More

    Ulasan Logitech MX Master 3S – Tetikus ergonomik yang sangat senyap

    Logitech merupakan jenama yang terkenal dengan aksesori komputer premium dan di kalangan pelbagai aksesorinya Logitech MX adalah barisan produk yang dikhaskan untuk tugas produktiviti serta mempunyai rekaan ergonomik. Terbaru, mereka telah melancarkan tetikus wayarles Logitech MX Master 3S yang merupakan penyambung kepada MX Master 3.

    Ini adalah tetikus flagship produktiviti oleh Logitech yang menampilkan rekaan ergonomik dan premium. Ayuh baca ulasa ini untuk mengetahui sama ada tetikus ini sesuai untuk kegunaan harian anda.

    Sekilas pandang, MX Master 3S mempunyai rekaan yang unik dan sangat selesa untuk dipegang. Ia mempunyai lenturan yang selesa untuk disentuh pada tapak tangan, manakala permukaannya mempunyai sudahan matte premium yang meningkatkan cengkaman. 

    Terdapat juga sebuah tempat letak ibu jari (thumb rest) di bahagian kiri tetikus untuk merehatkan ibu jari. Sebenarnya tempat letak ibu jari ini mempunyai satu lagi butang Gesture yang sukar untuk dilihat.

    Sungguh pun begitu, rekaan tetikus ini membuatkannya hanya boleh digunakan pada tangan kanan dan malangnya MX Master 3S tidak mempunyai varian untuk tangan kiri.

    Di bawah, ia mempunyai suis, sensor, butang untuk bertukar peranti yang dihubungkan kepada tetikus dan sebuah port USB-C untuk pengecasan atau jika anda ingin guna tetikus ini secara berwayar.

    Selain daripada butang tetikus kiri dan kanan yang standard pada sebuah tetikus, ia mempunyai roda MagSpeed Electromagnetic Wheel di tengah-tengah yang dibuat daripada besi untuk tatalan menegak (vertical scrolling). Ia boleh diputarkan secara mod bergerigi (notched) atau secara mod bebas (free-scrolling) jika anda ingin putarkan dengan lebih pantas dan ia boleh diubah dengan sebuah butang Shift Wheel Mode di belakang roda ini.

    Di bahagian sisi, ia mempunyai sebuah lagi roda besi untuk tatalan mendatar (horizontal scrolling) dan tidak seperti roda utama, ia hanya boleh diputarkan secara bebas sahaja. Di bawah roda tersebut, terdapat dua lagi butang yang boleh diprogram untuk sebarang tugas dan ditekan oleh ibu jari dengan selesa.

    "
    "

    Perkara yang paling menarik pada tetikus ini adalah kliknya yang sangat senyap pada semua butang, jadi ia tidak akan mengganggu orang di sekeliling anda. Klik ini juga memberi pengalaman yang lembut namun masih responsif. Selain itu, sensor 8,000 DPI bermaksud anda boleh tingkatkan sensitiviti tetikus ini hingga tahap yang sangat tinggi, jadi ia sesuai digunakan untuk monitor beresolusi tinggi atau pun sesi gaming sengit.

    Tetikus ini boleh digunakan di atas kaca tanpa sebarang masalah. Selain itu, roda tetikus ini boleh diputarkan dengan sangat lancar jika anda ingin menggerakkannya dalam mod bebas. Anda hanya perlu putarkannya sedikit dan ia akan terus berputar walaupun selepas anda mengangkat jari.

    Daripada segi bateri, tetikus ini mempunyai bateri dalaman yang boleh dicas semula menggunakan kabel USB-C, jadi anda tidak perlu kerap menukar bateri AA seperti dalam tetikus wayarles lain. Saya telah menggunakannya selama dua minggu dan tahap baterinya hanya berkurangan sekitar sepuluh peratus, jadi ini hayat yang sangat cemerlang. Logitech mengatakan baterinya dengan pengecasan penuh boleh bertahan sehingga 70 hari dan dengan pengalaman saya, itu adalah kenyatan yang boleh dipercayai.

    Dalam kotak, anda akan menerima penghubung (receiver) USB Logi Bolt untuk dicucukkan pada port USB-A di komputer. Penghubung ini boleh digunakan serentak bersama tiga lagi aksesori Logitech wayarles. Jika anda tidak ingin menggunakan Logi Bolt, tetikus ini juga boleh dihubungkan secara Bluetooth.

    Penerima USB Logi Bolt

    Jika anda ingin memanfaatkan tetikus ini sepenuhnya, anda boleh gunakan perisian Logi Options+ untuk menetapkan tugas yang boleh dilakukan apabila anda menekan mana-mana butang tetikus ini. Anda boleh tetapkan tugas unik untuk lain-lain jenis perisian atau aplikasi seperti Microsoft Office, Adobe Photoshop, Google Chrome dan banyak lagi.

    Jika anda memiliki beberapa komputer pula, anda boleh hubungkan tetikus ini serentak kepada tiga komputer. Anda juga boleh gunakan fungsi Logitech Flow untuk memudahkan pemindahan fail antara dua komputer tersebut, termasuklah di antara komputer Windows dan Mac.

    Satu perkara yang mungkin akan mengganggu anda adalah tetikus ini tidak mempunyai ruang untuk menyimpan Logi Bolt di dalamnya dan ini mungkin agak sukar jika anda ingin membawa tetikus ini ke pelbagai tempat. Memandangkan ia masih boleh dihubungkan kepada komputer secara Bluetooth, ini bukanlah isu besar.

    Pada harga RM449, ini adalah sebuah tetikus yang agak mahal, namun ia masih berbaloi kerana ia menawarkan rekaan ergonomik serta banyak fungsi yang boleh diubah suai dalam Logi Options+. Anda boleh dapatkan tetikus ergonomik lain yang lebih murah, namun tetikus itu mungkin tidak mempunyai jumlah butang yang sama atau ciri-ciri yang lengkap seperti MX Master 3S.

    Walaupun begitu, pengguna yang kidal terpaksa mencari tetikus lain kerana MX Master 3S tidak mempunyai varian untuk penggunaan pada tangan kiri.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    WhatsApp: Ciri “Restricted Chat” kini tersedia untuk pengguna beta untuk Android dan iOS

    WhatsApp kini mula menawarkan ciri Restricted Chat kepada sesetengah pengguna versi beta pada sistem operasi Android dan iOS. Ia merupakan kemas kini...

    HONOR Magic9 Pro Max sah bakal dilancar secara global pada Januari 2027

    HONOR mengesahkan bahawa siri telefon pintar mercu terbaharunya, siri HONOR Magic9, bakal memasuki pasaran global pada Januari 2027. Pengumuman dibuat berikutan pelancaran...

    Google ubah had Gemini bermula 9 Oktober ini, pengguna percuma kena ambil tahu

    Google mengumumkan pelarasan baharu terhadap ketersediaan model dan had penggunaan untuk aplikasi Gemini menerusi akaun peribadi. Perubahan berkuat kuasa secara rasmi bermula...

    ROG Xbox Ally X20 Bundle kini boleh ditempah pada harga RM10,999 — Terhad 30...

    ASUS ROG Malaysia secara rasmi membuka tempahan untuk edisi terhad ROG Xbox Ally X20 Bundle yang dikuasakan oleh pemproses AMD Ryzen AI...

    Kedai konsep Predator pertama dibuka di Low Yat, Desktop Orion 7000 tersedia berharga RM18,999

    Acer Malaysia rasmi membuka kedai konsep Predator yang pertama di Plaza Low Yat. Pelancaran ini turut disertai pengenalan desktop tertinggi Acer iaitu...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured