fbpx
More

    Ulasan Lenovo Yoga 7i (2022) – Antara komputer 2-dalam-1 terbaik tahun ini

    Buat para pengguna yang gemar menggunakan komputer riba yang boleh ditukarkan kepada sebuah tablet atau lebih dikenali sebagai komputer 2-dalam-1, jenama Lenovo Yoga adalah pilihan yang popular untuk mereka. Untuk tahun ini, Lenovo Malaysia telah memperkenalkan model terbaru untuk siri Yoga iaitu Lenovo Yoga 7i generasi ketujuh yang dilengkapi cipset Intel Core generasi ke-12.

    Jadi adakah Yoga terbaru ini masih menawarkan nilai yang menarik untuk komputer riba 2-dalam-1? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Daripada segi reka bentuk, Yoga 7i mempunyai rekaan keseluruhan yang nampak profesional. Warna komputer yang telah dipinjamkan kepada kami adalah kelabu Storm Grey dan permukaannya mempunyai sudahan matte yang tidak mempunyai sebarang efek khas. Ini membuatkan Yoga 7i tidak asing dalam suasana korporat.

    Rekaan kelabu ringkas di bahagian belakang
    Engsel kukuh yang terdapat pada Yoga 7i

    Jika anda inginkan warna yang lebih ceria, komputer ini juga ditawarkan dalam warna biru Stone Blue. Luaran komputer ini dibina sepenuhnya dengan aluminium dan ia mempunyai mutu buatan yang kukuh. Sungguh pun begitu, ia tidak mempunyai sebarang rating perlindungan atau kalis air.

    Dengan berat sekadar 1.4kg dan badan senipis 1.74cm, ia juga mudah dibawa ke mana-mana dan tidak mempunyai masalah untuk dimasukkan dalam beg.

    Satu perkara kecil yang kami suka pada reka bentuk komputer ini adalah ciri Comfort Edge yang bermaksud ia tidak mempunyai bucu tajam di mana-mana sudut atau sisi komputer ini. Sebaliknya, ia mempunyai lengkungan kecil yang membuatkanya nampak lebih kemas dan mengurangkan rasa sakit pada pergelangan tangan apabila anda menaip.

    Rekaan Comfort Edge menampilkan bahagian bucu dan sisi yang lebih tumpul dan melengkung
    Bahagian kiri: Port HDMI 2.0, dua port USB-C Thunderbolt 4, dan ruang kad microSD
    Bahagian kanan: Bicu audio 3.5mm, satu port USB-A dan butang kuasa

    Untuk sambungan port, ia mempunyai susunan port yang lengkap untuk sebuah komputer riba multimedia pada 2022, iaitu dua port USB-C yang menyokong Thunderbolt 4.0, Power Display, DisplayPort dan USB 4.0, satu port HDMI 2.0, satu pengimbas kad microSD, satu port USB 3.2 Gen 1 dan bicu audio 3.5mm.

    Butang kuasa pula diletakkan pada sisi kanan. Ini mungkin aneh sedikit untuk sebuah komputer riba, namun memandangkan ini adalah komputer riba 2-dalam-1 yang boleh digunakan seperti tablet, logik untuk butang kuasa diletakkan di situ supaya ia boleh diakses sewaktu dalam mod tablet.

    Bercakap tentang mod tablet, engsel komputer ini boleh berputar 360° dengan lancar dan tiada masalah. Ia boleh digunakan dalam mod khemah (tent mode), separa lipat atau lipat sepenuhnya untuk digunakan seperti tablet. Sebanyak mana anda lipat engsel ini, ia akan kekal pada sudut tersebut dengan kukuh, selagi anda tidak menekan skrin dengan kuat.

    Mod khemah
    Mod separa lipat
    Mod tablet

    Kini mari beralih kepada skrin komputer ini. Untuk varian yang telah dipinjamkan kepada kami, ia mempunyai skrin OLED berukuran 14 inci dengan resolusi 2.8K (2880×1800), nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 90Hz, gamut warna DCI-P3 100% dan kecerahan 400 nits. Dengan panel OLED ini, sebarang warna yang dihasilkan dalam video dan gambar akan nampak sangat terang dan pekat, jadi anda boleh menonton filem dengan kualiti warna yang tinggi. Kami juga berpendapat skrin ini sesuai untuk kerja-kerja suntingan warna pada gambar atau video.

