fbpx
More

    Ulasan Microsoft Surface Laptop 5 – Komputer riba ringan dan berkuasa untuk golongan profesional

    Pada November tahun lalu, Microsoft telah melancarkan dua komputer baru dalam barisan produk Surface di Malaysia dan salah satu daripadanya adalah Microsoft Surface Laptop 5. Rekaannya tidak banyak berubah dengan generasi sebelumnya manakala sebarang perubahan hanya terdapat pada spesifikasi dalaman.

    Semua komputer Surface Laptop 5 kini dikuasakan oleh cipset Intel Alder Lake 12th Gen sahaja, berbeza dengan Surface Laptop 4 sebelumnya yang turut ditawarkan dengan pilihan AMD Ryzen. Laptop terbaru ini juga dijual dengan harga yang lebih mahal, bermula RM5,299 untuk varian 13.5 inci dan RM9,985 untuk varian 15 inci. Untuk mengetahui sama ada komputer riba ini sesuai untuk anda, ayuh baca ulasan oleh penulis TechNave English ini:

    Surface Laptop 5 dengan kotaknya
    Rekaan minimalistik, dengan logo Microsoft dalam warna krom

    Surface Laptop 5 ditawarkan dalam dua saiz utama iaitu 13.5 inci dan 15 inci. Unit yang telah dipinjamkan kepada kami adalah varian 15 inci dengan warna Matte Black, RAM 16GB dan storan SSD 512GB. Surface Laptop 5 mempunyai reka bentuk ringan dan premium, manakala spesifikasi lain akan dibincangkan di bawah.

    Rekaannya tidak berbeza langsung dengan Surface Laptop 4, mungkin kerana Microsoft sudah berpuas hati dengan rekaan tersebut. Ia dibina dengan rangka aluminium sepenuhnya dan memberikan tanggapan premium. Casisnya tidak melentur langsung apabila ia ditekan dengan kuat, manakala skrinnya boleh diangkat walaupun dengan satu jari. Terdapat juga varian yang mempunyai tekstur Alcantra pada papan kekunci.

    Walaupun dengan rekaan kukuh, beratnya sekadar 1.57 kilogram sahaja iaitu sangat ringan untuk komputer riba berukuran 15 inci. Tambahan lagi, versi 15 inci dan 13.5 inci menampilkan rekaan minimalistik dan industrial, dengan logo Microsoft diukir dalam warna krom.

    Untuk unit kami yang berwarna Matte Black, ia nampak sangat kemas dan sempurna untuk komputer yang digunakan untuk tugas pekerjaan. Malangnya, permukaan matte ini boleh meninggalkan kesan cap jari dengan mudah jadi ia akan memburukkan komputer ini sedikit. Jika anda ingin membeli Surface 5 dengan spesifikasi tinggi, warna hitam ini sahajalah pilihan untuk anda.

    Varian lain dengan spesifikasi yang lebih rendah ada ditawarkan dengan pilihan warna Matte Black atau Platinum. Sementara itu, papan kekunci Alcantra hanya ditawarkan untuk varian 13.5 inci.

    Bahagian bawah juga minimalistik
    Senipis 14.7mm sahaja
    Rekaan hadapan

    Oleh kerana rekaannya yang sama dengan Surface Laptop 4, Surface Laptop 5 mempunyai kekurangan yang sama iaitu daripada segi port I/O. Di sebelah kiri, terdapat satu port USB-A, satu port USB-C dan bicu audio 3.5mm. Mujur sekali, port USB-C telah dinaik taraf kepada Thunderbolt 4.0, jadi kini anda boleh menikmati kadar pemindahan data yang lebih pantas dan menghubungkan komputer ini dengan pelbagai jenis monitor luaran. Port ini juga boleh digunakan sebagai port pengecasan.

