fbpx
More

    Ulasan Logitech MX Mechanical Keyboard – Papan kekunci mekanikal yang senyap

    Papan kekunci mekanikal selalunya sinonim dengan gamers yang inginkan tindak balas kekunci responsif, tahan lama dan bunyi hentakannya yang tersendiri. Sungguh pun begitu, semakin ramai pengguna komputer, termasuklah yang bukan gamers, mula berhijrah kepada papan kekunci mekanikal kerana pengalaman menaip yang lebih selesa berbanding kekunci membran.

    Bagi memenuhi permintaan ini, Logitech telah memperkenalkan papan kekunci mekanikal Logitech MX Mechanical Keyboard yang ditujukan khas untuk tugas produktiviti, serupa dengan produk lain dalam siri Logitech MX. Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahui sama ada papan kekunci ini sesuai untuk kegunaan anda.

    Sekilas pandang, MX Mechanical mempunyai warna yang agak membosankan kerana ia hanya mempunyai dua tona warna kelabu dan hitam. Sungguh pun begitu, corak warna ini membuatkannya sesuai untuk digunakan dalam pejabat kerana ia nampak lebih profesional. Buat mereka yang inginkan papan kekunci mekanikal namun tidak tertarik dengan simbahan warna RGB yang sering terdapat pada papan kekunci mekanikal lain, MX Mechanical adalah pilihan yang sesuai.

    Susunan kekuncinya pula agak konvensional untuk sebuah saiz penuh (full size keyboard), di mana kelompok kekunci panah (arrow keys) berada berasingan daripada kekunci lain manakala kekunci numpad berada di bahagian kanan. Ini membuatkan saiz keseluruhan papan kekunci ini agak lebar dan sukar dimasukkan ke dalam beg. 

    Selain itu, ia mempunyai berat 828 gram yang agak tinggi untuk sebuah papan kekunci. Oleh yang demikian, ia lebih sesuai untuk diletakkan dalam pejabat sahaja untuk kegunaan di hadapan monitor dan tidak dipindahkan langsung. 

    Turut disertakan dalam kotak produk ini adalah wayar USB-A ke USB-C untuk pengecasan serta unit penerima (receiver) Logi Bolt USB Receiver untuk sambungan wayarles. Logi Bolt ini boleh dihubungkan dengan satu lagi aksesori Logitech seperti tetikus, jadi anda tak perlu risau jika semua aksesori wayarles anda memerlukan terlalu banyak port USB. Jika anda tidak ingin menggunakan Logi Bolt, ia juga boleh dihubungkan kepada komputer melalui hubungan Bluetooth.

    Kini saya ingin mengulas mengenai pengalaman menaip. Seperti yang anda boleh jangkakan, ia menawarkan pengalaman menaip yang selesa dengan tindak balas sentuhan (tactility) yang berspring. Kekuncinya mempunyai sudahan matte yang meningkatkan cengkaman pada jari anda dan jika jari anda berminyak, ia tidak akan meninggalkan kesan kotoran pada kekuncinya.

    Sungguh pun begitu, ia menawarkan pengalaman yang lebih mirip kepada sebuah papan kekunci biasa atau pada komputer riba. Jika anda datang daripada papan kekunci mekanikal gaming, MX Mechanical mungkin akan rasa agak janggal.

    MX Mechanical mempunyai cahaya later (backlight) berwarna putih yang terang jika anda ingin menaip dalam suasana yang gelap. Tahap kecerahannya boleh diselaraskan dalam tujuh tahap secara manual, atau anda boleh biarkan MX Mechanical tentukan kecerahannya secara automatik berdasarkan cahaya persekitaran. 

    Satu perkara yang menarik tentang cahaya ini adalah ia akan padam secara automatik apabila tangan anda dijauhkan daripadanya, dan akan hidup semula sebaik sahaja anda meletakkan tangan. Anda juga boleh tetapkan corak cahaya yang ingin dipaparkan dalam perisian Logi Options+ seperti Breathing Lighting, Wave Lighting atau Random Lighting, namun anda tidak boleh menukar warnanya.

    Papan kekunci mekanikal selalunya mempunyai bunyi agak kuat apabila kekuncinya ditekan, namun MX Mechanical dengan kekunci Tactile Quiet mempunyai bunyi yang agak perlahan. Jadi, anda boleh gunakan produk ini di pejabat tanpa menjengkelkan rakan sekerja anda. Logitech menawarkan tiga jenis kekunci untuk MX Mechanical (Tactile Quiet, Linear dan Clicky), jika anda ingin mengubah bunyi yang dihasilkan atau tindak balas yang berlainan.

    Daripada segi hayat bateri, sepanjang dua minggu saya menggunakan papan kekunci ini, saya tidak pernah mengecasnya kerana hayatnya agak lama. Logitech mengatakan baterinya yang berkapasiti 1,500mAh boleh bertahan sehingga 15 hari atau sehingga 10 bulan jika cahaya latar dimatikan. Anda boleh mengecas papan kekunci ini dengan kabel yang disertakan.

    Jika anda memiliki beberapa aksesori Logitech, MX Mechanical boleh digunakan bersama dengan Logi Options+ dan anda boleh gunakan papan kekunci ini dengan tiga komputer serentak. Ia juga boleh digunakan untuk salin dan tampal (copy-paste) di antara tiga komputer tersebut dengan lebih mudah.

    Secara keseluruhan, papan kekunci mekanikal ini menawarkan fungsi yang menarik untuk pengguna, namun satu isu yang mungkin akan menjadi masalah adalah harganya yang agak mahal iaitu RM819. Logitech terkenal sebagai sebuah jenama aksesori komputer yang premium dan MX Mechanical mempunyai rekaan dan fungsi yang berbaloi dengan harga tersebut. Akan tetapi, anda boleh dapatkan papan kekunci mekanikal lain yang lebih murah daripada harga ini, meskipun dengan fungsi yang lebih asas.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple sekat lebih ~RM33 bilion dalam percubaan penipuan menerusi App Store

    Dalam tempoh empat tahun (2020-2023), Apple mengatakan bahawa mereka telah menghalang lebih $7 bilion (~RM33 bilion) dalam transaksi penipuan, menyekat 375,000 aplikasi...

    Ini adalah senarai ciri AI yang diumumkan pada acara Google I/O 2024

    Pada acara Google I/O, Google turut memperkenalkan beberapa kemas kini baharu pada Gemini AI. Terdapat versi Gemini 1.5 Flash baharu, Gemma 2,...

    Google Veo dilancar, boleh hasilkan video AI beresolusi 1080p daripada arahan teks

    Selepas OpenAI melancarkan teknologi penghasilan video berdasarkan model kecerdasan buatan (AI) Sora, kini Google pula melancarkan teknologi yang serupa iaitu Veo. Ia...

    Peranti Android akan datang boleh kesan panggilan penipuan dengan sokongan AI

    Dalam Persidangan Pembangun I/O 2024 yang diadakan hari ini, Google mengumumkan pengenalan fungsi pengesanan panggilan penipuan AI untuk sistem Android. Sistem AI...

    Google Photos bakal integrasikan Ask Photos untuk bantu pengguna cari gambar, jana kapsyen

    Acara Google I/O telah diadakan beberapa jam yang lalu dan syarikat itu mengumumkan banyak fungsi AI. Salah satu sorotan ciri AI pada...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X