fbpx
More

    Ulasan Lenovo Legion 7i 2022 – Komputer riba “gaming” tahap dewa

    Buat mereka yang ingin bermain game komputer dalam komputer riba yang paling berkuasa setakat ini, Lenovo Malaysia telah melancarkan kemas kini terbaru untuk komputer riba gaming perdananya iaitu Lenovo Legion 7i. Dengan spesifikasi tercanggih seperti cipset Intel Core i9 generasi ke-12 dan unit pemproses grafik (GPU) RTX 3080 Ti, komputer ini menjanjikan prestasi tertinggi untuk sebuah komputer riba.

    Sungguh pun demikian, dengan spesifikasi tinggi ini turut bermaksud bahawa ia akan dijual pada harga yang sangat mahal, bermula RM10,948. Jadi adakah ia berbaloi dengan harga tersebut? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Daripada segi rekaan, Legion 7i menawarkan reka bentuk yang seimbang di antara sebuah komputer riba profesional dengan komputer riba gaming. Ia menampilkan casis aluminium berwarna kelabu di sekelilingya yang membuatkannya nampak seperti komputer riba pejabat, namun apabila cahaya RGB dihidupkan, ia terus menyerlahkan keupayaan sebenarnya sebagai komputer riba gaming berprestasi tinggi.

    Rekaan profesional di belakang
    Engsel berada di bahagian atas papan kekunci, bukannya di hujung penjuru seperti kebanyakan komputer riba

    Cahaya RGB ini terdapat pada papan kekunci, satu garisan lightbar di bahagian bawah serta pada logo Legion di belakang skrin. Cahaya RGB ini sebenarnya boleh dilaraskan melalui perisian Lenovo Vantage di mana anda boleh tetapkan sehingga enam profil corak warna dengan pelbagai efek menarik.

    Satu ciri kecil yang saya gemari adalah apabila saya menekan butang Fn untuk mengakses fungsi alternatif dalam kekunci-kekunci tertentu, hanya kekunci yang boleh mengakses fungsi alternatif sahaja akan menyala dengan cahaya RGB manakala kekunci lain akan dimalapkan.

    Pad kekunci bersaiz penuh dan pad penjejak luas
    Cahaya RGB penuh pada papan kekunci
    Garis cahaya (lightbar) mengancam di bahagian bawah

    Papan kekuncinya mempunyai kekunci yang lengkap dengan numpad dan kekunci anak panah (arrow keys) yang dipisahkan daripada kelompok kekunci lain. Fungsi baru untuk Legion 7i kali ini adalah Force Sensor Technology di mana anda boleh ubah perkara yang dilakukan dalam game, bergantung kepada sekuat mana anda tekan kekunci. Sebagai contoh, jika anda ingin watak game anda berjalan dengan perlahan, anda perlu menekan kekunci sedikit sahaja dan jika anda ingin watak itu berlari, anda perlu menekan kekunci sehingga habis.

    Dalam kotak, anda juga akan menerima beberapa pelindung kekunci (keycaps) tambahan yang boleh digantikan untuk kekunci WASD. Pelindung kekunci ini mempunyai permukaan yang lebih licin berbanding kekunci biasa, jadi ia mungkin tidak akan digemari oleh semua orang. Di atas papan kekunci, terdapat butang kuasa berbentuk bulat yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari.

    Keycaps khas berwarna putih (kiri) yang boleh diletakkan pada kekunci WASD, ia dibungkuskan dalam sebuah kotak kecil (kanan)

    Pad penjejak pula dibina daripada gelas, mempunyai saiz yang lebar dan sangat responsif. Ia juga mempunyai penolakan tapak tangan (palm rejection) yang bagus supaya ia membatalkan sebarang sentuhan yang tidak sengaja sewaktu menaip.

    Komputer ini menawarkan port I/O yang lengkap dan majoritinya berada di bahagian belakang, terdiri daripada port ethernet RJ45, port USB-C 3.2 Gen 2 (DisplayPort™ 1.4, 135W power delivery), port HDMI 2.1, dua port USB-A 3.2 Gen 1 dan input kuasa. Bahagian kanan pula menempatkan bicu audio 3.5mm dan satu port USB-C 3.2 Gen 1, manakala di kiri terdapat dua port USB-C yang menyokong Intel Thunderbolt 4. Sayangnya, ia tidak mempunyai ruang kad memori SD jadi ini mungkin akan menyukarkan mereka yang banyak melakukan kerja-kerja fotografi atau video.

