh mereka yang gemar mengubah profil warna dalam skrin mereka.

    Tiba masa untuk bincangkan perkara paling penting dalam ulasan ini iaitu prestasinya. Dengan cipset AMD Ryzen 7 5800H dan NVIDIA GeForce RTX3070, anda boleh jangkakan komputer riba ini untuk mengoperasikan game terkini dengan sangat lancar.

    Sebagai contoh, saya berpeluang untuk memainkan game Doom Eternal dalam tetapan grafik Ultra Nightmare buat kali pertama dan Legion 5 Pro boleh menyokongnya dengan sangat mantap. Tiada screen tearing, tiada milisecond buffer dan tiada masa terbuang sewaktu membuka game tersebut daripada desktop. Selain itu, Star Wars Battlefront II juga boleh dimainkan dengan sempurna pada tetapan grafik maksimum. Walaupun game ini sudah pun berusia empat tahun, sesetengah GPU masih tidak mampu untuk memainkannya dalam tetapan tertinggi.

    Di samping itu, haba yang dihasilkan oleh komputer ini sewaktu bermain game tidak akan mengurangkan keselesaan tangan anda. Walaupun begitu, kipas dalamannya menghasilkan bunyi yang agak bising untuk mengalirkan haba keluar daripada komputer. Dengan sinki haba (heatsink) yang tebal di dalamnya, Legion 5 Pro boleh melesapkan haba ke empat lohong pengudaraan di belakang untuk menyejukkan komponen dalaman.

    Untuk audio pula, pembesar suara Legion 5 Pro menghasilkan bunyi yang kuat dengan mutu yang jelas, sempurna untuk membuat panggilan mesyuarat dalam talian.

    Selain gaming, komputer ini juga sesuai digunakan untuk menyunting video. Jika anda seorang penyunting video, anda pasti sudah biasa dengan kesukaran untuk bekerja dengan format media berlainan dan kadang kala komputer boleh terpadam (crash) sewaktu membuat rendering. Mujur, komputer ini tidak memberi masalah sedemikian sewaktu saya mengujinya. Malah, saya boleh membuat tugas lain sewaktu komputer sedang render video.

    Daripada segi bateri, prestasinya boleh dikatakan sama sahaja seperti kebanyakan komputer gaming iaitu sekitar tiga jam. Mujur, terdapat fungsi Rapid Charge Pro yang membenarkan komputer ini untuk mengecas penuh selama satu jam sahaja.

    Setakat ini, saya mempunyai pujian yang tinggi terhadap Lenovo Legion 5 Pro. Ini adalah antara komputer riba gaming terbaik yang anda boleh beli sekarang namun harganya bukanlah dalam kategori mampu milik. Dengan harga RM6,700, ia hanya boleh dibeli oleh mereka yang betul-betul komited untuk PC gaming dan inginkan prestasi tertinggi dalam game mereka.

    Walaupun apabila dibandingkan dengan komputer riba gaming lain seperti ASUS ROG, Acer Predator atau MSI pada jurang harga itu, saya tetap memilih Legion 5 Pro kerana skrin 16:10 yang lebih besar daripada biasa. Selain itu, kebanyakan komputer riba lain mempunyai port di bahagian sisi, jadi port yang berada di belakang seperti yang terdapat pada Legion 5 Pro adalah lebih berguna buat saya.

    Spesifikasi teknologi Lenovo Legion 5 Pro:

    • Cipset AMD Ryzen 7 5800H (8 teras/16 threads, kelajuan clock 3.20GHz, kelajuan sehingga 4.40GHz dengan Max Boost)
    • NVIDIA GeForce RTX 3070 8GB GDDR6
    • 16GB DDR4 RAM
    • 1TB SSD, M.2 2280, PCIe Gen3x4 NVMe, TLC
    • Skrin IPS 16 inci 165Hz (2560×1600, masa tindak balas 3ms, HDR, 100% sRGB, Anti-Glare)
    • Port – Empat USB-A 3.2 Gen 1, dua USB-C (3.2 Gen 2), HDMI 2.1, bicu audio+mikrofon 3.5mm, butang E-Shutter, RJ45 LAN dan palam kuasa
    • Kamera 720p, papan kekunci RGB 4-zone enam baris, pembesar suara Nahimic Audio
    • Intel Wi-Fi 6 AX200, Bluetooth Version 5.0
    • Bateri Li-Polymer empat cell dengan kapasiti 80Wh, disokong dengan pengecas 300W
    • Windows 10 Home

    Kebaikan: Kedudukan port bagus, nisbah aspek 16:10, pengecasan Rapid Charge Pro pantas, boleh bermain game dengan lama
    Keburukan: Harga sangat mahal
    Kesimpulan: Komputer riba gaming bertaraf tinggi untuk gamers yang serius

    Diterjemahkan daripada TechNave English

     

    Artikel Terkini

    WhatsApp letak ‘banner’ untuk pengguna ajak rakan baru ke dalam platformnya

    WhatsApp sedang melancarkan kempen strategik untuk menggalakkan pengguna menjemput rakan dan keluarga mereka menyertai platform komunikasinya. Ini menunjukkan komitmen berterusan WhatsApp untuk...

    Acer lancarkan Predator Helios Neo 14 dan Nitro 16 baharu dengan kemajuan AI bermula...

    Acer telah memperkenalkan komputer riba gaming baharunya, Predator Helios Neo 14 dan Acer Nitro 16 yang diperbaharui di mana kedua-duanya dilengkapi dengan...

    vivo T3x 5G akan dilancar pada 17 April 2024

    vivo bakal melancarkan telefon pintar mampu milik terbaru iaitu vivo T3X 5G di India pada hari Rabu, 17 April 2024. Perkara tersebut...

    Tablet pertama POCO dilaporkan bakal dilancar tidak lama lagi

    Baru-baru ini, tablet Poco yang mengandungi nombor model 2405CPCFBG telah diluluskan oleh platform pensijilan EEC Eropah. Menurut sumber, tablet tersebut boleh dipanggil...

    Google lancarkan Chrome Enterprise Premium, versi keselamatan yang dipertingkat

    Google telah melancarkan Chrome Enterprise Premium iaitu versi berbayar bagi penyemak imbas web popularnya yang direka untuk menyediakan perniagaan dengan ciri keselamatan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X