    Selain itu, skrin ini boleh digunakan secara sentuh supaya anda masih boleh gunakannya dalam mod tablet. Lenovo juga menawarkan stilus Lenovo Digital Pen bersama komputer ini, namun ia memerlukan bateri AAAA yang agak sukar untuk didapati.

    Skrin Yoga 7i boleh hasilkan warna yang sangat cantik

    Satu keburukan pada skrin ini adalah kecerahannya yang agak rendah iaitu 400 nits sahaja. Memandangkan ini adalah sebuah komputer riba ringan yang boleh digunakan seperti tablet, anda mungkin terfikir ia sesuai untuk digunakan di luar bangunan. Sungguh pun begitu, kecerahan skrinnya tidak cukup tinggi untuk mengatasi silau daripada cahaya matahari.

    Di atas skrin, terdapat sebuah kamera webcam yang boleh merakam dalam resolusi FullHD dengan pembacaan infra-merah (infra-red). Kualiti videonya memuaskan untuk menyertai sebuah panggilan video, namun satu perkara yang anda mungkin tidak perasan pada mulanya adalah sebuah suis kecil yang boleh menutup lensa kamera ini untuk perlindungan privasi.

    Kini mari kita beralih kepada prestasi komputer ini. Yoga 7i dilengkapi cipset 12th Gen Intel Core i7-1260P dengan kelajuan clock 2.10GHz yang mempunyai empat teras prestasi (P-cores) dan lapan teras kecekapan (E-cores). Selain itu, ia turut mempunyai RAM 16GB, storan SSD PCIe Gen 4 sebanyak 1TB dan pemproses grafik Intel Iris Xe.

    Seperti yang anda boleh jangkakan daripada sebuah komputer yang mempunyai pengiktirafan Intel Evo, Yoga 7i berfungsi dengan sangat pantas untuk kebanyakan tugas harian seperti menaip dokumen, melayari internet dan menonton video. Untuk gaming juga, saya agak kagum dengan kebolehan komputer ini untuk memainkan game moden, namun dengan tetapan grafik yang rendah. 

    Keputusan penanda aras (benchmark) yang agak tinggi dalam PCMark 10
    Komputer ini boleh memainkan “game” Rebel Galaxy Outlaw yang dilancar pada 2020, namun hanya dalam tetapan grafik rendah

    Sepanjang menggunakan komputer ini, kipasnya tidak pernah menghasilkan bunyi yang terlalu kuat dan mengganggu penggunaan saya. Suhunya juga rasa terkawal kerana saya tidak pernah merasa komputer menjadi terlalu panas sewaktu menaip.

    Bercakap tentang menaip dokumen, papan kekunci Yoga 7i menawarkan pengalaman yang sangat selesa dan saya tidak mempunyai banyak keluhan mengenainya. Ia juga mempunyai cahaya latar (backlit) untuk memudahkan anda menaip dalam suasana yang malap. Untuk pad penjejak (trackpad) pula, saiznya sangat besar dan ia sangat responsif terhadap semua sentuhan saya, termasuklah sewaktu membuat tugasan multi-sentuh.

    Papan kekunci Yoga 7i selesa untuk ditaip

    Sungguh pun begitu, Yoga 7i tidak mempunyai pengimbas cap jari iaitu sesuatu yang agak menghampakan untuk komputer yang dijual dalam kategori harga ini.

    Untuk audio, Yoga 7i mempunyai empat pembesar suara Dolby Atmos yang boleh menghasilkan audio memuaskan. Ia menghasilkan kualiti bunyi jelas tetapi tidak mempunyai bass yang dalam, namun ini boleh dijangka untuk sebuah komputer riba nipis seperti ini.