    Port di bahagian belakang: Port ethernet RJ45, port USB-C 3.2 Gen 2 (DisplayPort™ 1.4, 135W power delivery), port HDMI 2.1, dua port USB-A 3.2 Gen 1 dan input kuasa
    Kanan: Bicu audio 3.5mm, suis webcam dan port USB-C 3.2 Gen 1
    Kiri: Dua port USB-C yang menyokong Intel Thunderbolt 4

    Seperti yang anda boleh jangkakan untuk komputer riba kategori ini, ia mempunyai skrin yang sangat cantik dan besar untuk nikmat paling asyik sewaktu bermain game. Skrin Legion 7i mempunyai panel IPS berukuran 16 inci dengan resolusi 2560×1600, nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 165Hz, gamut warna RGB 100% dan sokongan untuk NVIDIA G-SYNC.

    Nisbah aspek tinggi 16:10 bermaksud ia boleh menunjukkan lebih banyak kandungan berbanding 16:9, manakala kadar 165Hz itu mungkin tidak cukup untuk game aksi pantas seperti e-sukan, namun ia sudah memadai untuk pengguna umum. Warna yang dihasilkan nampak pekat dan kagum untuk tontonan filem.

    Skrin Legion 7i menghasilkan warna yang cantik dan terang
    Nampak mewah apabila digabungkan dengan cahaya RGB
    Webcam 1080p di atas skrin

    Di atas skrin, terdapat sebuah webcam 1080p yang boleh merakam video dengan kualiti memuaskan. Webcam ini sebenarnya mempunyai suis yang berada di bahagian kanan komputer. Apabila suis ini dimatikan, ia akan memutuskan sambungan di antara komputer dengan webcam supaya privasi anda benar-benar terjaga.

    Kini mari kita beralih kepada prestasi komputer jaguh ini. Ia dilengkapi spesifikasi terbaik yang terdiri daripada cipset 12th Gen Intel Core i9-12900HX dengan 16 teras dan 24 threads, GPU NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti dengan GDDR6 16GB dan tenaga grafik haba (thermal graphics power, TGP) 175W, RAM DDR5 32GB serta storan SSD Gen 4 berkapasiti 1TB.

    Dengan spesifikasi sedemikian, anda memang boleh jangkakan prestasi terpantas untuk sebarang game terbaru yang dimainkan pada komputer ini. Legion 7i sebenarnya adalah antara komputer terawal yang mempunyai cipset Intel i9-12900HX dan merupakan cipset Intel tercanggih pada waktu ini untuk komputer riba. Saya telah memainkan beberapa game terkini dan semuanya boleh memainkan game pada tetapan grafik tertinggi dengan kadar bingkai yang tinggi.

    Keputusan penanda aras dalam PCMark 10
    Keputusan penanda aras dalam 3DMark Speed Way Test

    Perisian Lenovo Vantage pula amat berguna jika anda ingin melaraskan tahap prestasi yang diinginkan dengan Thermal Mode Setting. Saya sebenarnya tidak pernah merasakan komputer ini menjadi terlalu panas pada tangan dan walaupun kipas menghasilkan bunyi kuat sewaktu bermain game, prestasi masih kekal tinggi walaupun selepas bermain selama berjam-jam.

    Anda juga boleh laraskan tetapan GPU supaya komputer hanya menggunakan GPU bersepadu (integrated) Intel sahaja dengan iGPU Only Mode, GPU khas (dedicated) NVIDIA sahaja dengan dGPU Mode, atau biarkan komputer pilih secara automatik bergantung kepada penggunaan dengan Hybrid Mode. Jika anda ingin utamakan hayat bateri, saya cadangkan anda untuk atifkan iGPU Only Mode untuk kurangkan penggunaan tenaga.

    Sungguh pun begitu, satu perkara yang saya kurang gemari adalah sewaktu menggunakan komputer ini untuk tugas ringan seperti menaip dokumen atau melayari laman web, papan kekunci masih berasa suam. Ini bukanlah satu masalah besar, namun ia mengganggu tangan saya sedikit sewaktu bekerja.

    Untuk audio, ia mempunyai dua pembesar suara Nahimic Audio yang dihalakan ke bawah dan kualiti bunyinya agak memuaskan, namun bukanlah luar biasa.

    Satu keburukan yang agak ketara untuk komputer ini adalah baterinya. Walaupun dengan kapasiti 99.99Whr iaitu yang paling besar untuk sebuah komputer riba, Legion 7i hanya boleh bertahan sehingga empat jam sahaja. Oleh itu, pastikan anda sentiasa membawa pengecas jika anda bawa laptop ini ke mana-mana.

    Penggunaan bateri dari 100% ke 10% mengambil masa 3 jam 40 minit (6:00pm ke 9:40pm)
    Pengecasan daripada 8% ke 99% mengambil maa 54 minit (9:35pm ke 10:29pm)
    Perbandingan saiz pengecas dengan tapak tangan saya, saiznya hampir sama

    Bercakap tentang pengecas, ia boleh membekalkan tenaga sebanyak 300W namun mempunyai bentuk yang besar dan berat, membuatkannya sukar dibawa dalam beg. Apabila digabungkan dengan berat Legion 7i sekitar 2.5kg, ini bukanlah pakej yang mudah untuk dibawa. Mujur sekali, komputer ini boleh dicas pada port USB-C menggunakan pengecas pihak ketiga bersaiz kecil yang boleh membekalkan tenaga 135W.

    Secara keseluruhan, Lenovo Legion 7i memang adalah sebuah komputer riba gaming berprestasi tinggi yang boleh memainkan sebarang game AAA terkini dengan tetapan grafik tertinggi tanpa banyak masalah. Walaupun skrinnya tidak mempunyai kadar tinggi untuk kelebihan dalam e-sukan, prestasinya yang cemerlang membuatkan ini komputer gaming sesuai untuk mereka yang bermain game secara santai atau memainkan game berseorangan (single-player) sahaja.

    Sungguh pun begitu, reka bentuk yang berat, hayat bateri yang pendek dan pelesapan haba yang kurang memuaskan sewaktu membuat tugas ringan membuatkan komputer ini tidak sesuai digunakan untuk tugas produktiviti atau dibawa ke pelbagai tempat. Ia lebih layak diletakkan pada meja anda sahaja untuk kegunaan gaming.

    Legion 7i juga terdapat dalam varian Intel Core i7-12800HX dan NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti 8GB GDDR6 yang lebih murah, bermula RM9,793. Jika anda inginkan komputer yang masih boleh menjana prestasi tinggi namun dijual pada harga lebih murah, boleh lihat pada Legion Slim 7i (RM6,475), ASUS ROG Strix G15 (RM7,299) atau Acer Predator Helios 300 (RM7,999), namun ia tidak akan menyaingi prestasi Legion 7i.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Lenovo Legion 7i dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin IPS 16 inci, resolusi 2560×1600, nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 165Hz
    • Cipset 12th Gen Intel Core i9-12900HX
    • NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti, GDDR6 16GB, TGP 175W
    • RAM DDR5 32GB
    • SSD Gen 4 1TB
    • Bateri 99Whr
    • Sokong pengecas 300W (dibekalkan dalam kotak) atau pengecas USB Power Delivery 135W
    • Port: 1x ethernet RJ45, 1x USB-C 3.2 Gen 2 (DisplayPort™ 1.4, 135W power delivery), 1x port USB-C 3.2 Gen 1, 2x port USB-C Intel Thunderbolt 4, 1x port HDMI 2.1, 2x port USB-A 3.2 Gen 1, bicu audio 3.5mm
    • Intel Killer WiFi 6E
    • Windows 11 Home

    Kebaikan: Prestasi pantas untuk semua jenis game, rekaan yang seimbang antara komputer profesional dengan gaming

    Keburukan: Hayat bateri rendah, masih suam walaupun sewaktu buat tugasan ringan

    Kesimpulan: Komputer yang khas untuk gaming sahaja dan tidak perlu diangkat ke mana-mana

     

    Artikel Terkini

    MediaTek Dimensity 6300 diumum, cipset 5G untuk telefon pintar segmen pertengahan

    MediaTek menawarkan pasaran telefon segmen pertengahan dengan cipset Dimensity 6300 5G terbaharu. Cip ini dihasilkan dengan proses 6nm dan menawarkan peningkatan sederhana...

    vivo V30e dengan SD 6 Gen 1, skrin 120Hz bakal dilancarkan pada 2 Mei...

    Mengikut pengumuman rasmi, vivo akan memperkenalkan vivo V30e di India pada 2 Mei 2024. Peranti ini dijangka menggunakan paparan AMOLED melengkung 6.78...

    Blackview Hero 10 mungkin jadi telefon boleh lipat paling murah di dunia

    nubia Flip 5G yang dilancarkan awal bulan ini dengan harga RM2,499 merupakan telefon boleh lipat paling murah dalam pasaran. Namun, itu tidak...

    Maybank bakal gantikan pemberitahuan SMS kepada pop timbul aplikasi bermula 22 April ini

    Maybank mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan dasar pemberitahuan baharu mulai 22 April 2024 dan akan menggunakan pemberitahuan pop timbul aplikasi (APP) untuk...

    Polis: Orang ramai diingatkan berwaspada tentang kecurian data menggunakan kod QR

    Polis memberi amaran kepada orang ramai tentang strategi pancingan data baharu di mana penipu menyampaikan hadiah seperti botol air dengan kod QR...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X