    Di sebelah kanan, terdapat port Surface Connect yang boleh juga boleh digunakan untuk pengecasan (pengecasan penuh mengambil masa sekitar 2 jam), pelbagai jenis docks atau palam (adapter). Ia rata dan berfungsi secara magnetik, menjadikannya mudah untuk menukar penghubung (connectors). Ia juga memastikan agar badan komputer ini tidak rosak apabila anda terpijak wayar pengecasan, sebaliknya wayar akan tercabut sahaja tanpa menarik komputer sekali.

    Port I/O agak mengecewakan untuk komputer 15 inci
    Skrinnya sangat terang untuk menonton video dan menyiapkan kerja

    Skrinnya pula mempunyai panel sentuh PixelSense berukuran 15 inci (2496 x 1664, 201 piksel per inci) dan boleh dibuka seluas 135 darjah. Komputer ini tidak disertakan dengan stilus, namun anda boleh gunakan sebarang stilus Surface Pen. Nisbah aspek 3:2 pula adalah sempurna untuk produktiviti kerana skrin ini lebih tinggi berbanding 16:9. Malangnya, sempadan bezel di sekeliling skrin agak tebal untuk komputer yang dilancar pada 2023.

    Kamera webcam di atas skrin boleh merakam video dalam resolusi 720p dan menghasilkan kualiti memuaskan untuk panggilan video, namun ia agak mengecewakan untuk komputer yang dijual pada harga ini. Kamera webcam ini juga mempunyai infra-merah (IR) untuk pengesanan muka Windows Hello dan ia berfungsi dengan sangat pantas.

    Sewaktu menyertai panggilan video, anda boleh jangkakan kualiti rakaman audio yang jelas daripada dwi-mikrofon studio yang terdapat pada komputer ini.

    Pengimbas inframerah (IR) berfungsi dengan pantas
    Contoh gambar daripada webcam
    Papan kekunci yang bagus, namun pad penjejaknya agak kecil

    Surface Laptop 5 mempunyai papan kekunci yang cemerlang, malah ini adalah antara papan kekunci terbaik yang saya pernah guna dalam komputer Windows. Kekuncinya dijarakkan dengan baik manakala sentuhan dan tindak balasnya sangat memuaskan. Pad penjejak juga berfungsi dengan baik dan ia menyokong isyarat gerakan (precision gestures), namun saiznya agak kecil untuk komputer riba 15 inci.

    Sekarang mari kita beralih kepada prestasi. Surface Laptop 5 yang dipinjamkan kepada kami dilengkapi cipset Intel 12th Gen i7-1255U, RAM LPDDR5x 16GB dan storan SSD 512GB. Berdasarkan penanda aras PCMark 10 dan 3DMark di bawah, jelas sekali Surface Laptop 5 ditujukan untuk produktiviti sahaja dan bukan untuk tugasan lain.

    Ketiadaan kad grafik khas bermaksud komputer ini tidak sesuai digunakan untuk menyunting media. Seperti yang boleh dilihat pada keputusan 3DMark, ia mempunyai prestasi grafik yang rendah. Sungguh pun begitu, anda masih boleh mainkan game ringan seperti DOTA 2 dan Counter-Strike: Global Offensive pada kadar bingkai yang baik.

    Bercakap tentang prestasi, komputer riba ini senyap sahaja walaupun apabila ia menjalankan tugas berat. Dengan kipas yang tidak menghasilkan bunyi kuat, ia pastinya adalah komputer yang sesuai untuk pekerjaan anda. Saya telah menulis banyak artikel, menyunting banyak gambar secara ringkas dan menonton pelbagai video tanpa sebarang masalah.

    Hayat baterinya pula berkapasiti 47.4Wh dan Microsoft berkata ia boleh bertahan selama 17 jam. Sungguh pun begitu, pengalaman saya berkata sebaliknya kerana ia hanya boleh bertahan selama 7.5 jam, dengan kecerahan skrin pada tahap separuh. Walaupun ia tidak menepati kenyataan Microsoft, ini masih lagi hayat bateri yang boleh diterima. Perlu diingati bahawa hayat baterinya akan berubah mengikut penggunaan anda.