    Seterusnya, saya ingin bercakap tentang hayat bateri. Sepanjang penggunaan saya, bateri Yoga 7i boleh bertahan sekitar tujuh ke lapan jam iaitu hayat yang bagus untuk sebuah komputer riba. Sewaktu mengecas pula, ia boleh mengecas penuh dalam masa sekitar dua jam.

    Dalam contoh ini, penggunaan bateri daripada 100% ke 3% mengambil masa 6 jam 47 minit (1:03pm ke 7:50pm)

    Secara keseluruhan, saya berpendapat Lenovo Yoga 7i adalah sebuah komputer 2-dalam-1 yang sangat menarik kerana prestasinya yang bagus serta mutu buatannya yang kukuh. Varian yang dipinjamkan kepada kami untuk ulasan ini adalah varian tertinggi dan dijual pada harga bermula RM5,939

    Jika ini terlalu mahal untuk anda, Lenovo turut menawarkan dua varian bawahan yang mempunyai cipset 12th Gen Intel Core i5, skrin LCD, RAM 8GB dan storan SSD 512GB, namun ia tidak disertakan bersama stilus. Ia bermula daripada RM4,809. Selain daripada Lenovo, terdapat juga beberapa komputer 2-dalam-1 jenama lain yang dijual pada harga serupa seperti Dell XPS 13 2-in-1 9315 (RM5,999) HP Pavilion x360 2-in-1 14 (RM3,999) atau Dell Inspiron 14 2-in-1 7420 (RM3,399).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Cipset 12th Gen Intel Core i7-1260P 2.10GHz
    • Sistem operasi Windows 11 Pro
    • Skrin OLED berukuran 14 inci dengan resolusi 2880×1800, nisbah aspek 16:10, kecerahan 400 nits, gamut warna DCI-P3 100%
    • RAM 16GB
    • Storan SSD PCIe Gen 4 1TB
    • Grafik Intel Iris Xe
    • Empat pembesar suara
    • Bateri 71Wh
    • Pengecasan USB-C 65W
    • Webcam 1080p dengan penutup
    • Sokongan WiFi 6E 2×2 AX, Bluetooth 5.2
    • Port: 2x USB-C 4.0 Thunderbolt 4, 1x HDMI 2.0, 1x pengimbas kad microSD, 1x USB-A 3.2 Gen 1, bicu audio 3.5mm
    • Pilihan warna kelabu Storm Grey atau biru Stone Blue
    • Ukuran: 316.66×220.25×17.35mm, berat 1.4kg

    Kebaikan: Mutu binaan kukuh untuk komputer 2-dalam-1, rekaan profesional

    Keburukan: Skrin yang tidak terang untuk kegunaan di luar, tiada pengimbas cap jari

    Kesimpulan: Komputer 2-dalam-1 yang lengkap untuk kerja dan hiburan

     

    Artikel Terkini

    realme Narzo 70x 5G akan dilancar pada 24 April 2024

    realme akan melancarkan telefon pintar mampu milik, realme Narzo 70x 5G, pada hari Rabu, 24 April 2024 di India jam 12:00 tengah...

    vivo Y200i dilancar: SD 4 Gen 2, bateri 6,000mAh, cas pantas 44W, skrin 120Hz...

    vivo telah memperkenalkan telefon pintar kelas permulaan terbaru di China iaitu vivo Y200i. Ia merupakan varian terbaru yang menggunakan penjenamaan tersebut, selepas...

    Infinix Malaysia ajak anda ke XFans Road Tour, boleh cuba sendiri NOTE 40 Series...

    Infinix Malaysia akan menganjurkan jelajah jerayawara XFans Road Tour di dua bandar utama dalam Semenanjung Malaysia bagi mengajak para pengguna untuk cuba...

    DNB: Kami sentiasa telus dalam pemberian tender dan kontrak untuk pembinaan infrastruktur 5G

    Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membina infrastruktur 5G negara, Digital Nasional Berhad (DNB), menyatakan mereka sentiasa terbuka dan telus dalam soal pemberian...

    realme 12x 5G akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    realme Malaysia bakal melancarkan varian terbaru dalam siri telefon pintar kelas pertengahan realme 12 iaitu realme 12x 5G. realme mengatakan ia adalah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X