    Secara keseluruhan, Surface Laptop 5 adalah sebuah peranti premium yang menepati kehendak golongan korporat dan bisnes. Sungguh pun begitu, anda masih boleh mempertimbangkan Surface Laptop 4 kerana ia masih menawarkan pengalaman yang serupa pada harga yang lebih murah. Beberapa keburukan Surface Laptop 4 adalah ketiadaan Thunderbolt 4, serta prestasi yang lebih rendah kerana ia menggunakan cipset Intel generasi lalu.

    Beberapa pembaharuan yang saya ingin lihat pada masa hadapan termasuklah lebih banyak port I/O dan saiz sempadan bezel yang lebih kecil. Kadar segar semula yang lebih tinggi dalam skrin juga pasti akan dihargai oleh para pengguna.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • 12th Gen Intel Core i7-1255U
    • RAM LPDDR5x 8GB, 16GB, atau 32GB
    • SSD 256GB, 512GB, atau 1TB
    • Berukuran 340 x 244 x 14.7 mm, berat 1.56kg
    • Skrin sentuh 15 inci PixelSense (Nisbah Aspek 3:2, 2496 x 1664, 201PPI), nisbah kontras 1300:1, sokongan multi-sentuh sehingga 10 titik, sokongan Surface Pen, Gorilla Glass 5
    • Port – 1 x USB-C dengan USB 4.0/Thunderbolt 4, 1 x USB-A 3.1, ; bicu audio 3.5mm, and 1 x Surface Connect port
    • Menampilkan cip TPM 2.0 untuk keselamatan perusahaan (enterprise security) dan sokongan BitLocker, pengimbasan muka Windows Hello, webcam HD 720p, pembesar suara Omnisonic Speakers dengan Dolby Atmos, dwi-mikrofon studio
    • Menyokong Wi-Fi 6: 802.11ax, Bluetooth 5.1
    • Bateri 47.4Wh, pengecasan 65W
    • Windows 11 Home

    Kebaikan: Mutu binaan premium, papan kekunci mantap, ringan, bateri tahan lama, skrin sentuh, sokongan Thunderbolt 4

    Kekurangan: Port yang sedikit, kamera hambar

    Kesimpulan: Komputer bagus untuk golongan bisnes, terutamanya dengan rekaan yang menyerlahkan profesionalisme

     

    Artikel Terkini

    Acer Swift Go 14 (2024) dilancar di Malaysia: Komputer riba dengan fungsi AI, skrin...

    Pada hari ini, Acer Malaysia melancarkan komputer riba multimedia Acer Swift Go 14 terbaru yang menampilkan rekaan nipis (14.9mm) dan ringan (1.32kg),...

    NASA sahkan objek yang menembusi bumbung di AS adalah serpihan roket

    Pada 8 Mac 2024, satu serpihan roket angkasa lepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terhempas dan menembusi bumbung sebuah rumah di Naples,...

    Panduan beli-belah gajet dan peranti murah sempena Hari Raya 2024!

    Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu daripada perayaan terbesar di Malaysia, jadi pelbagai syarikat teknologi dan elektronik akan mengambil kesempatan ini...

    HONOR Malaysia bakal lancarkan 4 produk baharu pada 22 April ini

    HONOR Malaysia akan memperkenalkan empat peranti terbaru mereka di acara MAGICal Ria Raya pada 22 April ini. Peranti-peranti tersebut termasuklah tablet HONOR...

    Insta360 X4 dilancar dengan rakaman 8K, kamera CMOS 72MP berharga RM2,499

    Insta360 yang merupakan syarikat penghasilan kamera aksi telah melancarkan Insta360 X4 dengan rakaman beresolusi 8K pertamanya. Kamera aksi ini dilengkapi dengan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X